Memaparkan catatan dengan label Chew Mei Fun. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Chew Mei Fun. Papar semua catatan

Khamis, 26 Jun 2014

Rombakan Kabinet: Pertubuhan Cina Sedikit Kecewa @NajibRazak #MCA @partiGerakan



Beberapa pemimpin pertubuhan yang mewakili masyarakat Cina menyuarakan rasa kecewa apabila MCA dan Gerakan tidak diberikan jawatan penting dalam Kabinet.

Kekecewaan mereka diluahkan setelah MCA 'kehilangan' jawatan Timbalan Menteri Pendidikan yang secara tradisinya dipegang parti itu.

Terdapat pula suara yang berpendapat MCA seharusnya mendapat sekurang-kurangnya tiga menteri masing-masing di Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Mereka juga mengharapkan Datuk Mah Siew Keong dan Datuk Wee Ka Siong yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri akan diberi tanggungjawab sewajarnya.

Presiden Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia, Tan Sri Pheng Yin Huah berkata, pihaknya mengalu-alukan rombakan Kabinet tetapi sedikit kecewa dengan barisan baharu itu.

"Keadaan ini berlaku kerana tiada perwakilan kaum Cina dalam Kementerian Pendidikan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

"Kementerian-kementerian ini mengendalikan isu-isu yang dekat dengan kaum Cina," katanya.

Beliau bagaimanapun berpuas hati apabila wakil MCA dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

"Sebelum ini kita pernah mencadangkan wakil kaum Cina dilantik sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II.

"Sekarang dapat timbalan menteri, ia masih merupakan satu keadaan yang boleh diterima," katanya.

Tambahnya lagi, jawatan dan tanggungjawab Ka Siong dan Siew Keong sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri perlu diperjelaskan.

"Pada ketika isu Islam dan bukan Islam terus berlaku kebelakangan ini, adalah baik jika terdapat bahagian khas yang mengendalikan isu berkaitan di Jabatan Perdana Menteri," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Gabungan Dewan-Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia, Datuk Lim Kok Cheong berpendapat, wakil MCA dalam Kabinet perlu berani bersuara menyampaikan pandangan dan suara hati masyarakat Cina.

Beliau berpendapat pelantikan dua menteri daripada MCA adalah boleh diterima walaupun mengharapkan tiga menteri sebelum ini.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia, Ong Chiaw Chuan pula berkata, pihaknya sedikit sebanyak kecewa apabila wakil MCA tiada dalam Kementerian Pendidikan.

Namun beliau juga percaya dua menteri MCA masih berupaya membangkitkan isu berkaitan untuk dibincangkan dalam Jemaah Menteri.

"Sebelum ini ada wakil MCA dalam Kementerian Pendidikan, ia lebih mudah untuk bangkitkan isu pendidikan Cina," katanya.

Perghhhhh!!! Punya besar permintaan pertubuhan yang mewakili masyarakat Cina ni. Deme sedar atau tidak, bahawa mereka tidak layak untuk diberikan walaupun satu jawatan kecil didalam kabinet selepas mereka GAGAL memenangi hati pengundi Cina pada PRU ke 13 yang lalu.

Dengan pelantikan seramai 6 orang pemimpin Cina dalam kabinet kerajaan semalam, hari ini mereka boleh menyuarakan ketidakpuasan hati mereka dengan portfolio yang diberikan kepada 5 pemimpin MCA dan seorang dari parti Gerakan.

Najib yang mengumumkan rombakan kabinet itu, mendapat kritikan dari pelbagai pihak yang menyatakan kekecewaan dengan pertambahan portfolio selain tiada menteri yang digugurkan biarpun ada antara yang dikekalkan gagal menepati KPI yang ditetapkan.

Wakil-wakil pertubuhan Cina patut bersyukur kerana masih diberi peluang biarpun mereka kalah pada PRU ke 13 yang lalu. Yang menang pun, kerana bertanding di kawasan majoriti Melayu.

Dan perlu diingat, pelantikan 6 orang pemimpin mewakili masyarakat Cina itu oleh YAB Perdana Menteri pasti dengan harapan agar mereka bekerja kuat menarik balik sokongan kaum Cina terhadap Barisan Nasional.

