Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria menafikan tuduhan PAS bahawa beliau mencampuri urusan politik dan pada masa sama menjawab tuduhan Menteri Besar Kelantan.
Beliau berkata tuduhan Mursyid AM PAS tok guru Nik Aziz Nik Mat bahawa beliau campur politik adalah tidak benar.
Katanya beliau selama ini tidak mencampuri mana-mana parti poliltik.
"Bahkan saya tidak pernah pun mendaftar diri sebagai ahli mana-mana parti politik,"katanya ketika diminta mengulas kenyataan Nik Aziz yang mahu Mufti Perak tidak campurtangan dalam hal politik.
Dalam pertemuan di pejabatnya, Harussani mendedahkan sejarah penglibatan keluarganya dalam politik serta tindakan PAS memulau abang iparnya kerana fahaman politik kepartian.
"Bahkan daripada awal sejarahnya bapa saya ahli UMNO. Tapi apabila tertubuh PAS dan kemudian ia keluar UMNO, semua ahli keluarga saya masuk PAS, tapi PAS waktu itu lebih bertujuan kepada dakwah.
"Berdakwah kepada orang supaya kita menjalankan hukum Islam di negara ini dan dalam ceramah kita bangkit tentang masalah hukum dan sebagainya dan masalah yang wajib kita lakukan," katanya.
Walaubagaimanapun Harussani menjelaskan PAS yang ada hari ini sudah jauh menyimpang daripada perjuangan menegakkan Islam.
"Kita melihat perkara itu tidak berlaku lagi bahkan saya melihat PAS sudah menuju seolah –olah menjadi `tekong' kepada perpecahan umat Islam dan orang Melayu.
"Banyak contoh boleh diberi umpamanya pada akhir tahun 1970 an berlaku di Kedah. Orang- orang Islam iaitu orang UMNO menyembelih ayam sepikul lebih tetapi(terpaksa) dibuang ke dalam sungai kononnya haram (tidak halal) dimakan.
"Jadi saya katakan sedangkan yahudi nasarah dibenarkan Tuhan halal sembelihannya bagaimana orang Islam yang sembahyang lima kali sehari, jadi imam lagi tapi sembelihnya. . . haram.
"Yang kedua yang paling menyayat hati saya ialah abang ipar saya seorang ahli PAS dan dia seorang peniaga kedai runcit di tempatnya di Kedah..yang datang membeli ramai orang PAS dan orang UMNO pun ada.
"Kebetulan satu ketika seorang ketua UMNO di kampung itu meninggal dunia,.jadi abang ipar saya datang menziarah dan kerana itu saja dia dipecat daripada parti dan dipecat dari ahli khairat kematian," katanya.
Kerana insiden tadi Harussani menjelaskan abang iparnya diboikot sehingga tutup kedai dan kembali memotong getah semula.
"Sampai begitu mereka buat dia, jadi dia datang jumpa saya . . .tapi saya kata sabarlah orang begini tak boleh buat apa.
"Banyak lagi yang saya bangkitkan umpamanya akhir-akhir ini kita lihat ceramah-ceramah yang dibuat oleh pemimpin PAS merupakan kutukan, cacian, laknat sedangkan itu adalah larangan Allah . . . jadi itu bukan dakwah lagi.
"Kalau seorang ustaz, berceramah mengutuk, memaki hamun dan sebagainya maka orang menganggap itu halal..kutukan umpamanya kita lihat saja apabila Majlis Fatwa Kebangsaan mengatakan bahawa Bersih 3.0 itu haram kerana telah bertukar corak kepada keganasan sebagainya.
"Dia orang kata apa…mufti-mufti tidak lebih daripada anjing, jadi bolehkah kita menggelar orang anjing? Ini satu perkara yang sangat bertentangan sama sekali dengan hukum syarak. "
"Jadi kalau itu yang dibawa sekarang maka dia bukan lagi membawa kepada Islam..dia membawa kepada syaitan..parti syaitan kalau kita maki hamum dan sebagainya. Parti syaitan kerana syaitan itu nak membawa kepada perpecahan" ujarnya.
Menurut Harussani lagi contoh lain adalah dua imam sepertimana di Terengganu.
