Halaman

Ahad, 30 November 2014

#UMNO Lancar Aplikasi Rasmi Untuk Pengguna Peranti Pintar, Khusus Utk Ahli Parti


UMNO turut melancarkan aplikasi rasmi mereka untuk pengguna peranti pintar Android dan IOS dengan membawakan pelbagai ciri-ciri interaktif.

Bagaimanapun, aplikasi ini dikhususkan kepada ahli UMNO yang berdaftar sahaja. Untuk menggunakannya, anda perlu menggunakan nombor kad pengenalan yang berdaftar dengan UMNO, dan menggunakan nombor telefon. Sebuah kod khusus akan dihantar untuk pengguna log masuk ke aplikasi berkenaan.

Aplikasi ini membolehkan pengguna mengakses beberapa info semasa berkaitan dengan UMNO, melihat direktori Majlis Tertinggi UMNO, serta mengikuti pengumuman terbaru daripada UMNO.

Selain itu, aplikasi ini turut dilengkapi dengan beberapa ciri-ciri interaktif, antaranya membolehkan ahli berinteraksi dengan ahli UMNO lain melalui sokongan permesejan terbina, kemaskini terkini UMNO pusat selain permainan ringkas termasuk permainan berbentuk kuiz.

Sekiranya anda ahli UMNO, anda boleh memuat-turun aplikasi ini yang ditawarkan untuk Android dan iPhone hari ini secara percuma.

Muat Turun - Android
Muat Turun - iPhone

Rabu, 26 November 2014

#PAU2014: Teks Penuh Ucapan Dasar Ketua #PemudaUMNO YB @KhairyKJ @Azwanbro @NajibRazak


Yang Berbahagia Dato’ Pengerusi Tetap
Yang Berbahagia Saudara Timbalan Pengerusi Tetap

Wakil-wakil Majlis Tertinggi

Yang Berbahagia Saudara Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

Ahli-ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

Ketua-ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri

Para Perwakilan dan Pemerhati

Perahu dikatup dengan daun 
Penuh sarat berisi lokan
Kalau hidup seratus tahun 
Sepanjang hayat Pemuda berkorban 

Sampan kotak mengapa dikayuh
Hendak belayar ke tanah seberang
Patah kepak bertongkat paruh 
Pantang menyerah di tengah gelanggang 

 Berdiri saya di hadapan anda pagi ini - menyirat semula nirmala perjuangan parti, menginsafi amanah yang diberi, mensyukuri rentetan pengorbanan tokoh-tokoh UMNO sebelum ini.

 Alhamdullilah, mari kita zahirkan rasa syukur ke hadrat Tuhan Rabbul Izzati, yang maha pengampun lagi maha mengasihani. Kerana dengan zat limpah kurnia yang diberi, seperti tradisi tahun-tahun sebelumnya, dapat kita berkumpul semula dalam dewan yang gemilang ini. Juga selawat dan salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W. dan para sahabat.

 Sebagai sebuah organisasi, kita berhimpun bukan sekadar memenuhi keperluan perlembagaan tetapi lebih dari itu – bagi menyusun strategi dan agenda jemaah, mengangkat martabat bangsa dan pertiwi. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT di dalam Surah Al-Maidah ayat 2:

Yang bermaksud: “..dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).”

Sidang perwakilan sekalian, 

 Jika diperhalusi, kebelakangan ini banyak perkara telah terjadi, yang telah mendorong kita untuk mendalami dan menyoal semula identiti kita. Lalu identiti Melayu yang bagaimana harus kita bawa untuk menongkah arus, melawan gelombang serba tak tentu haluan ini? 

 Saya teringat pesan para cendekiawan: jangan malu jadi orang berbangsa. Dalam konteks kita pagi ini, jangan malu jadi Melayu. Tak perlu rasa segan bila bercakap tentang halatuju dan masa depan bangsa sendiri. Dan yang paling penting, tak perlu minta maaf dengan orang lain kerana ini tentang kita, kalau bukan diri sendiri yang membela bangsa, nak harapkan siapa lagi? 

 Tapi jadi orang berbangsa besar tanggungjawabnya. Bukan setakat mempertahankan perjuangan, meluaskan legasi atau menyambung tradisi semata. Orang berbangsa yang bermaruah akan sentiasa melihat cerminan diri di mata masyarakat. Orang berbangsa yang progresif sentiasa tahu ufuk halatuju masing-masing. 

 Kita sebagai orang muda dalam parti wajib menunjukkan kepada setiap yang meragui, bahawa kita memilih harapan bukan kemusnahan. Kita mahu menyangkal dengan adat, berdebat dengan ilmu, menyanggah dengan adil. Jika itu langgam kita, insyaAllah, Pemuda UMNO akan mendokong etos bangsa Melayu yang benar-benar merdeka!

Sidang perwakilan sekalian, 

 Sudah lama kita sepakat perlu meremajakan semula UMNO ini. Atas kesinambungan yang sama, bila bercakap soal meremajakan, soal menarik minat orang muda, kita tahu Pemuda lah benteng paling hadapan parti. Merujuk kepada kata-kata keramat Presiden Parti semasa Konvensyen UMNO di Johor: berilah ruang dan peluang untuk orang muda. Dan seperti yang saya kata di Town Hall Pemuda baru-baru ini, orang muda tidak sepatutnya dilihat sebagai ancaman malah sebagai harapan. 

 Namun sejarah dan tradisi tak pernah menipu, sejak dari awal penubuhan sayap Pemuda UMNO hingga ke hari ini, kita kekal menjadi pemangkin utama dalam menarik minat orang muda untuk menyertai parti kita. Hari berganti bulan, bulan berganti tahun, tahun berganti dekad... Pemuda UMNO terus mara jadi obor menyuluh denai perubahan untuk generasi muda. Cuma gaya mungkin berbeza, bergantung dengan keadaan dan trend semasa. 

 Lewat ini, Pemuda UMNO banyak memberi fokus dengan membawa perubahan hakiki kepada orang muda melalui politik khidmat bakti. Kita juga menitikberatkan perihal isu yang benar-benar relevan dalam kehidupan mereka, agar perjuangan lebih bersasar, khidmat bakti boleh diperbesar. 

 Cuma kadang-kadang yang tak sedapnya, keikhlasan kita diragu, dicela, dicatu. Bukan dari orang luar, tapi dari parti kita sendiri. Namun begitu, Pemuda UMNO ini bak kata orang putih, an easy punching bag. Kalau ada apa-apa yang tak kena dalam parti, ada yang tersalah, terkhilaf bila buat kerja, mesti kita kena dulu. Bila tak dipilih jadi calon pilihan raya, kita dituduh akan sabotaj parti. Padahal kita ini juga yang bersengkang mata, bergaul bahaya berdepan dengan lawan di malam buta. Ini bukan cerita lama, ini cerita selalu dan baru! 

 Di Pengkalan Kubor, kita dituduh akan mensabotaj kempen bila calon terpilih bukan dari kalangan Pemuda. Laporan diberi konon Pemuda sengaja tak gerak jentera. Pemuda boikot. Pemuda protes. Laporan yang kononnya sahih. Tapi keputusan undi terbukti sebaliknya. Demi rasa cinta tanpa sempadan terhadap parti, Pemuda kekal komited melakar semangat perjuangan yang sebenar. Pendek kata, kita berkerja setulus rasa, kita buktikan pada semua! Pemuda Tumpat dan Kelantan benar-benar membuktikan kita tak pernah tersasar dalam memberi apa yang terbaik untuk parti. Walau apa pun tohmahan, Pemuda melaksanakan tugas sebab bagi kita bukan kepentingan peribadi yang penting tetapi perjuangan. Berbaloi penat lelah mereka bila undi orang muda meningkat naik. Dan begitu juga saya ucapkan tahniah kepada Pemuda Teluk Intan sebab berjaya membantu BN menawan semula kerusi Parlimen yang kita kalah sebelum ini. 

 Ada yang kata Pemuda sekarang memang berbakti kepada orang muda, banyak idea, tetapi tidak lagi bertaring seperti dahulu. Tak menjadi kumpulan pendesak, tak gah membenteng parti, tak lantang dalam berjuang. Saya nak bagi tahu, Pemuda tidak lupa asal usul. Bila tiba masa untuk lawan kita lawan! Berani kata begitu pada Pemuda Wilayah, pada Pemuda Pulau Pinang? Bila maruah UMNO dicabar, bila DAP panggil parti kita celaka, mereka inilah yang di depan sekali mengambil risiko ditangkap polis, didakwa di mahkamah - atas nama mempertahankan martabat parti. 

 Saya tak pernah ragu walau sekelumit bahawa jiwa Pemuda kental, semangat kita menyala-nyala tak kira masa, kudrat kita melangit demi parti tercinta – sayang bila tiba masa, kita tercorot di belakang tak diberi perhatian. Ralat sungguh rasa di hati. 

 Walaupun ralat, Pemuda tak pernah membenarkan ia melarat jadi dendam dan amarah yang boleh memusnahkan parti. Kita pegang pesanan Saidina Ali Abu Talib: sifat pemarah itu musuh utama akal. Tapi ingatlah kawan, proses peremajaan parti tak boleh disudutkan dari aspek retorik semata – itu sebenarnya pantang perjuangan. Peremajaan semula parti harus ditonggak setinggi mungkin di pentas realiti. Agar semua boleh lihat, agar semua faham kita benar-benar mahu meremajakan semula UMNO. 

 Anak muda tidak melihat kepada Pemuda semata, mereka meneliti parti secara keseluruhan. Jika mereka punyai persepsi UMNO ini tidak membuka ruang untuk orang muda, mana mungkin orang muda nak masuk parti kita? Seterusnya, identiti parti kita ini macam mana? Mudakah layaknya di mata orang ramai? Adakah kita ini rasa parti kita muda dan kontemporari di mata mereka? Anda dan saya tahu jawapannya. 

 Walaupun kita tak kurang sokongan orang muda, kenapa masih ada anak muda yang sokong parti lawan – lebih membimbangkan ada pula yang masuk parti cauvinis itu? Jawapannya mudah, sebab parti lawan dilihat beri peluang pada orang muda. Setahun jagung, dah boleh jadi calon. Kalau kita tengok di Dewan Rakyat muka-muka muda lebih ramai di belah sana berbanding dengan kita. Keadaan ini membentuk persepsi bahawa parti lawan lebih terbuka untuk angkat orang muda.

 Kalau belah lawan begitu rentaknya, mana wow factor kita? Tak cukupkah cerdik pandai, orator hebat, pendebat ulung di kalangan orang muda dalam UMNO untuk diangkat? Atau kita masih lagi melihat orang muda sebagai budak suruhan penaik bendera, mengusung pengundi dengan motor setiap kali pilihan raya? 50 tahun dulu mungkin, tapi dunia dan perabadan sudah jauh berubah. Kalau kita tak berubah, alamatnya kita akan ‘diubah’ dengan kuasa peti undi orang muda.

 Jika kita lalui semula jalan kenangan, UMNO sebenarnya parti orang muda. Suatu ketika dulu barisan pimpinan kita sarat dengan tenaga muda di peringkat tertinggi.

• Tan Sri Rais Yatim jadi Menteri Besar Negeri Sembilan di usia 36 tahun; 
• Tan Sri Shahrir Samad jadi Timbalan Menteri Kabinet di usia 29 tahun, jadi Menteri Wilayah Persekutuan pada umur 34 tahun;
• Tan Sri Isa Samad jadi Menteri Besar Negeri Sembilan pada usia 33 tahun;
• Tan Sri Rahim Tamby Chik pun sama, jadi Ketua Menteri Melaka di usia 32 tahun juga.
• Tun Musa Hitam jadi pemangku Setiausaha Agung UMNO di umur 32 tahun, jadi menteri kabinet bila masuk 40; 
• Tan Sri Annuar Musa, di usia 34 tahun, sudah jadi menteri kabinet; 
• Tengku Razaleigh Hamzah Pengerusi Petronas umur 35 tahun, menteri kewangan 39 tahun . 

• Begitu juga dengan bapa kepada Presiden kita, Allahyarham Tun Razak yang diangkat jadi Menteri Besar Pahang pada umur 33 tahun, jadi Timbalan Perdana Menteri usia 35 tahun;

Sayang sekarang kita membelakangi masa. Hanya saya seorang - Ketua Pemuda UMNO Malaysia sahaja - satu-satunya menteri kabinet di bawah usia 40 tahun. Saya tak mahu begitu, tak boleh saya seorang sahaja yang lepas - itupun baru lepas - saya mahu saudara-saudara dan ramai lagi orang muda sebaya kita ada bersama saya! Barulah ada transformasi. 

 Bukan kita tamak mengejar pangkat dan kedudukan, namun kita tidak boleh menafikan peralihan generasi dan anjakan demografi yang sedang berlaku di hadapan mata kita. Perahu sudah di air, pendayung sudah di tangan. Tunggu apa lagi kongsilah kemudi itu dengan kami orang muda. Segerakan gandingan orang berpengalaman dengan anak muda untuk menentukan kegemilangan bangsa. Kami mahu suara orang muda di segenap ceruk pimpinan negara. Pemuda di Dewan Rakyat, Pemuda di Dewan Undangan Negeri, Pemuda dalam GLC, Pemuda jadi Timbalan Menteri dan lebih ramai Pemuda jadi Menteri! 

Sidang perwakilan sekalian, 

 Menyisir waktu, hakikat tak tersangkal kita ini pelbagai. Malaysia identitinya majmuk; agama, budaya dan cara hidup kita berbeza. Lantaran bukan senang untuk sampai ke titik ini, maha berliku jalan perpaduan yang dirintis, dibaja, ditara sejak pra kemerdekaan hinggalah sekarang. 

 Keamanan kita hari ini sebenarnya ditopang kemampuan dalam mengimbangi masyarakat berbilang kaum. Pancang kemampuan itu pula bermula dengan Kontrak Sosial yang membentuk negara 57 tahun lampau. 

 Tatkala itu, bapa-bapa kemerdekaan negara bertegang urat, bertaruh tulang-temulang dalam menentukan formula terbaik untuk semua kaum, melalui kontrak sosial. Getir lagi payah untuk mereka mencari jalan tengah yang adil tanpa melukakan hati, tanpa menjarah hak sesiapa. 

