Halaman

Ahad, 5 Oktober 2014

Majlis Penyerahan Kunci Masjid Al Azhar Balun Bidai @azwanbro @hairul_own @YBUDR #YTPS


[KEMASKINI] Bagi penduduk Kampung Balun Bidai, sambutan perayaan Hari Raya Adil Adha 1435H tahun ini amat bermakna buat mereka apabila masjid baharu siap dibina dan boleh digunakan untuk solat sunat hari raya pagi nanti.

Masjid yang diberi nama Masjid Al Azhar dibina diatas tapak seluas hampir 3 ekar dengan menelan belanja RM900 ribu ringgit bagi kos pembinaannya dan mampu menempatkan 500 jemaah pada satu-satu masa.

Kos pembinaan masjid tersebut diperolehi hasil sumbangan Dato' Ir Haji Harun Ahmad Saruji (Bapa Khairul Azwan) sebanyak RM400 ribu, peruntukan khas Timbalan Perdana Menteri sebanyak RM400 ribu dan selebihnya dari sumbangan orangramai serta beberapa badan bukan kerajaan.

Berucap pada Majlis Penyerahan Kunci yang diadakan selepas solat maghrib semalam, Ketua UMNO Cawangan Balun Bidai Khairul Azwan Harun melahirkan rasa syukur kerana segala urusan pembinaan masjid tersebut berjalan lancar.

"Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana segala urusan pembinaan masjid baharu kita berjalan dengan baik biarpun kita menjangkakan masjid ini dapat digunakan pada Hari Raya Aidilfitri yang lalu namun terdapat sedikit kelewatan. Tetapi dengan izin Allah SWT juga kita dapat menggunakan untuk solat sunat Aidil Adha pagi esok.

Azwan yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia berkata, segala perancangan pembinaan masjid ini bermula sejak dari tahun 2011 bagi menggantikan Masjid Al Aqram yang telah berusia lebih dari seratus tahun.


Timbalan Mufti Negeri Perak, Tuan Haji Zamri Hashim hadir menyerahkan surat kebenaran pada Jumaat lalu
"Pembinaan masjid ini baru disiapkan di fasa pertama, masih ada lagi 2 fasa melibatkan pembinaan pagar dan menghias kawasan masjid.

Beliau dan jawatankuasa masjid sedang mempertimbangkan hiasan dalaman yang sesuai dan mimbar baharu yang ditempah khas dari Indonesia dijangka sampai pada bulan hadapan.

"Saya juga sedang menyediakan pelan pembangunan sekitar kawasan masjid ini termasuk membina pusat maahad tahfiz yang mampu menempatkan 40 orang pelajar serta membina gerai untuk kita sewakan kepada penduduk kampung yang ingin berniaga," ujarnya.

Sebelum mengakhiri ucapannya, Azwan mengingatkan ahli kariah Kampung Balun Bidai agar sentiasa menjaga perpaduan dan meneruskan tradisi berjemaah di masjid pada setiap waktu solat memandangkan masjid baharu ini berada dekat dengan kawasan rumah penduduk kampung.

"Jadikanlah Masjid Al Azhar ini sebagai pusat penyatuan ummah dalam mengeratkan lagi hubungan sesama penduduk kampung dan dalam masa yang sama memperkukuhkan kekuatan Islam yang perlu dipelihara kesuciannya," katanya.

Azwan turut menyaksikan penyerahan kunci masjid yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Operasi YBUDR Encik Hairul Anwar Mohamad Noor dan diterima oleh Imam Masjid Al Azhar.

YBUDR melalui anak syarikatnya YBU Holdings Bhd telah dilantik sebagai pengurus projek bagi pembinaan Masjid Al Azhar yang bermula penghujung 2013.

Masjid Al Azhar ini juga dilengkapi dengan ruang solat utama, 3 ruang solat terbuka dan ruang solat wanita. Antara kemudahan lainnya, bilik mandi, tandas, ruangan wuduk, rumah masak serta kemudahan parkir kenderaan.

Hadir sama, Naib Pengerusi Yayasan Transformasi Pasir Salak (YTPS) Zulkipli Zakaria dan Pengerusi Sekretariat Pembangunan Modal Insan YTPS, Rashid Bidin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


Pihak admin yop-pasirsalak.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen di sini.

Semua pelawat dianggap setuju dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami dan kami tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen yang diutarakan.