Halaman

Isnin, 20 Januari 2014

#KalimahALLAH: Jamil Khir Diminta Letak Jawatan - Mufti Perak @NajibRazak @rmf7a7

Semalam, Yang DiPertuan Agong, Tuanku Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dalam titah ucapan sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-86, baginda menegaskan bahawa  kalimah Allah adalah hak eksklusif umat Islam di Malaysia. Rujuk di SINI.

Perkara ini juga pernah dibangkitkan oleh DYMM Sultan Selangor pada November 2013 yang lalu. Mahkamah Rayuan pada Oktober 2013 juga telah memutuskan larangan penggunaan nama Allah bagi menggantikan God yang merujuk kepada tuhan bagi penganut agama kristian atau bukan Islam.

Ianya bersesuaian dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ugama Islam kali ke 82 yang telah bersidang pada Mei 2008 yang lalu.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-82 yang bersidang pada 5 - 7 Mei 2008 telah membincangkan Isu Tuntutan Penganut Kristian Terhadap Penggunaan Kalimah Allah. Muzakarah telah memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam lain. Oleh itu wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. 
Keterangan/Hujah: 
Perkataan Allah yang digunakan oleh umat Islam adalah merujuk kepada Allah Yang Maha Esa dan lafaz Allah yang telah digunakan oleh orang-orang kristian adalah merujuk kepada ‘Tuhan Bapa’ iaitu salah satu oknum daripada akidah trinity. Ia berbeza sama sekali dengan apa yang dimaksudkan oleh Reverand Datuk Murphy Pakiam, Archbishop of Kuala Lumpur bahawa perkataan Allah telah lama digunakan oleh orang-orang kristian sejak sebelum kedatangan Rasulullah S.A.W. Selain daripada itu, lafaz Allah juga, tidak pernah disebut di dalam teks bahasa Greek yang merupakan bahasa asal usul penulisan Bible. Ini adalah kerana perkataan Tuhan di dalam bahasa Greek adalah ‘Theos’ bukannya Allah.
Perkataan Allah juga tidak pernah terdapat di dalam bahasa asal Perjanjian Lama yang dikenali sebagai Taurat dan Perjanjian Baru yang dikenali sebagai Bible. Ini adalah kerana Perjanjian Lama ditulis dalam bahasa Hebrew manakal Perjanjian Baru ditulis dalam bahasa Greek. Perkataan Hebrew yang membawa maksud Tuhan ialah El, Eloh,Elohim dan juga Yhwh.
Kalimah Allah Lafz al-Jalalah adalah khusus dan mutlak untuk agama Islam dan mafhumnya berbeza dengan mafhum Allah yang digunakan oleh agama lain seperti Kristian.
Perintah mahkamah yang dipohon oleh Catholic Herald Weekly untuk mengisytiharkan bahawa larangan penggunaan kalimah Allah yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan bukan eksklusif kepada agama Islam boleh memberi kesan yang besar kepada kedudukan agama Islam sekiranya orang Islam sendiri tidak peka dan perhatian yang sewajarnya tidak diberikan oleh pihak berkuasa agama di negara ini.
Walaupun dari segi sejarah kalimah Allah telah digunakan sejak sebelum kedatangan Islam lagi, namun penggunaanya adalah berbeza dan perlu dilihat dari segi substancenya. Kalimah Allah yang digunakan oleh Kristian adalah bersifat Taslis dan syirik, sedangkan bagi Islam ia bersifat tauhid.
Kalimah Allah merupakan lafaz suci yang perlu dijaga dan berkait dengan akidah. Umat Islam perlu peka dan bertanggungjawab dalam isu ini. Sikap membenarkan sesiapa sahaja menggunakan kalimah tersebut semata-mata untuk menunjukkan bahawa Islam meraikan agama lain hanya akan mendatangkan mudharat yang lebih besar kepada agama dan umat Islam.
Umat Islam perlu tegas dalam menjaga kesucian dan identiti agama kerana bersikap terlalu terbuka sehingga membenarkan perkara-perkara yang menjadi hak Islam disalahgunakan oleh agama lain adalah amat merbahaya kerana matlamat utama kristian menggunakan kalimah Allah adalah untuk mengelirukan umat Islam dan menyatakan bahwa semua agama adalah sama.
Kalimah Allah sebenarnya tidak ada di dalam Bible, yang digunakan ialah perkataan God. Tetapi di dalam Bible yang diterjemahkan ke bahasa Melayu, perkataan God ditejemahkan sebagai Allah.
Isu penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam ini melibatkan isu berkaitan Siasah Syar’iyyah dan Kerajaan wajib menjaga kesucian agama dan umat Islam. Fatwa perlu dikeluarkan oleh Jawatankuasa ini bagi menjaga kesucian agama dan akidah umat Islam.
Pertimbangan Jawatankuasa dalam melarang penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam bukan hanya dilihat dari aspek keselamatan, tetapi faktor utama adalah berasaskan akidah dan kesucian agama Islam.

