Selasa, 22 Disember 2015

#EuropianUnion: Who Are You To Call On Us??? - @Azwanbro @NajibRazak @Zahid_Hamidi @Anifah_Aman #EU


Last Thursday, the European Parliament passed a resolution calling on the Malaysian government to withdraw the recently passed National Security Council (NSC) Bill, the release of all political prisoners, the withdrawal of anti-sodomy laws and for an immediate stop to the arrests of public dissenters of the government. 

In response, this Sunday, the Foreign Minister of Malaysia, Dato' Sri Anifah Aman, condemned the resolution as it failed to show the proper respect “to any sovereign country to decide on its internal affairs.” 


“As the Youth Deputy leader in Barisan Nasional, I strongly agree with our Foreign Minister that the European Union’s resolution marks an immense sign of disrespect to Malaysia’s sovereignty and democratic integrity. 


In reading the resolution passed, what alarmed me most was the tone of authority that the European Parliament imposed, as though their words were to be regarded as commandments for a native and ill-developed polity: “urges to withdraw the National Security Council bill,” “is alarmed,” “calls on the Malaysian government.” Who are you to call on us? 

What was equally disturbing was the fact that Malaysia’s opposition parties, namely, DAP, ignored the colonial diction and prioritized instead to use the EU’s statement for its benefit, again highlighting the lack of national concern the opposition upholds when politics can turn in their favor; this was evident with Nurul Izzah’s meeting with Jacel Kiram, the daughter of the self-styled Sulu Sultan.

As a youth leader here in Malaysia, I wish to say to the European Parliament that I understand your concerns, I’ve read them thoroughly and I have always been open to criticism. However, the form of your resolution marked a grand disrespect towards Malaysia. 

Your concerns could have been expressed in a more professional manner. Malaysia’s democracy as I’ve seen in Barisan Nasional’s youth wing, has the right integrity to uphold what we know is right.

Our political culture determines our political system and before making judgmental comments, you must always understand the political culture. Your blatant disregard of Malaysia’s democracy will only destabilize the trust that Malaysians have to their government—further harming this nation. 

In contrast to the lack of respect the European Parliament showed Malaysia, I wish to respectfully call on the European Parliament to apologize for its hasty and ill delivered resolution. 

Khairul Azwan Harun

Jumaat, 11 Disember 2015

#PAU2015: Masa memenangi hati rakyat, bukan bertelagah sesama sendiri - #NKPUM @azwanbro @NajibRazak @Zahid_Hamidi

Dalam ucapan dasarnya, Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak mempamerkan ketelusan, sedia berbincang untuk menyelesaikan apa saja kekusutan selagi ia mengikut saluran yang betul.

Ia ungkapan yang jelas mendedahkan sikap sebenar Presiden parti dan sepatutnya, tiada lagi mana-mana pihak, lebih-lebih lagi ahli dan pemimpin UMNO berasa sangsi dengan pendirian atau sikap yang ditonjolkan oleh beliau.

Apa yang dilontarkan menggambarkan kewibawaannya sebagai seorang Presiden dan Perdana Menteri yang bersikap rendah diri, tapi berani dan tegas menyatakan pendirian.

Teguran dan nasihat itu menggambarkan hasrat besar presiden untuk mengajak seluruh ahli dan kepimpinan parti supaya kembali bersatu sebagai satu pasukan dalam khemah keramat.


Tak sebulu boleh undur
Apa yang diucapkan oleh beliau harus diterima semua perwakilan dan kepimpinan parti. Khemah besar tidak harus dihancur leburkan sehingga menjejaskan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera.

Pemimpin dan ahli yang masih tidak sebulu dengan presiden mungkin lebih baik berundur kerana Presiden sudah menyatakan komitmen untuk menyelesaikan segala isu berbangkit, sama ada dalam parti atau kerajaan ketika ini supaya persepsi rakyat dapat diperbetulkan.

Presiden lebih arif
Beliau lebih arif dan bertanggungjawab menanganinya, jadi janganlah menggangu atau menebuk bahtera UMNO. Masa dan peluang sudah diberikan kepada Presiden, maka janganlah ada diantara ahli dan pemimpin parti merosakkannya pula.

Paling penting, semua pihak perlu bersabar dan menguatkan parti untuk memenangi hati pengundi, selain mempersiapkan jentera menjelang pilihan raya umum (PRU) tidak lama lagi.

Jika ada hubungan renggang ketika ini, khasnya diantara Presiden dan timbalan serta naib Presiden, ia harus ditamatkan kerana sekarang bukan masanya untuk pemimpin bertelagah sesama sendiri.

"Pemuda dan Puteri umpama anak-anak yang tidak mahu melihat ibu bapa bertengkar. Jika emak dan ayah bertengkar, anak akan serba salah. Oleh itu, pemimpin dan ahli perlu bergerak seiring agar UMNO dan Barisan Nasional (BN) menang pada PRU akan datang serta diterima rakyat.

Sejujurnya, ahli dan pemimpin UMNO tidak harus terpedaya atau terikut-ikut rentak dimainkan oleh pengamal media sosial yang mengambil peluang disebalik isu untuk melaga-lagakan ahli parti.

Orang UMNO perlu tahu, pembangkang sentiasa menggandakan usaha untuk memecah belahkan parti menerusi media sosial. Ini yang perlu diatasi ahli parti yang sesetengahnya turut terpengaruh dengan dakyah pembangkang.

Ketika pakatan pembangkang bukan lagi retak menanti belah, tetapi sudah hancur, peluang ini harus dimanfaatkan UMNO dan BN untuk memenangi hati rakyat, bukan lagi bertelagah sesama sendiri.

Jangan juga jadikan keputusan Majlis Tertinggi (MT) yang memutuskan hanya Presiden menggulung perbahasan pada perhimpunan agung kali ini sebagai isu untuk dipolemikkan.

Paling penting untuk dihayati dan direnungi UMNO adalah pandangan, idea dan teguran yang disampaikan oleh jurucakap dan pembahas pada persidangan ini.

Seperti disiarkan di akhbar Utusan Malaysia hari ini.

Rabu, 9 Disember 2015

#PAU2015: Teks Penuh Ucapan Dasar Ketua Pemuda UMNO Malaysia @KhairyKJ @Azwanbro @NajibRazak


Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.

