Halaman

Ahad, 27 Oktober 2013

10 TANGGAPAN SALAH TERHADAP ISLAM SEBAGAI AGAMA RASMI PERSEKUTUAN.




Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi di Negara ini memartabatkan Islam sebagai Agama Negara [Fasal 1 Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan] “Islam adalah agama bagi Persekutuan;”  atau dalam teks asalnya  “Islam is the religion of the Federation;”.

Jika diterjemahkan ke bahasa Arab ia bermaksud. “Al Islam deen alDawlah”. Bersandar kepada ketinggian kedudukan Islam sebagai Agama Negara ini, Fasal 1 Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan mewajibkan Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong untuk membuat satu komitmen atas nama suci Allah dengan melafazkan sumpah untuk memelihara agama Islam pada semua masa. 


Lafaz sumpah ini dilakarkan secara khusus di dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan seperti berikut:-
Sumpah Jawatan Bagi Yang di-Pertuan Agong 
dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong
BAHAGIAN I 
Kami ........................ibni ..................................

Yang di-Pertuan Agong bagi Malaysia bersumpah dengan melafazkan:

Wallahi; Wabillahi; Watallahi;

Maka dengan lafaz ini berikrarlah Kami dengan sesungguh dan dengan sebenarnya mengaku akan taat setia pada menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi Malaysia dengan mengikut sebagaimana undang-undang dan Perlembagaan yang telah disah dan dimasyhurkan dan yang akan disah dan dimasyhurkan di masa hadapan ini.




  Dan lagi Kami berikrar mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa Agama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam Negeri.
Atas sifat dan kedudukan Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama 
Negara (The Supreme Head of Federation), semua pihak yang ada hubung kait dengan 
pemerintahan Negara ini juga terikat untuk melaksanakan sumpah berkenaan kerana 
segala urusan pemerintahan dalam Negara ini bersumberkan kepada kuasa eksekutif 
Baginda sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan. 

Justeru, berpaksikan kepada kedudukan Islam sebagai Agama Negara dan komitmen Ketua Utama Negara, segala agenda Negara sama ada dalam bentuk dasar mahupun perundangan semestinya berpaksikan kepada prinsip Islam dan tidak boleh sama sekali menyanggahi atau menjejaskan ketinggian dan kedaulatan Agama Negara. 

Seluruh dasar dan agenda pembangunan Negara semestinya berteraskan kepada 
prinsip Agama Negara dan bukan pemikiran atau pengaruh pemikiran sekularisme dan liberalisme kerana sifat kedua-dua pemikiran itu masing-masing menyisih dan menghakis agama dari kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Rakyat Negara ini seharusnya menyedari dan bersyukur sebagai kerangka asas Negara, Islam telah berjaya membuktikan kepada dunia bahawa sifat kemanusiaan yang dipupuk dalam minda umat Melayu/Islam, Negara Malaysia telah berjaya membawa semua kaum samada yang beragama Islam atau bukan beragama Islam ke mercu kejayaan dan keamanan yang berpanjangan  – bebas dari cengkaman penjajah dan bebas dari ancaman komunis dan segala bentuk ancaman. 

Justeru, ketika rakyat Negara ini menikmati rahmat pembangunan dan keamanan ini, tiada pilihan lain selain dari terus memartabatkan kedaulatan dan ketinggian agama Islam sebagai Agama Negara. 

Penghijrahan Minda yang mesti dilakukan oleh seluruh umat Islam adalah untuk 
menyedari dan menginsafi bahawa kewajipan untuk memelihara agama (hifz ad deen) bukan hanya menjadi kewajipan keagamaan semata-mata, malah ia juga Kewajipan Kenegaraan yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan menjadi Agenda Tertinggi Negara (Constitutional Obligation) . 

Islam  yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan bukan hanya setakat prinsip kepercayaan dan amal ibadah  khususiyyah semata-mata, malah Islam yang menjadi tanggungjawab kenegaraan itu adalah Islam yang syumul dan sempurna sebagaimana yang telah diputuskan oleh mahkamah tertinggi Negara  – Mahkamah Persekutuan 
dalam kes Lina Joy lwn Majlis agama Islam Wilayah Persekutuan & 1 Lagi  [2007] 4 MLJ 585 telah memberikan tafsiran yang luas kepada Islam yang terkandung dalam 
Perlembagaan Persekutuan.
“Islam itu bukan sahaja suatu himpunan dogma-dogma dan ritual-ritual tetapi ianya adalah juga suatu cara hidup yang lengkap merangkumi semua bidang aktiviti manusia, persendirian atau awam, perundangan, politik, ekonomi, sosial, budaya, moral atau kehakiman.”
PENGHAKISAN KEDAULATAN AGAMA ISLAM
Walaupun kedudukan dan ketinggian Islam sebagai Agama Negara sudah terang lagi 
bersuluh  tertera  dalam Perlembagaan Persekutuan, Negara masih lagi dibelenggu dengan pegangan dan fahaman salah kononnya Malaysia adalah sebuah ”Negara 
Demokrasi Sekular dengan Islam sekadar Agama Rasmi”. 

Fahaman salah ini masih menular dengan meluas, termasuk di kalangan umat Islam malahan juga di kalangan sebahagian besar ahli politik, pengamal undang-undang, penggubal dasar sama ada pada peringkat Persekutuan mahupun Negeri dan juga dalam kalangan majoriti rakyat.Dengan memberikan tafsiran bahawa Islam hanyalah sekadar agama rasmi, maka 

Islam hanya dapat dilihat dalam upacara atau majlis tertentu sahaja.

Salah tanggapan terhadap kedudukan Islam ini jika dibiarkan, boleh mengakibatkan mala petaka besar kepada Negara ini kerana jika selama ini kedaulatan Islam dalam Perlembagaan hanya berhadapan dengan pemikiran sekular yang menyempitkan 

tafsiran Islam kepada hanya sekadar agama rasmi atau amalan ritual semata-mata, kini Islam berhadapan dengan cabaran yang lebih besar yang diterajui oleh golongan pemikiran Liberal yang sifat utamanya ialah menghakis agama dari aspek kehidupan bermasyarakat dan pemerintahan.

