Halaman

Rabu, 4 Disember 2013

#PAU2013: TEKS UCAPAN NAIB KETUA PEMUDA UMNO MALAYSIA @Azwanbro


Syukur alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, dengan limpah kurnia, iradat dan redha – Nya jua, Barisan Nasional (BN) telah mencatatkan kemenangan dalam Pilihanraya Umum ke 13 yang lalu dan parti keramat UMNO terus menjadi tunjang kepada keabsahan Kerajaan Pilihan Rakyat.

Lantaran itu, UMNO tidak boleh terus – terusan dibuai dengan lagu lunak kekuatan politik, merdu dendang nostalgia jasa dan manis bicara bahawa kitalah Tuan buat selamanya. Tidak ada gerakan massa yang mampu mendepani masa hadapan, tanpa terlebih dahulu memahami dua asas keilmuan yang sangat mendasar – iaitu kemampuan memahami “fiqh al – taghyir” (fiqh perubahan / science of improvement) dan yang kedua “fiqh al – waqi” (fiqh realiti / science of reality).



Sejajar dengan niat mendepani perubahan dan memahami realiti politik yang ada di hadapan kita, Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia 2013, pada hari ini, ingin membentangkan lima (5) usul Ucapan Terima Kasih Atas Ucapan Dasar Yang Berhormat Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang secara jelas telah menggariskan gagasan besar dan cadangan-cadangan dasar bagi kelangsungan politik parti kita. 

USUL PERTAMA - Pemuda UMNO akan terus membawa pendekatan dan membudayakan politik progresif, yakni percaya kepada pendekatan berbeza dan kontemporari di samping memandang ke hadapan serta menakhoda zaman. Politik progresif ini tidak sesekali bermakna kita lupa jati diri dan perjuangan asas bangsa yang berdaulat ini.

Jiwa progresif ini perlu dilihat kepada jiwa seorang pemimpin. Pemimpin yang sentiasa mencari pendekatan dan keterujaan baru yang lebih sesuai dengan tuntutan zamannya. Pemimpin progresif adalah juga mereka yang bersifat dan berfikiran pragmatik serta perlu diingat pemimpin progresif bukanlah mereka yang liberal atau yang mengamalkan pluralisme. Kita mahu melalui politik progresif ini, dengan memahami cabaran semasa, lantas mampu menterjemah penyelesaian atau menangani cabaran secara praktikal dan berhemah.

“Apa guna laungan Hidup Melayu jika kita sendiri tidak tahu bagaimana Melayu hidup sekarang. Apa guna laungan Merdeka, jika kita tidak tahu bagaimana mengisi kemerdekaan sesuai dengan tuntutan zaman. Apa guna, ditempelkan label Islam sekiranya umat Islam terus berhadapan dengan ancaman perpecahan, pertelagahan dan kemunduran”.

Sifat progresif ini, sebenarnya sudah terjelma pada jati diri Melayu itu sendiri sejak sekian lama. Melayu boleh menerima perubahan dan sedia membuka pintu kepada sesuatu yang menjadi tuntutan atau keperluan pada satu – satu masa. 

Sehubungan itu, Pemuda seharusnya mula mengorak langkah untuk memastikan gerakan politik progresif ini dapat diterapkan dalam semua agenda Pemuda. 

Iaitu bagi sesiapa di antara kamu yang mahu maju dalam mengerjakan kebaikan atau yang mahu mundur daripada mengerjakannya.
Surat Al-Muddathir (74:37)

Ini bermakna, gerakan progresif yang hendak kita bawa sebenarnya tidak lari daripada tuntutan agama selagi mana kita mengerjakan kebaikan dan mahu melihat nasib umat Melayu terus terbela.

Saudara perwakilan, 

USUL KEDUA - Pemuda UMNO, akan memperkasakan agenda pengkaderan dan pendidikan politik kerana ia menjadi pemangkin untuk mempersiap dan mengupayakan generasi UMNO yang pragmatik.

Bagi melaksanakan usul ini, Pemuda UMNO mencadangkan agar semua kader parti diwajibkan untuk mengikuti kursus – kursus pengkaderan di Akademi Kepimpinan Kapten Hussein.

Modul – modul kepimpinan yang berteraskan jati diri, hala tuju dan falsafah besar parti perlu diberikan penekanan kepada kader – kader parti yang dipersiapkan untuk mewarisi kepimpinan parti dan negara. 

Selain pengkaderan, pendidikan politik (latihan) dan tarbiyah juga perlu disemarakkan khususnya kepada ahli – ahli Pemuda yang baru. 

Kita mahu, ahli – ahli Pemuda yang baru menghayati Rukun Pemuda iaitu Berprinsip, Inklusif, Relevan, Proaktif dan Bersatu. Ia perlu kekal menjadi landasan pergerakan dan perjuangan Pemuda. Pembentukan Generasi UMNO masa depan perlu bermula hari ini melalui pelan tindakan yang diinstitusikan dan perlu didokong kepimpinan parti di semua peringkat.

