Barisan Nasional (BN) akan menggunakan pendekatan `gentleman' semasa musim berkempen menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang 23 Mac ini.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya tidak akan mendedahkan isu yang memalukan lawan sebaliknya menggunakan pendekatan berfakta yang lebih mengutamakan pengundi sendiri.
``Kita tahu BN jadi parti `underdog', kita nampak hanya perlu bertahan namun itu tidak bermakna kita akan kelihatan lemah berpanjangan.
``Kita akan guna taktik serangan dan menggunakan isu serta fakta yang akan mendedahkan kepincangan pentadbiran mereka selama ini,'' katanya.
Muhyiddin berkata demikian semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Tertutup Jentera BN di Pejabat Umno Hulu Langat.
Turut hadir, Pengarah BN bagi PRK DUN Kajang Datuk Seri Noh Omar, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Naib Ketua Pemuda UMNO Khairul Azwan Harun dan calon BN Datin Paduka Chew Mei Fun.
Dalam pada itu kata Muhyiddin, pengundi di Kajang diumpamakan raja yang harus diberi layanan utama.
``Mereka berhak menerima lebih dari apa yang dinikmati selama ini. Pengundi Kajang adalah raja dan jentera akan memberi keutamaan walau di mana mereka berada,'' ujarnya.
PRK Kajang dijadual berlangsung 23 Mac ini menyaksikan Chew bakal berdepan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon Bebas, antaranya bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim.
Ia diadakan berikutan peletakan jawatan secara mengejut penyandangnya Lee Chin Cheh dari PKR pada 27 Jan lepas bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding.
Ketika ditanya dakwaan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli tentang perjanjian persefahaman (MoU) penstrukturan semula industri air Selangor akan menaikkan tarif air, ini kata Muhyiddin;
``Kita menumpukan perkara penting seperti tarikh mula kerja, pengambilan lebih 75 keping tanah dan pelantikan kontraktor.
``Kita tidak tahu tentang isu kenaikan tarif air, walaupun penting...ia terletak di bawah kuasa kerajaan negeri,'' jelasnya.
Muhyiddin kemudian mengimamkan solat asar di di surau Al-Istiqomah, Taman Angkasa Indah sebelum melancarkan jentera wanita BN untuk PRK Kajang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Pihak admin yop-pasirsalak.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.
Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen di sini.
Semua pelawat dianggap setuju dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami dan kami tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen yang diutarakan.