Halaman

Rabu, 11 Jun 2014

#UtusanMalaysia: Mendepani Survival Perjuangan Bangsa - @Azwanbro @Khairykj #PemudaUMNO


SAYA berasa terpanggil bagi membincangkan perjuangan bangsa secara terbuka setelah menyedari akan keperluan mendesak ke atas usaha mempersiapkan anak bangsa menghadapi cabaran semasa dan akan datang.

Saya juga berasa bertanggungjawab selaku pemimpin Pemuda bagi menyediakan barisan pelapis kepimpinan parti untuk terus menakhoda zaman dan mendepani survival perjuangan bangsa. Namun begitu, cabaran abad ke-21 amatlah berbeza berbanding cabaran dihadapi oleh pejuang bangsa terdahulu.

Justeru, saya berpendapat bahawa sudah sampai masanya kita membuka lembaran ataupun lebih tepat lagi sebuah wadah baru dalam membicarakan tentang perjuangan bangsa ini. Hari ini, kita tidak boleh berpuas hati hanya dengan survival bangsa tetapi kita perlu menjadi sebuah bangsa yang bermartabat dan dipandang tinggi kerana ilmu dan perilakunya.

Perjuangan bangsa bermula dari zaman penjajahan seawal sejarah Melaka dengan kebangkitan menentang Portugis dan Belanda. Ia kemudian diteruskan lagi apabila Tanah Melayu dijajah oleh British dengan kebangkitan bangsa Melayu dan tidak dilupai juga kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak terhadap kerajaan British.

Perjuangan bangsa terus menjadi pasak dan teras masyarakat Melayu setelah Jepun menakluki Tanah Melayu. Kemudian proses kemerdekaan bermula melalui rundingan meja bulat dan diplomasi terpimpin dengan pihak British apabila mereka kembali mentadbir Tanah Melayu setelah Perang Dunia Kedua tamat.

Walaubagaimanapun, perjuangan bangsa kemudian memasuki era lebih mencabar apabila pelbagai pihak cuba menjuarai kemerdekaan dan penubuhan sebuah negara bangsa untuk menegakkan agenda dan kepentingan kumpulan tersendiri sehingga menidakkan amalan demokrasi. Ini menzahirkan tompok hitam sejarah perjuangan dan dicemari dengan pertumpahan darah tanpa diduga.

Apa pun jua yang mewarnai perjalanan semangat kebangkitan itu sendiri, perjuangan bangsa dilihat oleh beberapa pengkaji sejarah sebagai selari dengan semangat nasionalisme yang lahir selepas Perang Dunia Kedua. Perjuangan bangsa ini ditakrifkan sebagai meliputi usaha-usaha yang bertujuan memelihara, memperbaiki dan memajukan kedudukan dan kepentingan orang Melayu dalam semua bidang termasuk politik, ekonomi dan kemasyarakatan.

Justeru, tidak saya nafikan bahawa semangat perjuangan bangsa Melayu perlu disemarakkan pada setiap masa kerana ia sentiasa mendasari proses pembentukan anak bangsa yang tidak cetek ilmu sejarah dan memiliki perasaan kecintaan mereka terhadap bangsa dan negara atau erti lain semangat patriotisme menebal.

Di sini, saya ingin meneruskan perbincangan dengan menumpukan pemikiran dan perdebatan ke arah pembentukan anak bangsa yang benar-benar mampu meneruskan semangat perjuangan bangsa dalam kelangsungan survival politik bangsa Melayu di bumi Malaysia ini.

Saya beranggapan bahawa kini kita berada di satu persimpangan dan tidak mahu tidak kita perlu terus bergerak ke hadapan seiring dengan perubahan zaman. Sebagai orang Melayu, saya rasa kita mampu untuk maju semahunya namun begitu antara perkara utama yang menjadi faktor kepada wujudnya rintangan dalam mencapai kemajuan adalah sikap negatif seperti hasad dengki, malas dan penting diri.