Mereka berpegang pada fahaman bahawa agama hanya difokuskan pada pegangan individu  kepercayaan atau  faith sahaja. Ajaran Islam yang sempurna dan komprehensif itu gambarkan sebagai kejam, ketinggalan zaman, menindas dan lebih menakutkan – mempelopori keganasan! Ajaran Islam yang bersifat rahmatan lil‟alamin dihujahkan  sebagai  tidak wajar diguna pakai ke atas penganut agama lain. 


Cabaran-cabaran ini ternyata telah menjejaskan akhlak umat Islam terutama di kalangan para remaja. Krisis gejala sosial yang melanda remaja Islam pada masa ini 

merupakan kesan  secara langsung akibat kejutan budaya dan perubahan nilai serta  
pemikiran  yang melanda masyarakat. Gejala sosial yang berlaku pada hari ini bolehlah disifatkan sebagai amalan jahiliyyah pada era globalisasi yang serba maju dan moden. 

Dalam era pembebasan daripada kawalan agama ini, remaja pelajar semakin terdedah kepada budaya hedonisme, iaitu suka berfoya-foya dan berhibur dengan keterlaluan, terjebak dalam amalan seks bebas atau zina, hamil tanpa nikah, buang bayi, ketagihan  arak, dadah  rokok, judi, bahan-bahan lucah, rogol dan banyak lagi masalah sosial yang cukup membimbangkan. 


Lebih menyedihkan lagi apabila para remaja disogokkan dengan budaya hiburan berlebihan yang berkiblatkan budaya barat. Rancanganrancangan berbentuk hiburan diberi keutamaan dan publisiti yang amat meluas. 


Bentuk-bentuk hiburan barat dibawa masuk dan diterjemahkan ke dalam masyarakat melalui media-media massa dan elektronik arus perdana. Hasilnya lahirlah programprogram hiburan melampau antaranya seperti Akademi Fantasia, Malaysian Idol, Vokal Bukan Sekadar Rupa, One In A Million yang dibersumberkan rancangan American Idol dan Vokal dari negara barat.


Walaupun terdapat rancangan hiburan yang berteraskan Islam dan budaya Melayu, tetapi rancangan ini kurang mendapat sambutan berbanding hiburan-hiburan barat. Budaya hiburan berteraskan barat ini juga adalah tidak selari dengan kedudukan Islam sebagai Agama Negara. Justeru itu, bentuk-bentuk hiburan hendaklah dikawal agar selari dengan agama negara iaitu Islam.


HIJRAH MINDA – TRANSFORMASI PEMIKIRAN

Berpaksikan kepada prinsip Rukun Negara - Keluruhan Perlembagaan dan Kedaulatan 
Undang-Undang, umat Islam perlu melakukan Hijrah Minda atau TransformasiPemikiran  supaya  kedaulatan Islam sebagai Agama Negara sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dapat dilaksanakan  selaras dengan ajaran dan pegangan Islam sebagaimana yang terkandung di dalam al  Quran dan ajaran Rasulullah SAW. 

Transformasi utama yang perlu dirintis oleh umat Islam adalah dengan melakukan pelbagai koreksi atau pembetulan kepada berbagai salah tanggapan yang pada hakikatnya menjadi “sumbangan terbesar” kepada segala macam cabaran dan permasalahan yang mencengkam umat Islam.


Umat Islam berkewajipan untuk melakukan  Transformasi Pemikiran dan proses Hjirah Minda  dalam menanggapi kedudukan Agama Negara supaya roh sebenar “Sumpah Agong” dapat dilaksana dan direalisasikan secara berkesan. Berbagai persepsi salah  tentang kedudukan Islam sebagai Agama Negara yang selama ini membelenggu pemikiran ummah wajib diperbetulkan. 


Almarhum Prof. Ahmad Ibrahim pernah mengutarakan pandangan berhubung dengan perkara ini.  Menurut beliau, cara yang lebih baik adalah dengan melihat Perlembagaan Persekutuan secara positif dan menerimanya serta berusaha melaksanakannya agar prinsip-prinsip kerajaan Islam dapat ditegakkan. 


Perlembagaan Persekutuan terhasil daripada perundingan dan tolak ansur antara kaum-kaum yang ada di Malaya dan kemudiannya Malaysia.  Kita harus menghormati perjanjian yang dicapai atas dasar timbang rasa dan persahabatan itu.  


Pada masa yang sama, kita wajar berfikir secara mendalam dan bertindak dengan 

bijaksana untuk memanfaatkan Perlembagaan agar usaha menegakkan Kerajaan Islam akhirnya menjadi kenyataan yang pada masa yang sama mengambil kira kepentingan semua kaum di Malaysia.

Antara salah tanggapan terhadap perkara-perkara asas  mengenai Islam  dalam 

Perlembagaan yang wajib diperbetulkan;

SALAH TANGGAPAN No. 1 – “ISLAM SEKADAR AGAMA RASMI”.

Ungkapan ini jauh tersasar dari kedudukan yang sebenar sebagaimana yang termaktub dalam perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan  – “Islam is the religion of Federation...” Ungkapan “rasmi” hanya sekadar tambahan, tetapi impaknya telah mengelirukan semua pihak dan membuat tanggapan yang salah mengenai kedudukan Islam di Negara ini hingga menjadi “Malaysia adalah sebuah negara demokrasi sekular dengan Islam sebagai agama rasmi.” Hakikatnya ketiga-tiga perkataan;
demokrasi, sekular dan rasmi tidak wujud sama sekali dalam Perlembagaan.

Banyak pihak yang berhujah bahawa ungkapan ini telah digunapakai dan “diterima” oleh semua pihak sejak Negara mencapai kemerdekaan. Persoalannya di manakah Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang seandainya penerimaan yang tidak betul ini dibiarkan berterusan? 


Bagaimana dengan “Sumpah Yang DiPertuan Agong” di bawah perkara 37 Perlembagaan atas nama suci Allah? Hanya orang yang tidak mengenali dan beriman dengan  Allah sahaja yang tergamak untuk menghilangkan ketinggian nilai sumpah Agong itu dan merendah-rendahkannya kepada hanya sekadar upacara rasmi sahaja.