Yang Berbahagia Dato’ Pengerusi Tetap
Yang Berbahagia Saudara Timbalan Pengerusi Tetap
Wakil-wakil Majlis Tertinggi
Yang Berbahagia Saudara Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Ahli-ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Ketua-ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri
Para Perwakilan dan Pemerhati

1. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Kahfi ayat 13-14, yang bermaksud: Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayat petunjuk. Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain daripadaNya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.

Sidang Perwakilan sekalian,

2. Di dalam ayat-ayat ini, Allah menceritakan siapakah kelompok anak muda Ashabul Kahfi, yang mulia di bumi juga di langit. Mereka adalah anak-anak muda yang beriman dan berani dalam menegakkan kebenaran. Allah menegaskan mereka ini qaamu yakni bangun, peka kepada ehwal sekeliling dan tidak hanya berpeluk tubuh dan memikirkan hal kepentingan sendiri. Bahkan mereka berani berdiri demi menegakkan kebenaran berhadapan raja yang zalim. Allah juga menyebut mereka qaalu yakni berkata, dengan maksud bukan sahaja berilmu tetapi tidak berdiam diri dan membisu daripada menegakkan kebenaran dan menyanggah kebatilan.

3. Inilah sifat-sifat sejati anak muda yang dimuliakan Allah – beriman, berani, berilmu dan tidak berdiam diri daripada tanggungjawab menegakkan kebenaran. Dalam erti kata lain, selain beriman, anak muda tidak boleh tidak punyai pendirian, sejajar dengan penegasan Rukun Pemuda kita yang pertama – berprinsip!



4. Di pagi yang mulia dan indah ini, di atas pentas gah mesyuarat sayap hulubalang parti UMNO yang keramat ini, saya ingin mengajak kita semua – saya, barisan Jawatankuasa Pemuda UMNO Malaysia dan saudara-saudara sekalian untuk bertanya kepada hati kita, berfikir secara jujur dan ikhlas, merenung sedalam-dalamnya, apakah sebenarnya agenda yang memandu sayap ini dulu, kini, dan selamanya? Apakah sebenarnya idealisme perjuangan Pemuda UMNO Malaysia?

5. Apabila disentuh sahaja soal perjuangan kita, sudah tentu ia tidak boleh menyimpang daripada sebab utama UMNO ditubuhkan yang termaktub dalam fasal tiga perlembagaan parti iaitu mengekalkan maruah dan martabat agama, bangsa dan tanah air (ABATA). Perjuangan demi ABATA ini adalah darah daging gerakan politik kita. Tiada matlamat yang lebih mulia daripada iltizam dan keazaman untuk memajukan bangsa, memelihara kesucian agama dan mempertahankan kedaulatan negara sehingga ke titisan darah terakhir.

6. Namun demikian, perjuangan demi ABATA ini tidak akan berjaya, malah tidak akan ke mana-mana, sekiranya UMNO tiada kuasa. Tanpa kuasa politik, manakan mungkin ada senjata pentadbiran untuk kita mengangkat martabat ekonomi orang Melayu, menegakkan syiar agama Islam dan mengisi kemerdekaan watan. Namun, dari manakah datangnya kuasa politik ini? Amanah untuk mentadbir dan memerintah negara, manakah asal mandatnya? Kepercayaan untuk terus diletakkan di tampuk kepimpinan ini, restu siapa?

7. Sedarkah kita, kuasa paling mutlak dan hakiki dalam politik duniawi adalah rakyat – bukannya pembesar, bangsawan dan kenamaan, tidak juga para Menteri, tetapi rakyat jelata. Tanpa amanah dan sokongan rakyat, perjuangan demi ABATA hanyalah retorik kerana ia menuntut kuasa pentadbiran yang juga datang hanya daripada mandat rakyat. Perjuangan demi ABATA dan sokongan rakyat tidak boleh dipisah. Justeru UMNO dan rakyat juga berpisah tiada. Di sebalik asas perjuangan agama, bangsa dan tanah air yang ditarbiyahkan ke dalam hati sanubari setiap ahli parti, jiwa UMNO sebagai sebuah parti politik Melayu sendiri tidak pernah tersasar tumpuannya kepada rakyat. Lihat sahaja slogan, gagasan, program parti dan kerajaan UMNO – tidak pernah tiada disebut rakyat: Rakyat Didahulukan, Pemuda UMNO Tradisi Membela Rakyat, Wanita Nadi Rakyat, Juara Rakyat, UMNO Membantu Rakyat (Membara), Setia Bersama Rakyat (Semarak) dan banyak lagi. Semuanya kerana rakyat, demi rakyat dan untuk rakyat.

8. Di sinilah letaknya jawapan kepada soalan yang saya ajukan tadi. Apakah idealisme perjuangan Pemuda? Pastinya untuk rakyat. Kita tidak boleh berasa bangga dalam kelompok kecil parti kita sekiranya rakyat sudah menolak kita. Apa gunanya jika hanya kuat dalam parti tetapi kalah apabila bertarung dalam merebut sokongan rakyat. Kita tidak boleh bercakap hanya untuk menjadi halwa telinga penyokong kita, kerana yang jauh lebih besar jumlahnya adalah rakyat. Apakah gunanya memenangi hati 3 juta ahli UMNO sahaja, tetapi tidak mengambil peduli lebih 10 juta pengundi yang bukan ahli parti. Ucapan ini juga bukan hanya untuk para perwakilan di dalam dewan ini dan ahli Pemuda UMNO, tetapi juga untuk orang muda dan rakyat di serata negara.

9. Namun jangan pula bicara saya ini disalahertikan dan dianggap sebagai isyarat bahawa parti dan ahlinya tidak penting. Sama sekali tidak. Ahli dan penyokong kita sentiasa perlu dijaga. Merekalah yang bersama dengan kita di kala susah dan senang. Itu adalah kewajipan politik kita. Namun pada masa yang sama, kita kena akui kuasa rakyat lebih besar dan lebih berpengaruh.

10. Kita sering kali mengingatkan sesama sendiri, apalah erti menang jawatan dalam parti, jika di pilihan raya umum, kita tumbang di peti undi. Kalau rakyat sudah menolak kita, perjuangan kita tak ubah umpama membandarkan air ke bukit – hendak bercakap tentang agama bangsa dan tanahair pun tiada ertinya lantaran UMNO sudah tiada kuasa.

