Halaman
▼
Sabtu, 17 Mei 2014
#PRKTelukIntan: Dijangka Saingan Tiga Penjuru, #BN, #DAP & #BEBAS @MuhyiddinYassin @azwanbro #Gerakan #BN4TelukIntan
Presiden GERAKAN, Datuk Mah Siew Keong diumum sebagai calon Barisan Nasional (BN) bertanding pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Teluk Intan.
Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di hadapan ribuan penyokong BN di perkarangan Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) di sini sebentar tadi.
Muhyiddin berkata, keputusan itu diputuskan sendiri oleh Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata, pemilihan Siew Keong sebagai calon adalah yang terbaik kerana beliau calon berpengalaman yang pernah memberikan perkhidmatannya di kawasan itu sebelum ini.
"Walaupun pada pilihan raya yang lalu beliau menghadapi kekalahan..namun calon kita dikenali dan tahu apa isu dan masalah yang timbul, " katanya kepada pemberita.
Muhyiddin berkata, Siew Keong juga sudah lama berkecimpung dalam politik, banyak berjasa dan cukup mengenali selok belok serta dekat dengan pengundi di Teluk Intan.
Manakala, DAP bakal diwakili oleh Setiausaha Politik Lim Kit Siang, Dyana Sofya Mohd Daud, 27, sebagai calon parti itu.
Pengumuman itu dibuat Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, di depan Bilik Operasi DAP untuk PRK Teluk Intan di sini hari ini.
Lim berkata pemilihan Dyana Sofya berdasarkan tiga faktor iaitu untuk mewakili golongan muda, memberi peluang kepada wanita serta mahu menonjolkan kepelbagaian kaum dalam DAP.
Rabu lalu, bekas Naib Pengerusi Jawatankuasa Interim DAP Kedah, Syed Araniri Syed Ahmad, turut mengumumkan akan bertanding pada PRK Parlimen Teluk Intan, sebagai calon Bebas.
Syed Araniri, 40, yang menjalankan perniagaan Perubatan Islam di Alor Setar, berkata beliau memutuskan demikian selepas berbincang dengan anggota keluarga, rakan-rakan bekas anggota DAP dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Selepas keluar daripada DAP Mei tahun lalu, saya tidak terikat dengan mana-mana parti politik, jadi saya akan bertanding atas tiket Bebas. Saya yakin keputusan bertanding atas tiket Bebas ini akan mendapat sokongan padu pengundi Melayu Islam dan pengundi lain yang 'tidak berselera' dengan mainan politik DAP dan Gerakan," katanya dalam sidang akhbar di Alor Setar.
Syed Araniri berkata antara faktor utama membuatkannya mahu bertanding di Teluk Intan adalah bagi mendedahkan agenda DAP dalam politik Malaysia yang boleh memberi kesan buruk kepada masyarakat Melayu dan Islam.
Syed Araniri merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Bimbingan dan Kaunseling Islam, Institut Agama Islam Negeri Sultan Syarif Kasim, Riau, Indonesia.
PRK Parlimen Teluk Intan diadakan berikutan kematian penyandangnya Seah Leong Peng, 58, daripada DAP pada 1 Mei lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon PRK Teluk Intan pada 19 Mei dan pengundian pada 31 Mei.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Pihak admin yop-pasirsalak.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.
Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen di sini.
Semua pelawat dianggap setuju dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami dan kami tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen yang diutarakan.