SALAH TANGGAPAN  Ke 2 - MALAYSIA NEGARA SEKULAR

Berdasarkan fahaman yang tersasar ini pemikiran sekular terus menular manakala  prinsip ajaran Islam disisihkan. Dalam era Liberalisme yang sedang hebat melanda kini, ajaran Islam bukan sahaja  tidak mendapat perhatian sewajarnya dalam  sistem ekonomi, pendidikan, sosial, budaya, serta lain-lain aspek kehidupan, malah Islamdigambarkan secara negatif dan kejam. Apabila sahaja disebut tentang Islam, ada yang mengeluarkan kata-kata yang boleh menjerumuskan kepada kemurtadan – “kalau kita ingin maju, agama perlu ditinggalkan!  

Salah tanggapan mengenai hakikat kedudukan sebenar Islam sebagai Agama Negara menjadi penyumbang terbesar kepada kelangsungan hayat pemikiran sekular Barat di Negara ini. Faktor utama kepada pegangan sebegini berpunca  daripada hakikat bahawa Perlembagaan Negara dirintis oleh sebuah suruhanjaya yang diketuai oleh Lord Reid dengan dianggotai oleh hanya seorang hakim beragama Islam  iaitu Hakim Abdul Hamid dari Pakistan.


Namun begitu tidak ramai yang menyedari fungsi dan peranan Suruhanjaya ini yang pada hakikatnya hanya menyediakan laporan. Pendekatan  Raja-Raja Melayu untuk memuktamadkan Perlembagaan dengan menerima pandangan Hakim Abdul Hamid bagi  memasukkan prinsip  “Islam sebagai Agama Persekutuan” dengan mengenepikan frasa  “tetapi ia tidak menafikan ciri-ciri sekular Negara ini” menghasilkan natijah yang amat baik  untuk Islam - Perlembagaan Persekutuan bebas dari ungkapan sekular sama sekali.  


Tradisi pengiktirafan Islam sebagai Agama Negara telah diterjemahkan malalui persetujuan yang telah dicapai oleh kaum-kaum dan kumpulan-kumpulan agama yang menghuni Tanah Melayu untuk menerima Perkara 3(1), meletakkan di dalam Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan perkara 3(2) untuk menjamin hak-hak, keistimewaan, kuasa prerogatif Raja-Raja Melayu.


Persoalannya kenapa  Malaysia masih dianggap sebagai negara sekular? Adakah 

hanya kerana ayat kedua dalam perkara 3(1) yang berbunyi “but other religion may be practiced in peace and harmony in any part of Malaysia” telah menukar pegangan 
negara dari Islam kepada sekular? Bukankah ajaran Islam itu sendiri memberikan kebebasan manusia yang tidak beriman untuk mengamalkan ajaran agama mereka tanpa dikenakan paksaan untuk menerima Islam atau dihalau dari masyarakat Islam?  

Ternyata limb kedua tersebut tidak sedikitpun mencacatkan pegangan Islam Negara ini malah peruntukan tersebut adalah selaras dengan ajaran Islam itu sendiri. Pegangan bahawa Malaysia adalah Negara sekular boleh dianggap sebagai penghinaan kepada undang-undang tertinggi negara yang mengiktiraf Islam sebagai Agama  Negara dan komitmen Sumpah Agong atas nama suci Allah. 


Ada pihak yang cuba memberikan hujah mengelirukan dengan memutarbelitkan kes Che' Omar Che' Soh yang sering digunakan oleh pengamal dan pelajar undang-undang dan sesetengah orang Islam kononnya Tun Salleh Abas pernah memutuskan Malaysia adalah negara sekular. 


Cerita ini amat mengelirukan sama sekali kerana Tun Salleh hanya mengatakan undang-undang yang sedang berkuat kuasa adalah undang-undang sekular dan bukannya Negara ini Negara sekular. Bahkan Tun Salleh memberikan pendapatnya dalam kes berkaitan hukuman mati sama ada bercanggah dengan Islam dan bukan isu sama ada Negara ini Islam atau Negara sekular.


SALAH TANGGAPAN ke 3 – KEDUDUKAN ISLAM LEBIH RENDAH DARI PERLEMBAGAAN

Perkara 4(1) Ketinggian Perlembagaan-  tidak menafikan kedudukan Islam sebagai 
agama Negara, malah ia memartabatkan perkara 3(1) - Islam Agama Negara sebagai 
undang-undang tertinggi. 

Kenapa kita perlu menjunjung prinsip sekular Barat yang langsung tidak disebutkan dalam Perlembagaan sebagai sebahagian dari undang-undang tertinggi Negara, sedangkan peruntukan yang jelas mengenai Islam sebagai Agama Negara itu adalah perkara yang pertama sekali disebutkan dalam Perlembagaan, dan diikrarkan oleh YDPA, dikesampingkan dan dipinggirkan  hingga tidak dianggap sebagai undang-undang tertinggi?


Terserlahlah sikap  hipocracy kelompok sekular dalam menganggap kedudukan Islam dalam perlembagaan mencecah ke tahap pembohongan yang amat besar dalam sejarah Malaysia moden.


Justeru salah tanggapan ini perlu diperbetulkan. Islam sebagai Agama Negara mesti dihormati dan dipatuhi sebagai Undang-undang Tertinggi Negara. Sebarang dasar dan undang-undang yang digubal mestilah tidak bercanggah dengan Agama Negara dan memelihara ketinggiannya adalah menjadi kewajipan pemerintah.


Justeru itu, pihak pemerintah hendaklah sentiasa memastikan segala bentuk dasar dan undang-undang yang bercanggah dengan Islam hendaklah diperbetulkan bagi memastikan ia adalah selaras dengan Agama Negara dan seterusnya meletakkan Islam itu di tempat yang sepatutnya.


Kewajipan untuk memastikan segala aspek pemerintahan Negara perlu mematuhi 

prinsip agama Islam bukan sahaja berasaskan kepada kedudukan Islam sebagai agama negara, malah ia bertunjangkan kepada komitmen YDPA sebagai Ketua Utama Negara sebagaimana yang dilafazkan dalam sumpah baginda.