11. Menyedari akan hakikat itulah, Pemuda harus sentiasa mendampingi rakyat, mendengar rintihan rakyat serta membawa suara dan aspirasi rakyat ke tengah gelanggang perjuangan kita. Ini sudah sekian lama menjadi idealisme perjuangan kita. ‘Pemuda UMNO: Tradisi Membela Rakyat dulu, kini dan selamanya’ bukanlah slogan yang dicipta hari ini oleh saya, tetapi sudah menjadi DNA politik kita, sebati selari dengan matlamat setiap daripada kita dalam menyertai gelanggang politik. Kita tidak masuk politik untuk mengejar jawatan atau meraih kekayaan – agenda peribadi tidak harus wujud sama sekali.

12. Di kalangan kita ada yang menyertai Pemuda di peringkat cawangan kerana mahu membawa pembangunan di kampung halaman. Ada yang menyertai UMNO kerana melihat sendiri bagaimana parti keramat kita telah berjaya membawa pendidikan kepada anak bangsa di pedalaman, langsung mengubah nasib mereka dan keluarga, lantas mahu meneruskan agenda ini untuk generasi seterusnya. Ada juga yang menyertai politik untuk menyambung perjuangan semasa menjadi pemimpin mahasiswa dan kini dengan lantang menyuarakan pelbagai isu di pentas yang lebih gah dengan matlamat ingin membawa perubahan yang lebih besar kepada khalayak yang lebih meluas.

13. Pendek kata, kita berada di sini bukan untuk diri kita, tidak juga untuk penyokong dan ahli UMNO semata-mata – tetapi untuk rakyat. Bukankah ini yang diseru oleh Presiden bila acapkali disebut bahawa kita mesti menjadi pemimpin yang disukai rakyat, a likeable leader, yang mampu menjadi calon yang boleh menang, a winnable candidate, pada pilihan raya?

14. Soalnya, bagaimana hendak menjadi seorang pemimpin yang disukai rakyat dan bukan sekadar hebat di cawangan, bahagian atau parti? Dalam konteks Pemuda, sudah pasti ini bermaksud kita memahami dan menjiwai fikiran serta perasaan rakyat dan membawanya ke medan yang sewajarnya. Kadang kala membawa suara rakyat menuntut Pemuda membuat pendirian yang kurang disenangi sesetengah pihak. Ada kalanya ia menyebabkan kita menentang arus.

15. Mutakhir ini bila Pemuda menyampaikan rintihan orang ramai dengan membangkitkan isu-isu hangat, ada suara-suara sinis yang berbunyi, kononnya ini semua tindakan populis, hendak mengambil kesempatan menangguk di air keruh serta melawan tauke. Takkanlah usaha Pemuda menjadi utusan dan membawa fikiran dan suara rakyat pun dianggap menderhaka? Kalau begitu baik dijahit sahaja mulut kami.

16. Pendirian Pemuda tidak pernah populis. Yang menuduh kita populis ternyata tidak faham erti populis. Kalau Pemuda populis, kita sudah menabur kata-kata manis, menjanjikan bulan, bintang dan matahari sedangkan kita tahu ianya mustahil ditunai. Kalau hendak jadi populis, paling mudah Pemuda bantah sahaja GST, bantah TPP, bantah segala usaha menstrukturkan subsidi. Mudah tetapi tidak bertanggungjawab. Namun Pemuda tidak buat begitu. Sebaliknya, kita anjurkan forum untuk jelaskan semua isu-isu ini. Kita sertai debat dan berdepan dengan mahasiswa untuk menjawab segala persoalan dan ketidakpuashatian. Lihat sahaja aktiviti Akademi Kepimpinan Kapten Hussein – isu kes Mahkamah Anwar, isu TPP, isu tol naik, isu boikot barangan dan macam-macam lagi – semuanya diperjelas.

17. Apa yang Pemuda lakukan bukan populis tetapi untuk membuatkan UMNO kembali popular di kalangan rakyat. Kita tahu isu-isu seperti GST, penstrukturan subsidi, dan lain-lain perlu dibuat demi masa depan negara – supaya cukup pendapatan kerajaan untuk meneruskan agenda pembangunan. Namun bila timbul isu yang menjadi buah mulut sebahagian besar rakyat kita, apakah Pemuda harus hanya pekakkan telinga dan membisu sahaja? Bila ada tuduhan berat seperti rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, takkan kita diam tidak minta penjelasan?

18. Bila kita nyatakan pendirian, bukanlah niatnya untuk menuduh – tetapi untuk kita memperjelaskan keadaan dan menjernihkan semula imej kerajaan dan parti di mata rakyat. Ingat, rakyat yang menentukan masa depan politik kita. Kalau respon yang diberikan adalah jawapan yang tidak masuk akal, bagaimana penerimaan rakyat nanti? Kalau respon kita hanya mengejar dan menghukum pemberi maklumat tanpa menyiasat tuduhan yang serius, apa pula pandangan rakyat? Kalau respon kita seolah-olah mengganggu siasatan, apa yang rakyat akan rumuskan akhirnya?

19. Pemuda hanya mahu parti keramat kita kekal keramat, kekal memimpin. Untuk itu, parti kita perlu menang pilihan raya. Untuk menang pilihan raya, pemimpin kita mesti dihormati dan disegani oleh orang ramai. Sebab itulah kita bangkitkan isu-isu penting yang sudah lama bersarang di benak fikiran rakyat terutamanya orang muda. Bukan susah untuk diterima dan menjadi popular di kalangan rakyat. Kalau ada tuduhan, jawab dengan cepat dan menyeluruh. Buktikan kita telus dan mengamalkan tadbir urus yang baik. Tunjukkan pada semua tidak ada apa yang hendak kita sembunyikan.

Para perwakilan sekalian,

20. Seni politik mengajar kita untuk terlebih dahulu memahami rakyat sebelum kita berangan untuk memperoleh sokongan mereka. Apakah kita benar-benar memahami kumpulan sasar kita di kalangan rakyat jelata iaitu orang muda, yang bakal menjadi kuasa penentu dalam pilihan raya akan datang? Apakah kita peka dengan perubahan yang sedang berlaku kepada Gen Y dan kelompok millenials, atau kita langsung tidak tau menahu dan out of touch dengan mereka? Adakah mereka melihat kita sebagai sumber inspirasi yang bukan hanya boleh dijadikan role model tetapi juga tempat bergantung harap untuk membantu meringankan beban keperitan hidup, juga juara dalam membantu menyelesaikan masalah mereka?

