Halaman

Selasa, 22 April 2014

#SPAD Gantung 27 Permit Bas Transnasional Melibatkan Laluan Timur—Sektor Utara


Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan menggantung 27 permit bas ekspres Transnasional.

Penggantungan yang berkuatkuasa 23 April 2014 itu melibatkan laluan timur-sektor utara.


Keputusan tersebut dibuat berdasarkan hasil pengauditan yang mendapati pihak syarikat tidak memantau had kelajuan dan Global Positioning System (GPS) tidak berfungsi.

Ia susulan kemalangan melibatkan bas syarikat tersebut yang mengakibatkan 3 orang maut.

Ketua pegawai eksekutifnya, Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal dalam satu kenyataan berkata, pihaknya juga tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas keatas syarikat-syarikat lain sekiranya terdapat pelanggaran syarat pelesenan.

Segala aspek pengurusan keselamatan, pemandu dan penyelenggaraan bas perlu diberi penekanan serius oleh syarikat bas ekspres.

Tambah Nur Ismal, setiap bas persiaran dan bas ekspres wajib dilengkapi dengan GPS sejak tahun 2010 dan perkara ini termaktub dalam syarat perlesenan.

Katanya setiap pengendali juga harus memastikan GPS berfungsi dan dipantau sepenuhnya selain memastikan penyelengaraan kenderaan dilakukan secara betul dan berkala.

Baru-baru ini, SPAD menerusi sebuah kenyataan memaklumkan akan menjalankan siasatan terperinci ke atas kemalangan tersebut yang berlaku pada 12 April.

Menurut SPAD, antara aspek yang akan diteliti ialah pengurusan keselamatan, pemandu dan penyelenggaraan syarikat bas berkenaan.

"SPAD tidak akan berkompromi dan pasti mengambil tindakan tegas terhadap pengendali (bas yang terbabit) sekiranya mereka melanggar syarat yang termaktub termasuk dalam Akta Pengangkutan Awam Darat 2010," kata badan itu.

Tiga penumpang termasuk sepasang suami isteri maut apabila bas yang dinaiki terbabas sebelum merempuh tiang elektrik dan terbalik di KM11, Jalan Bentong-Raub berdekatan kawasan Bilut awal pagi 12 April lalu.

Dalam kejadian jam 12.30 pagi itu, bas dua tingkat milik Transnasional yang dinaiki 68 penumpang itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu.

Ketua Polis Daerah Bentong, Supt Mohamad Nor Mansor berkata siasatan awal kemalangan tersebut mendapati bahawa bas dipercayai telah hilang kawalan di satu selekoh di kawasan berkenaan sebelum melanggar beberapa tiang elektrik di sebelah kanan jalan sebelum terbalik ke kiri jalan.

“Sebelum bas tersebut hilang kawalan, pemandu bas dipercayai telah memotong beberapa kenderaan dan tempat kejadian merupakan kawasan menuruni bukit. Semasa kejadian pula keadaan persekitaran gelap dan permukaan jalan adalah kering,” katanya lagi.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali,
  1. Saeed Mohamad Mohamud Abdalla, 31, warga Somalia dan,
  2. Isterinya Zarifah Alias, 26, serta
  3. seorang lelaki, Suhaisam Che Abdulla, 33.
Saeed Mohamad adalah seorang pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur manakala isterinya Zarifah pula berasal dari Kota Bharu, Kelantan dan Suhaisam pula berasal dari Batang Kali, Selangor.

Ketiga-tiga mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

10 mangsa yang cedera pula adalah;
  1. Wan Khairul Affendi Mustafa, 35, pemandu bas yang patah kaki kanan,
  2. Ruwaidi Jusuh, 35,
  3. Nur Sazren Fazhera Mohd Shanif, 20,
  4. Norzamera Abd Manaf, 24,
  5. Low Wan Yi, 23,
  6. Siti Nabila Mohd Nasir, 23,
  7. Tuan Rosnani Tuan Mohd Din, 22,
  8. Wan Muhamad Husin Abdullah, 54,
  9. Faizah Abdullah, 89 dan,
  10. seorang warga Thailand yang dikenali sebagai Mamalutfee.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


Pihak admin yop-pasirsalak.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen di sini.

Semua pelawat dianggap setuju dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami dan kami tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen yang diutarakan.