Halaman

Isnin, 11 November 2013

KEKALKAN PERPADUAN JENTERA UMNO PERAK - ZAHID HAMIDI #AzwanBro

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, berjaya menyatupadukan kepimpinan ketiga-tiga sayap parti baik di peringkat bahagian atau cawangan.

“Ini membuktikan bahawa perpaduan di kalangan barisan kepimpinan UMNO di Perak khususnya telah berhasil, sekaligus melayakkan tokoh-tokoh politik dari Perak berada di persada kepimpinan parti di peringkat nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis makan malam meraikan kepimpinan tertinggi tiga sayap UMNO Perak dan exco sayap di Bangunan UMNO negeri di Ipoh, semalam.

Hadir sama Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairul Azwan Harun yang juga merupakan Ketua Pemuda UMNO Negeri Perak.

Ahmad Zahid turut berpesan kepada semua perwakilan yang telah berjaya dalam pemilihan yang lalu supaya terus mengekalkan dan memperkukuhkan parti dari peringkat akar umbi.

Tambahnya lagi, “Tidak ada makna jika kita memegang jawatan dalam parti tetapi kita gagal dalam pilihan raya. Kepimpinan di peringkat bahagian perlu mendekati mana-mana parti komponen BN yang mempunyai konflik dalaman, sekaligus dapat membantu mereka untuk memperkukuhkan organisasi masing-masing."

"Masalah dalaman yang sedia ada tidak harus dirumitkan lagi sebaliknya semua pihak perlu mencari jalan penyelesaiannya kepada setiap isu yang berbangkit."

“Perpaduan jentera parti amatlah penting bagi persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kelak,” kata Zahid lagi.

Sementara itu, Datuk Seri Zahid mengingatkan bahawa perpaduan juga penting dalam usaha merampas kembali kerusi yang telah gagal dipertahankan oleh BN, sekaligus memperkukuhkan lagi kedudukan semua kerusi yang dimenangi parti pada pilihan raya umum yang lalu.

Beliau dalam ucapannya turut menegaskan bahawa setiap jawatan yang diperolehi itu merupakan satu amanah yang perlu digalas dengan sebaik-baiknya.

“Saya juga berharap perwakilan supaya tidak terbuai dengan pujian sebaliknya meneruskan perjuangan sedia ada sebagai persiapan menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


Pihak admin yop-pasirsalak.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen di sini.

Semua pelawat dianggap setuju dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami dan kami tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen yang diutarakan.