21. Sememangnya kita khilaf jika tidak berubah mengikut peredaran zaman. Anak muda zaman ini lain ragamnya, berbeda kerenahnya. Memang ada kalanya mereka sukar untuk kita fahami namun itulah cabaran yang harus kita hadapi dan bukan alasan untuk kita menjauhkan diri. Siapa lagi yang patut mendengar, memahami dan membantu generasi muda ini jika tidak Pemuda sendiri. Lantaran itulah, Pemuda perlu sentiasa berada di hadapan kelok perubahan yang sedang berlaku. Inilah tuntutan idealisme perjuangan masa kini.

22. Dan apakah perubahan yang dimaksudkan ini? Apa yang membezakan orang muda hari ini dengan orang muda masa dahulu? Sepintas lalu ada beberapa perubahan ketara yang mula dilihat. Orang muda Melayu hari ini lebih ramai berhijrah ke bandar, kalau tahun 1970 – 73 peratus rakyat di luar bandar, tahun ini, polanya terbalik di mana 74 peratus rakyat tinggal di bandar. Hasil perjuangan UMNO juga kini melihat lebih ramai yang berkelulusan tinggi dan bergelar profesional. Kalau dulu profesional bumiputera itu seciput, kini hampir 40 peratus profesional itu dari kalangan bumiputera.

23. Penembusan internet setinggi 72 peratus menjadikan mereka generasi yang paling banyak mendapat maklumat sama ada yang sahih atau tidak. Semakin ramai anak muda Melayu kini tidak lagi melihat identiti mereka berteraskan kaum dan tidak mudah dimomok-momokkan dengan emosi perkauman. Generasi muda hari ini tidak mudah dipengaruhi dengan retorik bangsa dan lebih cenderung membincangkan isu sejagat seperti membanteras rasuah, kebebasan bersuara, hak asasi manusia, tadbir urus yang baik dan pembaziran wang rakyat. Mengikut Indeks Belia Malaysia 2015, ramai yang bimbang tentang masa depan ekonomi mereka tetapi tidak yakin dengan sistem politik sedia ada.

24. Ini realitinya. Jangan menidakkan realiti ini. Ini juga hasil perjuangan UMNO – yang membesarkan generasi baharu dalam keadaan yang lebih selesa dari dahulu. Mereka lebih terdedah, justeru lebih cerdik dan kritikal. Mereka hendak lihat hasil kerja, bukan kenyataan berapi-api, berdegar-degar tapi hanya retorik. Ironinya, ini juga kejayaan kita.

25. Sebab itulah kita mengamalkan konsep politik khidmat bakti, untuk menjadi wadah yang membawa kepada idealisme untuk merapatkan Pemuda dengan rakyat. Politik khidmat bakti ini sepanjang hayat dirasai kesannya, insya-Allah. Kalau kerahkan orang muda dengan bersenjatakan pengangkutan, baju, rokok, makan-makan dan duit minum untuk berhimpun mendengar ceramah berapi-api, kesannya mungkin sekejap sahaja. Bila masing-masing pulang ke kampung dan datang bil api, air, ASTRO dan segala hutang piutang lain di hujung bulan, padamlah semua api semangat yang dijerit-jeritkan.

26. Melalui politik khidmat bakti Pemuda, mereka mendapat pekerjaan sekaligus berpeluang mengubah masa depan. Mereka memperoleh biasiswa yang membantu memecah tembok pencapaian yang tidak pernah dimimpi dalam keluarga mereka. Tuisyen HELP di bawah Biro Hal Ehwal Bandar dan Perumahan memberi anak Melayu harapan untuk mendapat keputusan peperiksaan yang lebih baik dan peluang kerjaya yang lebih cerah. Apa Khabar Bro anjuran Biro Luar Bandar menghubungkan usahawan muda kecil dari kampung dan FELDA dengan agensi kewangan kerajaan.

27. Bila Pemuda mampu memberi generasi muda apa yang mereka dahaga dan inginkan, tanpa perlu dikerah tanpa perlu diupah, mereka akan datang berbondongan. Inilah idealisme orang muda Melayu hari ini. Sentiasa mencari jalan untuk memperbaiki diri dan masa depan mereka. Buktinya, Kursus ProSkill anjuran Biro Profesional Muda yang mengajar tentang pengucapan awam, bagaimana hendak berjaya dalam temuduga, amat baik sambutannya; Simposium Pengurusan Ringgit, atau SUPER yang memberikan pendedahan bagaimana hendak mengurus kewangan dan mengelak bankrap, pun sama juga – sampai berdiri dan hampir melimpah keluar dewan pesertanya. Anak muda Melayu atas pagar, yang tiada kepentingan politik tetapi membentuk kelompok terbesar di kalangan generasi muda di luar sana, pun ramai yang hadir. Ini kerana program yang dibuat menarik minat dan memberi manfaat kepada mereka.

28. Anak muda sekarang mahukan pemimpin yang membantu mereka menjadi insan yang lebih perkasa dalam mencapai cita-cita, untuk menjadi lebih berjaya – bukannya pemimpin yang membuatkan mereka berasa terancam dan rendah diri. Itulah tugas Pemuda, dari zaman ke zaman, memenuhi tuntutan anak muda, agar kita terus relevan dengan kehendak rakyat, sekaligus mendapat mandat untuk meneruskan perjuangan agama, bangsa dan tanah air.

Para perwakilan sekalian,

29. Idealisme perjuangan kita sudah dipertegas dengan terang dan nyata. Namun sebagai pejuang rakyat jelata, ada baiknya kita renungkan semula dan bermuhasabah – milik siapa dan untuk siapakah sebenarnya UMNO ini?

30. Bukankah UMNO ditubuhkan untuk semua orang Melayu? Sebelum UMNO ditubuhkan, orang Melayu berselerak dan tidak dihimpun untuk memberi kuasa kolektif menentang penjajah. Apabila UMNO ditubuhkan, barulah orang Melayu bersatu dan kesatuan itulah yang berjaya membawa kemerdekaan.

31. UMNO semasa ditubuhkan, adalah ibarat sebuah khemah yang cukup besar, menjadi pohon rendang tempat berteduh bagi orang Melayu dari pelbagai latar belakang – baik bangsawan atau kebanyakan, guru, ilmuan mahupun agamawan, miskin dan kaya, orang bandar juga desa, kerani dan petani, askar atau jaga, semuanya diwakili dan dipayungi. UMNO wujud untuk semua orang Melayu di negara kita.

