Halaman

Sabtu, 1 Mac 2014

Genap 81 Tahun, #TenteraDarat Lebih Matang - Panglima ATM


Walaupun sudah menjangkau usia 81 tahun pada Sabtu, Tentera Darat (TD) sentiasa mewujudkan dasar dan perancangan strategik dalam pengoperasian bagi memastikan negara bebas daripada sebarang ancaman dan pencerobohan luar.
Bertepatan dengan tema sambutannya iaitu 'Tentera Darat Teguh Siaga, ATM Gah, ATM Perkasa', TD salah satu cabang utama dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melengkapkan usaha itu dengan mengamalkan triologi 3M iaitu Manusia, Mesin dan Method (kaedah).

Panglimanya, Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata, TD sentiasa memberi penekanan kepada memperlengkapkan manusia (anggota) dengan meningkatkan kualiti sumber manusia yang meliputi pengetahuan, kemahiran, sikap dan kompetensi.

Katanya, eleman yang turut dititikberatkan adalah menjamin kelangsungan, peningkatan perkakasan yang sedang dan dalam proses dibangunkan ataudipertingkatkan.

Selain itu, Raja Mohamed Affandi berkata pelan-pelan yang bersesuaian diwujudkan dan diperkasakan bagi memastikan TD sentiasa releven dengan keadaan semasa dan masa hadapan.

"Kombinasi ketiga-tiga elemen tersebut ditambah dengan tahap kesiagaan yang tinggi membolehkan TD mengunjurkan kuasa pada masa, tempat dan tujuan yang betul.

"Malah, ia sejajar dengan peranan TD dalam memastikan visi pasukan tercapai bagi menjamin kelangsungan transformasi ATM," katanya.

Beliau berkata demikian pada wawancara khas sempena sambutan ulangtahun ke-81 Tentera Darat di Wisma Pertahanan di sini baru-baru ini.

Jelas beliau, peranan TD sebagai sebahagian daripada ATM bukan kecil, malah ketumbukan ini merupakan nadi utama kepada ATM.

Katanya, pelbagai episod mencabar yang dilalui antaranya perang dunia kedua, konfrontasi dan merasai bahang peperangan Vietnam serta kejatuhan Kemboja.

Malah, katanya, testimoni terakhir kejayaan TD adalah ketika pencerobohan di Lahad Datu, di mana kerajaan melancarkan Ops Daulat pada 12 Februari lalu.

"Jika diukur dari situ, pasukan kita terbukti sudah matang. Dalam TD usia 81 tahun itu belum ‘tua’ sebaliknya dianggap matang," katanya.

Raja Mohamed Affandi berkata TD turut terbabit secara menyeluruh dalam misi-misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di bumi bergolak seperti di Somalia, Bosnia, Lubnan dan Afghanistan.

"Kita diberikan banyak pengiktirafan tertinggi termasuk dari negara luar atas sumbangan menghantar pasukan perubatan ke bumi bergolak itu," katanya.

Justeru jika dilihat keseluruhan, beliau berkata TD telah meninggalkan banyak kesan dan nama di serata tempat, baik di Eropah, Asia dan tanah air sendiri serta ia sesuatu yang harus dibanggakan.

Ketika ditanya mengenai perancangan untuk menguatkan mobiliti pasukan TD dengan pembelian peralatan baharu, beliau berkata buat masa ini ia bukan menjadi keutamaan kerana perlu mengambil kira kekangan dan kemampuan pasukan itu.

"Maka, saya hanya meletakkan tumpuan terhadap usaha memastikanperalatan sedia ada berada dalam keadaan baik supaya tahap kesiapsiagaan kitakukuh," katanya.

Jelas beliau, salah satu aset TD adalah anggota tentera itu sendiri yang perlu dilatih berpegang pada prinsip 'kita perlu bersatu'.

"Prinsip itu adalah sesuatu yang perlu ada dalam diri setiap anggota TD. Selepas itu, perancangan kita adalah memperoleh peralatan canggih," katanya.

Mengenai sambutan ulang tahun pasukan itu, Raja Mohamed Affandi berkata ia diadakan di Port Dickson yang juga dikenali sebagai bandar tentera bermula Sabtu.

“Pada hari ini (Sabtu), satu perbarisan dan bacaan perutusan akan diadakan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) Port Dickson.

"Orang ramai boleh datang ke Pantai Saujana Batu 4, Port Dickson, pada Ahad untuk menyaksikan demonstrasi keupayaan TD dan perbarisan memperingati setahun kejadian pencerobohan di Lahad Datu," katanya.

°°°Dalam jasad YPS, turut mengalir darah perajurit kerana arwah ayahanda YPS juga merupakan Bekas Angkatan Tentera Malaysia. Arwah berkhidmat sekitar tahun 50 an.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


Pihak admin yop-pasirsalak.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen di sini.

Semua pelawat dianggap setuju dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami dan kami tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen yang diutarakan.