 Teras Kontrak Sosial ialah sementelahan orang Melayu bersetuju kepada pemberian kerakyatan berasaskan prinsip asas “Jus Soli” namun ianya perlu bertimbal balas dengan penerimaan Perkara 153 iaitu kedudukan istimewa orang Melayu, Perkara 152 Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Perkara 181 Kedaulatan Raja-Raja Melayu. Secara menyeluruh semangat tolak ansur ini juga merangkumi status quo pendidikan vernakular yang sedia wujud pra merdeka terus dikekalkan.

 Sekaligus demografi negara berubah drastik bila orang Melayu membuka pintu negara kepada bangsa lain untuk sama-sama membina nusa. Kita tidak boleh membayangkan pengorbanan setala ini. Maha besar pengorbanan orang Melayu, apa yang diharapkan pula hanya untuk kaum bukan Melayu mengakui beberapa perkara tadi sebagai timbal-balas. 

 Dalam semangat Kontrak Sosial ini, terdapat peningkatan signifikan dalam kuasa politik bukan Melayu. Dari 1.28 juta pengundi berdaftar pada tahun 1955, terdapat 84% pengundi Melayu, 11% Cina dan 4% India. Dan bayangkan saudara, hanya empat tahun selepas itu, semasa pilihan raya 1959, pengundi Cina dan India masing-masing meningkat di paras 36% dan 7%. Ini adalah antara perubahan demografi paling besar dalam sejarah negara-negara moden. 

 Begitu rencam kita menakhoda negara, kita timbang-tara hak dan kepelbagaian atas dacing saksama. Tidak lagi wujud suara dari kaum Melayu yang mempersoal hak kerakyatan orang bukan Melayu, pimpinan UMNO dan kerajaan sudah lama menerima dan mengangkat Kontrak Sosial. Kita tak pernah mengungkit soal kerakyatan yang diberi, kita terima lontaran hakikat bahawa saudara bukan-Bumiputera tetap warganegara, tetap rakyat negara kita. Negara saya, negara anda, negara kita semua! 

 Dan walaupun mungkin ada bunyi sedikit suara yang mempersoal kewujudan sekolah vernakular, kepimpinan UMNO sudah lama menerima aliran ini. Sudah terpateri dalam undang-undang negara, tiada seorang Menteri Pendidikan pun boleh mengubah status sekolah vernakular. Malah bila tiba pembentangan belanjawan tahunan, YAB Perdana Menteri, iaitu Presiden UMNO, tegar memberi peruntukan khas untuk sekolah-sekolah vernakular. 

 Dalam premis ini, kita bersetuju memberi hak kerakyatan untuk kaum bukan Melayu dan mengekalkan bahasa ibunda mereka; sementara itu orang bukan Melayu pula mengakui kedudukan istimewa orang Melayu, bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Orang Melayu terima, dan orang Melayu tak pernah pertikaikan persetujuan yang telah kita beri. 

 Tetapi, kenapa pula masih ada mereka yang tidak menghormati perjanjian yang sama. Kalau orang Melayu boleh terima, tak ungkit kerakyatan dan mengiktiraf bahawa kita tak boleh tutup sekolah vernakular, kenapa ada pula yang sekarang ini tidak pegang janji asal mereka. Kenapa ada yang minta dihapus kedudukan istimewa orang Melayu, ada yang mempertikaikan kedaulatan Raja-Raja Melayu, ada yang tak faham Bahasa Kebangsaan. Kalau orang Melayu tegas dengan prinsip kita mempertahankan perjanjian asal, kita tuntut yang lain juga pegang pada janji asal mereka. Tak perlu lagi pertikaikan hak kami. Kita tak minta mereka menggadai apa yang ada, kita cuma minta jaga apa yang telah dipersetujui bersama. 

 Adat bila berjanji wajib dikota, saudara. Kalau tak mahu kita mengungkit apa yang diberi, janganlah disoal hak dan keistimewaan peribumi. Atas janji inilah kita mengasas, membentuk Malaysia yang harmoni. Ini cara kita, yang terbaik untuk semua. 

 Bersama obor perpaduan yang menyala-nyala ini, Pemuda percaya perlu ada batas dalam setiap nas kebebasan. Apa yang sensitif, apa yang boleh merosakkan pembuluh perpaduan, jangan disentuh sama sekali. Sama ada Akta Hasutan dikekal atau ditambah baik, ini semua lompong makna kalau kita tak faham semangat dan halutuju kita orang berbilang bangsa. Tak kira apa akta, apa bylaws, apa kekangan, perkara-perkara yang sensitif dicanang jangan. Buat apa meniup api dalam sekam semata membangkit kemarahan? 

 Apa yang kita perlukan sekarang adalah perisai tempat berlindung – bukan hanya untuk orang Melayu – tapi untuk semua rakyat Malaysia. Justeru itu, sekiranya Akta Hasutan dipinda atau ditambah baik, yang paling mustahak perlu ada terma yang melarang dan menghukum sebarang kenyataan atau kelaku menghasut. Terma-terma ini kelak bakal jadi pelindung bukan sahaja untuk orang Melayu, tetapi untuk semua kaum lain. Jika ada yang melangkaui batas menghina bangsa atau Raja-Raja Melayu, Pemuda mendesak agar mereka cepat-cepat didakwa. Sementelah itu, jika ada yang menghina atau mencerca kaum lain, kita juga harus jadi barisan pertama yang mengasak agar mereka itu dikenakan tindakan! Kepada pucuk pimpinan kerajaan, Pemuda berpesan, walau apa pun akhirnya Akta Hasutan ini, walau apa pun nama baru yang diberi, kita mahu kuasa yang ada dalam akta ini dikekalkan dan jadi perisai untuk semua. Kerana percayalah, tanpa perisai ini negara kita pasti hancur. 

 Mengatur hidup dalam arus moden, tak cukup sekadar bergantung dengan Akta Hasutan itu semata. Tak cukup juga setakat kita menahan diri dari menyoal hak masing-masing. Kita mesti mantap pendirian, jadi tiang seri Malaysia yang bersatu. Kita mesti komited dalam mencorak fabrik perpaduan nasional.

 Kita tidak mengamalkan asimilisasi; kita tak boleh menerap secara paksa budaya kita terhadap orang lain – seperti yang diamalkan di negara-negara keliling kita. Apa yang kita mahu adalah satu integrasi yang mampu mengekalkan rasa hormat bila berdepan dengan budaya masing-masing. Apa yang masih jadi harapan agar kita ada beberapa perkara yang boleh mengikat kita bersama – contohnya bahasa kebangsaan. 

 Tapi lihat saja statisik peserta PLKN, masih ramai yang tak mampu bertutur dalam Bahasa Kebangsaan. Petaka apa kah ini untuk bangsa merdeka? Bahasa Melayu itu Bahasa Kebangsaan, di dadanya tersimpan segala rahsia untuk menyatukan kita, tapi masih ramai yang tak mampu bertutur dalam bahasa Melayu – terutama mereka yang memilih sekolah vernakular. 

 Sekolah vernakular teruskanlah, tapi buatlah sesuatu untuk mengukuhkan perpaduan nasional pertiwi ini. Pastikan murid-murid sekolah vernakular fasih dalam bahasa kebangsaan. Jadilah sebahagian daripada proses integrasi, jangan jadi masyarakat yang tersisih dari yang lain. Tunjuklah sikit semangat cintakan negara. Janganlah banyak mengomel kalau tak boleh berdiri bila Negaraku berkumandang! Tunjukkan pada dunia, bahawa kita rakyat Malaysia. 

 Merintihlah merdeka, pincanglah perpaduan jika kita terus-terusan begini. Dokonglah kerakyatan cara orang terhormat, busungkan dada mu menjulang Malaysia tanpa sebab atau alasan. Kerana jadi rakyat itu maknanya kita sama, kita satu, kita serupa, kita rakyat Malaysia! 

Sidang perwakilan sekalian,

 Menjelang ambang 2020 – kita sudah bercakap soal peremajaan parti, kita juga sudah bercakap tentang hubungan antara kaum – sekarang molek jika kita menyentuh tentang Melayu itu sendiri. Kerana nadi perjuangan UMNO selamanya berdenyut untuk membela bangsa kita. Retorik banyak kedengaran, tapi keputusannya apa? Gerak kerjanya bagaimana?

 Umum tahu kedudukan ekonomi kita masih berada di paras lebih rendah berbanding kaum lain – itu hakikat. Sehingga kini, pendapatan orang Melayu tetap rendah berbanding kaum lain. Ramai yang cakap, Melayu ada Amanah Saham! Tapi mengikut kajian terkini Dr. Muhammad Abdul Khalid dalam buku Colours of Inequality, ironis sekali bila pelaburan purata orang kita dalam Amanah Saham hanya RM 600. Bayangkan hanya RM 600 sahaja, sedangkan kita tahu had pelaburan RM 200 ribu.

 Bila menyentuh soal pendidikan, walaupun kerajaan dah beri insentif pengecualian bayaran balik PTPTN untuk pelajar cemerlang, 78% yang dapat pujian kelas pertama dan tak payah bayar balik itu bukan budak Melayu. 

 Apalah nasib badan, sudahlah tersadung di ruang ekonomi dan pendidikan, di kancah gejala sosial pula, orang Melayu berada paling depan. Dalam 10 penagih dadah, 8 anak Melayu. Itu belum lagi dikira, dihitung kes-kes buang bayi, sumbang mahram dan jenayah jalanan. 

 Tapi tak guna kita berbahagi siapa salah, siapa berdosa. Saya mahu kita bangkit, kita tahu, kita faham betapa Melayu memerlukan halatuju yang mantap dalam usaha meningkatkan martabat. Masa tak menyebelahi kita sahabat, sungguh bangsa bertelekan malu kalau kita orang Melayu belum betul-betul maju, tatkala Malaysia mencapai status negara maju pada tahun 2020 kelak. Lalu bagaimana kita mahu mengubah nasib? 

 Betul kita punya kuasa, tapi setakat ini, apa yang telah kita buat dengan kuasa itu? Cukupkah menggalas perjuangan setakat kuat bertempik “Hidup Melayu” tanpa sebarang strategi? Tanpa pemikiran dan perancangan yang mapan? 

 Perkara wahid dalam hidup adalah semangat dan keberanian untuk mengubah nasib. Kata penulis buku Bumi Manusia, Pramoedya Ananta Toer, “Dalam hidup kita, cuma satu yang kita punya, yaitu keberanian. Kalau tak punya itu, lantas apa harga hidup ini?” Dalam konteks kita mahu membangunkan martabat bangsa di alaf ini, saya menyeru semua bertindak tanpa lengah, dalam menjayakan agenda Melayu dengan keberanian dan perancangan yang rapi. Apa guna kita gegak gempita mempertahan kedudukan, tanpa menzahirkan aksi dan jasa. Halatuju baharu ini perlu dibaja dengan pencapaian yang jelas nyata, terbukti dengan keberhasilan yang boleh diukur kira.

 Anggaplah senarai ringkas ini selaku pemangkin aksi, tiupan semboyan yang menyeru untuk kita bertindak. Pertama, soal tanah rizab Melayu. Baru-baru ini kita dikejutkan dengan siri laporan bahawa keluasan tanah rizab, jatuh mendadak dari 50% kepada 12%. Saya mengajak Pemuda ke hadapan, mencari penyelesaian memastikan hak yang termaktub dalam enakmen sejak 1914, juga wasiat Raja-Raja Melayu, tak tergadai. Di manakah salahnya kita dalam soal ini? Kajian menunjukkan salah satu sebabnya adalah: bila pihak berkuasa tak menggantikan tanah rizab yang diwartakan keluar dengan merizabkan semula satu kawasan yang mempunyai keluasan sama dengan tanah asal. 

 Pemuda tidak akan sama sekali berdiam diri dalam hal ini, kita akan membawa isu ini untuk ke pentas nasional dan menggesa agar Enakmen Rizab Melayu Negeri-negeri dikuatkuasakan sepenuhnya. Kita harus semak semula senarai tanah rizab yang diwarta keluar dan memastikan tanah-tanah tersebut digantikan dengan segera. Jangan sampai hak kita di bumi ini terus-terusan dicabuli oleh mereka yang tak bertanggungjawab. Rentung martabat dibakar cuai, kelak bangsa bakal melarat. 

 Pemuda mencadangkan agar diwujudkan satu Majlis Amanah Tanah Melayu melibatkan semua negeri. Majlis Amanah ini pula jangan hanya melindungi tanah rizab melayu, tetapi juga harus bertanggungjawab memastikan pembangunannya. Apa guna jadi orang bertanah, jika tak dapat menggandakan nilai untuk bangsa nusantara sendiri.

 Kedua, soal pemilikan hartanah Melayu. Data terkini menunjukkan bumiputera memiliki hanya 5% jumlah hartanah di Malaysia. Pemuda memandang serius perangkaan yang menunjukkan bahawa – meskipun 58% penduduk Malaysia yang menetap di bandar adalah bumiputera – namun peratusan yang sama tidak diterjemahkan menerusi peratusan pemilikan hartanah. 

 Banyak sebab musibat ini berlaku. Pemaju perumahan kalau tak boleh jual kuota bumi dalam tempoh 6 bulan, mereka dapat pengecualian. Ada yang tak bertanggungjawab lagi kuat mengelat. Mereka akan kurangkan promosi sebab tahu akan dapat pengecualian dan boleh jual di pasaran terbuka. Pemuda cadangkan tempoh untuk mencari pembeli bumiputera dilanjutkan selama 3 bulan lagi. Dalam tempoh ini, Pemuda mencadangkan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) diberi peluang untuk mencari pembeli bumiputera atau terus menjual unit-unit tersebut kepada GLC-GLC, bagi tujuan memperkasa agenda bumiputera. 

 Seterusnya saudara, siapa tak pernah masuk pusat beli belah di bandaraya-bandaraya besar di negara kita? Kiri kanan kita tengok kebanyakan kedai-kedai ini tak dimiliki orang Melayu. Bila kita hitung kita dapati bahawa di pusat beli belah utama di bandaraya Kuala Lumpur yang mana pemiliknya bukan Melayu, peratusan peniaga bumiputera tak sampai 1%. Yang lebih menyakitkan hati kita, pusat-pusat beli belah yang dimilikki oleh GLC-GLC, termasuk pusat beli belah yang paling tersohor di Kuala Lumpur, hanya ada kurang daripada 3% peniaga bumiputera dalam premis mereka. Bukan kerana tak cukup peniaga-peniaga runcit Melayu tetapi kita pernah dengar cerita di mana mereka diusir keluar dari pusat-pusat beli belah. Kononnya peniaga-peniaga Melayu ini cikai. Keadaan ini perlu berhenti, janganlah Melayu pergi ke kompleks beli belah sekadar tengok-tengok, window shopping sahaja. Intailah juga peluang untuk berniaga dan menambah pendapatan. 

