Halaman

Ahad, 27 Februari 2011

PERHIMPUNAN MELAYU PERKASA PERAK




PASIR SALAK 26 Feb. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat patut bersyukur dilahirkan sebagai orang Melayu yang tentunya beragama Islam. Beliau berkata, Melayu adalah bangsa yang unik di dunia kerana mengikut Perlembagaan, orang Melayu mesti bertutur dalam bahasa Melayu, mengamalkan adab Melayu dan beragama Islam.

"Sekiranya Nik Aziz dilahirkan sebagai orang Vietnam atau Laos, belum tentu Menteri Besar Kelantan itu menjadi umat Islam. "Oleh kerana ibu bapa beliau orang Melayu, maka Nik Aziz pun dilahirkan sebagai orang Islam dan berpeluang belajar agama Islam," katanya. Beliau berucap di hadapan lebih 15,000 orang yang hadir pada Perhimpunan Melayu Perkasa Perak anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di Pulau Datuk Sagor di sini hari ini.

Dr. Mahathir juga berkata, Nik Abdul Aziz sanggup menidakkan hak Melayu dan mengatakan nasionalis seperti beliau tidak Islam hanya kerana inginkan sokongan bukan Islam. Tegas beliau, tiada siapa pun yang berani mengatakan mereka yang berjuang untuk bangsa Melayu Islam adalah tidak Islam. "Apabila berkempen, beliau kata nasionalis tidak Islam tetapi hanya mereka yang sokong Pas adalah Islam. "Kalau begitu, orang Islam di Malaysia ini berkurangan sebab lebih ramai tidak menjadi ahli Pas daripada menjadi ahli parti itu," ujarnya.

Bekas Perdana Menteri itu sebelum ini mendakwa Nik Abdul Aziz mengkafirkan beliau kerana Menteri Besar Kelantan itu mendakwa 'sokong Pas ertinya sokong Islam'. Dr. Mahathir menambah, walaupun orang Melayu dianggap perkauman kerana mempertahankan hak mereka yang tinggal sedikit, ia tidak merubah hakikat bahawa mereka adalah orang Melayu. "Perjuangan kita adalah perjuangan mulia untuk mendapatkan tempat kita di negara kita dan sekarang, kita tidak boleh sebut Melayu di negara kita sendiri.

"Namun, hakikatnya, kita masih orang Melayu yang mempunyai tanggungjawab untuk menyelamatkan kepentingan kita supaya tidak dirampas daripada kita," katanya. Beliau juga meminta orang Melayu supaya berhati-hati membuat pilihan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 agar tidak memilih mereka yang tamak dan mementingkan diri sendiri sebagai pemimpin. Pada sidang akhbar, Dr. Mahathir menganggap orang Melayu masih keliru untuk menyatakan sokongan mereka walaupun banyak yang sudah dilakukan oleh kerajaan sedia ada dalam membantu mereka.

Menurut beliau, berbanding di negara lain, kerajaan Malaysia menyediakan peluang pekerjaan dan memberikan biasiswa pendidikan kepada rakyat terutama orang Melayu. "Orang Melayu keliru dan tidak tahu hendak pergi ke mana. Kerajaan tolong pun mereka masih keliru. "Ada negara yang kerajaannya langsung tidak tolong rakyat. Kerajaan kita wujudkan peluang kerja sampai ada banyak pekerjaan tetapi orang tidak mahu kerja," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


Pihak admin yop-pasirsalak.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen di sini.

Semua pelawat dianggap setuju dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami dan kami tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen yang diutarakan.