Halaman

Jumaat, 27 Januari 2012

TANGISAN PASIR SALAK


MENJEJAKI semula sejarah Pasir Salak, di Perak terutama pembunuhan Residen Inggeris pada tahun 1871, ada sesuatu yang perlu digali semula oleh generasi kini sebagai panduan berguna dan rujukan masa hadapan.

Untuk itu, satu usaha menerbitkan sebuah dokumentari yang mengisahkan sejarah terkenal ini mula dibuat sejak awal tahun lalu.

Hasilnya, dokumentari Tangisan Pasir Salak bukan sahaja bakal menjadi hadiah istimewa buat orang Melayu, malah turut membuka lembaran baru kepada industri dokumentari di negara ini.

Menurut Pengarah Urusan syarikat produksi Kay Promotions & Productions House, Jamal Lulkhir Jaludin, tujuan utama penerbitan dokumentari itu adalah kerana rasa cintanya terhadap perjuangan wira Melayu terdahulu yang ingin memerdekakan tanah Melayu.

"Dokumentari ini bakal memberi informasi mengenai perjuangan Datuk Maharaja Lela, serta pahlawan-pahlawan Melayu yang lain dalam usaha menentang British di Pasir Salak pada zaman itu.

"Kita juga akan memasukkan beberapa babak lakonan semula dalam plot dokumentari ini agar memberi lebih kesan kepada penonton," katanya ketika ditemui di Petaling Jaya , Selangor baru-baru ini.

Mengambil masa selama setahun untuk mengkaji semula sejarah Pasir Salak, menurut Jamal Lulkhir, pelbagai cabaran terpaksa ditempuhi bagi mendapatkan maklumat sebenar daripada waris pejuang-pejuang terlibat.

"Bukan mudah sebenarnya untuk menjejaki semula waris-waris pejuang ini memandangkan kebanyakan mereka tinggal secara berselerak di seluruh negara.

"Kesukaran juga timbul apabila kebanyakan pejuang kemerdekaan ini terpaksa menukar nama selepas melarikan diri akibat dijejaki pihak British. Itu lebih menyukarkan pihak kami untuk mengenalpasti kedudukan waris mereka," katanya.

Menjalankan penggambaran di beberapa kawasan sekitar negeri Perak, bantuan turut diberikan pihak kerajaan negeri terhadap usaha menerbitkan dokumentari itu.

Selain itu dokumentari yang bakal siap sepenuhnya pada April tahun ini juga mendapat sokongan penuh pihak Finas.

"Penghargaan terima kasih saya adalah kepada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Ketua Pengarah Finas, Mohd. Naquib Razak serta kakitangan Finas yang banyak membantu kami menyiapkan dokumentari ini.

"Selain itu, saya amat bersyukur dengan kerjasama yang diberikan pihak Kerajaan Negeri Perak sendiri dalam memudahkan urusan penggambaran kami di negeri itu, dimana penasihat serta penaung dokumentari ini juga merupakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak , iaitu Datuk Zainol Fadzi Paharudin," katanya.

Dalam menguatkan lagi getaran emosi dalam dokumentari ini kelak, sebuah lagu yang berjudul Tangisan Pasir Salak turut dihasilkan bagi memperkuatkan jalan cerita yang digarap.

Keistimewaan lagu yang digubah oleh Mohd Rafi Shafie itu juga dilihat kepada penyanyinya yang merupakan sensasi You Tube terbaru, Ajek Hassan (gambar).

Menurut Ajek, ini merupakan kali pertama dia diberi kepercayaan untuk menyanyikan lagu tema sebuah dokumentari.

"Perasaan berdebar itu memang ada kerana ini merupakan kali pertama saya diberikan kepercayaan sebesar ini.

"Bagaimanapun saya tetap yakin untuk melakukannya dengan baik, untuk menyampaikan lagu tema Tangisan Pasir Salak ini," kata pemilik nama penuh, Mohd. Mahathir Hassan ini.

- UTUSAN MALAYSIA

YPS ~ TAHNIAH buat Jamal Lukhir. Beliau pernah hubungi YPS tentang penggambaran ni.


Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


Pihak admin yop-pasirsalak.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen di sini.

Semua pelawat dianggap setuju dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami dan kami tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen yang diutarakan.