YPS berpendapat, pelantikan tersebut adalah ihsan UMNO yang menang majoriti sehingga melayakkan Barisan Nasional kekal memerintah negara ini.

Secara peribadi, YPS yakin kita tetap tidak boleh mengharapkan undi kaum Cina pada PRU ke 14 nanti...

#BeriBetisNakPaha

Sabtu, 22 Mac 2014

#prkKajang: @Azwanbro Berjaya Galas Misi Tawan #DUNKajang, Doakan Kemenangan BN @NajibRazak @KhairyKJ @ChewMeiFun


Pertama sekali, YPS ingin mengucapkan sekalung tahniah buat Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia Khairul Azwan Harun atas kesungguhan dan kerja keras beliau mengetuai Jentera Pemuda Barisan Nasional (BN) bagi Pilihanraya Kecil (PRK) DUN Kajang bermula dari tarikh penamaan calon, 11hb Mac yang lalu.

Azwan yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO turut dilantik oleh YAB Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak untuk menggalas tugas besar sebagai Bapa Angkat kepada UMNO Bahagian Hulu Langat bagi menghadapi PRK DUN Kajang.

Sebaik sahaja pengumuman kekosongan kerusi DUN Selangor oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR), beliau dilihat mula mempersiapkan Jentera Pemuda Barisan Nasional (BN) dengan mengadakan beberapa pertemuan bersama kepimpinan Pemuda UMNO Negeri Selangor.


Dalam pertemuan bersama kepimpinan UMNO Selangor yang turut dihadiri oleh Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat Dato' Johan Abdul Aziz tersebut, Azwan berjanji akan bekerja kuat bagi menjayakan misi BN menawan DUN Kajang dari Pakatan Rakyat dengan pendekatan politik berbeza berbanding PRK DUN Sg Limau yang lalu.

Tidak seperti Pilihanraya Umum (PRU), senario Pilihanraya Kecil lebih mencabar kerana kesemua sayap parti perlu sentiasa bergerak memantau, mendekati dan memberi penerangan kepada pengundi-pengundi agar mereka tidak terpengaruh dengan kempen serta dakyah yang dimainkan oleh pembangkang.

Kebiasaannya, setiap kali Pilihanraya Kecil diadakan, parti yang bertanding akan menghimpunkan ribuan jentera mereka dari seluruh pelusuk tanahair.

Itu antara cabaran yang perlu dihadapi oleh Azwan selaku Pengarah Jentera Pilihanraya Pemuda BN serta Bapa Angkat kepada UMNO Bahagian Hulu Langat bagi PRK DUN Kajang ini.

Apapun, pengalaman beliau memimpin Jentera Pemuda BN Negeri Perak pada PRU ke 13 yang lalu, sedikit sebanyak membantu beliau melaksanakan misi besar ini.

Sepanjang 2 minggu ini, Azwan sentiasa berada di DUN Kajang bagi mengkoordinasi setiap pergerakan serta program Barisan Nasional sepanjang tempoh berkempen.

YPS sendiri berkesempatan mengikuti Azwan menghadiri pelbagai program yang telah disusun, dan kebiasaannya berakhir sekitar jam 3.00 pagi.

Begitulah rutinnya sepanjang tempoh kempen Pilihanraya Kecil DUN Kajang ini. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Kerusi DUN Kajang kosong setelah Lee Chin Cheh, ADUN yang memenangi kerusi tersebut pada PRU ke 13 meletakkan jawatan, dipercayai memberi laluan kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di situ.

Pada PRU ke 13 yang lalu, Lee Chin Cheh mendapat 19,571 undi, menang dengan majoriti 6,824 undi mengalahkan lima calon;
Lee Ban Seng (BN) - 12,747 undi,
Mohamad Ismail (Berjasa) - 1014 undi,
Ir Mohd Iwan Jeffrey Abdul Majid(Bebas) - 249 undi,
Ong Yau Foo (Bebas) - 85 undi,
Mohd Khalid Kassim (Bebas) - 83 undi.

