Halaman

Rabu, 29 Januari 2014

Kabinet Teliti Pelan Penyatuan Nasional - PM @NajibRazak

Mesyuarat mingguan kabinet hari ini meneliti sebuah pelan ke arah mewujudkan suasana negara yang kondusif yang akan menggalakkan penyatuan nasional melalui perpaduan dan konsesus, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Najib, beliau telah mengemukakan idea pelan itu selepas Pilihan Raya Umum ke-13 namun banyak pihak pada ketika itu menolaknya termasuk pembangkang yang mempertikaikan keputusan pilihan raya tersebut.

"Saya berbesar hati melihat pembangkang kini menyeru ke arah konsensus dan saya yakin mereka akan mengalu-alukan perkembangan baru ini," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan petang ini.

Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu ucapan pada Ahad menyeru semua pihak termasuk Barisan Nasional (BN) supaya mengetepikan perbezaan politik dan mencapai konsensus nasional bagi menangani isu-isu yang beliau sifatkan "amat penting".

Najib bagaimanapun menjelaskan pelan penyatuan yang hendak dilaksanakan oleh kerajaan itu bukannya bertujuan untuk membentuk sebuah kerajaan perpaduan.

"Kami (BN) telah diberi mandat yang kukuh oleh rakyat dalam pilihan raya yang lalu untuk mentadbir dan kami akan meneruskannya," kata Perdana Menteri.

Kerajaan bagaimanapun, katanya, sedia untuk jadi lebih inklusif dan terbuka untuk berunding dengan semua pihak termasuk melalui kaedah jawatankuasa parlimen bagi membincangkan isu-isu yang menjejaskan pepaduan nasional.

Najib juga berpendapat perlunya pelan itu melibatkan suara akar umbi bagi mendapatkan komitmen rakyat untuk mencapai wawasan bersama ke arah sebuah Malaysia yang aman, makmur dan harmoni.

"Kita mesti berusaha ke arah model perpaduan sosial yang boleh memastikan perpaduan kekal jadi objektif bersama dalam aktiviti-aktiviti generasi akan datang," katanya.

Jelas Najib, pelan penyatuan nasional itu akan diasaskan kepada empat tunggak utama iaitu sosial, politik, kerajaan dan hubungan antarabangsa.

Ia juga akan didasarkan kepada prinsip demokrasi yang akan mempertahankan kebebasan bersuara tetapi dengan bertanggungjawab.

Bagi menjayakan pelan itu, Najib turut menyeru semua pihak untuk sama-sama berhenti daripada menyebarkan pembohongan dan fitnah serta menamatkan budaya politik kebencian.

Najib turut memaklumkan beliau akan mengetuai sendiri pelaksanaan pelan tersebut dan menyeru seluruh rakyat untuk sama-sama menjayakannya.

"Dalam masa beberapa bulan akan datang, anda melihat perubahan yang akan membantu Malaysia jadi lebih teguh, lebih bersatu dan patu," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


Pihak admin yop-pasirsalak.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen di sini.

Semua pelawat dianggap setuju dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami dan kami tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen yang diutarakan.