Sikap seperti ini menyebabkan kaum Melayu tanpa menyedari, lupa akan sejarah kebangkitan perjuangan bangsa. Saya tidak malu untuk menyatakan bahawa kita lupa antara faktor kejayaan pimpinan terdahulu terutama yang memerdekakan negara adalah ketinggian ilmu dan jati diri utuh sebagai bangsa Melayu. Selain itu, sikap kita sebenarnya menjadi menyumbang kepada kesukaran meneruskan perubahan dan penambahbaikan terhadap diri dan masyarakat.

Sikap juga menyebabkan kita gagal untuk mengiktiraf ilmu sebagai "critical success factor" atau faktor kritikal untuk berjaya selain sistem sokongan disediakan oleh wadah politik Melayu. Perlu diingat sistem sokongan ini boleh hilang sekelip mata tatkala kuasa politik bangsa lenyap dalam sistem demokrasi negara setiap lima tahun.

Apa yang dimaksudkan adalah sejauh mana kemampuan anak bangsa hari ini untuk meneruskan legasi dan tradisi perjuangan bangsa dalam konteks dunia moden yang semakin mencabar. Masyarakat kini memandang tinggi dan mempunyai pemikiran yang progresif dan analitikal terutamanya di kalangan generasi muda. Dua ciri ini membuka ruang kepada generasi muda hari ini untuk menjadi lebih kritikal dan jika tidak dilentur dengan diskusi dan disantun dengan bimbingan, saya khuatir mereka ini berubah menjadi radikal dan ekstremis.

Perlu kita bertanya sejauh mana kesedaran anak bangsa hari ini bahawa survival perjuangan bangsa pasti lenyap sekiranya kita hilang kuasa politik. Oleh sedemikian, perlu kita sedar sebagai umat Melayu bahawa dunia Melayu itu sendiri sudah berubah. Dunia terbentang di hadapan kita adalah dunia baru atau 'new order' bagi mereka yang punyai kemampuan minda dan jati diri untuk meneruskan survival perjuangan bangsa.

Selain itu, anak bangsa hari ini bukan sahaja perlu mendepani arus perubahan dengan menguasai ilmu duniawi namun perlu turut disulami dengan ilmu agama bagi menjadikan anak bangsa Melayu abad ke-21 sebagai individu yang terpuji akhlaknya dan disanjung akalnya.

Perjuangan bangsa pada abad ini akan terhakis nilainya apabila anak bangsa sibuk mengejar kejayaan dan kebanggaan di dunia sehingga lalai dan alpa tentang mengejar kejayaan di akhirat kelak, sedangkan kita semua tahu bahawa salah satu paksi utama perjuangan bangsa generasi terdahulu adalah agama Islam.

Namun, saya percaya kita mampu mendukung tanggungjawab meneruskan perjuangan ini, tetapi untuk menjadi lebih baik dan terus cemerlang, bangsa Melayu perlu mampu berdebat dan berhujah secara ilmiah dan berhemah.

Hari ini dan masa mendatang kita tidak boleh takut dengan perdebatan idea dan percanggahan pendapat. Ini kerana lahirnya pemimpin bangsa yang tajam akalnya adalah daripada persekitaran yang menggalakkan perdebatan pendapat, yang mengangkat penghujahan berhemah dan menghormati perbezaan pendapat.

Justeru, bersedialah anak bangsa dengan pelbagai cabaran dan dugaan menanti dalam usaha kita meniti perubahan. Jadilah kita dengan kekuatan jati diri dan tahap keilmuan yang tinggi seperti pemimpin terdahulu Dato' Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Ismail. Selamilah pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam 'The Malay Dilemma'. Jelmakanlah dalam diri kita sebuah perjuangan yang berlandaskan kepada kesederhanaan di mana perlu kita hindari daripada menjadi kumpulan ekstremis kanan ataupun kiri.

Selami dan rasailah juga perasaan, kehendak dan aspirasi generasi muda hari ini. Semoga dengan kesanggupan dan keikhlasan untuk berubah sikap, kita tidak akan hilang jati diri dan survival perjuangan bangsa yang tercinta buat selamanya.

* PENULIS ialah Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
★ Disiarkan di akhbar Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


Pihak admin yop-pasirsalak.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen di sini.

Semua pelawat dianggap setuju dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami dan kami tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen yang diutarakan.