Apa juga keputusan PRK DUN Kajan esok, Azwan selaku Naib Ketua Pemuda Malaysia merangkap Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia, telah menjalankan amanah serta tanggungjawab dengan amat baik sekali.

PRK DUN Balingian menanti...

Isnin, 17 Mac 2014

#PRKKajang: Manifesto #PKR Cuma Retorik, Serlah Kegagalan Kerajaan PR Selangor @DrWanAzizah @ChewMeiFun @azwanbro

 

12 Mac lalu, sehari selepas penamaan calon, Parti Keadilan Rakyat melancarkan manifesto baru bagi menghadapi Pilihanraya Kecil N25 DUN Kajang yang akan berlangsung 23 Mac nanti.

PKR telah  menggariskan 4 teras seperti berikut;
Teras pertama - memastikan Kajang tidak lagi berhadapan dengan masalah kesesakan lalu lintas yang teruk menerusi Pelan Trafik Bandar Kajang 2018.

Kerajaan BN telah mendahului Pakatan Rakyat dalam menyelesaikan masalah trafik bagi penduduk Kajang.

Projek Mass Rapid Transit (MRT) Sungai Buloh-Kajang yang dijadual beroperasi pada Julai 2017 akan mengubah landskap pembangunan bandar Kajang, khususnya dalam menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas.

Projek MRT ini juga akan meningkatkan nilai hartanah dan kepesatan aktiviti perniagaan di sekitar Kajang apabila tiga daripada 31 stesen berada di daerah itu, iaitu Saujana Impian, Bandar Kajang dan Kajang.

Teras kedua - memastikan kadar jenayah diturunkan dan kawalan keselamatan di kawasan ini dapat dipertingkatkan.

Indeks jenayah di Selangor meningkat berpunca dari lambakan pusat hiburan yang diluluskan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Teras ketiga - membangunkan anak muda dan usahawan kecil.

Arahan Penutupan segera GiatMara Sabak Bernam serta Selayang oleh Kerajaan Selangor sebagai bukti betapa retoriknya manifesto PKR berkaitan janji mereka untuk membangunkan ekonomi anak muda di Selangor.

GiatMara yang ditubuhkan oleh Kerajaan Malaysia telah berjaya melahirkan ramai usahawan muda melalui pelbagai kursus kemahiran yang disediakan. Rujuk di SINI.

Teras keempat - meningkatkan pembangunan dan penyelenggaran bandar iaitu dengan meningkatkan prestasi kutipan sampah.

'Printscreen' kenyataan akhbar Rafizi Ramli mengakui Kerajaan Pakatan Rakyat gagal menangani masalah sampah di Selangor. 

Melihat kepada 4 teras di atas, kita boleh menilai sejauh mana pendekatan serta kemajuan yang telah dibawa oleh Pakatan Rakyat sejak mereka mengambil alih pemerintahan Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 2008.

Boleh YPS katakan, manifesto yang mereka lancarkan, jelas memperlihatkan kelemahan pentadbiran mereka sepanjang 2 penggal memerintah Negeri Selangor.

Rakyat Selangor pasti lebih maklum apa yang telah Pakatan Rakyat lakukan di Selangor. Mereka lebih kepada memberi tumpuan mewujudkan lebih banyak rumah-rumah urut serta mempolitikkan pelbagai isu termasuk permasalahan air yang mengancam kesejahteraan rakyat.

PRK DUN KAJANG Berpunca Dari Pergolakan Dalaman PKR

Bagi YPS, PRK Kajang ini sendiri adalah berpunca dari masalah dalaman Parti Keadilan Rakyat. 

Belum lagi setahun sejak PRU ke 13 Mei tahun lalu, Anwar Ibrahim mengarahkan bekas ADUN Kajang Lee Chin Cheh meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada beliau sendiri menjadi calon PRK yang sedang kita hadapi.

Perancangan Anwar, selepas memenangi PRK DUN Kajang, beliau akan menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor bagi menangani permasalahan antara YB Azmin Ali dan Khalid Ibrahim.

Malah, kempen mereka lebih menjurus kepada fitnah terhadap kerajaan Barisan Nasional dalam insiden kehilangan misteri pesawat MH370. 