32. Apabila UMNO dianggap khemah besar untuk pelbagai kumpulan Melayu, UMNO kuat sebab ia mendapat sokongan daripada semua. Majoriti orang Melayu percaya UMNO sahajalah yang dapat memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air dan membela rakyat. Majoriti orang Melayu juga merasakan kedatangan mereka diundang dan dirai oleh UMNO – tiada yang berasa tersisih. Hari ini kita melihat sokongan ini mula terhakis sebab UMNO bukan lagi khemah besar sepertimana dulu, untuk semua orang Melayu. Kita tidak lagi raikan kepelbagaian yang ada di kalangan masyarakat Melayu.

33. Bukan semua, tetapi masih terdengar rungutan bahawa UMNO ini terlalu eksklusif dan tidak membuka pintu secara luas dan ikhlas kepada semua orang Melayu dari pelbagai latar belakang untuk menyumbang kepada parti. Golongan bandar yang profesional dan speaking omputeh dipandang serong. Kalau ada yang berpandangan progresif, terus dituduh pembelot bangsa. Para profesor yang hendak menyumbang kepada UMNO, kalau sedikit kritikal, disisih dan dikatakan terlalu banyak teori, justeru disuruh duduk sahaja di menara gading. Anak muda bergaya hipster, bermisai Wak Doyok dikecam poyo. Tok Lebai berjanggut enam inci dengan jubah dan serban ditolak kerana mesti orang PAS katanya.

34. Bukan saya minta kita ambil ahli baharu di kalangan orang yang jelas menentang UMNO dan perjuangannya. Parti politik mesti ada disiplinnya. Tetapi selagi mereka berpegang pada perjuangan agama, bangsa dan tanah air dan hormat pada tataetika parti, mengapa pula tiada ruang untuk mereka?

35. Cukup-cukuplah UMNO menjadi kelab yang eksklusif. UMNO kena kembali jadi khemah yang besar untuk kita kembali kuat. Jangan tolak ke tepi pandangan orang lain yang berbeza daripada mainstream UMNO. Dengar dahulu. Cari jalan untuk bertemu di titik tengah. Kita mendokong Wasatiyyah. Namun kalau kita sendiri singkirkan orang Melayu sebab rupa dan pandangan mereka yang berbeza, kita akan menjadi kelompok yang semakin kecil dan lemah.

36. Sebab itu saya sokong bila Pemuda mendekati pelbagai kumpulan. Tunjuk kita tidak sombong dan eksklusif. Walaupun ada kalanya kita dilihat seakan mendekati kumpulan pelbagai bangsa, tetapi realitinya, majoriti daripada kumpulan ini adalah anak-anak Melayu. Armand buat program dengan gamers, ramai Melayu. Jeffri jumpa buskers, juga ramai Melayu. Firdaus pergi jumpa NGO sana sini, ada yang UMNO, ada atas pagar, pun ramai Melayu. Azwan Bro dengan vapers, lagilah ramai Melayu. Shahril dan Zuhri pula dengan profesional muda Melayu. Selepas ini, marilah kita masuk ke sekolah pondok pula, jemput guru agama, pensyarah, pekerja kilang dan pelbagai lagi golongan lain. Jemput mereka masuk UMNO. Kembalikan harapan bahawa pintu UMNO terbuka untuk semua. Kembalikan UMNO sebagai wadah untuk semua orang Melayu. Biar khemah yang besar ini kembali memayungi sesiapa sahaja yang bernama Melayu. Biar setiap orang Melayu di bandar, di desa, di kota bahkan di mana sahaja, walau apa pekerjaan dan kedudukannya, walau berbeza bagaimanapun latar belakangnya, namun akan tetap mengakui bahawa UMNO lah yang terbaik untuk orang Melayu, yang akan memperjuangkan jatuh bangun dan hidup matinya setiap yang bernama Melayu.

Sidang Perwakilan sekalian,

37. Dewasa ini, terdapat beberapa isu yang terbentang di hadapan kerajaan dan Pemuda amat terpanggil untuk memberikan pandangan kami terhadap isu-isu tersebut. Isu-isu ini bersifat nasional dan ada juga yang menyentuh anak muda Melayu secara langsung. Kebimbangan kami adalah jika isu-isu ini tidak ditangani dengan bijak, berhemah dan teliti, maka ia boleh menjejaskan masa depan anak bangsa atau mengundang kemarahan rakyat.

38. Yang pertama adalah Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik atau TPP. Secara amnya, tidak salah untuk saya katakan bahawa sentimen rakyat masih negatif terhadapnya. Macam-macam kesangsian dan kecurigaan dizahirkan terhadap TPP – “penjajahan semula”, “jual negara” dan “hilang kedaulatan” merupakan antara reaksi negatif yang dilemparkan. Kesan persepsi negatif ini adalah sangat serius. Ia menghakis dan menyusutkan lagi sokongan rakyat terhadap kerajaan dan UMNO.

39. Demi ketelusan, Kementerian Perdangangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telahpun membentangkan dapatan dari dua kajian oleh pakar perunding bebas untuk menilai untung rugi negara menyertai TPP. Secara keseluruhannya, kedua-dua kajian ini telah membuat kesimpulan bahawa lebih banyak faedah bakal diperolehi dengan TPP – antaranya peningkatan pelaburan, penambahan pekerjaan dan peluang eksport yang lebih luas. Walaupun ada kekhuatiran yang dibangkitkan tetapi keseluruhannya, perjanjian ini dirumuskan sebagai tawaran yang terbaik untuk Malaysia kerana terdapat banyak pengecualian khusus untuk kita sahaja, termasuklah mengekalkan dasar Bumiputera.

40. Walaupun rumusannya jelas, ramai yang masih was-was dan tidak berpuas hati. Akibatnya, isu ini masih digunakan untuk menyerang kerajaan dengan tuduhan seperti negara kini tergadai. Justeru satu kempen menyeluruh perlu digerakkan untuk menerangkan fakta, terutamanya faedah sebenar TPP serta dasar-dasar yang tidak terkesan olehnya. Kerajaan juga harus menggunakan masa yang ada sebelum TPP dikuatkuasakan dalam beberapa tahun ini untuk memastikan sektor ekonomi kita diperkukuhkan. Ini termasuk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Bumiputera yang walaupun dilindungi di pasaran tempatan, mungkin masih memerlukan bantuan untuk menembusi pasaran luar yang semakin terbuka hasil TPP nanti. Adalah sangat merugikan sekiranya apa yang sepatutnya menjadi peluang tidak direbut kerana kita tidak bersedia.

