Halaman

Rabu, 1 Januari 2014

PERUTUSAN TAHUN BARU NAIB KETUA PEMUDA UMNO Msia @Azwanbro #pemudaUMNO

Dalam kita sedar atau tidak dan dalam kita bersedia atau belum, esok kita bakal menghadapi tahun 2014.

Kita soroti kembali tahun 2013, kita lihat sejauh mana sempurna dan tercapainya takwim yang telah kita rangka serta kita gerakkan sepanjang tahun tersebut. Jadikan ia satu penanda aras untuk kita kaji dan kita lihat sendiri sejauh mana penerimaan dan percambahan idea gerak kerja ini mampu menjadikan 2014 sebagai satu lagi tahun yang hebat buat diri kita.

Persediaan yang baik akan mendatangkan hasil yang cemerlang, dan tidak dinafikan persediaan yang baik juga datang dari pengalaman yang mematangkan. Jadikan tahun 2013 sebagai pengalaman dan jangan sesekali diabaikan setiap kejatuhan, kecuaian, dan kesedihan yang dilalui kerana setiap momen yang kita lalu itu bakal menjadi peringatan bagi setiap langkah yang kita bakal ambil selepas ini.

Secara peribadinya, tahun 2013 merupakan satu tahun yang memberi pengajaran yang mematangkan kepada diri saya di dalam kancah dunia politik.
 Selain berdepan dengan Pilihan Raya Umum ke 13, tahun 2013 menyaksikan saya berdepan dengan cabaran untuk bersaing dengan sahabat sahabat saya sendiri dalam merebut kerusi Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia dan Alhamdulillah disebalik seribu satu cerita saya dipilih untuk menjawat jawatan ini. Amanah yang diberi dan tanggungjawab yang dipikul akan saya laksanakan setelus mungkin.

Sebaik sahaja selesai sesi pemilihan, kita diduga dengan Pilihan Raya Kecil Sungai Limau, maka nya segala fokus dan tenaga pada ketika itu dengan barisan kepimpinan parti yang baru dipilih ditumpukan kepada Pilihan Raya Kecil tersebut. Alhamdulillah dengan gerak kerja yang sangat progressif kita mampu mengecilkan jurang majoriti kekalahan berbanding dengan keputusan yang diperolehi ketika PRU 13 yang lalu. Semua jentera yang menyumbang keringat dan tenaga telah melakukan yang terbaik.

Menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2013 kita digemparkan dengan berita bencana banjir yang melanda kawasan Pantai Timur. Sementara isu ini menjadi modal permainan persepsi parti pembangkang kita tanpa membuang masa telah menyiapkan Unit Kesatria Muda Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia ke kawasan bencana terlebih dahulu untuk menyampaikan bantuan, dan usaha ini berterusan sehinggalah kepada operasi pasca banjir untuk mencuci rumah setelah banjir surut. Di sini kita belajar bahawasanya dalam keadaan bencana kemanusiaan itu lebih penting dari politik.

Dugaan akan terus menerus datang tanpa mengira tahun dan waktu, disaat kita menanti detik 2014 tiba, masih ada lagi pihak yang tidak mengenal erti penat dalam mencabar keamanan yang telah lama kita kecapi ini. Perhimpunan demi perhimpunan dirancang dan usaha menghasut rakyat untuk turut sama berdemonstrasi menentang kerajaan semakin kuat hari demi hari. Makanya Jadilah rakyat yang cerdik, janganlah berkiblatkan emosi dan amarah kerana di negara tercinta ini kerajaan sentiasa menyediakan saluran untuk bersuara dengan lebih tertib dan beradab. Di pihak kerajaan juga saya harapkan agar terus mempertimbangkan dan memikirkan kaedah dalam menangani kenaikan kos sara hidup agar rakyat tidak terlalu dibebankan.

Mulakan tahun baru 2014 dengan takwim yang berkualiti, tinggalkan segala perihal yang merugikan, dan segera laksanakan agenda penambahbaikkan baik untuk diri sendiri, masyarakat mahupun generasi yang mendatang,

Selamat tahun baru.

Sumber azwanbro.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


Pihak admin yop-pasirsalak.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen di sini.

Semua pelawat dianggap setuju dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami dan kami tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen yang diutarakan.