Halaman
▼
Jumaat, 31 Januari 2014
Melayu Selesa Bakal Binasakan Mereka – Dr Rizal Abd Rahman
Beberapa hari lepas, semasa ward round di wad pembedahan, saya dan doktor-doktor pakar mendapat penjelasan daripada rakan sekerja mengenai seorang pesakit.
Pesakit ini seorang pemuda Melayu berumur 29 tahun. Beliau dirawat kerana leher yang bengkak terkena jangkitan kuman. Ini terjadi akibat leher disuntik sendiri dengan jarum yang tidak disteril. Pemuda Melayu ini seorang nelayan dan juga penagih dadah.
Daripada pemeriksaan yang dilakukan, kami dapati beliau menyuntik dadah jenis heroin dengan begitu kerap sehingga urat-urat di lengan, ketiak, celah kangkang dan leher menjadi keras dan berparut. Masalah di leher pula terjadi apabila pemuda ini tersalah suntik mengunakan jarum yang tidak bersih dan sudah digunakan.
Akibatnya bahagian leher merah, bengkak dan bernanah. Beberapa hari selepas itu pemuda ini mendapat demam tinggi dan terpaksa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Antara respons kecewa doktor pakar apabila mendengar penjelasan mengenai pesakit ini adalah,, “Why don’t he just die?”.
Walaupun respons beliau agak keras, namun dengan bersangka baik, saya berpendapat mungkin jika pesakit juga berbangsa Cina, kekecewaan yang sama akan ditunjukkan oleh pakar ini terhadap pesakit.
Saya memilih untuk tidak memberi ruang emosi terhadap sentimen pakar tadi walaupun secara personal, ia bukanlah suatu yang patut ditiru dan tidak etika untuk dibuat.
Namun jauh di sudut hati saya sebenarnya lebih memikirkan kekecewaan saya terhadap apa yang menimpa pemuda Melayu ini.
Di manakah silapnya hingga semua ini boleh terjadi?
Di manakah silapnya sehingga pemuda Melayu ini, dan juga ribuan lagi pemuda menagih air ketum, penagih dadah, seks bebas, tersepit hutang along, tidak berpendidikan, mat rempit, dan lain-lain boleh terjadi pada mereka di Malayisa yang cukup bertuah ini?
Di manakah pembela bangsa, ibu bapa yang mendidik, guru-guru terlatih yang mengajar, nilai ajaran murni Islam oleh ustaz dan peranan masyarakat yang prihatin?
Tidakkah sistem pendidikan kita sudah cukup baik? Tidakkah semangat yang kita berikan dari semasa dan semasa melalui lagu patriotik, cerita teladan, motivasi, memadai? Tidakkah terdapat pelbagai bantuan ekonomi dan segala macam yang lain oleh Kerajaan yang sedia membantu? Di manakah silapnya?
Sedar tak sedar dalam keselesaan yang kita capai pada hari ini, jika kita mahu menoleh ke belakang, menilai realiti statistik mengenai pencapaian bangsa kita, masih banyak lagi yang sebenarnya perlu kita lakukan untuk bangsa ini.
Pemimpin politik harus berhenti bercakap mengenai angka memenangi pilihanraya sahaja. Ia buat kita lupa tentang asas juang yang sebenar. Politik bukan saja wajib menang undi tetapi kita istimewa berbanding yang lain kerana perjuangan tersebut.
Hari ini kita kekurangan pemimpin bangsa terutama di peringkat bawahan yang seharusnya menjadi unit penting dalam perjuangan memperelokkan bangsa Melayu. Mereka yang memimpin di peringkat cawangan kebanyakan merupakan kaki ampu, kaki bodek, hanya minat untuk politik diri, atau untuk dapat elaun khas dan projek-projek tertentu.
Dulu Umno satukan orang Melayu untuk tolak Malayan Union, tolak beri tanah air ini pada British, tolak buka warganegara pada semua. Kita berjaya.
Dulu Umno juangkan kemerdekaan untuk Tanah Melayu, perjuangkan bangsa kita yang miskin daif supaya dapat tempat dalam politik dan kepimpinan tanah air. Alhamdulillah Tanah Melayu merdeka, kemudian negara Malaysia, tanah air bagi pelbagai bangsa terbentuk, orang Melayu terus tadbir semua orang dengan saksama.
Dulu Umno berjuang untuk kurangkan jurang ekonomi bangsa Melayu dengan bangsa lain kerana khuatir kita terus tertinggal. Orang Melayu daif, miskin dan tidak sekolah. Sejak 1970, pemimpin Umno memperkenalkan Dasar Ekonomi khas, bantuan pendidikan khas dan lain-lain. Alhamdulillah bangsa kita daripada yang boleh membaca hanya 5%, hari ini tinggal 5% yang tak boleh membaca. Rakyat yang senang-senang berharta pun ramai di mana-mana.
Tapi sejak Umno stabil, kuat, selesa, nampaknya perjuangan Melayu ini tergendala. Ramai yang terlalu ingin berada dalam Umno demi kuasa, jawatan dan nikmat, tetapi lupa tentang kerja perjuangan yang masih perlu dilakukan.
Sejak dari itu perjuangan kita terbantut. Majoriti yang kaya kekal kaya, yang miskin kekal miskin. Orang-orang yang miskin, daif di luar bandar pula semakin hari semakin selesa dengan apa yang mereka ada, dan tidak berusaha untuk mendapat lebih.
Sikap ini berbeza dari rakan-rakan kita dari bangsa lain. Mereka tidak putus untuk berusaha bagi mendapat sesuatu lebih dari yang lain, usaha dan kerja keras untuk menjadi lebih selesa, menjadi lebih senang dan lebih kaya.
Yang tua tak putus ingatkan yang muda tentang ancaman jika mereka miskin, tak berpendidikan, tak ada duit dan tak putus beri semangat untuk sentiasa berusaha lebih.
Orang kita pula menasihatkan orang ramai untuk berasa cukup dengan apa yang ada, kadangkala menggunakan alasan supaya selalu bersyukur dengan nikmat yang ada dan ramai juga yang suka bersikap “tak apa”.
Sejak itu, kita kekal dimana kita ada dan keselesaan ini sedikit demi sedikit menjadi punca kita berada dibelakang dan tak lama lagi bakal membinasakan kita.
Ingatlah perjuangan kita masih belum selesai. – 31 Januari, 2014.
* Dr Rizal Abd Rahman adalah seorang anak Melayu dari keluarga sederhana. Bekerja kuat untuk merubah nasib dengan menghargai masa silam dan mengejar masa depan lebih bermakna. Anak kampung, gemar kerja sosial, penulis, doktor perubatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Pihak admin yop-pasirsalak.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.
Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen di sini.
Semua pelawat dianggap setuju dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami dan kami tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen yang diutarakan.