Halaman
▼
Khamis, 9 Januari 2014
#BL1M: 18,111 PERMOHONAN TIDAK DAPAT DIPROSES, PEMUDA UMNO SEDIA PULANGKAN SEMULA WANG PEMOHON @AZWANBRO @NajibRazak #pemudaUMNO
Pada tahun 2012 yang lalu, Pemuda UMNO Malaysia telah menganjurkan satu program diberi nama Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M), bertujuan membantu golongan muda memiliki lesen motosikal B2 yang sah.
Program tersebut dianjurkan dengan kerjasama beberapa agensi seperti Myeg, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, Jab Keselamatan Jalanraya (JKJR), Persatuan Sekolah Institut Memandu Malaysia (PERPISMA) dan beberapa lagi pertubuhan belia seluruh negara.
Melalui program tersebut, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berjaya membantu 70,455 orang pemohon memiliki lesen motosikal yang sah daripada 210,000 permohonan yang diterima dari seluruh negara
Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairul Azwan Harun berkata, dari jumlah 210,000 permohonan yang diterima, hanya 138, 358 yang layak menyertai program ini selepas tapisan.
“Sehingga ke hari ini, 49,782 permohonan masih dalam proses BL1M, 29,187 permohonan telah gagal tiga kali (gagal ujian komputer) manakala 18,111 permohonan lagi tidak dapat diproses disebabkan beberapa perkara.
“Sehubungan dengan itu, Pemuda UMNO bersedia untuk memulangkan semula wang berjumlah RM199.00 iaitu kos yang telah diperkenalkan di bawah program BL1M ini kepada 18,111 permohonan yang tidak dapat diproses ini,” ujarnya dalam sidang media di sini, hari ini.
Justeru jelas beliau untuk tujuan pemulangan semula wang kepada 18,111 orang peserta ini, ianya akan bermula pada 15 Januari ini menerusi sekretariatnya di Ibu Pejabat Pemuda UMNO Malaysia yang akan diketuai oleh Setiausaha Kerja Pemuda UMNO, Mohd Lassim Burhan.
“Kita telah berbincang dengan kepimpinan Pergerakan Pemuda UMNO Negeri-negeri dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri akan bertanggungjawab juga bagi bersama-sama menguruskan proses pemulangan wang ini dengan bantuan Ketua Pemuda UMNO bahagian-bahagian seluruh negara.
“Kita tidak ada masalah untuk memulangkan semula wang ini dengan bukti pemohon telah membuat bayaran untuk program ini dan dalam masa yang sama, kita mempunyai senarai lengkap permohonan program BL1M ini,” tambahnya.
Program BL1M ini program politik khidmat bakti bermatlamat untuk membantu warga Malaysia khususnya golongan muda yang berumur antara 17 hingga 40 tahun untuk memiliki lesen motosikal yang sah selain memberi kesedaran mengenai undang-undang jalan raya dan membina etika pemanduan berhemah.
Program BL1M ini adalah secara menyeluruh yang mana bermula daripada pringkat proses ujian teori undang-undang secara komputer, latihan, ujian praktikal dan sebagainya lagi. Pada masa ini kos purata untuk mohon lesen B2 ini adalah sebanyak RM380.
Menerusi program BL1M, mereka yang ingin mendapatkan lesen tersebut hanya perlu membayar RM199. Ini adalah politik khidmat bakti sepertimana yang Pemuda UMNO telah laksanakan seperti Karnival kerjaya, Biasiswa Pemuda BN dan pelbagai lagi.
Pengerusi BL1M, Tengku Azman Tengku Zainal Abidin berkata, mekanisme bagi mendapatkan semula bayaran tersebut, pemohon boleh berurusan dengan Pejabat Pemuda, mereka boleh pergi ke Pejabat Pemuda UMNO Bahagian untuk menghantar permohonan untuk mendapat balik bayaran.
“Selain Pejabat Pemuda UMNO Bahagian, mereka juga boleh hubungi Ibu Pejabat Pemuda UMNO Malaysia, di talian 03-40441199 bermula 15 Januari ini, untuk member butiran dan jika pihak Urusetia mendapati nama mereka ada dalam senarai, mereka akan mendapat balik bayaran dalam masa satu minggu,” tambahnya yang juga mantan EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Pihak admin yop-pasirsalak.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.
Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen di sini.
Semua pelawat dianggap setuju dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami dan kami tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen yang diutarakan.