Halaman

Isnin, 3 November 2014

#PAU2014: Biro Agama Sedia Bawa Usul Pinda Fasal 3.3 Perlembagaan #UMNO @NajibRazak #ASWJ

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (dua dari kiri) menyampaikan watikah perlantikan Majlis Penasihat Biro Agama UMNO kepada Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor (dua, kiri) pada majlis Multaqa Kebangsaan Biro Agama UMNO Malaysia, semalam
Pelaksanaan pindaan terhadap Fasal 3.3 dalam Perlembagaan UMNO perlu dilaksanakan agar pegangan agama Islam dalam kalangan umatnya di negara ini dapat diperkukuh berdasarkan prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, Fasal tersebut yang menekankan kewajipan menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam sebagai agama rasmi negara serta menghormati prinsip kebangsaan beragama perlu dilaksana dan dimantapkan berpandukan al-Quran dan Sunnah.

Katanya, tindakan itu penting ekoran penambahan anasir-anasir negatif yang menghakis pendirian serta pegangan dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini.

“Umat Islam di Malaysia berdepan pelbagai cabaran dan pengaruh anasir perosak yang dilihat semakin bertambah pada masa kini. Ini termasuk pengaruh dibawa ajaran sesat seperti Syiah dan Millah Abraham yang mengelirukan lagi menyesatkan.

“Kemungkinan usul tersebut akan dibentang pada Perhimpunan Agung UMNO nanti dan Biro Agama akan berhubung dengan pihak berkenaan bagi membincangkan tentang cadangan ini,” katanya dalam sidang akhbar sempena Multaqa Kebangsaan Biro Agama UMNO di Hotel Putra di sini semalam.



Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Majlis yang pertama kali diadakan itu merupakan platform perbincangan dan perkongsian buah fikiran dalam kalangan peserta yang terdiri daripada pengerusi dan ahli biro di setiap bahagian dan sayap parti.

Antara perkara dibincangkan termasuk hala tuju biro serta pengumpulan input berkaitan usul dan perkara yang akan diketengahkan pada Perhimpunan Agung UMNO 2014 yang akan berlangsung pada 25 hingga 29 November ini.

Sementara itu, Jamil Khir memberitahu, pihaknya akan mewujudkan pasukan skuad kebajikan yang berperanan memberi bantuan dan khidmat nasihat berkaitan agama seperti pengurusan jenazah, imam solat, bacaan Yasin dan tahlil.

Katanya, skuad tersebut akan diwujudkan di semua peringkat dan kawasan seluruh negara di bawah Biro Agama UMNO.

“Mereka akan menjadi tenaga utama dan kelompok gantian kepada pemimpin atau imam yang menjalankan tugas dan peranan dalam aktiviti keagamaan di kawasan-kawasan tertentu,” katanya.

Pada masa yang sama beliau berkata, pihaknya juga akan melantik sekurang-kurangnya 10 individu daripada golongan muda yang berpendidikan dalam bidang agama untuk dijadikan ikon keagamaan di setiap bahagian biro seluruh negara.

“Mereka yang bakal dipilih perlu mempunyai kemahiran dan pengetahuan meluas berkaitan Islam dan mampu melaksanakan program bermanfaat seperti ceramah dan motivasi serta semua perkara berkaitan Islam dan pelaksanaannya,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


Pihak admin yop-pasirsalak.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen di sini.

Semua pelawat dianggap setuju dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami dan kami tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen yang diutarakan.