Sumpah Agong yang perlu dilafazkan selaras dengan kehendak perkara 37 Perlembagaan Persekutuan adalah sepertimana yang dilakarkan dalam Jadual keempat Perlembagaan 
Persekutuan.  

SALAH TANGGAPAN ke 4  - HAK KESAMARATAAN AGAMA – EQUALITY OF RELIGION

Walaupun Perlembagaan memberikan hak kebebasan mengamalkan agama-agama, 
namun hak kebebasan itu perlu dilaksanakan tertakluk kepada undang-undang tentang moral, ketenteraman dan kesihatan awam (Perkara 11(5) Perlembagaan Persekutuan). Penyebaran agama-agama lain juga tertakluk kepada kawalan dan sekatan bagi menghalang ia dari tersebar kepada penganut Agama Islam.

Justeru sebarang perbuatan/aktiviti yang bersifat mendedahkan umat Islam kepada kepercayaan agama lain  boleh dikawal dan dihadkan  (restrict and control).Peruntukan  Perlembagaan berkaitan kawalan penyebaran agama lain ke atas orang-orang Islam itu sendiri telah meletakkan Islam itu lebih istimewa berbanding agama-agama lain. Peruntukan ini juga dengan sendirinya telah memberi pengiktirafan kepada Perkara 3 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai Agama Negara.


Ternyata bahawa prinsip kesamarataan agama yang menjadi pegangan sesetengah 

pihak di Negara ini adalah tidak berasaskan pendekatan Perlembagaan. Terdapat 
pelbagai peruntukan yang menyerlahkan keistimewaan  kedudukan  Islam sebagai 
Agama Negara. Mahkamah tertinggi Negara dalam banyak kes telah memutuskan 
bahawa Islam sebagai agama bagi persekutuan tidak sama dengan agama  –agama lain. Perkara 3 Fasal (1)
“Kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan adalah berlainan daripada kedudukan agama-agama lain. Pertama, hanya Islam, sebagai satu agama, yang disebut dengan namanya dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu sebagai agama bagi Persekutuan‟
(Tun Ahmad Fairuz dalam kes Lina Joy merujuk kepada pandangan Tun Abdul Hamid Mohamad dalam kes Kamariah Ali.)

Agama-agama lain boleh diamalkan selagi ia tidak memecah keamanan, namun jika 

amalannya sudah menampakkan tanda-tanda tidak harmoni dan boleh memecah 
keamanan, maka amalan berkaitan perlu dihalang. 

Ketinggian Islam juga terserlah menerusi Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan 

yang hanya  membolehkan Kerajaan Negeri atau kerajaan Persekutuan untuk
memperuntukan kewangan dan menubuhkan atau membantu menubuhkan apa-apa institusi berkaitan agama Islam. 

Oleh kerana itu cadangan untuk menubuhkan suatu suruhanjaya yang dinamakan Suruhanjaya antara Agama (Inter-faith Commission-IFC) yang  pernah dicadangkan penubuhannya sebagai sebuah badan berkanun yang mempunyai kuasa undang-undang    termasuk ke atas agama Islam tidak boleh dilaksanakan kerana ia bersifat menyematarafkan agama Isam sebagai Agama Negara dengan agama-agama lain.


SALAH TANGGAPAN ke 5  – LEGASI PENJAJAH YANG BERCANGGAH DENGAN ISLAM  

dianggap sistem konvensional manakala sistem Islam sekadar alternatif. Sistem perundangan masih bersandarkan undang-undang common law Inggeris, sedangkan tiada peruntukkan dalam Perlembagaan yang mewajibkan undang-undang sekular itu diteruskan.

Bahkan undang-undang yang membolehkan ia terus bernafas di negara ini selepas Merdeka sebenarnya terletak dalam bahagian Temporary  and Transition – Sementara dan Peralihan. Civil Law Act 1956 hanya membenarkan rujukan kepada Undang-undang Inggeris sekiranya keperluan setempat memerlukannya. 


Rujukan kepada prinsip undang-undang Islam  dalam sistem perundangan langsung 

tidak dikembangkan. Hanya dalam aspek yang mendatangkan keuntungan ekonomi, 
rujukan kepada Islam diberikan seperti perbankan Islam. 

Walau bagaimanapun, tidak semua undang-undang yang diamalkan dalam negara ini bertentangan dengan Islam. 

Jika dilihat kepada undang-undang prosedur, tidak banyak perbezaan dengan undangundang prosedur yang digunapakai di Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.

Sebaliknya hanya beberapa peruntukan tertentu berkaitan hukuman bagi kesalahankesalahan yang telah ditetapkan hukumannya secara qatie perlu diselaraskan dengan Islam. Begitu juga dalam beberapa aspek undang-undang keterangan berkaitan dengan kesaksian dan pembuktian bagi mensabitkan sesuatu kesalahan perlu diselaraskan 
dengan Islam.

Sistem pendidikan Islam hanya sekadar alternatif sedangkan ia sewajarnya menjadi sistem pendidikan mainstream berdasarkan kepada kedudukan Islam sebagai agama Negara.  Gejala sosial yan berpuca dari penyisihan Islam dari kehidupan  tidak dapat disembunyikan lagi. Sebarang usaha untuk menyembunyikannya bagaikan menutup 

bangkai gajah. 

Umat Islam makin perlu diberikan hak  untuk kembali kepada  sistem 

pendidikan   yang berteraskan Agama Negara secara sempurna bukan  sekadar 
pendidikan alternatif. Kelompok yang memahami dan mengerti agama perlu diberikan ruang dan peluang yang sewajarnya. 

Kelompok agama sering dipersalahkan kerana dikatakan gagal mengemukakan cadangan penyelesaian, namun semasa menggubal dasar atau pelan pelaksanaan sesuatu program, pandangan dan ulasan agama tidak diberikan perhatian. 