"Bila kita lihat berlaku di Terengganu dan beberapa tempat (sembahyang) dua imam…kita di masjid hanya satu imam, satu kariah satu imam. Bab sembahyang . … sepatutnya kenapa nak kita pecah-pecahkan dan ini dihalalkan oleh pihak pemimpin PAS."
"Saya juga rasa pelik keadaan-keadaan seperti ini sehingga berpecah . . . Orang sekampung pun berpecah, kenduri pun berpecah jadi ini buruk sungguh bagi Islam
"Bukan buruk orang itu saja bahkan kita melihat seolah-olah syariat Islam itu telalu buruk..jadi itu yang dinilai orang-orang kafir sekarang.
"Kerana itu Islam tidak pernah mendapat tempat pada orang kafir di Malaysia kerana melihat keadaan orang Melayu yang beragama Islam . . . sudahlah hidupnya susah dalam negeri yang kaya ..asyik berpolitik di kedai-kedai kopi sehingga langsung tak buat kerja . . . berkelahi sesama sendiri," katanya.
Katanya perkara seperti inilah yang menjadikan masyarakat Islam makin mundur dan sebagainya.
"Akhir-akhir ini pula banyak fatwa dikeluarkan iaitu menyamakan tunjuk perasaan Bersih 3.0 disamakan dengan saf jemaah bersembahyang..kita sembahyang beribadat bukan tunjuk perasaan kepada Allah…kita mengadap bersyukur kepada Allah swt..Dia (Allah) suruh kita bersatu, bahkan dalam bersembahyang kita diwajibkan berjemaah . . ."
"Maknanya kita perlu bersatu tapi kita di sini sekarang diwajibkan berpecah . . ..itu satu perkara yang bertentangan.
"Kemudian ada pula yang menyamakan dengan mengatakan Omar Ibnu Khattab pernah menunjuk perasaan . . . sebenarnya Omar tidak menunjuk perasaan tapi dia memulakan dakwah secara terang terangan.
"Ini kerana Saidina Omar apabila memeluk Islam dia bertanya apakah ini agama yang benar dari Allah . . ..Rasullulah menjawab ya… kenapa kita duduk bersembunyi.,.dia terus bertakbir dan dia dihentam oleh orang jahiliah.
"Begitu juga isteri-isteri Nabi tidak pernah menunjuk perasaan kepada Nabi kerana tidak cukup makan.
"(Berdemonstrasi) bukan perbuatan orang-orang ahli sunnah tapi perbuatan syiah..dan kita ada mendengar fatwa kata mengundi parti itu masuk syurga, tak mengundi masuk neraka.. apakah neraka syurga ini boleh ditentukan oleh manusia atau ditentukan oleh Allah swt.
"Jadi hal-hal sebegini sedang berlaku sehingga menimbulkan kegelisahan dalam masyarakat, jadi kerana itu sebagai seorang mufti bukan kerana politik saya memberi nasihat dan memberitahu bahawa tunjuk perasaan dengan niat untuk mengguling kerajaan itu satu perkara salah.
"Kerana kerajaan yang sah sekarang diketuai oleh seorang Islam iaitu Yang diPertuan Agong dan Raja-Raja
"Tapi sekarang ini orang dah pakai demokrasi, bila pakai demokrasi, kita ada jalan untuk menurunkan kerajaan dengan mengundi tapi bukan dengan cara tunjuk perasaan, dengan menimbulkan kekacauan"
Harussani menjelaskan lagi beliau tidak mengatakan siapa yang benar siapa yang salah tapi apa dilihat perkara yang dilakukan itu bertentangan dengan hukum syarak.
"Pertama, dataran itu (Dataran Merdeka) dimiliki oleh DBKL .. . DBKL tidak membenarkan membuat tunjuk perasaan di situ maka tidak boleh pergi.
"Kerana Allah menyebut dalam Quran kita tidak boleh masuk ke dalam rumah melainkan kita minta kebenaran. Jadi kita kiaskan itu hak milik bukan di rumah saja, kalau kampung orang, orang tak bagi masuk, tak boleh masuk .
"Kedua kita tidak boleh merosakkan harta benda tapi kita lihat terang terang (mereka) merosakkan harta benda, memukul orang sehinggakan kereta polis pun dirosakkan, anggota polis dipukul dan seorang wartawan hampir mati kerana mempertahankan anggota polis itu.
