Sebaik mengangkat sumpah dan dilantik Perdana Menteri ke-6 selepas PRU13 lalu, Najib Razak berdepan masalah merombak Kabinet. Ia isu sensitif kerana melibatkan parti-parti komponen BN.
Kita sedia maklum, anggota kabinet hari ini diwarisi daripada mantannya Pak Lah, justeru ia tentu tidak mahu disalah tafsir.
Perdana Menteri mempunyai kelebihan melantik jemaah menteri bukan mengikut profesionalisme masing-masing tapi lebih mengambil kira aspek politik.
Selain mengekalkan muka-muka lama dan menggugurkan mereka yang kurang berkesan, Najib melakukan sedikit transformasi.
Ini dibuktikan dengan membawa masuk beberapa muka baharu bukan dari ahli-ahli parlimen BN sebelum dilantik sebagai senator.
Tiga tokoh ini terdiri daripada Wahid Omar, Paul Low dan tokoh paling kontroversi tentulah Waythamoorthy. Pelantikan Wahid dan Paul diterima umum mengambil kira latar belakang masing-masing.
Namun pelantikan Waythamoorthy memberi tamparan hebat pada orang-orang Melayu yang pernah menjadi mangsa kritikannya.
Mereka belum lupa fitnah Moorthy selaku pemimpin Hindraf tempoh hari seperti dakwaan kerajaan mengamalkan sifat perkauman dalam urusan pentadbiran.
Ironinya dia bukan saja tidak dihadap di bawah Akta Hasutan sebaliknya dianugerahkan jawatan ini.
Hindraf juga membawa perjuangan mereka keluar negara.
Dalam PRU13 lalu prestasi Umno tidaklah begitu baik berbanding sebelum ini. Najib yang dikekalkan sebagai PM melantik Moorthy ke jawatan timbalan menteri walau menyedari ia bakal mencetus kontroversi.
MIC dan PPP selaku anggota komponen BN tersenyum sinis.
Seperti kita sebut tadi, Najib dikritik kerana melantik Moorthy, begitu juga sekarang apabila tokoh Hindraf itu buat hal semula.
Menjelang Pilihan Raya Kecil Dun Kajang, Najib berdepan satu lagi rombakan Kabinet gara-gara keputusan EGM MCA minggu lalu yang membuat pusingan 'U'.
Mereka mahu kembali menyertai Kabinet dan kerajaan. Paling lekeh tiga jawatan menteri serta beberapa timbalan menteri adalah hak mereka.
Hishammuddin Hussein yang ditugas memangku jawatan Menteri Pengangkutan rela melepaskannya kepada MCA. Ini mungkin peluang Najib untuk memperbetul keadaan, iaitu dengan melakukan rombakan lebih berjiwa rakyat.
Jika dilihat semula, kita dapati separuh daripada menteri atau timbalan menteri sedia ada sudah tidak lagi relevan dan boleh saja dipencenkan disebabkan faktor usia, kesihatan atau prestasi.
KPI mereka sejak Mei 2013 adalah manifestasi daripada faktor yang disebut tadi. Najib akan berdepan PRU14 dalam tempoh empat tahun setengah lagi dan takdir BN ketika itu dalam tangan pengundi muda. Dengan Kabinet dibarisi orang-orang pencen dan tak relevan ia bakal dinilai oleh kumpulan ini.
Perlu diberi pertimbangan ialah Mas Ermieyanti Shamsuddin, Ketua Puteri Umno sebagai penyandang menggantikan Rosnah Rashid Shirlin.
Malangnya Rosnah yang dilantik berdasarkan kuota Puteri Umno tempoh hari masih kekal dalam Kabinet berbanding penggantinya. Azalina Othman Said dan Noraini Ahmad dulupun hilang jawatan apabila tidak lagi jadi Ketua Puteri.
Khairy Jamaluddin sudah pun berjawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan, namun naibnya, Khairul Azwan Harun pula bagaimana?
Buat masa ini terdapat 30 menteri, 27 timbalan mewakili 82 ahli-ahli parlimen BN. Dari 24 kementerian, selain Najib dan Muhyiddin Yassin, 8 menteri berada di Jabatan Perdana Menteri. Kalau ibarat bas mini, ia kelihatan sesak seperti ikan sardin.
Selain itu persoalan seperti justifikasi Najib membawa masuk Wahid bergaji jauh lebih besar sewaktu mengetuai Maybank ke dalam kerajaan? Kalau kepakarannya diperlukan khidmatnya boleh ditagih tanpa perlu melantik sebagai menteri.
Perlukah seorang seperti Paul Low yang tiada pengalaman politik diberi peranan penting dalam Kabinet? Ia mungkin bagus tapi dari aspek politik merugikan BN semata-mata.
Mengambil kira semua faktor tadi peluang Najib memulih semula imej terutama selepas isu kangkung adalah dengan memberi pertimbangan serius dalam rombakan Kabinetnya. Biar ia sedikit dan tak ramai tapi berkualiti daripada banyak yang membebankan.
Pada tahap ini rakyat memerhati serta mengambil kira kualiti dalam banyak aspek kehidupan. Sebab itu ada menteri kena boo kerana gagal berikan jawapan yang memuaskan.
Najib sudah belajar daripada pengalaman mengambil Moorthy sebagai timbalan menteri yang berakhir dengan keadaan "backfire." Mereka yang berasa diri sudah tidak relevan, faham-fahamlah.
Zaman perdana menteri 'knows best' atau tahu siapa terbaik sudah lama berlalu. Pendekatan baharu dan segera adalah perlu dalam pelantikan anggota Kabinet.- Agendadaily
°°°
YPS yakin, selepas PRK Kajang ini, Najib pasti merombak kabinetnya. Yang menjadi tanda tanya, siapa yang bakal direhatkan??? Dan siapa yang bakal dibawa masuk???
Sama-sama kita tunggu dan lihat....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Pihak admin yop-pasirsalak.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.
Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen di sini.
Semua pelawat dianggap setuju dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami dan kami tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen yang diutarakan.