SALAH TANGGAPAN Ke-6  MEMPERJUANGKAN ISLAM DIANGGAP CENDERONG KEPADA GOLONGAN KIRI

Pihak-pihak yang menyuarakan supaya  negara  ditadbir menurut prinsip dan dasar Islam  dilabelkan dengan pelbagai gelaran negatif  – golongan fanatik, pemecah perpaduan, extremist, fundamentalis, terrorist, talibanese dan disisihkan  dari arus perdana. 

Pendekatan sebegini adalah amalan di zaman penjajahan di mana para pejuang agama yang lantang menuntut Islam dimartabatkan dinyahkan sama ada dalam kurungan atau  ditransfer jauh ke pendalaman dan tidak dinaikkan pangkat. 

Mereka yang cenderung kepada agama termasuk sekolah-sekolah agama dilabelkan sebagai  anti-establishment.  Pendekatan penjajah ini sedikit sebanyak telah mempengaruhi sesetengah pihak yang bersikap negatif kepada apa saja program pendidikan keagamaan dan melemparkan pelbagai tohmahan kepada  guru-guru atau golongan pelajar yang cenderung kepada agama hingga disisihkan dari peluang-peluang tertentu. 


Ada juga sekolah-sekolah, bahkan sekolah-sekolah agama turut serta 10

mengekang para pelajar dari mendalami agama Islam menerusi kegiatan dakwah.
Sedangkan usaha dan kegiatan keagamaan mereka ini adalah selaras dengan 
Perlembagaan Persekutuan untuk memartabatkan Islam.

Hari ini, apabila kita berhadapan dengan pelbagai tekanan dan cabaran sekularisme

dan liberalisme yang  menghasilkan gejala sosial yang tidak terkawal dan jurang 
perbezaan ekonomi yang amat lebar, kelompok agama ini terus menerus dipersalahkan kononnya tidak pro-aktif dalam menyebarkan ajaran agama untuk menyekat gejala
sosial. 

SALAH TANGGAPAN ke 7 – ISLAM TANGGUNGJAWAB KERAJAAN NEGERI

Oleh kerana pentadbiran  hal ehwal  agama Islam secara tradisinya berada di bawah 
kuasa Sultan/Raja sebagai ketua agama, tuntutan supaya ajaran Islam dipatuhi dalam sebarang penggubalan/pelaksanaan dasar  atau undang-undang di peringkat 
persekutuan sering kali diketepikan atas alasan tanggungjawab memelihara Islam 
adalah terletak di bawah urusan Negeri. Sedangkan sebahagian besar urusan pemerintahan dan pentadbiran Negara berada dalam senarai Persekutuan. 

Justeru adalah menjadi tanggungjawab persekutuan untuk memastikan penggubalan atau pelaksanaan dasar bagi  semua  perkara-perkara yang tersnarai dalam senarai persekutuan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan sama ada yang berkaitan ekonomi, pendidikan, perdagangan, dan lain-lain lagi digubal dan dilaksanakan secaramematuhi dan selqaras dengan ajaran Islam  atau  tidak menjejaskan  Islam sebagai agama Negara.

Dengan pendekatan sedemikian kita tidak akan mendengar lagi suara-suara sumbang 

yang menuntut hak kebebasan dari pengaruh dan unsur Islam sebagai salah satu hak kebebasan beragama.  Prof Muhammad Imam ketika mengupas kewajipan mengenai Islam di bawah Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan berpendapat;
This provision worded as it is, lends itself to a persuasive interpretation that it casts upon the 'Federation' a positive obligation to protect, defend and promote the religion of Islam and to assist, enable and facilitate Muslims, individually or collectively, to order their lives in accordance with the Injunctions of Islam.
 Said Maulana S. Abdul Ala Maududi: 
A very large part of the Islamic system of law, however, needs for its enforcement, in all its details, the coercive powers and authority of the state. Political power is essential for protecting the Islamic system of life from deterioration and perversion, for the eradication of vice and the establishment of virtue and, finally, for the enforcement of all these laws that require the sanction of the state and the Judiciary for their operation.

Sesetengah pihak tidak begitu selesa untuk merangka atau melaksanakan dasar atas 

semangat dan roh agama Negara tetapi lebih memberikan penekanan kepada prinsipprinsip lain seperti toleransi perpaduan, kemajuan material, kecemerlangan duniawi, pengiktirafan antarabangsa, hak asasi dan sebagainya. 

Dalam memerangi rasuah sebagai contohnya, penekannan lebih diberikan kepada undang-undang dan moraliti mengatasi aspek pematuhan kepada nilai murni agama Negara yang pada hakikatnya lebih  mampu untuk mencegah dari berleluasanya  sebarang bentuk penyelewengan, rasuah dan pecah amanah yang dikeji oleh Islam. 


SALAH TANGGAPAN ke 8 – PIHAK BERKUASA AGAMA NEGERI DIBAWAH KERAJAAN NEGERI

Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan negeri-negeri memartabatkan Sultan atau YDPA sebagai Ketua Agama Islam Negeri. Dalam hal pentadbiran Agama Islam Baginda dibantu oleh Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) yang merupakan pihak berkuasa agama Negeri yang utama selepas Sultan/YDPA.

Walau bagaimanapun kedudukan ini sering disalah tanggap. Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) atau Kerajaan Negeri sering dianggap sebagai pihak berkuasa termasuk dalam hal ehwal agama yang termaktub dalam butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan. 


Fahaman dan pendekatan sebegini adalah bercanggah dengan Perlembagaan 

Persekutuan dan Perlembagaan Negeri. Islam sebagai Agama Negeri dan Agama 
Negara tidak tertakluk di bawah kuasa politik. Sebaliknya Kerajaan Negeri yang
tertakluk kepada prinsip Islam dalam menjalankan pemerintahan Negeri. 

Justeru, walau pun menjadi kewajipan kepada Kerajaan Negeri menyediakan kewangan, kemudahandan pegawai-pegawai untuk berkhidmat kepada MAIN, namun MAIN TIDAK bertanggungjawab  (accountable) kepada Kerajaan Negeri kerana MAIN bertanggungjawab terus kepada YDPA/Sultan. 