"Ini kita pelajari dari tunjuk perasaaan pertama (Bersih 1.0) kedua (Bersih 2.0) dan ketiga (Bersih 3.0), jadi ini dah tak betul, kerana itu saya kata ajarannya banyak menyeleweng daripada ajaran Islam yang berasaskan kepada empat asas.
"Islam berasal daripada silmun bermakna kedamaian, yang kedua salamun berasal daripada pokok perkataan salam.
"Salam maknanya kesejahteraan, yang ketiga sulamun maknanya kita menuju ke peradaban yang tinggi.. .manusia ini meningkat darjahnya, perwatakannya dan yang keempat kita menyerah bulat-bulat kepada Allah," katanya.
Dengan nada kesal Harussani berkata Islam yang diperjuangkan PAS dikaitkan dengan semua perkara negatif tersebut.
"Jadi ini yang saya merasa cukup terpanggil dan terkilan untuk membuat kenyataan walaupun saya tidak hadir dalam majlis fatwa yang lalu kerana saya dalam keuzuran tapi saya rasa terpanggil untuk menjawab dalam surat khabar apabila dikatakan ahli majlis fatwa kebangsaan ini tidak lebih daripada anjing.. .bolehkah kita mensifatkan ulama sebagai anjing?.
Katanya panggilan dan gelaran yang diberikan PAS kepada beliau amat berat.
"Ini satu perkara yang cukup berat dan saya lihat kalau itu tidak disetujui oleh ketua-ketua Pas tapi tidak ada langsung pun teguran dibuat terhadap mereka . . . . sepatutnya mereka menegur orang dibawah supaya tidak bersikap demikian.
"Tapi seolah-olah mereka menyokong. Saya rasa terpanggil untuk menyatakan hak dan saya bukannya daripada parti mana pun.
"Tapi apabila diselewengkan maka saya wajib menegur beliau . . . jadi Nik Aziz ini memang patut ditegur kerana Nik Aziz terlalu banyak menggelar mufti-mufti (sebagai) terompah kayu dan macam macam lagi dan dia memburukkan nama sahabat nabi dengan mengatakan para sahabat tunjuk perasaan kepada Tuhan.
"Kemudian ibadat disamakan dengan tunjuk perasaan ini semuanya salah jadi kita jangan telan bulat-bulat perkara yang salah..walaupun dia seorang ulama, mungkin dia terlajak maka itu saya memberi peringatan supaya jangan . . . . saya tak ada musuh dengan sesiapa ..selama inipun doa saya tak pernah tinggal tiap-tiap lima kali sembahyang minta Allah ampuni seluruh umat Islam.
Menjawab satu soalan bahawa PAS sudah terikut-ikut dengan DAP sehingga dilihat sanggup menggadai prinsip, Harussani berkata:
"Peringkat awal dulu kenapa PAS keluar daripada Perikatan? Masa itu kenapa bila ditubuh Perikatan, PAS keluar kerana tidak mahu sekongkol dengan orang kafir masa itu, keluarlah fatwa bersekongkol dengan orang kafir jadi kafir..tapi hari ini orang yang terang terang menentang Islam, yang katakan langkah mayat (dia) kalau nak laksana hukum Islam, PAS sokong.
"Yang kedua kita melihat Ambiga sebagai ketua dalam majlis peguam dulu telah merangka beberapa undang undang untuk menjatuhkan Islam dengan hendak menubuhkan IFC dan (perkara) ini mufti menentang.
Beliau hairan kenapa PAS menyokong orang seperti ini.
"Apakah kita akan mengharap orang bukan Islam untuk membela dan bangun untuk menegakkan islam?
"Quran banyak sekali meletakkan ayat-ayat supaya kita jangan melantik ketua kita orang bukan Islam," katanya.
Beliau menasihatkan puak-puak ini supaya berhati-hati dalam hal berkaitan agama dan tidak taksub kepada orang atau parti sehingga sanggup melakukan perbuatan-perbuatan yang salah dan melanggar hukum Allah.
Harussani berkata berdasarkan apa yang didedahkan beliau mahu rakyat membuka mata.
"Peringatan saya sebagai orang tua yang masih diberi Tuhan kuasa bercakap, kalau tak mahu dengar itu terpulang . . .Kita hanya menyampaikan," katanya.
Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Pihak admin yop-pasirsalak.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.
Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen di sini.
Semua pelawat dianggap setuju dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami dan kami tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen yang diutarakan.