Halaman

Khamis, 23 Januari 2014

Kes Kematian Nursyafiqah: @PDRMsia Kesal Tindakan Media Sensasikan Laporan

Polis Terengganu kesal dengan tindakan segelintir media yang cuba mensensasikan laporan mengenai kes kematian kanak-kanak berusia dua tahun, Nursyafiqah Adawiyah Abdullah di sebuah rumah tidak berpenghuni di Seberang Paka, Dungun pada Selasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPK Terengganu ACP K. Manoharan mengingatkan semua pengamal media supaya membuat laporan yang tepat berdasarkan sumber maklumat yang sahih.

"Setakat ini, pemeriksaan fizikal yang dijalankan oleh doktor tidak menunjukkan apa-apa unsur penderaan seksual sama ada dirogol atau diliwat.

"Walau bagaimanapun perkara ini belum lagi … tidak konklusif ... belum lagi dipastikan … perlu mendapat pengesahan lanjut daripada bahagian toksikologi," katanya dalam satu sidang media hari ini.

Manoharan bagaimanapun menegaskan pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung bedah siasat ke atas mangsa.

"Pihak polis sama sekali tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan berkaitan dengan kecederaan yang dialami oleh si mati dan juga sama ada dia dirogol atau diliwat," tambahnya.

Pada masa sama, beliau mengulangi ketegasan pohak polis untuk mengheret ke muka pengadilan pihak yang tidak bertanggungjawab yang menyebarkan gambar mangsa yang dirakamkan di tempat kejadian.

Katanya, Polis masih menjalankan siasatan sumber gambar berkenaan yang tersebar melalui Facebook dan blog.

Sementara itu, jenazah Nursyafiqah selamat dikebumikan pada Rabu malam di Tanah Perkuburan Kampung Limbong, Paka.

Jenazah yang dibedah siasat di Hospital Sultanah Nur Zahirah sebelum itu dituntut oleh bapa saudaranya kira-kira pada pukul 5 petang.

Dalam pada itu, nenek mangsa Semek Hitam, 58, berdoa agar Allah membalas penjenayah yang tidak berperikemanusiaan itu dengan balasan yang setimpal.

Polis pada Selasa lalu menahan empat individu termasuk ibu kanak-kanak itu dan teman lelakinya serta dua lelaki lain. Mereka direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mandatori gantung sampai mati.

Ibu mangsa sebelum itu pada Sabtu membuat laporan polis mengenai kehilangan anaknya yang didakwa diculik seorang lelaki dikenali ketika kanak-kanak itu ditinggalkan dalam sebuah kereta di depan sebuah restoran di Kuala Paka.

Menurut polis, ibu mangsa kemudian semasa disoal siasat mengaku dipaksa oleh teman lelakinya untuk membuat laporan kehilangan tersebut.

Siasatan awal polis mendapati lelaki berkenaan adalah orang terakhir yang dilihat bersama mangsa selepas dia membawa kanak-kanak itu keluar dengan keizinan ibunya pada pagi Jumaat lepas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


Pihak admin yop-pasirsalak.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen di sini.

Semua pelawat dianggap setuju dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami dan kami tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen yang diutarakan.