Halaman

Rabu, 30 April 2014

#HUDUD: #PemudaUMNO Sedia Bantu #PAS Kelantan Beri Penerangan @Azwanbro @ustazfathulbari @nikabduh @abdulhadiawang


Pergerakan Pemuda UMNO sedia membantu PAS Kelantan untuk memberi penerangan dan perincian berkaitan hukum hudud kepada golongan muda bukan Islam.

Naib Ketua Pemuda UMNO Khairul Azwan Harun berharap kerajaan negeri Kelantan dapat menerima pelawaan Pemuda UMNO dan mengadakan perbincangan bersama untuk menerangkan versi hukum hudud.

"Pemuda bersifat positif dan gembira sekiranya Pemuda PAS boleh bersama-sama dengan pergerakan Pemuda UMNO bergabung untuk kita turun padang dan perjelaskan kepada masyarakat terutama generasi muda apakah hudud yang sebenarnya.

"Kita tidak ada niat politik, tidak langsung ada agenda untuk menjadi juara terhadap hukum hudud ini tetapi lebih penting adalah pemahaman yang sebenar dapat diberi kepada masyarakat umum," katanya dalam temu bual bersama Bernama di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Pergerakan Pemuda UMNO Dr Fathul Bari Mat Jahya dan Pengerusi Biro Agama Pemuda UMNO Azmir Yuzaimi Mohd Yunos.

Khairul Azwan mencadangkan pelbagai pendekatan termasuk program dialog di universiti-universiti tempatan, memperkenalkan video klip pendek tentang hukum hudud dan ceramah yang dimuat naik di laman sosial.

Mengulas tentangan terhadap hukum hudud daripada parti komponen Barisan Nasional (BN), beliau berkata tentangan itu adalah kerana mereka risau serta tidak jelas dengan hukum hudud.

"Tetapi kepimpinan Pemuda MIC dan Gerakan dalam semangat setia kawan BN bersetuju untuk menerima penjelasan dan penerangan daripada biro agama untuk lebih memahami hukum ini," katanya.

Sementara itu, Azmir berkata PAS Kelantan perlu berhati-hati dalam melaksanakan hukum hudud kerana sekiranya pelaksanaan hukum itu gagal dan tidak adil, ia hanya akan membawa cemuhan daripada golongan bukan Islam.

Fathul Bari pula berkata fokus utama Pemuda adalah bagi membetulkan persepsi negatif berkaitan hukum hudud dan berharap kali ini PAS ikhlas untuk melaksanakan hukum tersebut di Kelantan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah hari ini berkata dua draf undang-undang persendirian tentang hukum hudud telah siap dirangka dan menunggu masa untuk diperjelaskan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum dibentangkan di Parlimen. ~ Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


Pihak admin yop-pasirsalak.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen di sini.

Semua pelawat dianggap setuju dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami dan kami tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen yang diutarakan.