Halaman

Selasa, 31 Mac 2015

Wajib Baca!!! Untuk Apa Laksana #GST Oleh #NKPUM @Azwanbro @NajibRazak @KhairyKJ @AhmadMaslan @PPUMonline


Berikut adalah penulisan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berkaitan dengan sistem percukaian baru Goods and Service Tax (GST) yang akan mula dikuatkuasakan oleh kerajaan bermula esok, 1 April 2015 seperti yang disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia.

Ianya penerangan ringkas serta mudah untuk difahami, kenapa kerajaan mengambil langkah untuk menggantikan sistem cukai sedia ada, SST kepada GST.

KERAJAAN telah menyediakan pelbagai kemudahan untuk para usahawan yang hendak menjejakkan kaki mereka ke dunia perniagaan, khususnya buat orang-orang Melayu melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Kita telah melihat pelbagai inisiatif seperti pinjaman TEKUN, pinjaman ATOM untuk bengkel automotif, TUKAR dana transformasi kedai runcit, melalui Majlis Amanah Rakyat (MARA) kita menyediakan pelbagai kelas, bengkel, kursus malah menyediakan ruangan inkubator buat para usahawan muda.

Akan tetapi banyak kali kita lihat kegagalan usahawan-usahawan ini bukan sahaja untuk memajukan perniagaan mereka malah untuk berniaga cukup-cukup pulang modal sekalipun amat sukar dalam industri tertentu.

Sememangnya kita perlu akui dalam sesetengah kes usahawan itu sendiri mempunyai masalah disiplin namun dalam bidang peruncitan tertentu, apabila usahawan yang telah kita latih masuk ke dalam pasaran, kita mendapati amat sukar untuk mereka bersaing walhal kalau dari segi zahirnya ini tidak sepatutnya berlaku.

Kita ambil contoh dalam bidang bengkel automotif, berapa banyak kes yang kita dengar dan rekod mengenai alat ganti tiruan, alat ganti seludup malah ada alat ganti cetak rompak dalam pasaran. Agak aneh apabila lebih murah untuk kita mendapatkan alat ganti Toyota dari bengkel ketiga berbanding membeli terus daripada Toyota, malah perbezaan harga alat ganti antara kedua-duanya cukup besar.

Secara zahirnya nampak seperti pasaran domestik kita mempunyai persaingan yang sihat namun kalau dilihat secara teliti banyak ketirisan, salah laku dan penguasaan golongan kartel yang memonopoli pasaran secara gelap.

Sebab itu banyak kita lihat usahawan muda yang membuka bengkel gagal untuk bersaing terutama dari segi harga servis dan harga alat ganti, ini kerana pada usahawan dan peniaga yang mengikut undang-undang akan sentiasa ke belakang berbanding pesaing mereka yang mempunyai kelebihan harga dan kos kerana tidak mematuhi peraturan.

Perkara ini berlaku kerana negara kita selama ini mengamalkan sistem cukai peruncitan yang tidak efisien iaitu SST (Sales and Service Tax). Sistem percukaian yang hanya mengenakan cukai pada pengilang dan pengimport menyebabkan amat sukar untuk kerajaan mengawal selia pergerakan barangan. Ini menyebabkan banyak kes penyeludupan dan perniagaan yang mengelak daripada membayar cukai.

Kita memerlukan sistem percukaian yang lebih telus, sistem yang mudah untuk kita mengawal selia pergerakan barangan dan perkhidmatan di semua rantai penawaran. GST ialah cukai yang dikenakan pada semua transaksi perniagaan dan pada masa sama dirangka untuk tidak terlalu membebankan peniaga melalui sistem tuntutan semula.

Apabila kita dapat melihat jumlah cukai yang dikenakan pada setiap rangkaian penawaran maka kerajaan dapat melihat dengan telus jumlah sebenarnya barangan yang dikilang, diimport, yang dijual, keuntungan dan pendapatan sebenar sesebuah perniagaan itu.

Apabila kita melaksanakan sistem percukaian yang lebih telus maka amat sukar untuk pasaran dikuasai oleh golongan kartel yang menguasai pasaran dengan menawarkan harga yang tidak kompetitif melalui penyeludupan, menyimpan bekalan dan mengelakkan diri dari mengisytiharkan cukai. Sebab itu lebih dari 160 buah negara dalam dunia mengamalkan sistem cukai GST.

Namun sudah pasti ada suara-suara yang mengatakan bahawa akhirnya walau apa sekalipun alasan yang diberikan harga bara­ngan tetap akan naik. Sepatutnya mengikut hukum logik ada barang yang akan turun harganya dan ada juga yang akan naik, ini perlu kita akui, namun peniaga yang paling bising mengenai GST ini kebiasaannya adalah mereka yang selama ini mengelak dari membayar cukai.

Ini kerana bukan sahaja perlu mereka mengisytiharkan cukai barangan yang mereka tidak bayar selama ini, malah melalui sistem GST adalah lebih mudah untuk Lembaga Hasil Dalam Negeri mengetahui pendapatan sebenar mereka.

Untuk jangka masa pendek memang saya akui akan mempunyai sedikit perasaan tidak selesa terutama apabila rata-rata peniaga mengatakan bahawa mereka dipaksa menaikkan harga. 

Namun apabila pembetulan pasaran bermula, peniaga terpaksa bersaing dan menerima hakikat pelaksanaan sistem cukai ini maka pasaran akan kembali stabil.

Samalah seperti ubat kita akan merasakan sedikit pahit pada permulaan namun kita harus laksanakan ini demi kebaikan pasaran kita untuk jangka masa panjang. 

Sesungguhnya kerajaan hari ini mengambil risiko politik untuk melaksanakan dasar yang sukar demi kebaikan masa depan dan saya secara peribadi menyokong tindakan berani ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


Pihak admin yop-pasirsalak.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen di sini.

Semua pelawat dianggap setuju dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami dan kami tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen yang diutarakan.