 Program yang ada perlu diperkemas, ruang untuk membantu golongan ini harus diperluaskan untuk menyokong peniaga bumiputera menembusi pasaran runcit ini. Kita tak mahu peniaga Melayu sekadar menembusi pasaran, kita nak mereka kekal dan mengembangkan perniagaan.

 Keempat, soal kemahiran dan pendapatan profesional Melayu. Kita amat bangga bila ramai anak Melayu mengorak langkah dalam bidang profesional, berbanding beberapa dekad lalu – satu perkembangan positif untuk negara yang hampir mencapai status maju. Ia juga membuktikan kita orang Melayu tak tercicir dari arus perdana pembangunan. 

 Namun kita bukan mahu berbangga dengan kuantiti anak Melayu dalam sektor korporat sahaja, tetapi juga ingin memastikan lebih ramai orang Melayu berada dalam pekerjaan berpendapatan tinggi. Jika hari ini majoriti pekerja berpendapatan RM 2 ribu sebulan dan ke bawah, rata-ratanya terdiri dari golongan orang Melayu, kelak biarlah Melayu turut menguasai pekerjaan-perkerjaan bergaji RM 10, 15 hatta 20 ribu sekalipun!

 Program-program di bawah Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera perlu ditambah. Kita mahu ramai lagi anak muda Melayu ada pentauliahan profesional. Ini bila kita tengok akauntan dan pakar kewangan – jenuh nak cari Melayu. Atau bila kita tengok dalam bidang baru seperti Sains & Teknologi – payah nak cari melayu. Tapi saya tahu, dalam dewan sekarang, ada profesional-profesional ini. Pemuda sendiri ada program seperti ProSkill bawah Biro Profesional Muda untuk memberi latihan kemahiran insaniah buat para profesional. Tetapi ini tak cukup, kita mesti menggandakan usaha untuk memperkasa dan seterusnya memastikan anak Melayu jadi majoriti dalam bidang profesional. 

 Yang kelima, kita nak bangkitkan sekali lagi isu diskriminasi di tempat kerja terutamanya terhadap orang Melayu dalam sektor swasta. Walaupun sudah diulang berkali-kali, masih ada lagi yang berani mempromosi jawatan kosong, khusus untuk satu bangsa sahaja. Dalam kerajaan, kita tak mengamalkan diskriminasi. Polis dan tentera, juga begitu. Jadi tolong berhenti buat perkara macam ini. Sudah tiba masa kita ada satu akta anti-diskriminasi dalam pengambilan pekerja. 

 GLC pula perlu ingat kepada agenda bumiputera yang diberi. Prestasi Ketua Pegawai Eksekutif jangan hanya dilihat setakat untung sahaja, tetapi agenda Bumiputera yang digalas wajib disempurnakan. Ingat pesanan Y.A.B. Presiden semasa ucapan beliau di Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera, di Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada tahun lepas, dengan jelas disebut bahawa semua Ketua Pegawai Eksekutif di GLC diwajibkan meletak sasaran ke atas penyertaan bumiputera, dan ini dimasukkan sebagai KPI kepada C.E.O-C.E.O tersebut. Jadi Pemuda nak tanya, dah setahun dah, kita nak tahu sejauh mana C.E.O-C.E.O telah mencapai KPI mereka? Kalau tak lepas KPI untuk tolong orang Melayu, ramai yang dapat ambil tempat Datuk-Datuk semua.

 Bila sebut soal perolehan kerajaan dan agenda Bumiputera, ada pulak yang memandai mengambil peluang. Penat cari orang, isi borang, kejar status syarikat bumiputera, tapi bila dah dapat kontrak kerajaan eksklusif untuk bumiputera, dijualnya pula kontrak ini kepada syarikat bukan bumiputera. Ada yang berstatus bumiputera, tapi hanya pada nama, hanya pada kertas, untung dan kawalan syarikat di tangan orang lain. 

 Rentetan dari masalah ini, Pemuda bersetuju dengan cadangan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) untuk menubuhkan satu agensi perakuan di bawah SPRM untuk memastikan fenomena ini dapat dikekang. Pemuda juga bersetuju agar syarikat-syarikat yang buat perangai dapat disenaraihitamkan, agar agenda bumiputera kembali ke landasan objektif asal penubuhan.

 Apa makna pencapaian ekonomi bagai, kalau orang Melayu sebagai orang beragama Islam, akidah tidak dipelihara, syiar agama tidak ditegakkan, nilai murni tidak disemai. Hari ini kita dikepung oleh ekstremisme yang datang dari kiri dan kanan. Dari satu sudut, ektremisme datang dalam bentuk ideologi militan yang menyalahgunakan agama untuk menghalalkan pembunuhan dan kemusnahan. Lihat sahaja kepada usaha kumpulan militan Islamic State (IS) memimpin anak muda kita ke arah durjana. Rakyat Malaysia yang terlibat dengan kumpulan ini, yang terpedaya bahawa ini jihad sebenar, majoritinya anak muda. Hari ini, satu kertas putih kerajaan tentang ancaman IS terhadap Malaysia sedang dibentang di Dewan Rakyat oleh YAB Presiden sendiri.

Ancaman ektremisme agama ini perlu dihentikan serta-merta. Yang perlu kita didik mereka adalah tentang pegangan Wasatiyyah, sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 143:

Yang bermaksud: “Dan demikianlah Aku (Tuhan) jadikan kalian umat yang “wasat” (adil, tengah-tengah, terbaik) agar kalian menjadi saksi (syuhada’) bagi semua manusia, dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi (syahid) juga atas kalian.”

Baik kita beri anak muda Islam kita, yang cukup idealistik, peluang lain nak salurkan kudrat mereka. Kita ajak mereka bantu anak muda Islam berniaga tambah pendapatan, ajak mereka mengajar rakan seagama yang tiada peluang pendidikan, ajak mereka bina rumah untuk mereka yang tak berumah kerana negara mereka miskin yang amat. Bina perigi di kampung pedalaman tanpa bekalan air dapat pahala. Bunuh orang awam secara kejam ikut perjuangan IS yang dapatnya dosa.

 Dari sudut lagi satu, masyarakat kita berdepan pengaruh buruk dibawa gaya hidup bebas dan songsang. Kalau ini kita tak bendung, alamat runtuhlah akhlak anak bangsa kita dek ekstremisme sosial. Yang paling baik kalau kita didik mereka, ajar mereka untuk jauhi gejala sebegini. Tapi didikan dan ajaran bagus mana sekalipun perlu disokong dengan pengukuhan pentadbiran undang-undang Syariah. Kami menyeru kerajaan untuk benar-benar merungkai konflik antara perundangan Syariah dan sivil dengan mengambil kira keresahan umat Islam, kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dan prinsip ketertinggian Perlembagaan Persekutuan. 

 Agenda Melayu seperti yang saya perbutirkan tadi perlu dijadikan KPI kolektif di setiap paras perjuangan kita. Selesai persidangan cepat-cepat ambil tindakan, jangan berdiam diri, jangan berlengah lagi. Gunalah kekuatan kudrat Pemuda untuk menggerakkan, memperkasa agenda bangsa kita sendiri.

 Saya merayu agar Pemuda jadi mata dan telinga kerajaan. Kita pantau di peringkat bahagian, kita buat satu mekanisme pengumpulan data, agar boleh diguna pakai oleh kerajaan. Saya nak beri anda semua satu tugasan, satu KPI. Sila kenal pasti berapa banyak profesional Melayu di bahagian anda; sila kira berapa banyak kontraktor Melayu dapat kontrak kerajaan di bahagian anda; sila hitung berapa ramai anak Melayu masuk universiti di bahagian anda; sila sukat berapa banyak anak muda Melayu terlibat dalam gejala sosial, merempit sana sini, dan hisap dadah di bahagian anda. Kita akan tubuhkan satu sekretariat khas di peringkat pusat bagi membantu pemantauan perlaksanaan agenda Melayu di peringkat akar umbi dengan memperkenalkan Skor Kad Pematuhan untuk agenda Melayu. Kita selalunya ada perancangan tapi kurang menyerlah bila tiba bab implementasi. Sekarang Pemuda akan tampil ke hadapan untuk memastikan agenda Melayu ini dipatuhi sepenuhnya. 

 Melayu itu bukan bangsa yang gagal; Melayu itu bukan bangsa yang sentiasa perlu ditongkat, Melayu tak tohor pencapaian. Sungguh Melayu maha perkasa, dari Kerajaan Langkasuka dan Kedah Tua, Gangga Negara mahupun Srivijaya, orang Melayu lah yang membawa ketamadunan ke Tanah Melayu sejak kurun pertama lagi. 

 Kerajaan Melayu lah yang mula mencipta struktur perundangan dan menyemai benih kesatuan penduduk Nusantara. Bibit yang kemudiannya mencetus konsep budaya dan bangsa, atas asas kejayaan kuasa politik Melayu. Kepimpinan Melayu lah yang mula membawa perdagangan dan pendedahan kepada dunia luar. Kemudian datang kejayaan yang lebih berganda di zaman Kesultanan Melayu Islam yang masih kekal hingga sekarang, di mana wilayah ini pernah menjadi pusat perdagangan utama dunia – digores pengaruh ketamadunan hebat Arab dan Parsi, China dan India – diiktiraf pula oleh para penulis dan pengembara ternama, dari Marco Polo hinggalah ke Laksamana Cheng Ho. Tetapi mewarisi legasi itu payah, justeru “Hidup Melayu” mu jangan murah. Perjuangan itu perlaksanaan kata-kata yang tak gawat di tengah jalan, yang tak digentar ditabuh halangan. Nah, sejarah sudah menunjukkan Melayu ini tamadun yang hebat, inilah masanya untuk membuktikan kehebatan kita bukan setakat dalam buku sejarah – Melayu itu hebat dulu, kini dan selamanya! 

Sidang perwakilan sekalian,

 Sudah lebih setahun kita menewaskan pembangkang dalam PRU13. Walaupun kita tawan 54% anak muda Melayu, pertempuran PRU14 bakal jadi lebih sengit lagi. Apatah lagi dengan penambahan hampir 5 juta pengundi baharu.

 Sebelum saya memberi cadangan-cadangan Pemuda untuk pertimbangan kerajaan, ingin saya ucapkan terima kasih tak terhingga kepada Y.A.B. Presiden yang telah menzahirkan keinginan anak muda melalui pembentangan belanjawan yang lalu. Bukan hanya peruntukan untuk belia dipertingkat, isu-isu umum seperti perumahan dan keusahawanan nampak digubal mengikut langgam orang muda.

 Dan ini memantapkan lagi evolusi Pemuda UMNO di bawah pimpinan kita semua. Jika empat tahun lalu kita ubah haluan ke arah politik khidmat bakti, kini kita pertajamkan lagi strategi ini. Kita tajamkan dengan cara berpolitik berpengaruh di mana Pemuda terus membentangkan cadangan untuk orang muda kepada pucuk pimpinan kerajaan, yang terbukti senantiasa bersedia menerima cadangan bernas. Contoh politik berpengaruh yang saya maksudkan tadi adalah rumah transit yang tercetus daripada idea Pemuda sendiri, yang telah menyempurnakan impian belia berkahwin untuk menyewa tempat berteduh yang tak jauh dari ibu kota. Terima kasih kepada mantan Setiausaha Pemuda UMNO, Y.B. Datuk Abdul Rahman Dahlan, kerana telah mengotakan cita-cita Pemuda ini. Kerana menjadi seorang Menteri yang bukan hanya mendengar suara Pemuda, tetapi yang telah bertindak atas desakan kami.

 Memang benar sudah banyak yang diberi untuk anak muda. Tapi izinkan saya menyatakan keinginan Pemuda untuk sebuah urus janji baharu berkenaan anak-anak muda Malaysia. Halangan tak pernah surut, kos sara hidup terus meningkat, begitu juga dengan keperluan dan kebajikan generasi muda negara. 

 Dalam akad urus janji baharu ini, dari aspek kos sara hidup, isu perumahan kekal jadi faktor utama kesempitan anak muda. Sejak tahun 2012, kenaikan tahunan purata harga rumah meningkat 10%, berbanding kenaikan tahunan pendapatan median yang hanya sebanyak 8%. Purata harga rumah pula 5.5 kali ganda berbanding pendapatan median, walhal hanya 5.1 kali ganda di Singapura dan 4.7 kali ganda di UK. Mana mungkin dapat kita membentuk generasi yang mencintai Malaysia sebagai rumah mereka, jika mereka hanya mampu pandang, mampu idam, tapi tak boleh nak beli rumah sendiri. 

 Walau begitu, Pemuda berterima kasih atas usaha kerajaan untuk terus membantu anak muda dalam kemelut ini. Pemuda menyambut baik Bandar Belia yang diterjemahkan melalui 1Malaysia Youth Cities. Idea yang dibawa Pemuda sendiri akan bermula dengan tiga projek perintisnya, di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, dengan objektif mengikuti naluri kehendak belia. Skim Perumahan Belia juga diumumkan untuk belia dalam Belanjawan 2015. Semua Ini kami amat alu-alukan. 

 Walaubagaimanapun, di Kuala Lumpur untuk tahun ini sahaja, jumlah pasangan belia yang berkahwin, sudah lebih 14,000. Mana cukup 20,000 unit melalui Skim Perumahan Belia yang saya sebut tadi untuk seluruh negara. Justeru skim ini biar jadi skim tahunan yang kekal dengan unitnya diperbanyakkan lagi untuk tahun-tahun mendatang. Rumah transit sebanyak 632 unit pun tak cukup. Walaupun lokasinya molek, intipatinya bersesuaian, mesti ditambah lagi demi menjaga kebajikan anak-anak muda yang baru mahu memulakan keluarga.

 Bukan itu sahaja, pemaju-pemaju juga perlu beri kemudahan bina kemudian jual atau tidak kembalikan Skim Pemaju Tanggung Kadar Faedah (DIBS) untuk golongan muda. Jangan kita rosakkan harapan mereka memiliki rumah pertama dengan hutang bunga dan rumah terbengkalai. Tapi ada yang bantah yang kata pemaju kurang untung sebab kena bayar kos pembiayaan. Jangan sembang sembarang, jangan nak tamak – kita tahu margin untung pemaju di AS hanya 12%, di Thailand hanya 14%, tapi untung pemaju Malaysia melambung setinggi 21%.

