Isnin, 28 Februari 2011



YPS tertarik dengan sebuah rencana dari portal Agenda Daily yang ditulis oleh Helmy Hanafi berkenaan perbandingan kejayaan dan kegagalan antara kerajaan Melaka dengan Kelantan. Terkejut YPS melihat fakta dan hakikat sebenar wajah Serambi Mekkah yang selama ini dilihat begitu indah pada pandangan mata. Rupa-rupanya slogan Membangun Bersama Islam yang dicanang oleh Nik Aziz tidak ubah sekadar pembohongan dan retorik politik yang sangat hanyir baunya - atau dengan kata yang lebih mudah - slogan Membangun Bersama Islam yang dipromosikan oleh PAS selama ini, sebenarnya hanyalah "ceramah agama", semata-mata . Baca artikel menarik di bawah:



JARANG-JARANG KETUA sebuah negeri hendak mengaku negerinya kalah dengan negeri lain. Tapi lain pulak cerita dengan Ketua Menteri melaka Datuk Seri Ali Rustam yang mengaku kalah satu perkara dengan Kelantan. Katanya, Melaka kalah dengan Kelantan dari segi gejala sosial, terutamanya yang berkaitan dengan mengandung luar nikah. Apa bukti? Menurut beliau, buktinya, di Sekolah Harapan yang didirikan oleh kerajaan Melaka ada enam orang kelantan berbanding hanya dua orang Melaka. “Bab itu Melaka kalah dengan Kelantan, dan saya mengaku,”katanya sambil senyum sinis semasa menghadiri program kesenian di rumah Penghulu Md Natar di Merlimau Pasir petang Ahad.

Sebab itu kata, Ali Rustam beliau ajak PAS debat mengenai Sekolah Harapan ini. “Saya dah ajak sebelum ini, tapi mereka diam, nanti selepas pilihanraya ini saya akan ajak lagi, kita debat terbuka pilih mana TV yang dia nak, TV3 boleh TV1 boleh, saya tak ada masalah,” katanya. Sekolah Harapan”, adalah sekolah khas untuk pelajar yang mengandung luar nikah dan dikelolakan di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM). Sekolah yang mendapat peruntukan RM500,000 setahun dari kerajaan negeri itu bagi membolehkan pelajar yang mengandung luar nikah meneruskan pengajian mereka dengan jagaan khas dan mengelakkan kes-kes pembuangan bayi.

18 kejayaan Melaka dan kegagalan Kelantan

Sebut bab Melaka gagal ini, ahli Dewan Negara asal Melaka Senator Akbar Ali ada pandangan lain, beliau dalam satu tulisan khas mendedahkan 18 perkara yang dijadikan perbandingan antara kejayaan Melaka dan kegagalan Kelantan. “Soal penagih dadah, sekali lagi kita kalah dengan Kelantan, berdasarkan statistik tahun 2009, bilangan penagih dadah di Melaka adalah 327 orang manakala Kelantan 1902 orang,”kata beliau. Menurut beliau semua sumber yang menjadi angkubah ini sahih kerana diambil dari sumber rasmi. “Kelantan bukan sahaja tercicir dari segi ekonomi, tetapi sebagai Serambi Mekah yang digahkan, ia terus bergelumang dengan kemelut gejala sosial,” katanya.

Antara yang diukur adalah kadar kemiskinan di mana 0.5 peratus berbanding Kelantan 4.8 peratus. Kadar pendapatan isi rumah, Melaka RM4,184 manakala Kelantan RM2,536. Hasil kutipan Kastam, Melaka RM1.6 bilion sedangkan Kelantan hanya RM37.3 juta. Selain itu, penceraian di kalangan umat Islam pula di Melaka 923 pasangan, di Kelantan 2,478 berdasarkan statistik tahun 2009. Keseluruhan jenayah tahun 2010 Melaka 5,967 berbanding Kelantan 7,900. Kelahiran anak tak sah taraf, Melaka 1,077, manakala Kelantan 1,221. Berdasarkan semua fakta itu, Akbar Ali, menyeru ahli PAS agar melakukan tranformasi kerana kata beliau, Allah SWT tidak mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka yang mengubahnya sendiri.

