Halaman

Sabtu, 22 Februari 2014

Hampir 6 Juta Rakyat Terima #BR1M3.0 Bermula Hari Ini @NajibRazak #Bajet2014

Dengan matlamat meringankan kos sara hidup rakyat berpendapatan rendah, kerajaan akan menyerahkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada hampir enam juta penerima yang telah berdaftar setakat ini.    

Sumber-sumber berkata, pemberian itu melibatkan perbelanjaan kira-kira RM3 bilion.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual merasmikan majlis pelancaran penyerahan BR1M 2014 peringkat kebangsaan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki hari ini.

Pemberian BR1M kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah dinaikkan daripada RM500 kepada RM650 manakala individu bujang berumur 21 tahun ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, nilai bantuan juga dinaikkan daripada RM250 kepada RM300.

Buat pertama kalinya BR1M diperluaskan kepada isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 dengan nilai bantuan sebanyak RM450.

Sumber itu berkata bantuan mampu diberikan kepada rakyat hasil langkah-langkah kerajaan membangunkan ekonomi negara ke arah landasan yang kukuh.

Jumlah penerima BR1M pada 2012 adalah lebih empat juta orang melibatkan perbelanjaan lebih RM2 bilion manakala pada tahun 2013 seramai hampir tujuh juta penerima dengan perbelanjaan hampir RM3 bilion.

Menurut sumber itu lagi, langkah-langkah kerajaan itu terbukti berkesan daripada beberapa petunjuk ekonomi yang dicatat pada tahun lepas (2013) seperti pelaburan swasta sebanyak lebih RM1 bilion, yang merupakan tertinggi sejak lima rahun, selain jumlah pelaburan asing langsung (FDI) berjumlah RM38.7 bilion.

Petunjuk lain termasuk pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.7 peratus pada 2013 manakala Malaysia juga mencatat kadar inflasi rendah sebanyak 2.1 peratus pada 2013, manakala FDI pada 2013 berjumlah RM38.7 bilion, yang tertinggi dalam tempoh lima tahun.

Menurutnya, defisit fiskal pula menurun daripada 6.7 peratus pada 2009 kepada 3.9 peratus pada 2013 manakala kadarnya bagi tahun ini disasarkan 4 peratus.

Bagi tahun 2014, kerajaan memperuntukkan kira-kira RM40 bilion untuk pelbagai subsidi termasuk lebih RM20 bilion untuk subsidi barangan asas seperti petrol, gas LPG, minyak masak, diesel, tepung gandum, dan beras manakala bantuan persekolahan pula berjumlah lebih RM10 bilion.

Menurutnya petunjuk-petunjuk itu menunjukkan ekonomi negara berada pada landasan yang betul dan langkah-langkah transformasi ekonomi yang dilaksanakan memberi impak.

Selain golongan berpendapatan rendah, golongan pertengahan juga banyak mendapat manfaat daripadanya. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


Pihak admin yop-pasirsalak.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen di sini.

Semua pelawat dianggap setuju dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami dan kami tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen yang diutarakan.