 Pemuda juga sambut baik tindakan kerajaan negeri Johor yang menyenaraihitamkan 28 pemaju kerana gagal membina rumah mampu milik. Jangan beri mereka projek baharu, jika tak dapat penuhi amanah bina tempat berteduh pada harga berpatutan. Pemuda rasa amat wajar jika tindakan sebegini diperluas ke seluruh negara.

 Bila cakap pasal isu sara hidup, bebanan hutang orang muda sudah lama berada dalam radar perhatian Pemuda. Lebih merunsingkan, kadar anak muda bawah umur 25 tahun yang bankrap pada separuh pertama tahun ini sahaja, meningkat sebanyak 178% berbanding tahun lepas. Bayangkan anak muda kita, yang baru keluar universiti setahun dua, yang baru ingin mendirikan rumah tangga tapi diisytihar bankrap. Gelap dan punah masa depan mereka.

 Tak tersangkal hutang perlu dibayar balik. Kesannya pada orang lain, pada peminjam di masa depan. Tetapi ada pula tukang kutip hutang atau ‘debt collector agents’ yang melampaui batas. Ada yang tak berhenti telefon, padahal hutang tak sampai satu ratus ringgit. Ada yang mengugut, bahasa kasar macam Ah Long, padahal baru seminggu terlewat bayar. Malahan ada yang datang ke rumah penghutang, datang dengan geng, ugut nak sita rumah, ugut nak rantai pintu rumah, ugut nak guna kekerasan. Pemuda nak beri amaran kepada tukang kutip hutang dan pelanggan mereka, nak kutip hutang tu kutip lah, tapi jangan sampai biadap, jangan sampai ada yang tertiarap. 

 Berbalik pada akar masalah ini, antara sebab hutang anak muda yang tinggi, adalah tahap kefahaman kewangan yang rendah. Ini lebih serius bagi golongan berpendapatan rendah. Mereka lebih cenderung memilih pinjaman yang mana ansuran bulanan atau mingguan nampak rendah, tapi bila dikumpulkan setahun, kadar peratus tahunannya jauh lebih tinggi berbanding pinjaman ansuran lain.

 Nak gubal undang-undang hutang pengguna memang makan masa. Undang-undang bankrap yang Pemuda dah lama minta dipinda itu pun belum dizahirkan. Tapi buat sementara waktu, mereka ini perlu dilindungi. Pemuda mencadangkan kerajaan agar mewajibkan semua pemberi hutang menyatakan secara jelas jumlah sebenar kadar bunga mereka. 

 Hal sebegini nampak kecil, tapi besar kesannya. Tambahan pula apabila GST akan dilaksanakan pada tahun 2015. Namun tatkala ramai yang risau, ada pula pihak yang cuba mengambil kesempatan. Pemuda juga gesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk memastikan pemantauan yang menyeluruh dan berkesan. Jangan kerana peniaga yang mengambil kesempatan mengaut untung beralasankan GST dan pegawai tak kuat kuasa – kita pula yang kalah pilihan raya. 

 Kita juga tahu ramai orang muda yang muflis kerana gagal bayar hutang kenderaan. Hutang pinjaman kenderaan adalah yang kedua tertinggi, setinggi 18% selepas hutang beli hartanah. Ramai anak muda bawah 35 tahun jadi muflis, mana tidaknya, nak beli kereta kena bayar 36 kali gaji bulanan. Di negara maju hanya 12 kali ganda. 

 Sudah terang lagikan bersuluh, kita perlukan satu inisiatif untuk membantu anak muda membeli kenderaan, meringankan beban hutang dan harap-harap mereka dijauhi daripada sumpahan muflis. Mengambil kira perkara ini, Pemuda mengusulkan kepada kerajaan Skim Kenderaan PertamaKu di mana anak muda yang berpendapatan kurang RM4000 sebulan boleh beli kenderaan pertama mereka tanpa membayar cukai atau duti eksais. Ini akan mengurangkan harga kenderaan khusus untuk anak muda yang membeli buat kali pertama sahaja. Kenderaan-kenderaan yang dibenar beli biar lah yang berharga sederhana, yang dipasang dalam negara.

 Sebelum ada yang kata macam pernah dengar idea ini, bukan ini idea dari pihak lawan? Saya nak jelaskan ini bukan seperti pihak lawan yang telah mencadangkan satu dasar populis iaitu potongan cukai untuk semua pembeli kenderaan yang boleh menambah hutang kerajaan, meningkatkan kesesakan jalan raya, merosakkan alam sekitar dan memberi diskaun kepada orang kaya. Cadangan Pemuda bersasar kepada golongan yang memerlukannya iaitu anak muda sahaja – dan tidak melibatkan semua pembeli kenderaan. 

 Namun di kala kita bercerita tentang kehendak belia, jangan dilupakan belia-belia luar bandar. Kita kena ingat, suka tak suka, kekuatan UMNO hari ini masih datang dari luar bandar. Dan kemenangan kita hari ini datang dari sokongan belia luar bandar. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita perlu mengupayakan anak muda luar bandar. Biar mereka ini lebih berkualiti, lebih berkeupayaan, lebih mudah dipasarkan. 

 Y.A.B. Presiden telah umumkan dalam Belanjawan 2015 bahawa Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan ditransformasikan. Pemuda cadangkan transformasi tersebut memberi fokus kepada belia luar bandar, diberi keutamaan untuk mengikut PLKN versi baharu di mana mereka bukan hanya diterap semangat patriotisme tetapi juga diberi kemahiran. Biar mereka menamatkan program ini dengan satu pentauliahan kemahiran – moga mudah mereka mendapat kerja di pasaran.

 Pada masa yang sama, Pemuda menyokong segala usaha untuk melahirkan lebih ramai lagi usahawan di kalangan belia luar bandar. Program-program seperti Rural Business Challenge di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dan Agropreneur Muda di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani harus kita sokong. Pemuda bercadang supaya lebih banyak lagi peluang ekonomi diberi kepada anak muda luar bandar , agar mereka tak perlu berhijrah ke bandar untuk mencari rezeki. 

 Bagi merekayasa ekonomi anak muda luar bandar Pemuda cadangkan agar Revolusi Ekonomi Anak Muda Luar Bandar dilancarkan. Gunakanlah 120 ribu hektar tanah terbiar di negara ini, panggil anak-anak muda luar bandar untuk mengusahakannya, ini akan mencetus revolusi ekonomi ke arah menambah pendapatan masyarakat muda luar bandar. 

 Ini urus janji kita yang baharu, prakarsa yang bakal mencorak perjuangan kita di alaf baru. Kalau orang muda dekat dengan kita, kepentingan mereka kita jadikan tonggak perkhidmatan, hati mereka kita tawan, nescaya pilihan raya akan datang kita menang lagi! 

Sidang perwakilan sekalian,

 Tak ke mana seluang melaut,    akhirnya balik ke tepi jua; 
 tak ke mana Melayu merantau, 
 ke tanah asal pulanglah mereka. Kita ini parti Melayu – walau ditala, ditabuh, diterajang bagaimana sekalipun – begitulah kita. Kalau asalnya benih yang baik, dicampak ke laut jadi pulau. Kalau asalnya berdarah pahlawan, dihumban ke mana tetap melawan!

 Kalau dulu Melayu corot kelas bawahan, parti inilah yang mengangkat orang Melayu jadi usahawan, saintis dan pakar perubatan. Kalau dulu kita buta huruf, miskin ilmu, bangsa yang tiada visi mahupun misi, parti inilah yang menjadikan kita profesor, pensyarah dan pakar ekonomi. Kalau dulu ada yang kata Melayu itu koman, parti inilah yang mengangkat Melayu ke depan – dari Melayu macai jadi Melayu bijak pandai!

Anak watan
Jangan malu jadi orang berbangsa
Jangan silu mempertahankan hak kita
Jangan dipersia tradisi yang mulia 
Jangan kau gadai harga diri
Jangan dinafi apa yang hakiki
Jangan berbohong dengan diri 
Jangan pohon maaf, pohon kebenaran dari sesiapa 
Kerana walau kita mati-matian berjuang demi bangsa 
Kita tak pernah berjuang atas sengsara orang lain!
Maqasid perjuangan kita bukan untuk Melayu semata 
Kita berjuang untuk semua anak Malaysia!

 Jadi anak bangsa, lekas kau bangun dari lena. Akarkan legasi dalam hati, cekalkan perjuangan di sanubari, perjuangan untuk selamanya membela kedudukan bangsa, memacu negara ke puncak dunia, mendokong nusantara hingga ke akhir masa! Demi parti kita saudara-saudara, kau apikan lah obor yang menyala-nyala, tiupkan lah sangkakala sekuat rasa, luruskan barisan, rapatkan jurang antara mu para pahlawan! Yakinlah ini yang kamil untuk bangsa, untuk anak-anak kita, untuk para sarjana yang bakal mewaris negara!

Hidup mati kami untuk agama!
Hidup mati kami untuk bangsa! 
Hidup mati kami untuk keramat parti tercinta! 

Hidup UMNO!
Hidup UMNO! 
Hidup UMNO!

#PemudaUMNO Mendepani Cabaran #HyperConnectivity - @Azwanbro @NajibRazak @KhairyKJ #AKHI #BiroMediaSosial #TransformasiUMNO


Seiring dengan perkembangan pesat dunia teknologi digital di negara ini, Pemuda UMNO turut tidak ketinggalan menjadikan kesalinghubungan digital atau 'hyperconnectivity' sebagai satu platform bagi menyampaikan idealisma perjuangan dan keterbukaan parti kepada golongan muda. 

Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun dalam satu wawancara bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) Isnin lalu mengupas mengenai peranan sayap pergerakan tersebut melahirkan pimpinan muda yang kreatif dan berkemahiran tinggi bagi memenuhi tuntutan keperluan dunia teknologi digital hari ini demi kelangsungan parti Melayu terbesar itu.

Menurut beliau, dalam mendepani cabaran dunia teknologi masa kini, Pemuda UMNO sejak dari penggal yang lalu telah menubuhkan Unit Media Baru (UMB) sebelum dijenamakan semula dengan nama baru iaitu Biro Media Sosial (BMS) bermula tahun lepas.

"Kita sedar hari ini lebih 56% dari populasi rakyat Malaysia merupakan mereka yang berumur dibawah 34 tahun.


"Dan kita pun sedar hampir 12 juta pengguna facebook atau facebookers di negara kita, 30% daripada jumlah 12 juta itu merupakan mereka yang berumur 16 ke 24 tahun," ujarnya.

Berdasarkan peratusan di atas, beliau mengakui Malaysia secara relatifnya merupakan sebuah negara yang muda, untuk itu Pemuda UMNO akan menggunakan 'hyperconnectivity' sebaik mungkin untuk menjuarai dan mendepani citarasa serta kehendak aspirasi golongan muda terutamanya mereka yang sudah sedia mengamalkan gaya hidup digital.

Bagi mencapai matlamat tersebut, Pemuda UMNO melalui Akademi Kepimpinan Kapten Hussein (AKHI) telah merangka pelbagai program khusus bagi melahirkan lebih ramai peneraju pemikiran (opinion leader) yang mampu mengenengahkan idealisma, perjuangan serta sikap keterbukaan UMNO untuk dinilai dan diterima oleh generasi muda.

Selain menyampaikan maklumat berkaitan dengan parti, mereka yang sedia terlatih akan membantu menjawab segala persepsi dan fitnah sebahagian pengguna media sosial yang berniat buruk terhadap parti serta kerajaan.

Kempen Secara Tradisional.

Ditanya apakah model kempen secara tradisional masih relevan atau tidak, Azwan yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia mengakui bahawa kempen tradisional tersebut masih diperlukan.

Azwan mengetuai kempen jentera
PemudaBN di PRK Pengkalan Kubor.
"Saya tidak boleh menafikan kempen secara tradisional iaitu kita pergi rumah ke rumah, kita menjalankan politik smart party masih diperlukan... Ini langsung tidak saya nafikan dan ini pun kita usahakan juga," tegas beliau.

"Tapi pada masa yang sama, saya hendak juga menyentuh bahawa hakikatnya hari ini kalau kita dapat lihat sekitar tahun 70an generasi muda terutama kaum Melayu yang berada di kawasan bandar hanya sekitar 23 peratus...hari ini generasi muda Melayu yang berada di kawasan bandar melebihi 70 peratus.

Menurut beliau, 70 peratus generasi muda yang berada di bandar lebih terdedah dengan teknologi digital dan telah sedia mengamalkan budaya hidup digital berbanding anak muda yang tinggal di luar bandar.

"Saya percaya dan bersetuju dengan Datuk Seri Shabery Cheek (Menteri Komunikasi dan Multimedia) bahawasanya hyperconnectivity adalah platform terbaik untuk kita pemimpin UMNO meneruskan agenda membawa idealisma dan perjuangan agar ianya diterima baik oleh lebih 56 peratus rakyat Malaysia yang terdiri dari golongan muda," katanya.

Video lihat di SINI.

#PAU2014: Teks Penuh Ucapan Perasmian Serentak Sayap Parti UMNO - TS @MuhyiddinYassin @KhairyKJ @azwanbro


"MEREKAYASA PERUBAHAN, MENDEPANI ZAMAN”

بِسْـــــــــمِ اَللّهِ الرّحْمن الرّحيم 

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدِ، الْفَاتِحِ لِمَا أُغْلِقَ وَالْخَاتِمِ لِمَا سَبَقَ، نَاصِرِ الْحَقِّ بِالْحَقِّ، وَالْهَادِي إِلَى صِرَاطِكَ الْمُسْتَقِيْمِ وَعَلىَ آلِهِ حَقَّ قَدْرِهِ وَمِقْدَارِهِ العَظِيْمِ .

Assalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh, salam sejahtera dan salam 1Malaysia.


