Halaman

Khamis, 6 Mac 2014

#PRKKajang: @Herman4Kajang Tarik Diri, Cipta Lagu Khusus Buat Pengundi



Penyanyi dangdut, Herman Tino yang sebelum ini menawarkan diri bertanding sebagai calon bebas dalam pilihan raya kecil DUN Kajang hari ini mengumumkan tidak akan mencalonkan dirinya pada penamaan calon Selasa ini.

Katanya, beliau tidak akan bertanding dalam pilihan raya kecil itu kerana tidak rela dituduh mahu mengacau undi atau telah dibayar oleh pihak tertentu.

"Saya tidak mahu gelaran pengacau undi, cari habuan, cari publisiti murah atau rasuah dari PRU13 – P95 Tg Karang dan PRK N25 Kajang," katanya dalam satu kenyataan media.

Herman Tino atau nama sebenarnya Masrun Tamsi sebelum ini bertanding sebagai calon bebas dalam pilihan raya umum ke-13 bagi kerusi Parlimen Tanjong Karang menentang calon Barisan Nasional, Datuk Seri Noh Omar dan calon PAS, Mohamad Rashdi Deraman.

Kerusi Parlimen Tanjong Karang itu dimenangi oleh Noh yang mendapat 20,548 undi mengalahkan calon PAS dengan majoriti 4.394 undi. Herman hanya meraih 340 undi dan hilang wang pertaruhan.

Herman mengaku beliau tidak ada jentera pilihan raya dan "jika bertanding pun cuma hanya ingin menyatakan protes dan mahu bersuara."

"Saya akan dituduh sebagai pengacau undi dan mengambil habuan untuk kepentingan diri walaupun saya tidak berbuat begitu apabila bertanding.

"Saya hanyalah seorang penyanyi yang hanya menerima duit dari hasil kerja dan karya saya sebagai penyanyi. Untuk itu, saya menghormati dua parti politik yang dominan untuk lebih layak bertanding," katanya.

Dalam pada itu, Herman turut menyeru bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim dan mana-mana bakal calon bebas yang lain untuk ikut sama tidak bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Kajang.

"Kita hanyalah calon bebas dan peserta demokrasi, yang memahami dan pandai mengukur diri," kata Herman.

Pilihan raya kecil DUN Kajang yang ditetapkan pada 23 Mac ini setakat ini dijangka akan ditandingi oleh calon Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon BN, Datin Paduka Chew Mei Fun serta beberapa calon bebas termasuk Zaid.

Herman sebelum ini membuat pengumuman melalui Twitter menawarkan diri untuk jadi wakil rakyat DUN Kajang.

Beliau juga mencipta sebuah lagu khusus untuk pengundi Kajang dan memuatkan lagu berkenaan di YouTube

°°°
Mengimbau kenangan sewaktu duduk di Seksyen 8, Shah Alam tahun1990. Selalu nyembang dengan Kang Herman sambil makan nasi lemak kat gerai flat di situ. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


Pihak admin yop-pasirsalak.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen di sini.

Semua pelawat dianggap setuju dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami dan kami tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen yang diutarakan.