Halaman

Isnin, 27 Januari 2014

ADUN Kajang Letak Jawatan, @AnwarIbrahim Nafi Spekulasi Bakal MB Selangor

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang Lee Chin Cheh dilaporkan telah meletakkan jawatannya sebagai wakil rakyat.

Perletakan jawatan ADUN PKR yang berkuat kuasa hari ini disahkan oleh Speaker Hannah Yeoh dalam satu sidang media petang tadi.

Ini seterusnya memberi laluan untuk pilihanraya kecil diadakan di kawasan tersebut. 

Perletakan jawatan oleh ADUN Kajang ini menguatkan spekulasi bahawa Anwar Ibrahim akan bertanding di kerusi tersebut seterusnya beliau dijangka menggantikan Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor yang baru.

Namun, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan bahawa beliau bakal menjadi Menteri Besar Selangor yang baru. Menurutnya, segala dakwaan berkenaan beliau akan menggantikan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim adalah spekulasi semata-mata.

"Ianya spekulasi semata-mata dan perkara ini telah berlarutan semenjak tahun 2008," katanya sejurus keluar dari kamar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di Jalan Duta selepas menghadiri perbicaraan kes saman beliau terhadap blogger, Papagomo.

Kata Anwar, "Perbincangan antara saya dan Tan Sri Khalid sering diadakan setiap minggu dan bukan hanya pada Ahad lalu. Kita berjumpa dan berbincang, paling kurang sekali dalam dua minggu namun selalunya sekali dalam seminggu samada di pejabat dan di rumah dia atau pun saya dan perbincangan yang dilakukan hanyalah perbincangan umum mengenai kedudukan Selangor dan Pakatan Rakyat,".

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution berkata dakwaan yang mengatakan bahawa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim akan meletakkan jawatan pada hari Rabu dan sekaligus mengosongkan kerusi yang dimenangi Parti PKR pada Pilihan Raya Umum yang lalu adalah tidak benar sama sekali.

"Khalid akan tetap meneruskan tugasnya sebagai Menteri Besar,".

Kemelut dalaman PKR di negeri Selangor bermula apabila media melaporkan Timbalan Presiden, Azmin Ali yang juga Pengerusi Perhubungan PKR Selangor berkata jawatan Menteri Besar Selangor mungkin akan digantikan dan Khalid pula akan dilantik menjadi menteri persekutuan seandainya Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya yang akan datang.

Kenyataannya itu telah membuatkan setiausaha politik Khalid, Faekah Husin menempelaknya dengan mengatakan bahawa Azmin tiada kuasa untuk mempersoalkan pentadbiran Khalid dan tindakan Azmin itu dilihat bagaikan cuba untuk 'mengawal' segala pentadbiran negeri itu.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan


Pihak admin yop-pasirsalak.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen di sini.

Semua pelawat dianggap setuju dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami dan kami tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen yang diutarakan.