Ceramah mereka tidak berkisar tentang manifesto pilihanraya yang telah dilancarkan.

Ini kerana, mereka tahu mereka tidak mampu merealisasikan janji-janji tersebut kerana pergolakan dalaman parti mereka.

Pengundi-pengundi di Kajang perlu menolak Dr Wan Azizah untuk dipilih sebagai wakil mereka. Isteri Anwar Ibrahim itu cuma sekadar boneka suaminya.

Kajang memerlukan seorang Wakil Rakyat yang mampu membawa kemajuan demi masa depan penduduk-penduduk DUN Kajang.

Rakyat tahu, Dr Wan Azizah tidak mampu menggalas tanggungjawab besar tersebut. Kita semua tahu...

Undi Chew Mei Fun, Tolak Wan Azizah!!!


Ahad, 2 Mac 2014

Khalid Dicabar Dedah Nama Pemimpin Lengahkan Projek Langat 2

KAJANG: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim diminta mendedahkan nama pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat yang cuba mempengaruhi penilaian aset air di negeri itu.

Ketua Pemuda MCA Chong Sin Woon berkata, Khalid perlu mendedahkan pemimpin yang terlibat dalam melambatkan projek Langat 2 kerana rakyat perlu tahu siapa yang menjadi dalang terhadap krisis air yang menyusahkan mereka ketika ini.

“Rakyat perlu tahu bahawa kelewatan itu disebabkan perbalahan dalaman di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat dan tiada kaitan dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya pada sidang akhbar di Bilik Gerakan MCA Kajang pada Sabtu.

Dalam temubual dengan The Star pada Khamis, Khalid menjelaskan sebab mengapa beberapa pemimpin Pakatan dibiarkan untuk tidak mengetahui mengenai perjanjian penstrukturan air kerana untuk mengelakkan kemungkinan penyalahgunaan maklumat dan perdagangan secara sulit.


#PRKKajang Tidak Perlu Jadi Medan BN Curah Peruntukan - @Zahid_Hamidi

Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpendapat pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang di Selangor tidak perlu menjadi medan kepada Barisan Nasional (BN) untuk mencurahkan pelbagai peruntukan pembangunan.

Beliau berkata penyaluran peruntukan sepatutnya diberikan sekiranya penduduk Kajang memberikan mandat kepada calon BN Datin Paduka Chew Mei Fun pada pilihan raya kecil dijadual 23 Mac ini.

Katanya jentera pilihan raya BN yang merupakan pembangkang di Selangor juga perlu mengubah minda agar tidak terlalu bergantung kepada penyaluran peruntukan pembangunan dalam mendapatkan sokongan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata BN mempunyai potensi besar untuk menang pilihan raya kecil itu berikutan pengundi khususnya Melayu telah mula memberikan sokongan kepada BN setelah menyedari kerajaan Selangor gagal menyediakan infrastruktur diperlukan penduduk.

"Di kalangan orang Cina pula mereka tahu bahawa Chew Mei Fun ketika jadi anggota Parlimen Petaling Jaya Utara merupakan seorang yang baik, turun ke bawah...jadi kalau ditakdirkan beliau menang jadi Adun Kajang, beliau akan laksanakan tanggungjawab yang sama biarpun Selangor dipegang pembangkang," katanya.

Justeru, Ahmad Zahid yakin penduduk Kajang mampu membuat pilihan tepat dengan memberi peluang kepada calon BN untuk berkhidmat kepada rakyat dan menolak Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hanya berniat memenuhi keinginan politiknya

Sabtu, 1 Mac 2014

1MAC2014 | #Walkabout @Azwanbro & #pemudaBN di #DUNKajang @NajibRazak @ChewMeiFun

Jentera Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) pada hari ini telah berkunjung ke DUN Kajang bagi menyelami masalah pengundi-pengundi disamping menyampaikan bantuan berupa barangan dapur di Sungai Sekamat, Kajang.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun ditemani Ketua Pemuda UMNO Negeri Selangor, Zainuri Zainal serta barisan jentera pemuda BN turut meluangkan masa menziarahi Pak Din, bekas Ketua UMNO Cawangan Taman Kantan Permai, Fasa 1, Kajang.