Justeru itu, Biro Pengkaderan dan Biro Pendidikan Politik hendaklah segera merangka pelan tindakan bagi memastikan UMNO tidak ketandusan pelapis untuk membawa obor perjuangan pada masa hadapan. Moga – moga, Pemuda hari ini akan dapat meneruskan kelangsungan hayat UMNO. Ini juga, harapan yang dilontarkan oleh Yang Amat Berhormat Timbalan Presiden tatkala merasmikan perhimpunan kita semalam, yang mahu generasi UMNO memiliki kualiti yang terbaik. 

Dato’ Pengerusi Tetap dan Sidang Perwakilan sekalian,

USUL KETIGA – Pemuda UMNO menyokong penuh penubuhan Jawatankuasa Penambahbaikan Sistem dan Proses Pemilihan Parti. 
Kita menyanjung tinggi atas iltizam dan keberanian politik pimpinan parti untuk mengadakan sistem pemilihan yang memperluas lantai demokrasi. Sementara aspek perluasan lantai demokrasi kelihatan baik dan tersusun, Pemuda menginginkan agar proses penambahbaikan dilakukan, khususnya kepada kelemahan – kelemahan tertentu yang terdapat dalam pelaksanaan sistem pemilihan tersebut. Ini termasuklah kaedah pencalonan, kempen dan pembuangan undi yang perlu diperkemaskan. 

Untuk itu, Pemuda UMNO berharap penglibatan orang muda akan dapat dipertingkatkan dalam proses penambahbaikan ini agar ia memenuhi harapan dan aspirasi generasi baru UMNO.

USUL KEEMPAT – Pemuda UMNO menuntut tindakan yang lebih tegas dilaksanakan oleh kerajaan dalam menangani isu-isu yang mengancam akidah umat dan kesucian Islam yang membudayakan cara hidup songsang yang bertentangan dengan nilai agama dan moral sejagat.

Gerakan pluralisme agama, liberalisme, ekstremisme, ajaran sesat, kumpulan – kumpulan tertentu, kini jelas menjadi ancaman kepada kestabilan negara. Kita tidak boleh memandang ringan ancaman gerakan ini kerana sasaran mereka adalah daripada kalangan golongan muda. 

Penghinaan kepada institusi – institusi negara seperti kehakiman, mahkamah syariah, institusi raja kini ibarat cacing naik ke mata. Terbaru, kebebasan tanpa batas cuba dipopularkan dengan harapan sokongan generasi muda akan datang kepada mereka. 

Untuk itu, gandingan usaha kerajaan dan gerakan massa mesti dilakukan dalam menangani penularan wabak pemikiran kebebasan tanpa sempadan sebegini. 

Bagi membentengi umat dan generasi akan datang, Pemuda amat bersetuju dengan saranan Yang Amat Berhormat Timbalan Presiden agar pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah diperjelaskan dalam Perlembagaan Persekutuan. Oleh yang demikian, Pemuda mencadangkan definasi Islam dalam Perlembagaan Persekutuan ditakrifkan sebagai mereka yang berpegang kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah. 

Dato’ Pengerusi Tetap

USUL KELIMA – Pemuda UMNO mencadangkan agar Perdana Menteri melantik segera seorang Menteri khusus untuk merancang, melaksana dan memantau dasar serta program di bawah Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera. Selain kepakaran, Menteri tersebut mestilah seorang yang mempunyai iltizam, tekad, keberanian, keazaman dan kesungguhan politik serta istiqamah dalam memastikan Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera dapat dicapai sepenuhnya. 

Pemuda tidak mahu seorang Menteri yang dipertanggungjawabkan hanyalah gah pada nama jawatannya tetapi cetek pada kesungguhan dan semangat kemelayuan

Sidang perwakilan,

Pemuda UMNO ingin merakamkan setinggi tahniah atas keberanian Yang Amat Berhormat Presiden yang juga Perdana Menteri dan seluruh kepimpinan UMNO yang tidak apologetic di dalam memperjuangkan Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera secara terbuka dan tidak berkias.

Perlu juga disegerakan kewujudan mekanisma dan SOP (Standard Operation Procedure). Pemantauan yang meliputi “Key Performance Index” – KPI dan melakukan audit terhadap pencapaian pelaksanaan program – program yang telah digariskan di dalam agenda pemerkasaan tersebut. 

Pemuda juga mencadangkan agar, laporan KPI dan audit tersebut hendaklah di bentangkan kepada UMNO bagi memastikan dasar yang baik diiringi jua dengan pelaksanaan yang baik. Ini bagi memastikan, peluang – peluang ekonomi dapat dinikmati dan merata taburannya. Pemuda juga ingin memastikan Orang Muda tidak ketinggalan dan tersasar daripada memperolehi limpahan agenda pemerkasaan itu. 

Dato’ Pengerusi Tetap,
Demikianlah, lima (5) usul yang dibentangkan pada Perhimpunan Agung Pemuda pada kali ini. 

Kepada Allah kita memohon, agar dikurniakan kudrat moga hasrat yang dizahirkan melalui usul ini akan dapat terlaksana jua.

Dato’ Pengerusi Tetap, saya Khairul Azwan Harun, Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, mohon mencadang USUL TERIMA KASIH ATAS UCAPAN DASAR KETUA PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA dan berharap mendapat sokongan padu daripada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO Malaysia tahun ini. 

Sekian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


Pihak admin yop-pasirsalak.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen di sini.

Semua pelawat dianggap setuju dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami dan kami tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen yang diutarakan.