Begitu juga para pekhidmat awam Negeri yang ditugaskan dalam hal ehwal berkaitan agama seperti JAIN, Jabatan Mufti, Mahkamah Syariah adalah bertanggungjawab kepada MAIN dan bukan kepada Kerajaan Negeri. 


Kerajaan Negeri masih bertanggungjawab untuk melakukan pembangunan dalam hal 

ehwal agama Islam tetapi tertakluk kepada kawalan dan kebenaran MAIN. Justeru 
adalah tidak wajar bagi mana-mana Kerajaan Negeri untuk mencampuri hal-hal berkaitan penentuan hukum Syarak walaupun ia berkewajipan untuk mematuhi dan menghormati hukum Syarak yang diperkenankan oleh Sultan sebagai Ketua Agama Negeri.

SALAH TANGGAPAN ke 9 - SEJARAH NEGARA ISLAM BERMULA SEJAK 1957 

Kegemilangan sejarah Negara bukanlah hanya bermula selepas kemerdekaan dicapai pada 31 Ogos 1957 atau semasa pembentukan Malaysia pada September 1963, malah kedaulatan kerajaan-kerajaan  Melayu telah lama berdiri teguh sejak berabad-abad lamanya. Jika disandarkan pada Batu Bersurat Terengganu, kedaulatan Kerajaan Melayu yang berteraskan ajaran Islam telah bertapak kukuh sejak kurun ke-13 lagi. 

Fakta ini diteguhkan lagi melalui pemakaian undang-undang kanun-kanun NegeriNegeri Melayu (Malay Digest) yang berlandaskan hukum Syarak. Fakta sejarah juga membuktikan bahawa semasa Sistem Residen berkuat kuasa di Negeri-negeri Melayu, Raja-raja Melayu tetap berdaulat;

The Resident System did not change the status of the Malay States to be part of British Colony. In 1878 The Colonial secretary has written a letter to the Resident of Pahang 
The Residents have been placed in the native states as advisers, not as rulers, if they upon themselves to disregard this principle, they will most assuredly be held responsible if trouble springs out of their neglect of it.
Percubaan British untuk menjajah Tanah Melayu melalui gagasan Malayan Union pada tahun 1946 telah gagal apabila dibantah keras oleh orang Melayu ketika itu. Justeru, Negeri-Negeri Melayu terus bernaung di bawah perlindungan dan nasihat Residen British yang kemudiannya membentuk Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948.

Perlu disebut bahawa pada waktu itu, Raja-Raja Melayu terus berdaulat, manakala 

Residen dan Residen Jeneral British hanya berperanan sebagai penasihat.  

Terdapat beberapa ciri tempatan yang kesemuanya menekankan bahawa Perlembagaan Persekutuan bukanlah sesuatu yang asing. Kedudukan raja, hak keistemewaan orang Melayu, kedudukan Islam serta Bahasa Melayu adalah lanjutan sistem dan unsur-unsur tradisional yang telah wujud sebelum kedatangan British lagi. 

Perkara ini boleh dianggap istimewa kerana peruntukan berkenaan tidak boleh dipinda melalui suara majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat dan Negara.

Mengenai Islam pula, kedudukan Islam adalah penerusan daripada peruntukan yang ada dalam perlembagaan negeri Melayu sebelum tahun 1957. Walaupun perlembagaan bertulis boleh dikatakan sebagai satu fenomena yang baru, penetapan Islam sebagai agama negeri boleh dilihat sebagai usaha untuk mengakui dan menjelaskan nilai dasar 

negeri Melayu.

Sebelum kedatangan British perkara ini mungkin tidak perlu kerana sebelum itu tidak wujud masyarakat bukan Islam yang besar jumlahnya. Mungkin boleh juga dihujah bahawa keadaan sebelum British juga tidak menghendaki perlunya Islam dinyatakan secara rasmi dalam undang-undang tubuh negeri Melayu.


Umat Islam berkewajipan untuk mempertahankan sejarah Kedaulatan Islam yang cuba dihakis oleh pihak-pihak  yang tidak bertanggungjawab. Ini bagi mengelakkan berulangnya sejarah Kedaulatan Kesultanan Melayu/Islam yang sengaja dihakis dari lakaran sejarah Nusantara. 


Hari ini terdapat  cubaan menghakis sejarah kedaulatan kesultanan Kedah di Pulau Pinang melalui  My  Balik Pulau dan Sejarah Islam di kawasan Batu Uban Pulau Pinang yang mendahului kedatangan Francis Light. Pengajaran perlu diambil dari Hukum Kanun Melayu  (Malay Digests)    terus menerus dihakis daripada menjadi sumber undang-undang setelah diketepikan dengan kedatangan Common Law Inggeris.


Kini umat Islam sedang berhadapan dengan cubaan menghakis Kedaulatan Islam dengan mengutamakan salah tafsiran dan salah tanggapan mengatasi peruntukkan sebenar dalam Perlembagaan. Walaupun Perlembagaan Persekutuan  (Perkara 3(1)) memartabatkan Islam sebagai Agama Negara, Malaysia masih dianggap sebagai “Negara Sekular dengan Islam sebagai Agama Rasmi”.


SALAH TANGGAPAN Ke 10 – ISLAM TERTAKLUK KEPADA PENDEKATAN POLITIK

Kebelakangan ini, apabila tanggungjawab memelihara agama Islam dilaksanakan tanpa sebarang pemantauan, wujud kecenderungan sesetengah pihak untuk menggadai kepentingan agama Islam demi meraih sokongan politik. Nama suci Allah tergamak dibiarkan untuk digunakan secara sewenang-wenangnya oleh agama lain atas nama hak asasi manusia.

Sedangkan hakikatnya ia sebahagian dari usaha untuk mengelirukan umat Islam dengan merendahkan nama suci Allah yang termaktub dalam al-Quran kepada hanya sebagai terjemahan kepada perkataan 'GOD' dalam bahasa Inggeris. Justeru, nama  suci  Allah  terdedah kepada penyalahgunaan oleh pelbagai pihak untuk digunakan  kepada makhluk-makhluk yang mereka anggap sebagai tuhan mereka. 