YB Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil

Ketua Pergerakan Wanita

YB Sdr. Khairy Jamaluddin

Ketua Pergerakan Pemuda

YB Sdri. Mas Ermieyati Samsudin

Ketua Pergerakan Puteri

YB Naib-Naib Presiden UMNO

YB Setiausaha Agung UMNO

Ahli-ahli Majlis Tertinggi

Barisan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri

Saudara-saudari sidang perwakilan, dif-dif jemputan dan para pemerhati sekalian

1. Alhamdulillah, puji dan syukur ke hadrat Allah s.w.t. serta selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w., malam ini saya dan saudara-saudari semua yang mewakili Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO dari seluruh pelusuk negara, dapat sekali lagi berhimpun di Dewan Merdeka ini untuk mempertegaskan matlamat perjuangan parti kita, memperkukuhkan perpaduan dan merencana masa depan bangsa Melayu. Saya mengucapkan terima kasih kepada wanita, pemuda dan puteri UMNO kerana terus istiqamah berada dalam saf perjuangan parti kita.



Hebatnya Hang Tuah sehingga kini,

Kisahnya menjadi bualan zaman,

Jiwa pejuang takkan terhenti,

Selagi nyawa di kandung badan.

SEJARAH PERJUANGAN UMNO

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

2. Parti kita UMNO telah mencapai usia 68 tahun. Telah banyak ranjau yang kita lalui dalam pelbagai keadaan, pelbagai cabaran dan pelbagai zaman. Kita telah melalui pasang surut asakan terhadap perjuangan kita. Alhamdulillah, walaupun kita diasak dan diterjah dengan pelbagai dugaan, Allah masih memberikan kemenangan kepada UMNO. Allah masih mentakdirkan UMNO memikul amanah kuasa pemerintahan ini. Namun, jangan kita lupa, jangan kita alpa. Allah juga menggilirkan kemenangan antara sesama manusia sebagai pengajaran kepada kita semua. Sebagaimana firman-Nya dalam surah Ali-Imran Ayat 140:

إِن يَمۡسَسۡكُمۡ قَرۡحٌ۬ فَقَدۡ مَسَّ ٱلۡقَوۡمَ قَرۡحٌ۬ مِّثۡلُهُ ۥ‌ۚ وَتِلۡكَ ٱلۡأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيۡنَ ٱلنَّاسِ وَلِيَعۡلَمَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَيَتَّخِذَ مِنكُمۡ شُہَدَآءَ‌ۗ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ ٱلظَّـٰلِمِين

Yang bermaksud

Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendapat luka yang sama (dalam peperangan Badar) dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), Kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.

3. Inilah sunnatullah. Allah s.w.t. menggilirkan kemenangan dan kekalahan sesama manusia. Hatta antara kaum muslimin dan musyrikin pun, Allah menggilirkan kemenangan dan kekalahan sebagai peringatan kepada orang-orang yang beriman. Maka, dalam konteks UMNO, kemenangan yang kita perolehi dalam mana-mana pilihanraya tidak boleh menjadikan kita angkuh, sombong dan selesa. Cabaran terhadap perjuangan kita masih hebat, jalan yang perlu kita lalui masih berliku, ranjau di hadapan kita masih berduri. Maka, dalam perhimpunan kali ini, saya ingin mengajak saudara dan saudari supaya ikhlas dan jujur dengan diri kita sendiri. Kaji adakah parti kita berada dalam keadaan yang selamat? Adakah parti kita disenangi oleh sebahagian besar rakyat? Adakah parti kita bakal beroleh kemenangan dalam pilihanraya akan datang?

4. Saudara-saudari, jika kita himbau kembali sejarah penubuhan UMNO dalam konteks dunia pada waktu itu, UMNO berada di tengah-tengah kancah pertembungan antara fahaman nasionalis, fahaman komunis dan fahaman sosialis. Namun, UMNO berjaya membina identiti perjuangannya sendiri di atas semangat kebangsaan Melayu yang berteraskan Islam. Pada ketika itu juga, nasionalisme merupakan ideologi utama yang menggerakkan parti-parti politik di negara-negara tanah jajahan bangkit menentang penjajah. Alhamdulillah, berkat perjuangan UMNO, negara kita berjaya mencapai kemerdekaan.

5. Pada masa yang sama, sebagai sebuah parti yang toleran dan sederhana, UMNO berjaya merintis kerjasama dengan parti-parti yang mewakili kaum-kaum lain di negara kita untuk membina sebuah negara bangsa. Sebagai kerajaan pula, parti kita UMNO menerusi Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional telah berjaya mengekalkan kestabilan politik dan memacu kemajuan ekonomi dengan cara kita sendiri. Sehingga beberapa dekad yang lalu, UMNO adalah sinonim dengan sebuah ceritera kejayaan; ceritera sebuah negara yang aman dan stabil di sebalik kepelbagaian kaum dan agama. Hasil perjuangan UMNO, negara kita telah berganjak daripada sebuah negara miskin sewaktu merdeka kepada negara industri yang insya-Allah akan menjadi negara maju dalam beberapa tahun lagi di bawah gagasan besar Wawasan 2020.

CABARAN PERUBAHAN ZAMAN

6. Namun, suasana politik hari ini sudah banyak berubah. Di seluruh dunia, nasionalisme bukan lagi ideologi utama. Malah, banyak parti nasionalis yang memperjuangkan kemerdekaan negara masing-masing telah berkubur. Selepas era perang dingin, liberalisme telah muncul sebagai ideologi yang dominan di seluruh dunia. Di bawah lembayung ideologi baru ini, idea-idea Barat mengenai demokrasi, kebebasan dan kesamarataan tersebar secara meluas, termasuk di negara-negara Asia. Sama ada kita sedar atau tidak, kebangkitan gerakan demokrasi liberal dan masyarakat sivil yang memperjuangkan kebebasan dan kesamarataan mengikut neraca Barat telah memberi kesan yang besar kepada perjuangan UMNO.

Memperteguh Kedudukan Istimewa Melayu dan Bumiputera

7. Hari ini, banyak pertubuhan dan individu yang sama ada secara langsung atau tidak langsung mempersoalkan hak keistimewaan Melayu, kedudukan istimewa agama Islam, kedudukan Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu dan lain-lain lagi yang merupakan teras perjuangan UMNO. Apabila UMNO bersuara membela kepentingan Melayu, mereka kata UMNO rasis. Tetapi apabila kaum-kaum lain bangkit memperjuangkan hak kaum masing-masing, itu dikatakan hak kumpulan minoriti dalam sebuah negara demokrasi. Sama juga, apabila UMNO bangkit mempertahankan kedudukan Islam, UMNO dikatakan ekstrem, walhal Islam adalah Agama Persekutuan. Tetapi apabila kepentingan kumpulan agama lain diperjuangkan, itu dikatakan hak kebebasan beragama. Hari ini, perkara-perkara penting yang termaktub di dalam perlembagaan yang melindungi hak semua kaum secara saksama semakin dipersoalkan.



8. Suara kumpulan penentang ini semakin lantang sehingga kedengaran di forum-forum antarabangsa. Mereka menuduh UMNO mengamalkan diskriminasi dan zalim terhadap rakyat. Ini amat pelik bagi saya. UMNO yang dahulunya berjuang bermati-matian untuk membebaskan rakyat daripada cengkaman penjajah; UMNO yang memperjuangkan keadilan sosial; UMNO yang mempelopori politik kesederhanaan; hari ini, dalam zaman kebebasan ini, UMNO dituduh sebagai parti yang zalim, parti yang menindas, parti yang menjajah rakyat. Pendek kata, segala yang buruk dan keji itu adalah UMNO. Seolah-olah tiada setitik pun jasa UMNO kepada negara. Kebaikan yang ditabur ditutupi oleh debu-debu pembohongan, fitnah dan propaganda jahat. Demikianlah zaman telah berubah, pola fikir masyarakat telah berubah, cabaran kepada UMNO juga berubah.

Agenda Ekonomi Bumiputera dan Merapatkan Jurang Ketidaksaksamaan Adalah Agenda Nasional

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

9. Perubahan juga berlaku dalam bidang ekonomi. Dahulu, pembangunan negara kita digembeleng oleh kerajaan. Kuasa kerajaan membolehkan kita melaksanakan program penstrukturan semula masyarakat menerusi Dasar Ekonomi Baru. Melalui dasar ini juga kita telah berjaya mengeluarkan masyarakat daripada belenggu kemiskinan dan menangani penguasaan ekuiti asing dalam ekonomi negara. Kita juga menetapkan sasaran pemilikan ekuiti Bumiputera sebanyak 30 peratus sekurang-kurangnya, dan penyertaan Bumiputera digalakkan dalam setiap sektor ekonomi. Dasar ini dibentuk agar ekonomi berkembang dan pengagihan berlaku secara adil dan saksama. Atas sifat bertimbang rasa dan semangat supaya kek ekonomi dapat dirasai oleh semua rakyat Malaysia, orang Melayu dan UMNO pada waktu itu tidak bersifat keterlaluan untuk meminta lebih daripada 30 peratus.

10. Walaupun sasaran pemilikan ekuiti Bumiputera tidak tercapai, namun Alhamdulillah, DEB telah berjaya mengagihkan kekayaan negara kita secara lebih saksama serta meningkatkan pendapatan kaum Bumiputera dan bukan Bumiputera. Tuduhan bahawa DEB kononnya satu dasar keterbelakang, menyekat pelaburan, menyebabkan brain drain dan hanya menguntungkan segelintir pihak yang ada kabel politik adalah tidak benar. Bagi saya, tuduhan meleset ini hanya dicipta oleh mereka yang sarat dengan kebencian. Banyak kajian ilmiah yang menunjukkan bahawa semua kaum mendapat manfaat daripada pelaksanaan DEB. Ini termasuk kajian mutakhir Dr Muhammed Abdul Khalid yang diterbitkan di dalam bukunya the Color of Inequality yang membuktikan bahawa DEB telah memberi manfaat kepada semua kaum dari segi pembasmian kemiskinan, peningkatan pendapatan, peluang pekerjaan, pemilikan ekuiti dan lain-lain. DEB telah mencapai sebahagian matlamat pengagihan ekonomi dan menyamaratakan peluang. Namun, masalah ketirisan memberikan kesan negatif kepada pencapaian matlamat asal DEB yang disasarkan oleh kepimpinan UMNO terdahulu.

11. Namun begitu, 24 tahun selepas pelaksanaan DEB berakhir, kita kembali mendengar keluh kesah dan gundah-gulana masyarakat Melayu. Dalam era pasca DEB, data terbaru Jabatan Perangkaan Malaysia untuk tahun 2013 menunjukkan bahawa jurang ekonomi antara kaum masih wujud. Misalnya, median pendapatan bulanan isi rumah Bumiputera sebanyak RM3,282 masih rendah berbanding kaum Cina, iaitu RM4,643 dan kaum India sebanyak RM3,676. Dalam kumpulan isi rumah berpendapatan 40% terendah, 75.5% adalah Bumiputera. Pemilikan hartanah dalam kalangan Bumiputera juga masih jauh lebih rendah berbanding kaum-kaum lain. Hanya 36.3% transaksi bangunan hartanah kediaman melibatkan Bumiputera. Pemilikan hartanah bangunan industri dan perdagangan Bumiputera juga rendah iaitu 2.37% bagi hartanah industri dan 7.85% bagi hartanah perdagangan.

12. Begitu juga, satu kebenaran yang pahit untuk kita akui ialah kaum Bumiputera masih menerima layanan yang tidak saksama dalam sektor swasta. Kajian yang dilakukan oleh Dr Lee Hwok Aun dan Dr. Muhammed Abdul Khalid pada tahun 2012 mendapati bahawa bagi setiap seorang graduan Melayu yang dipanggil temu duga dalam sektor swasta, secara puratanya 5.3 graduan Cina ditemu duga, walaupun mereka mempunyai kelulusan yang sama. Data rasmi juga menunjukkan kadar pengangguran adalah tertinggi dalam kalangan tenaga kerja Bumiputera iaitu 70.3%, termasuk graduan menganggur sebanyak 66.9%. Kita juga sering mendengar keluhan pekerja Bumiputera yang menerima gaji lebih rendah berbanding kaum-kaum lain dalam sektor swasta. Pakar ekonomi Just Faaland, J.R Parkinson dan Rais Saniman membuktikan dalam buku mereka Growth and Ethnic Inequality: Malaysia’s New Economic Policy, bahawa pekerja Bumiputera menerima gaji 20 hingga 40 peratus lebih rendah berbanding bukan Bumiputera.

13. Secara umumnya, kedudukan ekonomi orang Melayu hari ini masih meruncing. Ketidaksaksamaan dalam masyarakat agak menggerunkan kita. Pada masa yang sama, kita berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam meneruskan agenda ekonomi Melayu. Kita bersaing dalam ekonomi yang lebih terbuka. Kita berhadapan dengan fahaman kesamarataan yang menentang sebarang pelaksanaan agenda Melayu. Menerusi pelbagai instrumen perjanjian perdagangan bebas antarabangsa, negara kita didesak supaya jangan lagi mengamalkan dasar untuk melindungi kepentingan kaum Bumiputera. Kononnya, dasar seperti ini merupakan penghalang kepada pembangunan ekonomi dan merencatkan pasaran. Padahal, dasar ini pernah digunakan oleh negara maju lebih setengah abad sebelum mereka mencapai tahap negara maju.

14. Kita sebenarnya sedang menongkah arus kapitalisme global dan ideologi pasaran bebas yang semakin melebarkan jurang ketidaksaksamaan. Seperti yang diakui oleh pemenang hadiah nobel ekonomi Joseph Stiglitz dalam bukunya The Price of Inequality, dasar ekonomi yang berasaskan teori dan ideologi yang salah telah memburukkan keadaan ketidaksaksamaan dalam masyarakat di seluruh dunia, termasuk di Eropah dan Amerika Syarikat.

14. Saya fikir sudah sampai masanya kita menilai kembali model ekonomi negara kita. Ya, benar pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 6.3% adalah antara yang tertinggi di Asia; nilai pelaburan langsung asing sebanyak RM216.5 bilion pada tahun 2013 adalah antara yang terbaik dalam sejarah; kedudukan Malaysia dalam Laporan Dayasaing Global 2014 meningkat daripada nombor 24 ke nombor 20 daripada 148 buah negara. Semua ini menunjukkan bahawa pencapaian ekonomi negara kita amat memberangsangkan dan kita berada pada landasan yang betul untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020.