Para Perwakilan sekalian,

41. Bercakap tentang isu maruah dan kedaulatan, Pemuda ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Perdana Menteri dan kerajaan atas penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN dan Asia Timur yang sangat berjaya. Bukan sekadar penganjuran yang hebat, apa yang lebih penting adalah kepakaran diplomasi yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri selaku Pengerusi ASEAN. Sedar atau tidak, rantau Asia Tenggara sudah menjadi medan perselisihan kuasa-kuasa besar. Masing-masing cuba meluaskan pengaruh mereka terutamanya di kawasan strategik seperti Laut China Selatan. Perdana Menteri berjaya mengimbangi pengaruh kuasa-kuasa besar ini tanpa tunduk kepada sesiapa. ASEAN berjaya dikekalkan sebagai kawasan bebas dan berkecuali.

42. Namun begitu, Pemuda harap kerajaan akan terus tegas dalam mempertahankan kawasan Asia Tenggara sebagai wilayah yang bebas dan berkecuali, dan pada masa yang sama, sempadan negara baik di darat mahupun di laut.

43. Kita tidak mahu persaingan kuasa-kuasa besar menjejaskan keamanan di Asia Tenggara. Kuasa-kuasa besar sama sekali tidak boleh dibenarkan untuk menjadikan Laut China Selatan sebagai sebahagian daripada medan persenjataan mereka. Mereka mesti menghormati persempadanan kita yang termaktub dalam undang-undang antarabangsa. Jangan sampai nelayan-nelayan kita diusir daripada wilayah kita sendiri hanya kerana ada negara yang tidak menghormati sempadan kita.

44. Kerajaan juga mesti siap siaga dan tegas dalam mematahkan ancaman yang masih wujud dari Selatan Filipina. Kes-kes penculikan yang berlaku menjadi peringatan bahawa masih wujud musuh di luar dan Si Kitol yang membantu mereka dari dalam negara. Salah satu kelebihan yang ada pada kerajaan UMNO-BN adalah ketegasan kita mempertahankan kedaulatan negara berbanding pembangkang. Di kala mereka sanggup bergambar dengan kaum kerabat yang telah menyerang negara dan membunuh rakyat kita, UMNO-BN masih dilihat oleh rakyat sebagai tegas dalam isu keselamatan. Pemuda menyokong segala usaha supaya tidak lagi berlaku pencerobohan walau seincipun di negara kita. Ini adalah tanah tumpah darah kita dan biar apapun terjadi, kita sanggup berputih tulang hingga ke titisan darah terakhir untuk mempertahankan maruah dan kesucian tanah air tercinta ini.

Para Perwakilan sekalian,

45. Dunia hari ini berhadapan dengan satu lagi ancaman global yang amat membimbangkan. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa ia merupakan ancaman keselamatan nombor satu dunia buat masa ini dan bahang ancamannya sudah mula dirasai di negara kita. Ancaman yang saya maksudkan adalah kumpulan pengganas yang dikenali sebagai IS atau singkatan nama Arabnya – Daesh – yang telah memutarbelitkan ajaran agama Islam demi penubuhan kononnya sebuah Wilayah Islam. Segala perbuatan yang salah mereka halalkan – pembunuhan, pengabdian manusia, pemusnahan harta, paksaan seks dan pelbagai kepincangan dan kezaliman lagi. Ini bukan Islam sama sekali!

46. Walaupun begitu, Daesh telah berjaya mempengaruhi ribuan orang muda untuk menyertai mereka. Ini termasuk anak muda dari negara kita sendiri. Ada yang sudah pergi ke Syria dan Iraq. Ada yang dibunuh. Ada yang dikesan justeru ditangkap. Media sosial juga begitu sarat dengan propaganda mereka.

47. Sebelum terlewat, sebelum bilangan belia yang bersimpati dengan Daesh ini semakin bertambah, Pemuda menggesa agensi-agensi keselamatan negara untuk mempergiatkan usaha dan tidak sekali-kali berkompromi dalam hal ini. Gunakan segala peruntukan undang-undang sedia ada untuk menghentikan pengaruh Daesh termasuk dalam media sosial. Malaysia adalah negara yang sederhana, yang berpegang kepada prinsip Wasatiyyah. Sesungguhnya, tiada tempat bagi kumpulan pengganas ini untuk bertapak walau sezarahpun di sini. Jangan sampai nauzubillah, ada serangan di negara kita sendiri baru kita hendak bertindak.

48. Pemuda ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Naib Presiden UMNO, YAB Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas pelantikan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Ini adalah peluang terbaik – apabila individu yang sama memegang jawatan TPM dan Menteri Dalam Negeri. Secara khusus, Pemuda berharap agar agensi-agensi penguatkuasaan serius dalam memerangi sindiket-sidiket jenayah yang memangsakan orang muda terutamanya anak muda Melayu. Pemuda sudah jelak mendengar statistik yang menunjukkan remaja dan belia Melayu sebagai juara dalam penagihan dadah, perjudian haram dan pelbagai gejala sosial yang lain.

49. Sememangnya kita akui bahawa institusi kekeluargaan, pendidikan, pengisian agama dan kaunseling merupakan antara benteng utama anak muda kita dari segala anasir durjana ini. Namun, perlu kita ingat bahawa punca masalahnya adalah sindiket penjenayah yang menjual dan menyediakan barangan dan perkhidmatan yang menjahanamkan masa depan belia kita. Justeru, Pemuda menaruh harapan yang tinggi agar TPM dan Kementerian Dalam Negeri melipatgandakan usaha untuk menewaskan sindiket-sindiket ini. Daripada pintu masuk sempadan yang berjaya dibolosi, penyeludupan dadah, sampailah ke pusat-pusat perjudian atas talian yang melata bak cendawan tumbuh selepas hujan – banteraslah ia, selamatkanlah anak muda kita.