Apa yang menyedihkan bagi umat Islam pada hari ini adalah kelemahan pihak berkuasa yang sepatutnya melindungi hak keistimewaan ini khususnya dalam isu tuntutan Paderi Lawrence Andrew yang tetap berkeras mahu menggunakan kalimah Allah dalam kitab bible dan majalah terbitan mereka.

YPS bersetuju dengan kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang meminta Datuk Seri Jamil Khir Baharom meletakkan jawatan selaku Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang dipertanggungjawabkan menangani kemelut ini.

Tan Sri Harussani Zakaria membidas dan meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom meletakkan jawatan sahaja sekiranya takut bertindak terhadap Pengarang The Herald, Paderi Lawrence Andrew dan mereka yang mempertikaikan keputusan Mahkamah Rayuan berhubung larangan penggunaan kalimah Allah kepada bukan Islam.

Selanjutnya baca di SINI.

Dalam keadaan dimana agama dan umat Islam dihimpit dengan pelbagai gerakan yang cuba menghakis kedaulatan Islam sebagai agama rasmi negara, kerajaan perlu menunjukkan ketegasan dalam menjaga maruah agama.

Disamping itu, YPS menyeru agar umat Islam di Malaysia mengenepikan ideologi politik dan bersatulah. Bersama kita berganding bahu mendesak kerajaan agar segera bertindak menangani kemelut ini.


عَنْ أَبِي الْعَبَّاسِ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ الله عَنْهُمَا قَالَ: آُنْتُ خَلْفَ النَّبِيِّ صَلَّى الله عَلَيْ هِ

وَسَلَّمَ یَوْمًا فَقَالَ: (( یَا غُلاَم! إِنِّي أُعَلِّمُكَ آَلِمَاتٍ: اِحْفَظِ الله یَحْفَظْكَ، اِحْفَظِ الله تَجِدْهُ تُجَاهَكَ
إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ الله، وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِالله، وَاعْلَمْ أَنَّ الأُمَّةَ لَوِ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ یَنْفَعُوْ كَ
بِشَيْءٍ لَمْ یَنْفَعُوْكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ آَتَبَهُ الله لَكَ، وَإِنِ اجْتَمَعُوْا عَلَى أَنْ یَضُرُّوْكَ بِشَيْءٍ لَ مْ
یَضُرُّوْكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ آَتَبَهُ الله عَلَيْكَ، رُفِعَتِ الأَقْلاَمُ وَجَفَّتِ الصُّحُفُ )) رواه الترمذي وقال
حدیث حسن صحيح

Daripada Abu al-'Abbas, Abdullah ibn Abbas, r.a. رضي الله عنهما beliau berkata:


Aku pernah duduk di belakang Nabi SAW pada suatu hari, lalu Baginda bersabda kepadaku: Wahai anak! Sesungguhnya aku mahu ajarkan engkau beberapa kalimah: Peliharalah Allah nescaya Allah akan memeliharamu. Peliharalah Allah nescaya engkau akan dapati Dia di hadapanmu. Apabila engkau meminta, maka pintalah dari Allah. Apabila engkau meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan dengan Allah. Ketahuilah bahawa kalau umat ini berkumpul untuk memberikan sesuatu manfaat kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikanmu manfaat kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukan untukmu. Sekiranya mereka berkumpul untuk memudharatkan kamu dengan suatu mudharat, nescaya mereka tidak mampu memudharatkan kamu kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukannya untukmu. Pena-pena telah diangkatkan dan lembaran-lembaran telah kering (dakwatnya).

(Hadis riwayat al-lmam al-Tirmizi. Beliau berkata: la adalah Hadis Hasan Sohih).


وفي روایة غير الترمذي (( اِحْفَظِ الله تَجِدْهُ أَمَامَكَ، تَعَرَّفْ إِلَى اللهِ فِي

الرَّخَاءِ یَعْرِفْكَ فِي الشِّدَةِ، وَاعْلَمْ أَنَّ مَا أَخْطَأَكَ لَمْ یَكُنْ لِيُصِيْبَكَ، وَمَا أَصَابَكَ لَمْ یَكُ نْ
لِيُخْطِئَكَ، وَاعْلَمْ أَنَّ النَّصْرَ مَعَ الصَّبْرَ، وَأَنَّ الفَرَجَ مَعَ الْكَرْبِ، وَأَنَّ مَعَ العُسْرِ یُسْرًا))
Dalam riwayat selain al-Tirmizi, hadis berbunyi:

Peliharalah Allah, nescaya engkau akan dapatiNya di hadapan engkau. Kenalilah Allah ketika senang, nescaya Dia akan mengenalimu di ketika susah. Ketahuilah bahawa apa-apa yang (ditakdirkan) tidak menimpamu, ia tidak akan menimpamu. Dan apa-apa yang menimpamu bukannya ia tersilap menimpamu. Ketahuilah bahawa kemenangan itu ada bersama kesabaran, terlepas dari kesempitan itu ada bersama kesusahan dan bersama kesusahan itu ada kesenangan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan


Pihak admin yop-pasirsalak.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen di sini.

Semua pelawat dianggap setuju dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami dan kami tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen yang diutarakan.