15. Tetapi di sebalik semua pencapaian ini, Yang Amat Berhormat Presiden dan saya selaku Timbalan sering memikirkan adakah kita boleh memejamkan mata dan memekakkan telinga dengan tidak berbuat apa-apa jika kaum Bumiputera yang merupakan 67.4% daripada rakyat negara kita masih berada dalam kumpulan berpendapatan rendah; jika 4 juta daripada 6.5 juta pekerja yang mencarum dalam KWSP di negara kita berpendapatan kurang RM2,000 sebulan; jika jurang ketidaksaksamaan di negara kita antara yang tertinggi di rantau ini; jika rakyat masih tidak mampu memiliki rumah sendiri.

16. Mengenai isu perumahan, ada ahli UMNO di akar umbi yang mengatakan kepada saya, rumah-rumah yang dibina dengan harga RM400,000 sebenarnya bukan rumah mampu milik, tetapi rumah mampu tengok sahaja. Pandangan ini ada juga kebenarannya. Menurut Kajian Khazanah Research Institute, harga rumah mampu milik yang sewajarnya adalah 3 kali median pendapatan isi rumah, iaitu bagi kumpulan pendapatan isirumah 40% terbawah dengan harga RM70,000 dan kumpulan berpendapatan sederhana pada harga RM160,000 atau pada purata harga RM130,000. Rumah-rumah yang dibina dengan harga yang terlalu mahal, terutamanya di kawasan-kawasan bandar dan pinggir bandar, sudah tentulah tidak mampu dibeli oleh rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.

16. Saudara-saudari, persoalannya nanti, ketika negara kita mencapai sasaran Pelan Transformasi Ekonomi dengan nilai GNI RM1.7 trillion, dengan pendapatan perkapita RM48,000, dengan penambahan 3.3 juta pekerja berkemahiran dan RM1.4 trillion pelaburan daripada sektor swasta dan kerajaan, berapakah daripada jumlah sasaran ini akan turun mengalir menjadi milik kaum Bumiputera? Dalam keghairahan kita meletakkan sasaran besar untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi, kita juga harus menetapkan sasaran yang jelas untuk kaum Bumiputera dan memastikan kekayaan negara kita dapat diagihkan kepada semua rakyat baik di kota mahupun di desa, di semenanjung mahupun di Sabah dan Sarawak, baik kumpulan berpendapatan tinggi mahupun kumpulan pertengahan dan 40% terbawah, semuanya – kulluhum ajma’in - perlu dipastikan mendapat peluang yang adil dan saksama.

17. Saudara-saudari, kita sebenarnya amat memerlukan satu model ekonomi yang benar-benar dapat memastikan pertumbuhan disertai dengan pengagihan yang saksama. Kita tidak boleh membiarkan majoriti rakyat negara kita terpinggir dan tersisih daripada arus kemajuan ekonomi negara. Apatah lagi, ketidaksaksamaan dalam masyarakat kita hari ini bukan lagi merupakan masalah kaum semata-mata, tetapi juga masalah kelas. Kita sedang menghadapi masalah jurang yang besar antara golongan kaya dan golongan miskin, jurang antara etnik dan intra etnik,jurang antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak, jurang antara masyarakat bandar dan luar bandar, jurang antara CEO, pengurusan kanan syarikat dan pekerja bawahan. Semua ini jika dibiarkan berterusan akhirnya akan menjejaskan pencapaian ekonomi negara kita secara keseluruhan.


18. Sebagai mewakili suara orang Melayu dan Bumiputera, saya ingin tegaskan supaya pendekatan, dasar dan strategi yang lebih berkesan untuk merapatkan jurang kaum dan kelas dilaksanakan segera. Kita perlu memberikan tumpuan dan keutamaan kepada program latihan peningkatan kemahiran pekerja Bumiputera, memperbaiki mekanisme subsidi, menangani diskriminasi dalam sektor pekerjaan, memperkemaskan perundangan, pengawalan dan penguatkuasaan terhadap pekerja asing, memperkenalkan dasar mengenai peningkatan dan pengawalan pendapatan pekerja, menambah mekanisme percukaian yang lebih berstruktur (targeted), meningkatkan insentif bagi membantu keluarga menambah kekayaan, menyediakan ekosistem kondusif kepada pelajar luar bandar dan miskin bandar, menekankan semula pembangunan luar bandar, memperluaskan jaringan keselamatan sosial, dan menyasarkan tindakan afirmatif berdasarkan keperluan (need-based) khusus untuk kumpulan isi rumah 40% terbawah tanpa mengira kaum. Jangan ada mana-mana pihak yang cuba mempersoalkan tindakan pembetulan ini sebagai agenda perkauman. Ini adalah agenda negara.

19. Oleh itu, kita perlu menjadikan Agenda Bumiputera sebagai Agenda Nasional, bukan agenda kaum. Majlis Ekonomi Bumiputera yang dipengerusikan oleh YAB Presiden mempunyai peranan penting untuk mengkaji secara terperinci kedudukan ekonomi Bumiputera, merencana hala tuju masa depan ekonomi Bumiputera, termasuk memperkukuhkan instrumen dasar, institusi dan inisiatif memajukan ekonomi Bumiputera. Saya mencadangkan supaya Agenda Bumiputera serta dasar dan strategi merapatkan jurang ekonomi dijadikan teras utama Rancangan Malaysia Ke-11 yang merupakan lonjakan terakhir Malaysia untuk menjadi negara maju. Agenda Bumiputera sebagai Agenda Nasional tidak boleh dilaksanakan secara picisan atau terpisah daripada kerangka besar ekonomi negara. Ia mesti dilaksanakan secara inklusif, komprehensif dan merentasi semua sektor ekonomi. Saya juga mencadangkan satu Dasar Ekonomi Nasional yang baru dirangka untuk memacu inisiatif kesaksamaan ke hadapan. Apatah lagi, tanggungjawab merapatkan jurang kaya dan miskin adalah perintah Allah s.w.t. kepada kita sepertimana firman-Nya dalam Surah Al-Nahl, Ayat 71:

وَٱللَّهُ فَضَّلَ بَعۡضَكُمۡ عَلَىٰ بَعۡضٍ۬ فِى ٱلرِّزۡقِ‌ۚ فَمَا ٱلَّذِينَ فُضِّلُواْ بِرَآدِّى رِزۡقِهِمۡ عَلَىٰ مَا مَلَڪَتۡ أَيۡمَـٰنُہُمۡ فَهُمۡ فِيهِ سَوَآءٌ‌ۚ أَفَبِنِعۡمَةِ ٱللَّهِ يَجۡحَدُونَ

Yang bermaksud:

“Dan Allah telah melebihkan sebahagian daripada kamu atas sebahagian yang lain pada rezeki yang dikurniakan-Nya dalam pada itu, orang-orang yang diberi kelebihan itu tidak mahu memberikan sebahagian daripada kelebihan hartanya kepada hamba-hamba mereka, supaya orang-orang itu dapat sama mempunyai harta. Maka mengapa mereka tergamak mengingkari nikmat Allah itu dengan perbuatan syirik?”



Memperkukuhkan Manhaj Wasatiyyah Dalam Menangani Cabaran dan Ancaman Terhadap Islam

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

20. Kita juga sedang menghadapi pelbagai cabaran baru dalam soal agama. Saban hari saya mendengar keluh kesah orang Melayu yang bimbang dengan kesan faham liberalisme dan sekularisme ke atas aqidah umat Islam. Hari ini kita banyak mendengar kes-kes pelanggaran syariat yang dilakukan atas nama kebebasan dan hak asasi. Penghinaan ke atas umat Islam juga dilakukan secara terbuka. Selain itu, umat Islam juga sedang berhadapan dengan ancaman ekstremisme dan militanisme yang sekiranya tidak dibendung segera akan memberi kesan buruk kepada negara.

21. Apa yang lebih membimbangkan ialah wujudnya trend sekularisasi dalam agama, iaitu agama dilihat dalam neraca ideologi sekular liberal Barat yang tercabut daripada akar Syariat. Trend ini sedang berkembang di seluruh dunia. Misalnya, majalah Economist keluaran bulan Oktober yang lalu memberikan gambaran yang agak mengejutkan mengenai amalan perkahwinan sejenis yang dilarang oleh syariat Islam dan juga oleh agama-agama lain. Menurut majalah ini, dalam tahun 1950-an, perkahwinan sejenis tidak diterima di hampir semua negara di dunia. Namun, dalam tempoh hanya enam dekad, yang disebut sebagai “the leap forward”, hari ini 113 negara atau 63% daripada keseluruhan negara di dunia telah mengiktiraf perkahwinan sejenis atas nama menghormati hak asasi dan kesamarataan.

22. Keadaan ini menimbulkan keresahan dalam kalangan orang Melayu dan umat Islam. Mereka bimbang sekiranya gejala sekularisasi agama ini tidak segera dibendung, maka benteng aqidah dan syariat yang sekian lama dipertahankan oleh umat Islam akan runtuh dirempuh arus liberalisme. Dalam konteks perjuangan UMNO, semua ini merupakan cabaran baru yang tidak pernah kita lalui sebelum ini. Kalau dahulu kita cuma berhadapan dengan asakan PAS yang cuba membuktikan siapa lebih Islam. Tetapi hari ini kita berada di luar kancah perlumbaan ini. Kita sedang berada dalam dunia pasca-moden yang menganggap agama sebagai penghalang kepada kebebasan manusia. Dalam realiti hari ini, semakin ramai pula pihak yang cuba membuktikan siapa lebih liberal, bukan siapa lebih Islam.

23. Saudara-saudari, UMNO sebagai parti tunjang Melayu-Islam tidak pernah dan tidak akan sesekali meminggirkan agenda memartabatkan Islam daripada dasar perjuangan kita. Ia sudah lama termateri dalam Perlembagaan UMNO sebagaimana peruntukan Fasal 3.3 yang menjelaskan bahawa asas dan tujuan UMNO adalah untuk menegak, mempertahankan dan mengembangkan Islam. Malah sejak 57 tahun kita merdeka, UMNO-lah yang telah banyak membangunkan Islam di negara ini dalam segenap sektor sama ada pendidikan agama, ekonomi dan kewangan Islam, pembangunan sosial, pentadbiran mahupun perundangan Syariah.

24. Pendekatan UMNO sejak dahulu, kini bahkan selamanya berpaksikan kepada orientasi atau manhaj Wasatiyyah. Yang dimaksudkan dengan Wasatiyyah bukanlah pendekatan yang bersifat ‘al-ghuluw wa ttatarruf fiddīn’ iaitu bersifat melampau dan keras dalam pendekatan beragama hingga terjerumus kepada perlakuan yang kaku dan beku, dan terbawa-bawa kepada perlakuan militan yang merosakkan agama. Wasatiyyah juga tidak bersifat ‘al-tasāhul fiddīn’ iaitu memperlonggar dan mempermudahkan agama hingga ke peringkat liberal yang menyesatkan.

25. Sebaliknya pendekatan wasatiyyah yang diamalkan UMNO adalah konsep kecemerlangan dan kesederhanaan umat yang berpaksikan Syariat Islam. Sememangnya maksud wasatiyyah di dalam Islam adalah berlegar sekitar konsep keadilan, kecemerlangan, pilihan terbaik dan perimbangan dalam segala perkara. Boleh dikatakan perkataan-perkataan ini adalah kata kunci dalam memahami konsep wasatiyyah dalam Islam. Pendekatan ini jelas diisyaratkan di dalam Al-Quran, surah Al-Baqarah, Ayat 143:

وَكَذَٲلِكَ جَعَلۡنَـٰكُمۡ أُمَّةً۬ وَسَطً۬ا لِّتَڪُونُواْ شُہَدَآءَ عَلَى ٱلنَّاسِ وَيَكُونَ ٱلرَّسُولُ عَلَيۡكُمۡ شَهِيدً۬ا‌ۗ

Yang bermaksud:

“Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang terpilih lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberikan keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah)".

26. Sebab itulah saudara-saudari sekalian, sebagai pendokong perjuangan suci ini, kita sebagai pejuang UMNO bermanhaj wasatiyyah harus tegas menentang gejala esktremisme dan militanisme yang ketika ini begitu cepat mempengaruhi anak-anak muda yang mahukan jalan pintas ke syurga. Kita juga tidak akan berkompromi dengan mereka yang cuba memesongkan makna wasatiyyah yang cukup sinonim dengan prinsip kesederhanaan Islam atau moderation dengan membawa ideologi songsang seperti liberalisme dan sekularisme.

27. Kita juga tidak boleh lagi berada dalam khutub khanah lama untuk mencari penyelesaian baru kepada kemelut yang dihadapi oleh umat Islam hari ini. Kita perlu meneroka ilmu dan kemahiran terkini untuk menangani cabaran semasa. Bagi saya, di sinilah letaknya peri penting tradisi keilmuan di dalam UMNO. Seluruh ahli UMNO perlu menambah khazanah ilmu di dada bagi mendepani cabaran masa kini.

28. Saya fikir budaya membuat laporan polis dan mengangkat sepanduk dalam menghadapi asakan terhadap akidah dan syariat Islam bukan lagi jawapan yang tuntas kepada kemelut yang dihadapi oleh ummah. Kita perlu memperbanyak perbincangan, penerbitan dan wacana mengenai kebebasan dan hak asasi manusia menurut persepektif Islam dan juga bagaimana Islam menghadapi tantangan sekularisme. Kita perlu menangani trend sekularisasi dalam agama ini dengan keteguhan akidah dan ketajaman minda, bukannya diselubungi oleh ketegaran emosi. Di samping itu, institusi-institusi Islam perlu diperkasa, penguatkuasaan undang-undang Islam perlu dipertegas dan kerjasama UMNO dengan NGO-NGO Islam perlu diperkukuh.

Bunga kesidang si bunga tanjung,

Tumbuh di laman mekar berkembang,

Agama dijulang Bangsa dijunjung,

Begitulah UMNO terus berjuang.

Pendidikan Sebagai Wahana Kemajuan dan Perpaduan Nasional

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

29. Kita juga menghadapi cabaran baru dalam bidang pendidikan. Peranan pendidikan sebagai wahana untuk bangsa Melayu meningkatkan taraf sosio ekonomi menjadi lebih penting. Jika dahulu fokus kita dalam bidang pendidikan ialah untuk meningkatkan kadar enrolmen dan membasmi buta huruf. Hari ini, sasaran dalam bidang pendidikan telah berganjak kepada melahirkan tenaga manusia yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi. Dalam dunia yang semakin kompetitif hari ini, memiliki kelayakan di peringkat menengah sahaja tidak memadai.

