Halaman

Rabu, 4 April 2012

Vale SA :Nizar Mengaku Tandatangan




Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, mengakui menandatangani surat bertarikh 17 Disember 2008 berhubung sokongan terhadap projek pusat pengagihan bijih besi Vale International dan kesahihan kandungan surat berkenaan.

Perkara itu diakuinya selepas Tan Sri Tajol Rosli Ghazali (BN-Pengkalan Hulu) yang menggunakan Perintah Tetap 23 (c) meminta ADUN Pasir Panjang itu menyatakan sama ada kandungan surat yang dibacakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, sebelum itu benar atau sebaliknya.

"Saya mengakui surat itu sahih, benar dan saya yang menandatangani surat berkenaan. Surat itu adalah benar," kata Mohammad Nizar pada hari kedua persidangan DUN Perak di sini hari ini.

Terdahulu, ketika menjawab soalan Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Sitiawan), Zambry berkata isu berhubung kelulusan terhadap pelaburan projek pengagihan bijih besi oleh Vale International di Perak sepatutnya dijawab oleh Mohammad Nizar kerana beliau menjadi menteri besar ketika itu.

Ngeh mahu penjelasan mengapa kerajaan Barisan Nasional (BN) meluluskan projek bijih besi itu di Teluk Rubiah, Lumut, sedangkan kerajaan negeri di bawah pimpinan pakatan pembangkang sudah mencadangkan di Tanjung Hantu, Bagan Datoh.


Zambry berkata, soalan yang dikemukakan oleh Ngeh menimbulkan kehairanan kepadanya kerana isu pelaburan Vale di Perak yang dimainkan bagi kepentingan politik pembangkang sepatutnya ditujukan kepada Mohammad Nizar yang bertanggungjawab sebagai menteri besar semasa pentadbiran pembangkang.

"Isu ini dimainkan oleh pakatan. Mohammad Nizar bersungguh-sungguh mendakwa tidak pernah langsung bersetuju dengan projek ini, beliau mendakwa projek itu dicadangkan di tempat lain...lantas pelaburan Vale di Teluk Rubiah sudah menjadi isu," katanya.

Beliau menjelaskan Vale sebelum itu sudah membuat kajian bagi pelaburan itu di Thailand, Vietnam, Filipina serta Malaysia dan akhirnya pada 2007 syarikat berkenaan memuktamadkan projek itu akan dijalankan di Perak, Malaysia kerana mempunyai persekitaran yang lebih kondusif.

"Mereka menjalankan kajian teknikal khususnya mengenai kedalaman dasar laut terutama bagi laluan kapal-kapal besar. Kawasan di Teluk Rubiah didapati paling sesuai dengan saiz keluasan tapak dan kedalaman dasar laut," katanya.

Beliau berkata, selepas melalui proses rundingan dengan beberapa pihak, Vale akhirnya mencapai kata putus mengenai rundingan dengan Harta Makmur Sdn Bhd yang juga pemilik kepada tanah di Teluk Rubiah dan menteri besar pada ketika itu sudah mengeluarkan surat sokongan kepada projek itu bertarikh 17 Disember 2008.

"Kandungan surat itu akui bahawa projek Vale itu akan mendapat lesen pelaburan dan insentif. Surat itu turut memaklumkan Perak berasa sukacita apabila dimaklumkan mengenai perkembangan positif antara Vale dan Harta Makmur berhubung tapak tanah.

"Selain itu, Perak akan memproses pindah milik itu dan tukar syarat tanah daripada pelancongan kepada industri," katanya.

Dengan penjelasan berhubung isu projek pelaburan Vale yang dicetuskan pakatan pembangkang itu, Zambry berkata dalam usaha memacu pertumbuhan ekonomi negeri, kelakuan pembangkang membuat tomahan, fitnah dan tuduhan tidak berasas adalah tidak wajar.

Beliau berharap projek pelaburan bijih besi oleh Vale itu akan menjadi penjana ke arah pertumbuhan yang besar kepada negeri Perak dan tidak dijadikan bahan serta gadaian politik murahan sehingga ada ADUN pembangkang yang terbabit dalam demonstrasi di Teluk Rubiah baru-baru ini.


Pada Sabtu lalu, Mohammad Nizar, Ngeh dan ADUN Tronoh, V Sivakumar, menyertai 100 anggota Jaringan Aktivis Alam Sekitar Perak (JAASP) mengadakan bantahan operasi syarikat bijih besi Vale SA di Teluk Rubiah yang didakwa akan memusnahkan alam sekitar di kawasan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


Pihak admin yop-pasirsalak.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen di sini.

Semua pelawat dianggap setuju dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami dan kami tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen yang diutarakan.