Adakah wajar demi kepentingan politik kita membiarkan orang-orang bukan Islam 

mennafsirkankan apa saja yang mereka  anggap tuhan dengan nama Allah Yang Esa???. Tentulah amalan sedemikian boleh mengakibatkan redha kepada syirik.

Memang kita amat gembira jika penganut agama lain mahu menganggap Allah sebagai tuhan yang maha tinggi, tetapi perbuatan menyifatkan nama Allah hanya sekadar nama am yang bermaksud  “tuhan” amatlah merbahaya dan satu penghinaan kepada ajaran Islam dan umat Islam yang beriman Allah adalah nama khas yang suci bagi Tuhan pencipta sekalian alam – lafzul jalaalah bukan sekadar  a mere word!  ALLAH is the one and only god, other gods are not ALLAH!


Begitu juga keadaannya apabila pertimbangan politik memainkan pengaruh yang penting dalam isu Bible Bahasa Melayu, amatlah tidak wajar isu agama dijadikan bahan political bargaining. Berbagai perkataan bersumberkan ajaran Islam diselewengkan maksudnya dalam bible Bahasa Melayu itu, namun oleh kerana suara umat Islam sudah tidak lagi begitu penting, maka pelbagai pihak cuba menangguk di air keruh 14 dalam situasi politk semasa. Natijahnya ketinggian dan kesucian agama Islam sebagai agama Negara sudah dijadikan bahan political bargaining


Islam akan terhakis apabila tanggung jawab terhadap urusan Islam gagal dipantau secara tegas. Islam yang syumul telah dijadikan instrumen bertujuan meraih pengaruh dan mendapatkan kuasa sehingga ke peringkat sanggup berkompromi kepada perkaraperkara prinsip menyentuh akidah.


Fahaman dan tafsiran kepada ajaran Islam hanya berlegar dalam kelompok fahaman politik masing-masing. Kecenderungan pemikiran dalam berpolitik dengan hanya mengiakan apa sahaja keputusan yang dibuat oleh parti politik masing-masing telah memecahbelahkan umat Islam sendiri yang akhirnya telah menguntungkan golongan sekularisme dan liberalisme yang sentiasa menunggu peluang atas percakaran umat Islam itu sendiri.


IMPLIKASI SALAH TANGGAPAN TERHADAP ISLAM Jika Dibiarkan Berterusan


Kesan serangan pemikiran ideologi Barat telah mengakibatkan sistem nilai dan 

pemikiran serta cara hidup masyarakat Malaysia terutama remaja tersasar daripada norma-norma yang sepatutnya menjadi asas bagi  penggemblengan  peranan remaja secara agresif dalam masyarakat. Prof. Ulung Negara, Tan Sri Prof. Dr. Mohd. Kamal bin Hassan menukilkan bahawa;
“Aliran-aliran yang ingin melemahkan pengaruh nilai-nilai budaya, agama dan moral tempatan itu dibawa masuk oleh unsur-unsur ekonomi kapitalistik tempatan atau antarabangsa yang mementingkan keuntungan kewangan semata-mata tanpa mempedulikan isu tanggungjawab sosial atau moral. Pelbagai saluran akan digunakan untuk mencapai matlamat ekonomi dan budaya bebas mereka, termasuk industri-industri pengiklanan, perfileman, fesyen, muzik, hiburan, pelancongan, media cetak, media elektronik dan Internet.”.
Pemikiran ekonomi kapitalisme yang hanya menitikberatkan keuntungan material pihak pemodal semata-mata tanpa memberikan perhatian kepada kemaslahatan masyarakat. 

Sebagai pemilik modal, mereka bebas melakukan apa sahaja sehingga sanggup 

merobek sistem keadilan/perundangan dan juga agama bagi memenuhi kehendak dan 
memperoleh keuntungan. 

Golongan ini sentiasa memperjuangkan kebebasan dari semua aspek termasuklah kebebasan dalam beragama, kebebasan dalam tingkah laku, kebebasan dalam menyuarakan pendapat, dan kebebasan dalam pemilikan harta berpandukan sistem kapitalis. 


Kelompok kapitalis ini juga tergamak melakukan manipulasi dan eksploitasi secara berleluasa melalui kegiatan perniagaan berasaskan seks, penipuan, pemerdagangan orang atau memperguna wanita-wanita yang terdesak dalam kehidupan materialistik 15 bagi mendapatkan keuntungan. 


Akibatnya, industri yang berasaskan seks bebas dan zina dipromosikan secara berleluasa termasuk mendirikan pusat-pusat hiburan dan maksiat yang menjadikan remaja wanita sebagai alat tarikan pelanggan seperti GRO, pelayan, teman sosial malah sebagai pelacur. 


Secara umumnya kelompok kapitalis meraih keuntungan besar dengan tersebarnya  pengaruh fahaman liberalisme yang berkembang di negara ini yang telah meresap ke dalam semua bidang kehidupan seperti liberalisme ekonomi, budaya, politik, dan agama. Gerakan liberalisme ini memperjuangkan demokrasi, fahaman persamaan 

semua agama, fahaman persamaan hak antara lelaki dan perempuan serta 
mempromosikan kebebasan.

Sebagai contoh, golongan ini memperjuangkan hak kebebasan seks seperti lesbian dan homoseksual, hak untuk berpakaian secara menjolok mata dan bersosial secara terlampau, hak pengguguran anak selain penentangan  terhadap hukum dan undang-undang kekeluargaan Islam yang diperuntukkan di bawah undang-undang Syariah seperti poligami, pembahagian harta pusaka, kuasa talak dan sebagainya. 


Bagi merealisasikan keinginan mereka, golongan ini mentafsirkan hukum agama mengikut rasional akal dan realiti semasa. Mereka yang berpegang teguh pada agama dikatakan golongan fundamentalis yang kolot dan jumud kerana tidak mengikut peredaran masa.


Fahaman Liberalisme ini menegaskan kepentingan bahawa manusia mempunyai 

kebebasan diri  untuk menjalani kehidupan tanpa sebarang ikatan dengan sebarang 
bentuk tradisi, termasuk Tuhan dan agama.