30. Sebagai parti yang memperjuangkan nasib Bumiputera, UMNO perlu memberi perhatian secara lebih serius kepada usaha meningkatkan kemahiran tenaga kerja Bumiputera. Data terkini menunjukkan 64.3% tenaga buruh Bumiputera mempunyai sijil SPM dan ke bawah. Hanya 27.8% berpendidikan tinggi. Keadaan ini tidak memberikan kelebihan kepada kaum Bumiputera untuk bersaing dalam pasaran kerja yang semakin kompetitif. Oleh itu, kita perlu berani berganjak untuk melihat pendidikan sebagai komponen penting dalam meningkatkan pencapaian Bumiputera. Di samping memberikan fokus kepada pencapaian di peringkat pengajian tinggi, kita juga perlu memberi tumpuan kepada bidang latihan teknikal dan vokasional untuk meningkatkan kemahiran dan daya saing pekerja Bumiputera.

31. Di samping itu, kita jangan lupa peranan pendidikan sebagai wahana perpaduan dan wahana untuk membina identiti nasional. Kerana itu saya sering menegaskan kepentingan kita memperkasakan sekolah kebangsaan sebagai sekolah perpaduan. Jika murid daripada semua kaum dapat belajar di bawah satu bumbung dengan meningkatkan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan, maka saya yakin perpaduan di negara kita akan menjadi lebih kukuh. Hari ini, polarisasi kaum masih wujud sebahagiannya kerana politik kebencian yang dimainkan oleh sesetengah pihak. Sensitiviti kaum tidak dipedulikan, institusi Raja dimomokkan, malah wujud cabar mencabar antara agama. Saya percaya, kita boleh mengembalikan kepercayaan antara kaum melalui satu sistem pendidikan kebangsaan yang memberi keutamaan kepada perpaduan nasional.

32. Matlamat ini boleh kita capai jika kita meletakkan asas-asas yang kukuh untuk perpaduan dalam sistem pendidikan kita. Ini termasuklah memperkasa Bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan dan menjadikan perpaduan nasional sebagai agenda utama semua aliran persekolahan di negara kita, termasuk di sekolah jenis kebangsaan, sekolah agama rakyat, sekolah swasta dan lain-lain. Jangan lagi ada kisah murid yang tidak tahu berbahasa Melayu, sedangkan bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan negara kita. Jangan lagi ada insiden kenyataan berbaur perkauman dikeluarkan oleh guru atau murid di sekolah. Jangan lagi ada perasaan prejudis kaum dan agama yang tebal dalam kalangan rakyat negara kita. Saya fikir, tempoh 57 tahun merdeka sudah cukup untuk kita hapuskan segala rasa prejudis dan syak wasangka antara kaum. Tinggal lagi, kita semua, baik parti politik, pertubuhan bukan kerajaan, gerakan pendidikan Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain, perlulah ada keikhlasan, ada kejujuran, dan ada kesungguhan untuk memupuk perpaduan. Jangan kita bercakap mengenai perpaduan, tetapi pada masa yang sama bertindak menebalkan tembok pemisahan kaum.

33. Pada hemat saya juga, dalam semangat untuk mengikis sikap prejudis sesama rakyat, adalah wajar kerajaan mengambil tindakan tegas dalam membendung kenyataan-kenyataan yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama daripada memercikkan api perbalahan. Adalah lebih baik kita mencegah daripada nantinya terpaksa merawat luka permusuhan yang parah. Kerana itu saya telah menyatakan pendirian saya mengenai Akta Hasutan. Bagi saya, Akta ini wajar dikekalkan dengan beberapa penambahbaikan. Peruntukan khusus perlu dimasukkan untuk melarang mana-mana pihak daripada mempersoalkan jaminan perlembagaan mengenai kedudukan agama Islam sebagai Agama Persekutuan. Akta ini juga perlu menghalang mana-mana pihak daripada mempersoalkan hak penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan agama masing-masing. Begitu juga dengan kedudukan tanah rezab Melayu dan Regimen Askar Melayu DiRaja yang merupakan sebahagian daripada wasiat Raja-Raja Melayu perlu dilindungi daripada perbuatan menghasut. Apa yang penting ialah kita perlu melihat Akta Hasutan bukan sebagai akta yang hanya melindungi kepentingan orang Melayu, tetapi akta yang memelihara perpaduan dan keharmonian nasional.



PERSEPSI ORANG MUDA TERHADAP UMNO

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

34. Hari ini, parti kita sedang menyongsong perubahan. Sebagai parti yang memperjuangkan kemerdekaan, UMNO telah banyak berjasa kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia.Tiada siapa yang boleh menafikan sumbangan UMNO kepada agama, bangsa dan tanah air. Tetapi, survival parti kita pada masa hadapan tidak boleh bergantung semata-mata kepada rekod sumbangan kita pada masa lalu. Rakyat, khususnya orang Melayu, ingin melihat apa sumbangan UMNO kepada mereka dalam mengharungi cabaran masa hadapan yang lebih getir. Untuk itu, kita perlu mempersiapkan UMNO untuk menjadi parti masa hadapan, parti harapan umat Melayu, parti idaman generasi muda Melayu dan parti yang sesuai dengan dinamika politik nasional.

35. Terus terang saya katakan saya agak bimbang melihat perkembangan hari ini. UMNO masih bertahan di kampung-kampung, tetapi semakin hilang sokongan masyarakat bandar yang lebih terbuka, lebih terdedah kepada pelbagai maklumat dan lebih sofistikated dari segi pemikiran, nilai dan cara hidup. Dalam pilihanraya umum yang lalu, UMNO kalah di kebanyakan kawasan bandar majoriti Melayu. Kita kalah di Shah Alam, Ampang, Lembah Pantai, Bangi, Kuantan, Kuala Terengganu, Kota Bharu dan banyak kawasan lain yang suatu ketika dahulu merupakan kubu kuat UMNO. Kita juga kalah teruk di Selangor yang merupakan negeri termaju di Malaysia.

36. Dalam rangka menyediakan ucapan saya pada malam ini, saya mendapatkan pandangan pemuda dan pemudi Melayu mengenai UMNO. Mereka terdiri daripada graduan muda, golongan profesional, aktivis masyarakat, usahawan dan ahli akademik. Bagi saya, pandangan orang muda terhadap UMNO adalah penting dalam menentukan survival UMNO. Orang muda merupakan pewaris perjuangan parti kita, dan pandangan mereka tentang UMNO akan menentukan jatuh bangunnya UMNO pada masa hadapan.

37. Saya bertanya kepada mereka apa persepsi mereka terhadap UMNO? Apa aspirasi mereka? Apa harapan mereka? Apa kebimbangan mereka? Apa perkara penting yang hendak disampaikan kepada UMNO? Saya minta supaya mereka bercakap secara jujur, ikhlas dan terbuka. Saya ingin tahu apa yang perlu UMNO lakukan supaya anak-anak muda di luar sana ghairah untuk berada bersama-sama kita dalam saf perjuangan UMNO.

38. Izinkan saya berkongsi pandangan mereka dengan saudara dan saudari pada malam ini. Pertama, mereka kata UMNO sedang mengalami trust deficit atau defisit kepercayaan; kedua, UMNO ini parti feudal; ketiga, dalam UMNO ada budaya play safe dan budaya pak turut; keempat, UMNO dikuasai oleh warlord; dan kelima, UMNO diancam oleh budaya ugut dan budaya tabur. Ini kata mereka.

39. Mereka menjelaskan satu persatu kepada saya apa yang mereka maksudkan dengan kelima-lima perkara ini. Mengenai defisit kepercayaan, mereka beritahu saya mereka sebenarnya sokong perjuangan UMNO. Mereka sayang kepada UMNO. Bagi mereka tidak ada parti lain yang boleh diharapkan untuk mempertahankan agama, bangsa dan tanah air melainkan UMNO. Cumanya, mereka ingin melihat pemimpin UMNO di setiap peringkat lebih berintegriti, lebih amanah, lebih jujur, lebih telus, tidak terpalit dengan gejala rasuah, tidak menonjolkan kemewahan yang berlebihan, tidak bergaduh sesama sendiri dan sebagainya. Jika ini boleh dilakukan, maka orang muda akan percaya semula kepada UMNO.

40. Mereka juga tidak mahu UMNO terlalu terikat dengan hirerki hingga mewujudkan gambaran parti kita menjadi parti feudal sehingga orang bawah tidak boleh bersuara selagi orang atas tidak bersuara. Sehinggakan hendak beri pandangan pun kena tengok apa orang atas kata. Kalau orang atas kata A, maka yang di bawah mesti kata A. Kalau orang atas kata B, yang di bawah pun mesti kata B.

41. Menurut mereka lagi, orang muda dalam UMNO mempunyai idea-idea yang bernas tetapi merasakan lebih baik diam daripada bercanggah pandangan dengan orang atas. Ada yang kata kalau bercakap lebih sedikit nanti dianggap hendak memandai. Ada pula yang beri nasihat orang muda mesti berhati-hati dalam politik. Jangan terlalu menonjol. Jangan terlalu laju. Nanti kena sekat, nanti kena cantas, kena kerat, kena sabo, kena cah keting, kena terajang dan lain-lain lagi. Jadi, lama-kelamaan mereka fikir lebih baik diam daripada bercakap, atau lebih selamat jadi pak turut saja. Seolahnya ada satu budaya play safe, atau budaya pilih jalan selamat dalam UMNO.

42. Akibatnya, dalam UMNO, lebih ramai orang memilih untuk berdiam diri daripada bercakap. Ini mewujudkan persepsi bahawa parti kita sedang dilanda budaya kelesuan. Akhirnya, orang Melayu dan rakyat tertanya-tanya di mana suara keramat UMNO? Di mana taring Pemuda? Di mana ketegasan Wanita? Di mana kelantangan Puteri? Kesannya, kita seolahnya ketandusan pemimpin untuk menjuarai kepentingan orang Melayu. Sehinggakan timbul cakap-cakap di luar sana yang mengatakan NGO Melayu lebih lantang daripada UMNO dalam memperjuangkan hak dan kepentingan Melayu.

43. Bagi saya, kita perlu membuktikan bahawa UMNO bukannya sebuah parti yang lesu. UMNO bukannya parti yang mempunyai budaya pak turut, budaya nyanyi, budaya puji, budaya lambung, budaya ampu sana ampu sini. UMNO adalah parti yang berwibawa, parti yang ada idealisme, parti yang ada masa depan, parti pilihan anak-anak muda. Ingatlah, orang muda hari ini tidak suka jadi pak turut. Mereka naik geli dengan budaya ampu. Mereka benci budaya sabo. Mereka tolak budaya cah keting. Jika kita boleh buang semua budaya negatif ini jauh-jauh, saya yakin UMNO akan menjadi parti pilihan orang muda.

44. Satu lagi ialah budaya warlord. Ramai yang beritahu saya dalam UMNO ada banyak warlord. Mereka ini amat berkuasa kerana mempunyai ramai pengikut setia yang sanggup melakukan apa sahaja untuk mereka. Dengan sokongan pengikut, warlord akan mengugut pemimpin atasan parti untuk berikan apa sahaja yang mereka minta. Jika tak diberi, mereka akan sabo parti dalam pilihan raya.

45. Kita perlu buktikan bahawa warlord bukan sebahagian daripada budaya UMNO. Kita menolak sikap sekalangan yang cuba untuk kekal berkuasa dengan menabur kemewahan kepada pengikut. Sehinggakan ada yang kata tak payah buat kerja dalam UMNO. Yang perlu dibuat ialah kumpul kekayaan untuk tabur kemewahan kepada pengikut supaya mereka sentiasa setia. Keadaan ini menyebabkan kos politik menjadi semakin mahal. Yang tiada wang tidak boleh masuk politik. Walaupun ada bakat, ada kelulusan, ada kebolehan, mereka tak mampu untuk bergerak aktif dalam parti jika tiada wang. Saya bimbang, akhirnya nanti yang naik dalam hirerki parti adalah orang yang ada wang, bukan orang yang ada kebolehan. Orang kata money is everything in politics. No money, no talk. Seolahnya, wang adalah kuasa, wang adalah segala-galanya.

46. Saya kadang kala terfikir adakah sudah tidak ada keikhlasan dan kejujuran dalam perjuangan? Adakah sudah tidak ada nilai pengorbanan dalam politik? Adakah pengikut menilai pemimpin semata-mata berdasarkan kemampuan mereka untuk tabur kemewahan? Adakah pemimpin mengukur kesetiaan pengikut berdasarkan harga yang mereka bayar? Bagi saya, budaya ugut dan tabur ini amat bahaya kepada parti kita. Budaya ini akan menyebabkan politik wang berleluasa di dalam parti. Pengikut yang terima wang akan suka. Mereka puji pemimpin yang boleh beri sesuatu kepada mereka. Tetapi jangan kita lupa. Rakyat di luar sana tak suka politik wang. Mereka curiga bila lihat orang politik hidup mewah. Tak setimpal dengan pendapatan. Apatah lagi jika ada yang suka menunjuk-nunjuk kemewahan. Rakyat akan mula menuduh bermacam perkara yang tidak baik terhadap parti kita. Inilah punca masalah trust deficit atau defisit kepercayaan terhadap UMNO. Jadi, ingatlah. Apa guna kita naik dalam hirerki parti, tetapi rakyat menolak parti kita kerana mereka tidak suka dengan imej dan sikap kita.

47. Apa yang saya sebutkan ini adalah persepsi dan kritikan orang muda terhadap UMNO. Barangkali ada yang betul, ada juga yang kurang tepat. Tetapi mengambil yang baik daripada kritikan ini adalah lebih afdal. Ini membuktikan bahawa UMNO adalah parti yang terbuka dan kita sentiasa bermuhasabah. Sepertimana firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Zumar Ayat 18:

ٱلَّذِينَ يَسۡتَمِعُونَ ٱلۡقَوۡلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحۡسَنَهُ ۥۤ‌ۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ ٱلَّذِينَ هَدَٮٰهُمُ ٱللَّهُ‌ۖ وَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمۡ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَـٰبِ

Yang bermaksud:

Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum agama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayat petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.