Sumber : Agenda Daily
Enhanced by Zemanta

Pilihanraya Kecil DUN KERDAU Pahang.



BN telah memilih Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau Syed Ibrahim Ahmad sebagai calonnya pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau pada 6 Mac ini.

Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di hadapan lebih 4,000 penyokong BN di Dataran Sri Ketumbit, dekat Temerloh.

Berusia 44 tahun, Syed Ibrahim adalah juga Penasihat Agama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Pemilihan anak jati tempatan berkelulusan dari Universiti Al-Azhar itu dipercayai mampu mempertahankan kerusi BN pada pilihan raya kecil ke-16 negara selepas pilihan raya umum 2008.

Muhyiddin ketika mengumumkan calon BN itu, berkata pemilihan Syed Ibrahim dibuat selepas melalui beberapa saringan di peringkat bahagian Umno dan badan perhubungan Umno negeri sebelum diputuskan pucuk pimpinan.

"Selepas melalui beberapa saringan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah memutuskan calon berkenaan," kata Muhyiddin.

Kerusi DUN Kerdau kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Zaharuddin Abu Kassim, 63, dari BN pada 12 Februari lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Zaharuddin menewaskan calon PAS, Hassanuddin Salim, dengan majoriti 1,615 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh pengundian pada 6 Mac 2011.

Turut hadir pada majlis pengumuman calon BN itu Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Presiden MIC Datuk G Palanivel, Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Presiden Parti Progresif Penduduk Datuk M Kayveas serta pemimpin-pemimpin parti komponen BN dan Umno peringkat negeri Pahang.

Muhyiddin berkata semua pihak perlu akur dengan calon yang diumumkan bertanding di kerusi DUN berkenaan.

"Terimalah dengan ikhlas, terimalah calon kita dengan semangat perpaduan, kerana apa yang paling penting ialah parti Umno dan BN, dan bukannya calon," katanya.

PRK LAGI... DUN Merlimau,MELAKA


JASIN -Ahli Jawatankuasa Umno Jasin Roslan Ahmad dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka kawasan Merlimau, umum Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Merlimau.

Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan pada 20 Januari lepas akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan 6 Mac depan sebagai tarikh pengundian.
Pengumuman tersebut dibuat di hadapan kira-kira 3,000 penyokong BN di Command Centre di Merlimau.

“Ini diputuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga pengerusi BN selepas kita menerima cadangan dan proses penyaringan berkali-kali dan kita dapati saudara Roslan adalah calon paling sesuai,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman calon BN bagi pilihan raya kecil DUN Merlimau pada 26hb yang lalu.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata Roslan, 44, mempunyai rekod pengalaman dan pemimpin yang dikenali di kalangan pengundi DUN Merlimau dan beliau berharap pengundi berpuas hati atas pemilihan beliau sebagai calon.

Roslan ialah Pengurus Bahagian Pembangunan Perniagaan Perbadanan Melaka Holdings Sdn Bhd, anak syarikat kerajaan negeri Melaka berkelulusan diploma dalam bidang pengurusan perniagaan.

Allahyarham bapa beliau, Datuk Ahmad Ithnin ialah bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai, yang setelah persempadanan semula kawasan pilihan raya dinamakan DUN Merlimau.

Muhyiddin berharap jentera BN yang telah bersedia hampir sebulan menghadapi pilihan raya kecil itu akan dapat meningkatkan undi majoriti berbanding pilihan raya umum lepas.

Beliau berkata pemilihan Roslan sebagai calon pilihan raya kecil itu dibuat berdasarkan merit beliau sendiri sungguhpun bapanya pernah menjadi Adun kawasan itu manakala bapa saudaranya pula, bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Abu Zahar Ithnin juga pernah dipilih sebagai Adun kawasan itu.

“Walaupun dari segi perhubungan dan pertalian itu tidak boleh kita elakkan tetapi yang penting dan dinilai oleh pucuk pimpinan ialah beliau (Roslan) sendiri, berasaskan latar belakang dan potensi beliau itulah yang paling utama,” katanya.

Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan pada 20 Januari lepas akibat serangan jantung.
________________________________________________________

***Lama dah sejak PRK Parlimen Hulu Selangor yang lalu, teman tidak turun berjuang di Pilihanraya Kecil. Kesibukan tugas serta lain-lain hal yang tidak mengizinkan. Apapun, YPS tetap mendoakan agar rakan-rakan terus tabah dan bersemangat untuk mengekalkan mahu pun merampas kerusi yang dipertandingkan. Seterusnya memastikan UMNO/BN terus memimpin Malaysia tercinta.

Ahad, 27 Februari 2011

PERHIMPUNAN MELAYU PERKASA PERAK




PASIR SALAK 26 Feb. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat patut bersyukur dilahirkan sebagai orang Melayu yang tentunya beragama Islam. Beliau berkata, Melayu adalah bangsa yang unik di dunia kerana mengikut Perlembagaan, orang Melayu mesti bertutur dalam bahasa Melayu, mengamalkan adab Melayu dan beragama Islam.

"Sekiranya Nik Aziz dilahirkan sebagai orang Vietnam atau Laos, belum tentu Menteri Besar Kelantan itu menjadi umat Islam. "Oleh kerana ibu bapa beliau orang Melayu, maka Nik Aziz pun dilahirkan sebagai orang Islam dan berpeluang belajar agama Islam," katanya. Beliau berucap di hadapan lebih 15,000 orang yang hadir pada Perhimpunan Melayu Perkasa Perak anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di Pulau Datuk Sagor di sini hari ini.

Dr. Mahathir juga berkata, Nik Abdul Aziz sanggup menidakkan hak Melayu dan mengatakan nasionalis seperti beliau tidak Islam hanya kerana inginkan sokongan bukan Islam. Tegas beliau, tiada siapa pun yang berani mengatakan mereka yang berjuang untuk bangsa Melayu Islam adalah tidak Islam. "Apabila berkempen, beliau kata nasionalis tidak Islam tetapi hanya mereka yang sokong Pas adalah Islam. "Kalau begitu, orang Islam di Malaysia ini berkurangan sebab lebih ramai tidak menjadi ahli Pas daripada menjadi ahli parti itu," ujarnya.

Bekas Perdana Menteri itu sebelum ini mendakwa Nik Abdul Aziz mengkafirkan beliau kerana Menteri Besar Kelantan itu mendakwa 'sokong Pas ertinya sokong Islam'. Dr. Mahathir menambah, walaupun orang Melayu dianggap perkauman kerana mempertahankan hak mereka yang tinggal sedikit, ia tidak merubah hakikat bahawa mereka adalah orang Melayu. "Perjuangan kita adalah perjuangan mulia untuk mendapatkan tempat kita di negara kita dan sekarang, kita tidak boleh sebut Melayu di negara kita sendiri.

"Namun, hakikatnya, kita masih orang Melayu yang mempunyai tanggungjawab untuk menyelamatkan kepentingan kita supaya tidak dirampas daripada kita," katanya. Beliau juga meminta orang Melayu supaya berhati-hati membuat pilihan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 agar tidak memilih mereka yang tamak dan mementingkan diri sendiri sebagai pemimpin. Pada sidang akhbar, Dr. Mahathir menganggap orang Melayu masih keliru untuk menyatakan sokongan mereka walaupun banyak yang sudah dilakukan oleh kerajaan sedia ada dalam membantu mereka.

Menurut beliau, berbanding di negara lain, kerajaan Malaysia menyediakan peluang pekerjaan dan memberikan biasiswa pendidikan kepada rakyat terutama orang Melayu. "Orang Melayu keliru dan tidak tahu hendak pergi ke mana. Kerajaan tolong pun mereka masih keliru. "Ada negara yang kerajaannya langsung tidak tolong rakyat. Kerajaan kita wujudkan peluang kerja sampai ada banyak pekerjaan tetapi orang tidak mahu kerja," katanya.

Label

Bacaan Quran

Jom Dengar Quran

..::cWm::..