Halaman

Khamis, 23 Oktober 2014

Golongan Pendapatan Tinggi Bayar #RON95 Ikut Harga Pasaran Mulai Jun 2015


Harga jualan petrol RON95 bagi golongan berpendapatan tinggi adalah mengikut harga pasaran mulai Jun tahun hadapan, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

"Mereka akan membayar harga RON95 mengikut harga pasaran. Misalnya kalau harganya RM2.58 sen seperti sekarang, maka RM2.58 sen lah. Mungkin bila harga minyak dunia turun, maka turunlah. Kalau naik terpaksalah (bayar lebih tinggi)," katanya.

Golongan berpendapatan rendah dan sederhana pula akan terus menikmati RON95 pada harga subsidi.

"Sistem ini lebih adil sebab hanya golongan yang layak sahaja akan menerima subsidi," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan taklimat berkenaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) untuk pegawai kanan Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) serta agensi-agensi dibawahnya di sini hari ini.

Harga RON95 ketika ini ialah RM2.30 seliter.

Ahmad berkata mekanisme dan kaedah pelaksanaannya sedang diperhalusi Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan sama ada menggunakan MyKad atau kad-kad lain.

Menurutnya sistem yang sama akan turut dilaksanakan kepada pengguna diesel mulai Januari tahun depan melalui menggunakan kad fleet.

Dalam sidang media yang sama, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata taklimat mengenai CBP itu amat penting supaya rakyat tidak mudah terpengaruh dengan perkara tidak benar yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya penerangan kepada penduduk luar bandar juga akan diperhebatkan bukan sahaja menerusi taklimat ke seluruh negara oleh Kementerian Kewangan sendiri, malahan melibatkan agensi-agensi di bawah KKLW.

Ia penting supaya kefahaman mengenai CBP itu dapat diperjelaskan hingga ke peringkat akar umbi, kata beliau. [BERNAMA]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


Pihak admin yop-pasirsalak.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen di sini.

Semua pelawat dianggap setuju dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami dan kami tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen yang diutarakan.