HARAPAN ORANG MUDA TERHADAP UMNO

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

48. Sebenarnya, orang muda dan umat Melayu seluruhnya menaruh harapan yang tinggi kepada UMNO. Mereka tidak menolak perjuangan UMNO. Mereka mahu supaya pemimpin UMNO tegas memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam, tetapi pada masa yang sama tidak dilihat terlalu ekstrem perkauman atau terlalu liberal. Mereka percaya bahawa dalam sebuah masyarakat pelbagai kaum, UMNO perlu bersikap adil terhadap kaum-kaum lain, tetapi tidaklah sampai menggadaikan asas dan prinsip perjuangan UMNO. Pendek kata, orang muda mahu UMNO terus menjadi parti yang sederhana, parti yang berjaya mengekalkan keseimbangan dalam hubungan kaum dan agama. Apa yang penting ialah pemimpin UMNO mesti dilihat lebih ikhlas, lebih jujur, lebih telus, lebih adil dan lebih berwibawa dalam menggalas perjuangan parti.

49. Saya fikir orang muda mempunyai pemikiran yang agak kritis. Apabila ada perkara yang dilihat tidak cocok dengan idealisme mereka, maka mereka akan mengkritik.Tetapi itulah lumrah orang muda. Itulah juga kekuatan orang muda. Mereka yakin dengan idealisme mereka dan berani memperkatakan apa yang mereka fikir benar. Mereka ada courage – iaitu keberanian - dan ada conviction - yakni keyakinan yang teguh dengan apa yang mereka fikirkan benar. Kedua-dua sifat inilah yang menjadikan orang muda ada kewibawaan, ada ketokohan, ada keupayaan untuk memimpin.

50. Jadi, dalam proses untuk melengkapkan perubahan dan peremajaan UMNO, untuk menjadikan UMNO sebagai parti harapan orang muda, parti idaman, parti masa depan, saya mencadangkan 7 langkah pembaruan yang perlu kita laksanakan segera:

Pertama, UMNO perlu melahirkan pemimpin muda yang berwibawa dan menjadi peneraju pemikiran (opinion leader) di dalam masyarakat. Garap idealisme orang muda. Galakkan budaya berfikir dan bersuara dalam UMNO. Pemimpin muda yang ada idealisme, ada wibawa dan berani bersuara perlu diketengahkan untuk menjuarai isu-isu rakyat, menjadi jurucakap parti, bukan diketepikan oleh parti;

Kedua, UMNO perlu melakukan pencarian bakat. Kita perlu menyediakan platform untuk orang muda daripada golongan profesional, intelektual, agamawan, aktivis sosial dan lain-lain yang diterima oleh masyarakat untuk bergerak aktif dalam UMNO. Platform ini perlu diwujudkan di peringkat pusat, negeri dan bahagian. Contohnya, mereka yang berbakat boleh dilantik ke unit-unit tertentu di dalam parti dan diberi peranan untuk menyumbang kepada parti. Kita juga perlu ketengahkan mereka yang berbakat dan berkaliber untuk menjadi calon dalam pilihanraya. Mereka ini tidak semestinya berjawatan tinggi dalam parti. Pengalaman kita dalam pilihanraya kecil Pengkalan Kubor dan Kuala Besut menunjukkan calon yang tidak berjawatan tinggi di peringkat bahagian boleh menang kerana mereka diterima oleh rakyat;

Ketiga, wujudkan modul pengkaderan dan pentarbiyahan yang tersusun untuk melahirkan lebih ramai pemimpin muda UMNO yang bijak, petah dan tangkas berhujjah serta teguh daya rohaninya. Kita perlu membentuk UMNO dengan kalangan ahlinya yang punya kekentalan semangat serta menghayati prinsip dan matlamat perjuangan parti yang sebenar. Beri mereka kekuatan untuk mengolah perjuangan UMNO yang lebih segar dalam konteks cabaran semasa. Jadikan mereka kumpulan pemikir muda di dalam UMNO.

Keempat, semarakkan semangat kesukarelawanan melalui program-program bersama rakyat. Pecahkan tembok pemisah antara parti dan rakyat menerusi kerja-kerja sukarela. Dekati rakyat, dengar rintihan mereka, fahami masalah mereka. Tanya diri kita, berapa ramai daripada kita yang sentiasa mendekati rakyat dan disayangi oleh rakyat. Manfaatkan sepenuhnya teknologi maklumat, khususnya media sosial, untuk sentiasa mendekati dan memenangi hati golongan muda;

Kelima, wujudkan institusi naziran di dalam UMNO untuk memantau setiap Bahagian dan Cawangan. Satu Jabatan Naziran perlu diwujudkan di dalam UMNO untuk pastikan semua pemimpin di peringkat Majlis Tertinggi, sayap, negeri, bahagian dan akar umbi buat kerja. Bahagian ini bertanggungjawab untuk melaporkan kepada Jawatankuasa Pengurusan UMNO dan Majlis Tertinggi mengenai keberkesanan program-program yang dilaksanakan oleh parti;

Keenam, gerakkan revolusi mental yang baru dalam UMNO dan bangsa Melayu seperti yang pernah digarap oleh Allahyarham Datuk Senu Abdul Rahman. Mungkin kita boleh namakan Revolusi Mental 2.0. Cerna idea, pemikiran dan kaedah baru untuk menangani cabaran perubahan zaman dalam bidang ekonomi, politik, agama, hubungan kaum, teknologi dan lain-lain. Sepertimana yang diungkapkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak dalam pendahuluan buku Revolusi Mental, antara sebab kemunduran bangsa Melayu ialah pemikiran yang terkebelakang yang disebabkan oleh kekurangan ilmu dan cara hidup yang lama. Justeru, UMNO perlu berani menerajui perubahan pemikiran, budaya dan sikap bangsa Melayu untuk menempa kemajuan. Pada masa yang sama, hadapi dengan bijaksana kemunculan pelbagai tantangan yang cuba menggoyahkan prinsip perjuangan UMNO untuk bangsa Melayu sebagai bangsa teras di Malaysia. Yang penting, jadikan prinsip perjuangan UMNO relevan sepanjang masa; dan

Ketujuh, bangkitkan gerakan kesedaran nilai undi dalam kalangan masyarakat Melayu. Gerakan pendaftaran pengundi baru mesti dibuat dengan lebih bersungguh-sungguh. Jangan buat sambil lewa. Jangan buat sekadar melepas batuk di tangga kata orang. Jangan sampai kegagalan kita menambah bilangan pengundi Melayu menyebabkan kaum Melayu yang merupakan kaum majoriti menjadi golongan minoriti dalam pilihanraya. Sasaran gerakan ini wajib dimulai dengan memastikan semua ahli UMNO yang layak mengundi didaftarkan sebagai pengundi.

MEREKAYASA PERUBAHAN

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

51. Bagi saya, UMNO mesti melakukan perubahan yang drastik jika ingin kekal relevan dengan peredaran masa. Pendekatan dan gerak kerja UMNO hari ini sedang dipintas oleh gerakan yang lebih canggih dan sesuai dengan selera masa kini. Lebih-lebih lagi, jika UMNO ingin menjadi parti masa hadapan, maka citra UMNO mestilah cocok dengan jiwa anak-anak muda Melayu, golongan profesional Melayu dan tidak lupa seluruh generasi muda yang berada di desa mahupun di kota. Mereka adalah pewaris perjuangan parti kita.

52. Untuk itu, UMNO memerlukan suntikan tenaga muda sama ada di kalangan wanita dan lelaki, yang berkebolehan dan berkelayakan untuk memimpin parti. Orang lama mesti beri laluan kepada orang muda. Lebih-lebih lagi jika kita menjadi liabiliti kepada parti, kita harus segera berundur secara terhormat. Kita telah lama bercakap mengenai peremajaan UMNO, tetapi tanyalah diri kita apakah proses ini benar-benar berlaku di dalam parti.

53. Kita tidak ada banyak masa untuk menunggu perubahan berlaku. Kita perlu merekayasa perubahan. If change does not happen, we have to engineer the change. Justeru pada hemat saya, wajar untuk kita pertimbangkan pemilihan parti dilaksanakan mengikut kehendak Perlembagaan UMNO dan tidak ditangguhkan selepas pilihanraya umum seperti yang pernah dibuat sebelum ini. Saya juga mencadangkan pindaan Perlembagaan UMNO diadakan tahun hadapan dengan memperuntukkan pindaan yang sesuai untuk membolehkan barisan pelapis muda menyumbang peranan dan khidmat bakti yang lebih besar kepada UMNO. Saya percaya UMNO tidak akan berpecah sekiranya pemilihan diadakan. Pemimpin UMNO tentunya cukup matang untuk menghadapinya. Saya sendiri akan sentiasa berdiri bersama-sama YAB Presiden untuk merealisasikan perubahan dan peremajaan parti kita.

54. Ini adalah seruan terakhir untuk UMNO. Do or be dead! Jangan letak kepentingan diri melebihi kepentingan parti. Saya ingin mengingatkan diri saya sendiri dan pemimpin UMNO di semua peringkat, jika kita menjadi batu penghalang kepada peremajaan parti, maka kita mesti berundur secara terhormat. Parti kita mesti kekal relevan supaya bangsa Melayu terus terbela. Diri kita tidak penting. Yang penting ialah bangsa Melayu dan UMNO. Ingatlah, Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri mengubah apa yang ada dalam dirinya. Sepertimana firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Ra’du Ayat 11:

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَاأَنفُسِہِمۡ‌ۗ

55. Jangan kita lupa akan seruan YAB Presiden. Di Dewan Merdeka ini jugalah semasa merasmikan Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO tahun 2008, Presiden dengan jelas menuntut agar kita berubah untuk kepentingan rakyat. Saya petik kata-kata Presiden. “Berubah dari sikap-sikap mazmumah kepada sikap-sikap mahmudah. Berubah daripada kurang mesra kepada mesra, daripada mementingkan diri kepada mementingkan rakyat, daripada malas kepada rajin kerja, berubah daripada kurang berkhidmat kepada suka berkhidmat. Berubahlah, jika tidak, kita rebah”. Soalnya, apakah kita mengambil serius gesaan YAB Presiden ini? Atau, adakah ia ibarat masuk telinga kanan keluar telinga kiri?

56. Saudara-saudari, kita mesti memperbetulkan segera segala kesilapan kita dan melakukan perubahan demi kelangsungan agama dan bangsa kita. Amatilah betul-betul peringatan Allah s.w.t. sebagaimana firmanNya dalam surah Al-An’am Ayat 6:

أَلَمْ يَرَوْا كَمْ أَهْلَكْنَا مِنْ قَبْلِهِمْ مِنْ قَرْنٍ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ مَا لَمْ نُمَكِّنْ لَكُمْ وَأَرْسَلْنَا السَّمَاءَ عَلَيْهِمْ مِدْرَارًا وَجَعَلْنَا الْأَنْهَارَ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهِمْ فَأَهْلَكْنَاهُمْ بِذُنُوبِهِمْ وَأَنْشَأْنَا مِنْ بَعْدِهِمْ قَرْنًا آخَرِينَ

Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (umat-umat itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kepada kamu dan Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka dan Kami ciptakan sesudah mereka, umat yang lain?

PENUTUP

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

57. Zaman untuk dipuja dan dipuji dalam kelompok sendiri sudah berlalu. Ini adalah zaman untuk kita bersama-sama masyarakat, merasai keresahan mereka, berusaha mencari penyelesaian kepada permasalahan yang mereka alami. Ini zaman untuk kita meraih keyakinan rakyat, zaman untuk kita memimpin bangsa mengharungi cabaran yang semakin hebat. Hormat rakyat bukan sesuatu yang boleh dipaksa. Berusaha, berkhidmatlah kepada rakyat bagi mendapatkan hormat mereka kepada kita. UMNO adalah parti massa yang lahir daripada kebangkitan rakyat yang mempunyai matlamat dan arah tuju yang jelas. UMNO terbina demi masa depan umat Melayu dan negara. UMNO bukan parti yang lahir daripada rasa benci, tetapi penuh dengan rasa kasih dan sayang demi kesejahteraan rakyat. UMNO adalah parti yang sarat dengan harapan untuk masa depan bangsa dan negara. Binalah keyakinan, tunjukkanlah keazaman, hamparkanlah harapan kepada bangsa Melayu dan rakyat Malaysia seluruhnya bahawa parti ini adalah pilihan terbaik buat mereka.

59. Kepada umat Melayu dan Bumiputera yang sedang menekuni ucapan saya ini samada yang berada di Semenanjung, Sabah dan Sarawak bersatulah kita atas nama kewatanan dan kecintaan kepada negara. Kita sudah tiada masa untuk bertelingkah atau berbenci antara satu sama lain. Kepada seluruh rakyat tanpa batas kaum dan fahaman, marilah kita menolak gerakan meracuni dan membenci sesama kita. Jangan kita biarkan negara ini runtuh hanya kerana umpan-umpan yang dilontarkan kepada kita oleh pihak luar.

60. Buat Wanita, bangunlah dengan istiqamah perjuangan. Hulurkan salam jemputan buat wanita Melayu dari segenap ceruk rantau dan latar belakang--guru wanita, ustazah, peguam, doktor, pegawai profesional hatta NGO wanita dan ibu-ibu tunggal-- marilah bersama-sama sebaris dengan kita dalam perjuangan ini. Buat Pemuda, bangkitlah dengan bara perjuangan. Beranikan diri berada di mana sahaja bila panggilan untuk berkorban masa dan tenaga. Bawalah golongan muda yang dahagakan kebersamaan dan interaksi. Berikan mereka harapan. Buat Puteri, bangkitlah dengan semangat baru yang segar membawa pemudi dan wirawati negara meyakini perjuangan kita. Tanamkan benih kasih kepada mereka, nescaya mekarlah nanti dengan rimbunan pendokong.

61. Harapan saya kepada seluruh bangsa Melayu, renunglah nasib masa depan bangsa kita. Hargai sejarah perjuangan bangsa di masa lalu, perjuangan yang meletakkan kita di sini hari ini. Bangkitlah bersama-sama UMNO untuk merencana masa depan bangsa kita agar tidak hilang ditelan zaman, agar terus tegar mendepani cabaran. Saya percaya, dengan kekuatan tekad dan keazaman kita semua, dengan limpahan rahmat dan inayah Allah s.w.t, UMNO akan beroleh kekuatan dan keyakinan untuk melakukan perubahan dan pembaruan, dan seterusnya mara membela agama, bangsa dan negara kita.

Gagahnya pahlawan dahulukala,

Menjadi tauladan sepanjang zaman,

Kalian tinggalkan warisan bangsa,

Untuk kita teruskan perjuangan.

Hidup Melayu! Hidup Melayu! Hidup Melayu!

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya dengan sukacitanya merasmikan Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2014.