Para perwakilan sekalian,

50. Kepedulian Pemuda terhadap nasib anak muda tidak hanya terhad kepada usaha untuk menjauhkan mereka dari gejala sosial. Politik khidmat bakti yang telah merapatkan Pemuda dengan generasi muda telah membawa kita untuk sentiasa memikirkan apa lagi yang boleh kita perjuangkan demi kesejahteraan mereka. Dalam hal ini ada tiga inisiatif utama yang akan diberikan fokus dalam gerak kerja Pemuda untuk tahun 2016 di mana program-program ini akan memberi sentuhan nilai tambah kepada anak muda Melayu dan sedikit sebanyak memungkinkan masa depan yang lebih cerah untuk mereka.

51. Pertama, susulan daripada Konvensyen Dana Bumiputera yang dianjurkan baru-baru ini, Pemuda dapati masih wujud jurang pemahaman dan kerjasama yang besar antara usahawan muda yang kecil perniagaannya dan institusi-institusi kewangan kerajaan yang boleh menyediakan dana pinjaman.

52. Walaupun wujud pelbagai skim pinjaman yang seharusnya membantu, ramai usahawan kecil tidak dapat menembusi birokrasi yang ada untuk mendapatkan bantuan kewangan. Oleh itu, Pemuda akan memperluaskan skop Konvensyen Dana Bumiputera kepada satu Gerakan Merakyatkan Institusi Kewangan, agar jurang yang sedia wujud dapat dirapatkan.

53. Gerakan ini akan dibawa ke peringkat negeri melalui program seminar dan kursus yang akan turut dihadiri oleh semua agensi pembangunan usahawan untuk membantu usahawan muda dan kecil Melayu mendapatkan modal awal mereka. Pemuda akan menjuarai nasib anak muda Melayu yang mula bertatih dalam dunia perniagaan tetapi tidak mendapat bantuan untuk mendapat suntikan dana.

54. Kedua, dari sebelum saya menjadi seorang menteri, saya telah memperjuangkan isu latihan teknikal dan vokasional. Sebahagian besar daripada pelajar yang mengikuti jurusan ini adalah orang Melayu. Mereka tidak sampai ke menara gading universiti tetapi dilatih di peringkat sijil dan diploma. Walaupun tahap kebolehpasaran mereka semakin tinggi, ada kalanya lebih tinggi daripada sebahagian lepasan universiti, masyarakat masih menganggap aliran ini sebagai pilihan terakhir bagi anak muda yang tidak cemerlang dalam peperiksaan. Ini persepsi mereka.

55. Persepsi ini perlu diubah. Di negara maju, tukang paip mendapat upah yang tinggi kerana kemahiran mereka dinilai dengan tepat. Jangan kita memandang rendah pelatih-pelatih vokasional ini. Saya tertarik dengan program yang dibuat oleh Pemuda Johor yang diberikan nama Johor Mahir. Pemuda Johor cuba mengubah persepsi masyarakat terhadap pendidikan vokasional melalui usaha untuk mengarus perdanakannya. Secara tidak langsung, apabila pekerja ini diberikan persepsi berbeza, nilai pasaran mereka meningkat, begitu juga dengan gaji mereka.

56. Pemuda UMNO akan mengangkat program Johor Mahir dan melancarkan Pemuda Mahir. Kita akan menjuarai pendidikan vokasional dan membantu mengubah persepsi rakyat dan pasaran terhadap anak-anak muda ini. Inilah cara kita memartabatkan Melayu.

57. Ketiga, kita masih lagi mendengar polemik tentang bahasa. Bahasa Melayu dimartabatkan, Bahasa Inggeris dipertingkatkan, Bahasa Ketiga diperkenalkan. Pemuda tidak bermaksud untuk menambah kepada polemik berkenaan bahasa tradisi ini. Namun, dalam kita sibuk berdebat tentang bahasa-bahasa tradisi ini, kita perlu sedar bahawa penguasaan bahasa tradisi semata-mata dalam dunia digital hari ini adalah tidak mencukupi. Orang lain sudah mula mengajar anak-anak mereka dengan bahasa masa hadapan.

58. Secara khususnya, bahasa yang saya maksudkan saya ialah bahasa komputer iaitu pengekodan atau coding. Di kala kita masih lagi mengajar anak-anak kita apa itu tetikus, cara hendak melancarkan internet atau perkara lain yang sangat asas, teknologi dan aplikasi berubah dengan pesat. Jika hari ini kita masih lagi mengukur kejayaan profesional Melayu dengan peratusan doktor, jurutera dan peguam, tidak lama lagi ia akan diukur melalui peratusan programmer, content developer dan digital marketer. Justeru, generasi akan datang kalau tidak mahir dalam bahasa digital, pastinya akan jauh ketinggalan.

59. Oleh itu, Pemuda akan melancarkan program Jom Belajar Coding. Program ini akan mendedahkan anak muda Melayu yang berpendapatan rendah dari kawasan kampung, pedalaman dan pinggiran bandar kepada kemahiran bahasa komputer. Walaupun hanya permulaan, program ini perlu dijayakan agar kita tidak lagi ketinggalan dan Melayu juga dapat menguasai teknologi daripada usia muda, agar sama hebat dengan orang lain. Lihat sahaja kisah kejayaan pengasas Facebook, Mark Zuckerberg yang belajar programming ketika berusia 10 tahun.

60. Inilah cara kita menjaga maruah bangsa. Jika kita mampu melahirkan lebih ramai usahawan yang berjaya, maruah bangsa turut dapat dipelihara. Jika pelajar-pelajar vokasional yang selama ini dipandang rendah mendapat pekerjaan yang lebih berkualiti dengan gaji yang lebih tinggi, kita akan lebih bermaruah. Dan apabila seorang anak muda dari kampung berjaya mencipta aplikasi yang diguna pakai seluruh dunia kerana mendapat peluang belajar coding melalui Pemuda, maruah Melayu akan diangkat ke seantero dunia.

Duduk bersimpuh di tepi tabir,
Manis wajahnya pandang tak jemu;
Maruah Melayu bukan di bibir,
Ditongkat akal, didukung ilmu.

Jangan dibuang batang jerami,
Buat diikat atap yang senget;
Biar mengalir darah ke bumi,
Asal maruah terjulang ke langit.

Para perwakilan sekalian,

61. Pentas dan ruang yang diberikan kepada saya pada pagi ini tidak dimanfaatkan sepenuhnya sekiranya saya tidak menyentuh perkara yang paling utama di benak pemikiran rakyat terutamanya anak muda. Apa yang saya maksudkan adalah peningkatan kos sara hidup yang memeritkan semua.