Dalam pertemuan pendek tersebut, Pak Din berkongsi pengalaman memimpin UMNO Cawangan Taman Kantan Permai sewaktu Selangor masih diperintah oleh BN.

Beliau juga menasihati kepimpinan pemuda BN agar bekerja keras memastikan kemenangan Barisan Nasional pada PRK Kajang yang akan diadakan pada 23 Mac nanti.


Barisan Nasional perlu berusaha untuk mendapatkan kembali keyakinan rakyat Selangor bagi menyelamatkan Negeri Selangor dari terus dirosakkan oleh pimpinan Pakatan Rakyat yang di terajui oleh Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim

Mengambil contoh isu Projek Langat 2, Pak Din berkata rakyat Selangor pada hari ini terpaksa menanggung kesengsaraan  hidup apabila air terpaksa dicatu berpunca dari kedegilan Kerajaan Negeri Selangor membenarkan Kerajaan Pusat meneruskan pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2.

"Selain isu Langat 2, banyak lagi perkara yang membuktikan kegagalan kerajaan Selangor di bawah pimpinan Pakatan Rakyat", kata Pak Din.

Sesi 'Walkabout' Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia dan jentera Pemuda BN di N25 Kajang ini akan diteruskan sehingga tamat tempoh berkempen bagi PRK Kajang seperti yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR).

#prkKajang: #pemudaBN Anjur 'Klinik Badminton Bersama Koo Kien Keat' @azwanbro @chewmeifun @NajibRazak

1 MAC 2014 - [Kemaskini] Pergerakan Pemuda Barisan Nasional Malaysia berjaya menganjurkan Perlawanan Persahabatan & Klinik Badminton bersama dengan pemain profesional badminton negara, Koo Kien Keat di Sport Center Sungai Chua, Kajang bermula jam 8 malam tadi.

Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairul Azwan Harun turut menyertai perlawanan persahabatan badminton tersebut menentang regu calon BN bagi PRK Kajang, Datin Paduka Chew Mei Fun.

Azwan yang berpasangan dengan Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon tewas kepada regu Datin Chew Mei Fun dan Koo Kien Keat. 

Program tersebut merupakan salah satu daripada inisiatif Jentera Pemuda BN mendekati golongan muda dan ianya mendapat sambutan menggalakan daripada pengundi-pengundi muda sekitar DUN Hulu Langat.

Azwan dilihat sudah mula menggerakkan jentera Pemuda BN dengan mengadakan beberapa program mendekati pengundi-pengundi sekitar DUN Kajang.



Biro Hal Ehwal Luar Bandar (HELB) Pemuda UMNO Malaysia pada pagi ini akan berada di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Batu 10, Cheras bermula jam 10 pagi hingga jam 4 petang bagi melaksanakan program 'Apa Kabar Bro'.

Program #ApaKabarBro tersebut akan dirasmikan oleh Pengerusi HELB Pemuda UMNO Malaysia merangkap Ahli Parlimen Sekijang, YB Anuar Abdul Manap.

Isnin, 24 Februari 2014

TPM Pengerusikan Mesyuarat Khas BN #PRKKajang, @Azwanbro Turut Hadir @MahyuddinYassin

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mempengerusikan mesyuarat khas Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang di pejabat UMNO Hulu Langat di sini.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN tiba pada pukul 9 pagi, disambut oleh Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Turut hadir calon BN bagi pilihan raya itu Datin Paduka Chew Mei Fun.

Hadir sama Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Kong, Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel dan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia Khairul Azwan Harun dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar.

Mesyuarat lebih sejam itu bertujuan membincangkan perancangan dan strategi BN bagi menghadapi pilihan raya kecil itu yang akan dilangsungkan pada 23 Mac depan.

Muhyiddin ketika mengumumkan Naib Presiden MCA itu sebagai calon BN pada Jumaat lepas dilaporkan berkata, Chew yang berasal dari Selangor, menjadi pilihan kerana beliau seorang yang berwibawa, mempunyai pengalaman luas serta sudah biasa berurusan dengan dengan kerajaan persekutuan.

Bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, keluarga dan masyarakat itu dijangka akan berdepan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pilihan raya kecil itu.

Bekas Presiden Parti KITA Datuk Zaid Ibrahim, Senator S. Nallakaruppan dan peguam Yuktes Vijay juga telah menyatakan hasrat untuk bertanding sebagai calon bebas.

Azwan yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO telah diberi kepercayaan oleh YAB Datuk Seri Presiden UMNO untuk menjadi Bapa Angkat kepada UMNO Bahagian Hulu Langat bagi menghadapi PRK N25 DUN Kajang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 11 Mac.

PRK DUN Kajang diadakan berikutan peletakan jawatan secara mengejut penyandangnya Lee Chin Cheh dari PKR pada 27 Januari lepas.


Sabtu, 22 Februari 2014

@Azwanbro, Galas Tugas Sebagai 'Bapa Angkat' UMNO Bhgn Hulu Langat #PRKKajang @NajibRazak #BN4Kajang


Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairul Azwan Harun turut memuatnaik ucapan tahniah di laman 'facebook' beliau buat Naib Presiden MCA, Yang Berbahgia Datin Paduka Chew Mei Fun, yang dipilih sebagai calon dari parti MCA, yang mewakili Parti Barisan Nasional di PRK DUN Kajang.

Kemaskini Facebook AzwanBro mengucapkan tahniah kepada YBhg Datin Paduka Chew Mei Fun kerana terpilih sebagai calon BN bagi PRK Kajang.

Khabarnya, selain Datin Paduka Chew dan Datuk Seri Anwar Ibrahim terdapat beberapa lagi individu yang menyatakan hasrat untuk bertanding bagi merebut kerusi Wakil Rakyat DUN Kajang.

Mereka adalah Senator Datuk S. Nallakarupan, Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MUIP) dan Datuk Zaid Ibrahim yang berkemungkinan bertanding atas tiket bebas.

Bagi menghadapi pertembungan sengit ini, seluruh Jentera Barisan Nasional perlu bekerja keras bagi meyakinkan pengundi-pengundi di N25 DUN Kajang seterusnya memastikan kemenangan calon BN.

Demi mencapai tujuan tersebut, YAB Datuk Seri Presiden UMNO telah memilih Azwan untuk menjadi BAPA ANGKAT kepada UMNO Bahagian Hulu Langat bagi menghadapi Pilihanraya Kecil N25 DUN Kajang.



Azwan yang juga merupakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia, telah mengesahkan perkara tersebut sewaktu berucap di majlis pertemuan beliau bersama kepimpinan Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan bertempat di Kajang, 7 Februari yang lalu. Lihat di SINI.

Dalam ucapannya, Azwan berbesar hati menggalas tanggungjawab besar yang telah diamanahkan oleh YAB Perdana Menteri kepada beliau kerana beliau yakin mampu bekerjasama dengan YB Dato' Haji Johan Abdul Aziz selaku Ketua UMNO Bahagian serta seluruh kepimpinan sayap UMNO Bahagian Hulu Langat.

Justeru itu, bagi merealisasikan kemenangan calon BN di PRK DUN Kajang, Azwan berjanji akan sentiasa turun padang, membawa pendekatan baru dan berbeza selain persiapan yang lebih mantap berbanding pilihanraya kecil DUN Sungai Limau yang lalu.

Melihat kembali pencapaian beliau sewaktu mengemudi Pergerakan Pemuda UMNO/BN Negeri Perak pada PRU ke - 13 yang lalu, beliau banyak membantu kejayaan Barisan Nasional Perak mempertahankan kerusi-kerusi DUN dan Parlimen.

Kejayaan beliau diukur melaui peningkatan jumlah undi golongan muda yang berpihak kepada BN. Peningkatan tersebut hasil dari kejayaan Azwan mendaftarkan hampir 15 ribu pengundi muda setelah beliau dilantik sebagai Ketua Pemuda UMNO Negeri Perak menggantikan YB Maslin Sham Razman. Baca di SINI.

