Halaman

Ahad, 27 April 2014

#HUDUD: Kerjasama PAS & DAP Adalah HARAM - Ikatan Muslimin Malaysia

Kerjasama politik antara PAS dengan DAP disifatkan haram kerana DAP secara terang-terangan menolak pelaksanaan hukum Islam iaitu undang-undang jenayah syariah, hudud dan qisas yang hendak dilaksanakan oleh kerajaan negeri Kelantan, kata Ikatan Muslimin Malaysia, (ISMA).

Presiden ISMA, Abdullah Zaik Abd Rahman berkata syarat tahaluf siyasi antara PAS dengan DAP itu juga dianggap terbatal dan tidak sah lagi.

“Haram sekiranya PAS terus bersama DAP, lebih-lebih lagi ketika ini DAP secara terang-terangan menolak pelaksanaan hukum Islam,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Wanita Islam (KONWANIS) di Universiti Multimedia Cyberjaya, hari ini.

Ini kerana DAP menampakkan kemudaratan terhadap perjuangan dan penegakan Islam, tambahnya.
"Syarat tahaluf dalam syariat Islam bermakna orang bukan Islam harus menerima agenda Islam yang diperjuangkan, itu yang sepatutnya.”

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke dalam satu kenyataan pada Jumaat menggesa PAS untuk keluar daripada Pakatan Rakyat sekiranya ia bertegas mahu melaksanakan hudud di negara ini.

Ahli Parlimen Seremban itu menyifatkan tindakan PAS tersebut melanggar muafakat Pakatan Rakyat kerana pelan pelaksanaan hudud dibuat tanpa kata sepakat Majlis Presiden atau pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat.

"Sekiranya PAS bertegas untuk membuat sebarang keputusan dan tindakan yang tidak ada konsensus dalam Pakatan Rakyat, maka langkah yang paling terhormat dan sewajarnya untuk PAS ialah berundur dari Pakatan Rakyat," katanya.

Menurut Abdullah Zaik, isu hudud bukan isu kecil yang dinilai daripada sudut mekanisme pelaksanaan semata-mata sebaliknya ia turut mencerminkan kedudukan agama Islam.

Katanya, jika hudud berjaya dilaksanakan, ia akan meletakkan Islam di tempat yang tertinggi dan tidak boleh dicabar oleh sesiapa pun.

“Kita mahu letakkan Islam di mercunya yang tinggi. Kedudukan yang tiada siapa boleh cabar. Keadaan ini jika berjaya telah mendaulatkan Islam berada di atas.

“Tetapi sekarang ramai orang bangkang, tidak mahu Islam di atas, dengan alasan yang berbagai-bagai seperti pemotong daging, mahkamah dan lain-lain. Mereka sebenarnya tidak mahu Islam berada di atas,” ujar beliau.

Polemik mengenai hudud kembali timbul selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyatakan kesediaan kerajaan Persekutuan untuk menyokong mana-mana negeri yang mahu melaksanakan hudud.

Ekoran kenyataannya di Dewan Rakyat itu, kerajaan negeri Kelantan mengumumkan rancangan mahu mengemukakan rang undang-undang persendirian di Parlimen untuk membolehkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah 2 Kelantan yang tertangguh sejak 1993 dilaksanakan di negeri itu.

Kerajaan negeri Kelantan meletakkan sasaran pelaksanaan hudud dan qisas di negeri itu seawal-awalnya pada tahun depan.

Rancangan kerajaan negeri Kelantan itu kemudiannya mendapat bantahan pemimpin kanan DAP yang mengingatkan PAS bahawa pendirian parti itu berhubung hudud tidak pernah berubah. Beberapa ahli parlimen DAP juga menegaskan semua wakil rakyat DAP tidak akan menyokong rang undang-undang persendirian berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pula berkata kerajaan tidak pernah menolak hudud sebagai hukum yang telah ditetapkan oleh Allah tetapi banyak perkara yang perlu diselesaikan sebelum ia dapat dilaksanakan.

Katanya, ada banyak kekangan dan keutamaan yang perlu diselesaikan dan diperhalusi sebelum hukum hudud ini dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan matlamat hukum yang sebenar.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan


Pihak admin yop-pasirsalak.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen di sini.

Semua pelawat dianggap setuju dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami dan kami tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen yang diutarakan.