Halaman

Rabu, 4 April 2012

MURTAD :JAKIM sahkan NGO guna nama kebajikan

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengesahkan wujud gerakan memurtadkan umat Islam yang didalangi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tertentu dan berselindung di sebalik kegiatan kebajikan yang disifatkan semakin serius di Malaysia. Malah, JAKIM, polis dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) di seluruh negara sudah lama mengesan kegiatan merosakkan akidah umat Islam dipercayai dirancang secara tersusun oleh NGO terbabit.

Bagaimanapun, pihak berkuasa termasuk JAKIM, polis dan JAIN sukar mengambil tindakan berikutan kesukaran memperoleh bukti untuk dibawa ke mahkamah, selain tiada pihak tampil membuat pendedahan dan laporan rasmi.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Othman Mustapha, berkata antara modus operandi sering digunakan NGO terbabit adalah berselindung di sebalik program kemasyarakatan dan kebajikan seperti menawarkan bantuan keperluan harian, kewangan dan peluang pekerjaan serta pelajar di universiti tempatan atau luar negara.

"Mereka mengambil kesempatan menyebarkan doktrin agama lain secara perlahan-lahan sehingga ada daripada mereka sanggup keluar agama Islam," katanya ketika ditemui Berita Harian, di sini.

Malah, beliau berkata, JAKIM sudah lama memantau dan menerima maklumat gerakan memurtadkan umat Islam seperti didedahkan media berlaku di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), yang diserbu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), tahun lalu.
"Kita juga mengetahui kewujudan gerakan sulit didalangi NGO yang beroperasi di premis tertentu untuk mempengaruhi masyarakat Islam menerusi pemberian bantuan kebajikan dan kegiatan amal.

"Jadi, Menteri di Jabatan Perdana, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengarahkan JAKIM memperkemaskan undang-undang sedia ada bagi menangani masalah murtad," katanya.

Kelmarin, media melaporkan bekas EXCO Selangor, Datuk Dr Hasan Ali, mendedahkan kandungan video kepada media pengakuan sepasang suami isteri mendakwa dimurtadkan oleh gerakan Kristianisasi yang didakwa bergerak aktif di negara ini.

Othman berkata, kebanyakan negeri di Malaysia sudah mempunyai undang-undang khusus menangani gerakan murtad seperti Enakmen dan Sekatan Penyebaran Doktrin Agama Lain termasuk Kristianisasi di kalangan umat Islam di Malaysia.

JAKIM juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) memantau dan menyekat kegiatan memurtadkan umat Islam menerusi internet seperti laman sosial Facebook dan blog.

Sementara itu, JAKIM akan mengadakan pertemuan dengan Hasan bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung video gerakan memurtadkan umat Islam di negeri itu.

YPS ~ peranan semua pihak bagi membendung gerakan ini. Ummah kena bersatu menyelamatkan Aqidah. Bukan sekadar retorik kononnya memperjuangkan Islam tapi kerana kuasa sanggup menggadai segalanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


Pihak admin yop-pasirsalak.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen di sini.

Semua pelawat dianggap setuju dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami dan kami tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen yang diutarakan.