YPS mendoakan agar pemimpin muda berasal dari bumi Pasir Salak ini mampu menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaik mungkin, seterusnya memastikan kemenangan Barisan Nasional di pilihanraya kecil N25 DUN Kajang.

Sedikit mengenai Datin Paduka Chew Mei Fun, Naib Presiden MCA dilantik sebagai Calon Barisan Nasional di PRK Kajang.


Mei Fun mempunyai rekod dan pengalaman politik yang luas dengan pernah memegang pelbagai jawatan penting termasuk sebagai Ketua Wanita MCA, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara selama dua penggal.

Beliau meletakkan jawatan sebagai Ketua Wanita MCA dan timbalan menteri disandangnya pada April 2010 bagi menepati janjinya untuk berbuat demikian jika Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dipilih sebagai Presiden MCA pada pemilihan parti masa itu.

Mei Fun bagaimanapun membuat kemunculan semula apabila bertanding pada pemilihan MCA penghujung tahun lalu dan memenangi jawatan Naib Presiden

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, Chin Cheh menang dengan majoriti 6,824 dalam pertembungan enam penjuru, melibatkan calon BN, Berjasa dan tiga calon Bebas.


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 11 Mac ini sebagai hari penamaan calon dan hari pengundian pada 23 Mac.

@ChewMeiFun Berikrar Jadi Wakil Rakyat Mudah Didampingi #BN #PRKKajang @NajibRazak

Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun hari ini berjanji akan menjadi seorang wakil rakyat yang mudah didampingi serta memikul sendiri tanggungjawab yang diberikan, sekiranya menang pilihan raya kecil di Kajang nanti.

"Ini adalah janji saya kepada pengundi-pengundi Kajang. Jikalau saya menjadi calon pilihan pengundi Kajang, maka saya akan menggalas dan memikul tanggungjawab sendiri kepada pengundi, dan bukannya pembantu atau setiausaha saya," katanya dalam sebuah kenyataan pada Jumaat.

Beliau menyifatkan amanahnya sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang merupakan satu cabaran yang amat besar baginya kerana terpaksa berdepan dengan pemimpin dilabel 'bertaraf dunia' oleh pembangkang.

Chew bagaimanapun memberitahu, beliau bersedia memikul tanggungjawab tersebut iaitu  bagi mempertahankan semangat demokrasi serta hak rakyat.

Beliau turut mengucapkan terima hasih kepada Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak kerana dan presiden MCA Datuk seri Liow Tiong Lai kerana menaruh kepercayaan kepadanya.

"Kita sedar bahawa piliharaya kecil ini yang diadakan secara sengaja oleh Parti Keadilan Rakyat bagi menyelesaikan masalah dalaman parti mereka dan untuk membolehkan YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Besar.

"Mereka telah  mempersendakan dan memanipulasikan sistem demokrasi dalam tangan mereka sendiri," katanya.

Selain itu, Chew berkata ianya merupakan satu peluang untuk menepis mana-mana pihak yang mahu memanipulasikan prinsip demokrasi dengan sewenang-wenangnya.

Dalam pada itu, beliau berkata kemenangan BN di Kajang kali ini penting kerana ia dapat memperkuatkan lagi BN sebagai pembangkang dalam Selangor serta peranannya sebagai pengimbang kepada kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di negeri itu.

Katanya lagi, kemenangan BN di DUN Kajang juga dapat menyatu-padukan kekuatan serta mendengar suara segenap lapisan masyarakat ketika persidangan DUN nanti di samping menjadi bukti bahawa negara sedang menghala ke arah sistem dua-parti yang lebih sihat.

"Saya dengan penuh rendah hati menyeru kepada semua pengundi Kajang supaya memberi satu peluang kepada saya dan BN, untuk berkhidmat dan bekerja untuk anda semua," tambahnya.

Chew, 50 yang juga merupakan bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara telah diumumkan sebagai calon BN untuk pilihan raya kecil DUN Kajang, seperti diramalkan pelbagai pihak.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Muhyiddin berkata Chew dilihat sebagai calon yang paling sesuai, berwibawa dan pernah memegang jawatan dalam kerajaan.

Label

Bacaan Quran

Jom Dengar Quran

..::cWm::..