Hal ini menjadikan manusia hidup tanpa garis panduan terhadap apa yang dilakukannya dan seterusnya mewujudkan pemikiran kontemporari yang meraikan kepelbagaian budaya, amalan dan prinsip. Interaksi global juga telah menyebabkan manusia menjadi objek konsumer yang diperdagangkan menerusi hedonisme anjuran Barat.


Secara dasarnya, globalisasi yang merupakan produk Liberalisme ini telah mencabul kedaulatan sesebuah negara dan bangsa sama ada dari segi agama, budaya, bahasa dan juga undang-undang.


Dalam era Liberalisme ini, struktur kehidupan sosial masyarakat telah banyak berubah. Budaya moden telah mempengaruhi tingkah laku dan cara berfikir termasuklah penghayatan terhadap ajaran agama.


Gaya hidup moden juga menjadikan sebilangan masyarakat bersikap individualistik, mengabaikan sikap kekeluargaan, kejiranan dan bermasyarakat serta tidak mengambil peduli terhadap gejala sosial yang berlaku di kawasan kejiranan dan tempat-tempat awam seperti jiran yang tinggal bersekedudukan, berkelakuan tidak sopan di tempat awam, berpakaian menjolok mata dan sebagainya. 


Tindakan oleh beberapa pertubuhan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) dengan 

sokongan kelompok politik yang mendesak Kerajaan supaya tidak menggunakan 
undang-undang bagi mengawal masalah keruntuhan akhlak di Negara ini telah 
membuka ruang yang lebih luas kepada berleluasanya aktiviti gejala sosial dan
eksploitasi wanita dalam  masyarakat yang tidak mencampuri  urusan peribadi orang 
lain. 

Peranan institusi agama sentiasa disekat dan dikritik hebat serta diletakkan di bawah pengaruh politik, sedangkan institusi agama bertanggungjawab terus kepada Sultan sebagai Ketua Agama. Keadaan ini mewujudkan sindrom takut dan bimbang di kalangan pihak berkuasa agama untuk menyusun langkah bagi memastikan prinsip dan nilai agama terus terpelihara. 


Pemikiran dan pendekatan sebegini adalah berpunca dari salah tanggapan yang 

meluas terhadap kedudukan Islam di Negara ini. Apa yang dikesalkan ialah golongan yang berpemikiran Liberal ini cukup berpengaruh dan sedang  giat  melebarkan pengaruh mereka di kalangan generasi muda yang berminat kepada agama. 

Dominasi golongan yang berpemikiran Liberal ini mempunyai agenda besar (grand design) untuk  menghakis pengaruh agama dalam aspek kenegaraan dan hidup bermasyarakat.


Kedudukan Islam sebagai agama Negara bukan sahaja dikesampingkan dengan 

merendahkan martabatnya kepada sekadar agama rasmi, malah gerakan untuk terus 
menghapuskan unsur-unsur pegangan kepada agama Islam juga sedang berlangsung dengan hebat. 

Kelompok Liberal ini bukan sahaja setakat cuba memperluaskan pengaruh mereka dalam politik malah mereka sering mencabar kedudukan agama Islam hingga ke peringkat Mahkamah tertinggi Negara menerusi kes-kes yang mereka wakili. 


Ternyata pemikiran Liberal ini bukan sahaja didokong oleh kelompok-kelompok kecil yang berpakaian sebagai NGO malah ia sudah berdiri teguh sebagai aliran politik sama ada dalam parti pemerintah atau pembangkang. 


KESIMPULAN: 


Adalah dijangkakan sekiranya semua salah tanggapan  terhadap kedudukan Islam 

dalam Perlembagaan Persekutuan tidak diislahkan secara menyeluruh dan berkesan, agama Islam akan menjadi amalan  ritual  yang berpusat di masjid-masjid dan tanah perkuburan sahaja. 

Pada hari ini fahaman sebegini sudah menular dengan luas di kalangan umat Islam sendiri. Malah tanggapan  negatif  terhadap institusi agama semakin meluas di kalangan generasi muda negara.  


Jika  ditafsirkan dengan betul, Perlembagaan Persekutuan bukan hanya memberikan laluan untuk negara ini ditadbir menurut prinsip Islam, malah ia adalah suatu kewajipan. Sebaliknya jika ditafsir secara liberal, liberallah jadinya Negara ini, terhakislah Islam yang selama ini menjadi identiti umat dan masyarakat Melayu Nusantara. 


Seterusnya marilah sama-sama kita merenung kembali titah ucapan Pemangku Raja Perak, DYTM Raja Nazrin Shah ketika menyampaikan Titah Diraja sempena Kongres Majlis Agama Islam seluruh Malaysia pada 26 September 2011 di Dewan Merdeka PWTC. 


Dengan nada yang sebak, Baginda telah menzahirkan kebimbangan jika Islam 

tidak dipertahankan dan dibiarkan lenyap dari arus pemerintahan negara. 


“Betapa status Islam dan nasib malang yang bakal dihadapi ummah jika institusi Raja, dan kerajaan pilihan rakyat yang berkuasa pada suatu hari nanti, berpegang kepada doktrin pemerintahan, bahawa agama adalah urusan individu. Agama adalah di luar bidang tanggungjawab negara. 
Akan berkelanalah ummah, masjid Ubudiah,(begitu juga masjid-masjid lain), mungkin bertukar menjadi muzium, tempat para pelancong dimaklumkan bahawa disuatu masa dahulu, bangunan yang begini cantik seni binanya, adalah tempat pengikut ajaran Muhammad menunaikan sembahyang. 
Barang dijauhkan ALLAH dari berlakunya senario menyayat hati itu. Untuk itu Kuasa Raja Melayu dalam urusan Agama Islam dan Institusi Islam sangat perlu dipertahan dan diperkukuhkan, demi memastikan Islam terus kekal menjadi identiti negara. 
Senario yang berlaku di serata dunia menunjukkan hanya negara yang masih memiliki sistem pemerintahan beraja yang dapat meletakkan Islam sebagai agama Negara”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


Pihak admin yop-pasirsalak.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen di sini.

Semua pelawat dianggap setuju dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami dan kami tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen yang diutarakan.