Halaman

Sabtu, 5 April 2014

@Azwanbro Minta #ESSCOM & #PDRM Tingkat Pemantauan Sempadan #Sabah @NajibRazak @PDRMsia


ESSCOM atau Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah adalah merupakan kawasan kawalan keselamatan yang meliputi 1,400km kawasan pantai timur Sabah bermula dari Kudat sehinggalah ke Tawau.

Ianya dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib bin Abdul Razak pada 7 Mac 2013 dengan tujuan menguatkan lagi kawalan keselamatan maritim di bahagian timur Sabah susulan dengan krisis pencerobohan yang kerap  berlaku dan menghalang sebarang kegiatan pengganas berlaku di perairan Sabah.

Kerajaan memberi jaminan bahawa kewujudan kawasan ini tidak akan menganggu kegiatan perdagangan atau perniagaan kecilan, sebaliknya ianya dapat membantu menghalang kegiatan penyeludupan dan memastikan keselamatan pantai timur Sabah sentiasa terjaga dari pencerobohan asing.

Namun, keberkesannya mula dipertikaikan apabila dua mangsa iaitu Gao Hua Yun seorang pelancong warga China berusia 29 tahun, dan seorang pekerja Resort Singamata Reef berusia 40 tahun yang berasal dari Filipina diculik pada 10.30 malam Rabu lalu.


Wajah pelancong China Gao Hua Yun yang diculik di Singamata Reef Resort, Rabu lalu.
Kedua-dua mangsa diculik oleh sekumpulan enam lelaki bersenjata yang tidak dikenali.

Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairul Azwan Harun turut memberi respon terhadap kes penculikan terbaru tersebut. 

Memetik muatnaik status beliau di laman twitter miliknya, Azwan meminta Esscom dan pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) meningkatkan pemantauan sempadan bagi melindungi perairan negara dari pencerobohan sekaligus memberi jaminan kepada keselamatan rakyat dan pelancung Sabah.

Pemantauan dan penguatkuasaan perlu dilakukan secara menyeluruh bagi menghalang kemasukan pendatang tanpa izin yang mahu mencari pekerjaan di negeri tersebut seperti yang dibangkitkan oleh Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOMM) Datuk Mohammad Mentek dalam taklimat khas insiden tersebut.

"Masalah pendatang tanpa izin (PATI) yang sudah sekian lama menghantui rakyat Sabah memerlukan penyelesaian menyeluruh, dan bukan diletakkan di bahu pihak keselamatan semata-mata, kata Mohammad Entek.

Cadangan melantik sukarelawan ESSCOM selain kerjasama nelayan tempatan perlu diberi perhatian kerana mereka dapat menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.

Apapun, kejadian ini perlu dijadikan iktibar oleh pihak-pihak yang dipertanggungjawabkan agar sentiasa berwaspada bagi mengelakkkan perkara sebegini tidak berulang apatah lagi ianya melibatkan pelancong asing.

Ini kerana, tidak dapat dinafikan bahawa Malaysia bergantung kepada industri pelancongan yang turut menyumbang sebanyak RM40-RM60 billion sebagai sumber pendapatan negara.

Perdana Menteri sendiri telah menetapkan tiga matlamat ESSCOM iaitu menjamin sepenuhnya keselamatan, memulihkan keyakinan orang ramai dan memulihkan keyakinan pelancong luar negara.

Mengetahui rakyat mereka menjadi mangsa penculikan tersebut, kerajaan China meminta Malaysia melakukan yang terbaik bagi menyelamatkan seorang rakyatnya yang telah diculik.

Duta Besar China ke Malaysia Dr Huang Huikang berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang tuntutan daripada kumpulan berkenaan.

Mengulas lanjut, Duta Besar China itu yakin kejadian tersebut tidak akan menjejaskan kemasukan pelancong China ke Malaysia.


KES PENCULIKAN DI SEMPOERNA 
● Oktober 1979, kumpulan lelaki bersenjata merampas feri, Saleha Baru, dengan 44 orang di dalamnya, di Semporna.
Mereka membebaskan 27 tebusan dalam masa dua hari, tetapi 17 ditahan selama berbulan-bulan sebelum mereka akhirnya dibebaskan.
Dua penumpang terbunuh dalam kejadian itu, seorang gadis berusia 11 tahun lemas dan seorang lelaki ditembak oleh perampas.
● 23 April 2000, sebuah kumpulan yang diterajui Abu Sayyaf menculik diculik 21 orang di Pulau Sipadan.
Mereka yang diculik dibawa ke kem kumpulan itu di Pulau Jolo di mana kesemua mereka ditahan selama enam bulan. 
Mereka kemudiannya dibebaskan secara berperingkat-peringkat dengan yang terakhir dikeluarkan pada 11 September tahun yang sama.
● 12 September 2000, 14 lelaki menaiki dua bot laju dengan bersenjatakan senapang M-16  menculik tiga rakyat Malaysia di Pulau Padanan, 38 kilometer (km) timur laut Semporna.
Tebusan diselamatkan apabila angkatan tentera Filipina melancarkan serangan terhadap pemberontak tersebut beberapa hari kemudian.
● 8 Februari 2010, dua rakyat Malaysia yang bekerja di ladang ternakan rumpai laut di Pulau Sebangkat ditangkap oleh lelaki bersenjata yang tidak dikenali.
Kedua-dua mereka yang diculik, Lai Wing Chau, 35, dan Tsen Vui Chung, 43, dijadikan tawanan selama lebih 10 bulan sebelum dibebaskan di Pulau Tawi-Tawi di selatan Filipina.
● 14 November 2012, Tung Wee Jie dan Wee Wei kedua-duanya adalah sepupu diculik di ladang sarang burung mereka yang dikendalikan keluarga di Lahad Datu.
Wee Jie, 26, berjaya melarikan diri dari penculik itu dengan melepaskan dirinya menggunakan garpu selepas ditawan selama hampir sembilan bulan di Pulau Jolo.
Sepupunya, Wee Wei, malangnya tidak dapat diselamatkan kerana meninggal dunia ketika berada dalam kurungan.
● 27 Ogos 2013,  kira-kira 20 lelaki bersenjata menculik sembilan nelayan Malaysia dari dua bot berhampiran Pulau Mabul.
Bagaimanapun, kumpulan lelaki bersenjata segera membebaskan mangsa dan melarikan diri selepas mereka ditipu oleh tawanan mereka belayar ke pangkalan Pasukan Gerakan Am berhampiran Pulau Mabul.
● 15 November 2103, kumpulan lelaki bersenjata menyerbu tiga daripada lima vila terapung di Pulau Pom Pom. 
Ketika pencerobohan itu, pelancong Taiwan, Hsu Lin Min, 57, terbunuh, dan isterinya Chang An Wei, 58, diculik.
Selepas 36 hari, beliau dibebaskan oleh penculik dan kembali dari pulau Jolo di selatan Filipina.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


Pihak admin yop-pasirsalak.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen di sini.

Semua pelawat dianggap setuju dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami dan kami tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen yang diutarakan.