Halaman

Rabu, 8 Oktober 2014

#PemudaUMNO Harap #Bajet2015 Beri Impak Kepada Golongan Muda - #NKPUM @azwanbro @NajibRazak


Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia Khairul Azwan Harun berharap Bajet 2015 yang akan dibentangkan 10 Oktober depan akan memperkenalkan program dan bantuan yang benar-benar dapat memberi impak dalam menangani kenaikan kos sara hidup rakyat, terutama kepada generasi muda yang baharu memulakan kerjaya atau keluarga.

"Kita berharap agar insentif-insentif baharu dapat diperkenalkan dalam Bajet 2015, terutama untuk membantu rakyat menangani kenaikan kos sara hidup.

"Sekiranya mempunyai kesan daripada pengurangan subsidi minyak, ia dapat diterjemahkan bukan saja dalam bentuk BR1M tapi insentif-insentif lain yang dapat juga membantu golongan muda yang bekerja, samada sepenuh masa ataupun separuh masa bagi menangani isu kos sara hidup mereka," katanya.

Menurut Azwan lagi, selain kenaikan kos sara hidup, antara isu utama yang dihadapi oleh generasi muda masa kini adalah isu perumahan.

Justeru, Pemuda UMNO juga mengharapkan agar kerajaan memperkenalkan insentif dan skim perumahan untuk membantu golongan generasi muda, terutama yang berada di dalam kawasan bandar.

Ketua Pemuda yang juga Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin pada 26 Ogos lalu mencadangkan agar kerajaan membina bandar belia di kawasan pinggiran bandar melalui Bajet 2015.

Menyokong cadangan ketuanya, Azwan turut mencadangkan agar kerajaan mengadakan kerjasama dengan pihak swasta untuk membangunkan bandar belia yang terletak tidak jauh daripada pusat bandar.

Sambil melahirkan keyakinan bahawa pihak Kementerian Kewangan mempunyai statistik dan perancangan yang teliti, Azwan berharap bajet tahun hadapan benar-benar mempunyai kesan dan impak positif kepada generasi muda.

Pemuda UMNO Kutuk Tindakan Anwar Tagih Simpati Luar.

Mengulas tindakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat cuba menagih simpati pihak asing berhubung pendakwaan terhadapnya, Azwan berkata tindakan tersebut akan memberi musibah kepada negara.

"Pemuda UMNO memandang serius tindakan Ketua Pembangkang itu kerana berdasarkan pengalaman lalu, Anwar akan mencari pelbagai alasan untuk menagih simpati pihak luar. 

"Pemuda UMNO mendesak kerajaan segera mengambil tindakan untuk menjelaskan kedudukan sebenar kepada pihak asing," ujarnya.


Terdahulu, Azwan menyampaikan bungkusan daging korban kepada para penerima di Majlis Korban Perdana Masjid Al-Azhar yang diadakan di Kampung Balun Bidai, Kampung Gajah, pada Isnin lalu.

Hadir sama, EXCO Kerajaan Negeri Perak YB Dato' Haji Zainol Fadzi Paharuddjn yang turut mengedarkan bungkusan daging korban.

Ibadah korban tersebut dianjurkan oleh Azwan dengan kerjasama Yayasan Transformasi Pasir Salak (YTPS) sempena menyambut Hari Raya Aidil Adha.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


Pihak admin yop-pasirsalak.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen di sini.

Semua pelawat dianggap setuju dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami dan kami tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen yang diutarakan.