62. Tak perlu saya bercerita panjang lebar. Umum tahu 2015 merupakan tahun yang mengejutkan rakyat dengan pelbagai kenaikan. Satu demi satu, harga dan tambang meningkat. Beban tanggungan rakyat turut meningkat. Duit simpanan semakin merosot, jika tidak langsung kering kontang. Hutang bertambah. Ada yang terpaksa cari Ah Long.

63. Awal tadi saya telah menyebut, jangan kata Pemuda populis. Kalau populis, kita akan suruh hapuskan GST dan batalkan semua kenaikan ini. Namun Pemuda bertanggungjawab. Kita memahami keperluan itu semua. Namun pada masa yang sama, apabila rakyat semakin terhimpit dengan segala kenaikan ini, kita tidak boleh diam membisu sahaja.

64. Kami tidak minta dimansuhkan itu dan ini, tetapi Pemuda ingin memberitahu kepimpinan parti dan kerajaan – Cukuplah! Hentikan semua kenaikan ini. Jangan ada kenaikan lagi.

65. Mungkin ada yang tertanya-tanya, Ketua Pemuda ahli Jemaah Menteri. Tidakkah beliau bersuara dalam Kabinet? Ingin saya tegaskan di sini bahawa pendirian saya sama di dalam dan di luar Kabinet. Bila ada pembentangan yang menambahkan beban, saya sentiasa bersuara untuk cuba elakkan kesengsaraan terhadap rakyat. Sebagai contoh, tol lebuh raya. Terpaksa dinaikkan kalau tidak kerajaan kena bayar pampasan RM500 juta. Saya selaku Ketua Pemuda mengingatkan Kabinet tentang Aku Janji BN. Kalau terpaksa naikkan tol, jangan sampai tol antara bandar seperti Lebuhraya Utara Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur dinaikkan. Itu janji kita. Dan pada hari ini saya ingin tegaskan, Pemuda bantah apa jua kenaikan tol selepas ini baik untuk dua lebuh raya antara bandar ini, mahupun mana-mana lebuh raya sekalipun.

66. Sama juga dengan kenaikan yang lain. Walaupun kita faham beberapa langkah pedih terpaksa diambil tetapi hakikatnya, rakyat sudah tidak boleh terima lagi dan sudah sampai ke breaking point. Jadi cukup-cukuplah. Jangan ditambah lagi bebanan rakyat. Jangan dicurah lagi minyak ke atas api kemarahan rakyat yang marak membara. Pemuda mahu Kerajaan hentikan segala kenaikan selepas ini. Enough is enough.

67. Dua tahun akan datang ini, oleh kerana kita sudah membuat segala penjimatan melalui GST, pemotongan subsidi, kenaikan tarif, tambang, tol dan sebagainya, Pemuda hanya mahu mendengar berita yang baik-baik dan menyenangkan rakyat sahaja. Inilah masanya kita gunakan segala penjimatan yang dikatakan kita perolehi daripada segala langkah pedih ini, untuk menggembirakan rakyat. Tunjukkan bahawa langkah penjimatan selama ini boleh membawa kebaikan pada mereka.

68. Pemuda juga berharap agar kerajaan dapat menyediakan diskaun khusus untuk orang muda yang menggunakan pengangkutan awam. Selama ini bila tol naik, kita minta anak muda guna pengangkutan awam. Tapi sekarang, lepas kita naikkan harga tol, tambang komuter, tambang ERL, segala-gala tambang pun naik juga. Apa lagi pilihan yang ada pada rakyat, nak suruh mereka jalan kaki? Di banyak negara lain, golongan belia diberikan diskaun yang sama seperti warga emas untuk pelbagai kemudahan awam. Kalau nak bantu orang muda, inilah masanya. Saya tengok kesan kenaikan tambang Komuter contohnya, begitu membebankan. Buatlah diskaun untuk belia bagi pengangkutan awam. Jangan harga dinaikkan semata-mata, tanpa langsung memikirkan langkah-langkah yang boleh meringankan beban tambahan ini.

Para perwakilan sekalian,

69. Hari ini kita rasa bertuah dengan kehadiran bekas Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia, YB Datuk Rahman Dahlan selaku wakil Majlis Tertinggi. Bertuahnya kita sebab beliau juga Menteri Perumahan dan isu perumahan saban tahun dibangkitkan dalam perbahasan kita.

70. Untuk makluman Datuk Rahman, Pemuda sentiasa menyokong Kementerian Perumahan untuk mendapat peruntukan yang lebih besar, terutamanya bagi membina rumah kos rendah dan sederhana seperti Projek Perumahan Rakyat dan Rumah Transit untuk orang muda. Kami pegang pada janji pembinaan sejuta rumah mampu milik sebelum Pilihan Raya Umum ke 14. YAB Presiden sendiri mengakui, setakat ini, baru 16 peratus sahaja sudah disiapkan! Kalau permohonan untuk rumah PR1MA di Cheras sampai lima kali ganda, di Bukit Bintang sampai 25 kali ganda, kedahagaan rakyat untuk perumahan sememangnya cukup terang lagi nyata.

71. Pemuda juga minta semua kerajaan negeri mencontohi tindakan tegas dan berani Kerajaan Negeri Sembilan di mana 50 peratus daripada semua projek perumahan di negeri itu mestilah terdiri daripada rumah mampu milik. Inilah masanya kuasa pentadbiran yang ada digunakan untuk memihak kepada pembeli rumah dan bukannya pemaju.

72. Seperkara lagi yang mahu saya bangkitkan di sini ialah kemudahan kewangan untuk membantu orang muda membeli rumah pertama. Pemuda antara yang pertama memperjuangkan isu bayaran deposit yang tidak mampu ditanggung oleh orang muda. Selepas perkara itu diketengahkan, kerajaan telah memperkenalkan Skim Rumah Pertamaku dengan pinjaman seratus peratus untuk pembeli rumah pertama. Dengan itu, ramai orang muda yang seharusnya dapat dibantu. Namun seperti biasa, perlaksanaan sering menggagalkan dasar yang murni.

73. Apa yang sepatutnya membantu pembeli rumah, tidak dirasai oleh kebanyakan mereka yang memohon. Saya diberitahu, mengikut, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) untuk permohonan pertama, kadar penolakan pinjaman perumahan setinggi 70 peratus.

74. Oleh itu Pemuda menyokong Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama di bawah Kementerian Perumahan dengan peruntukan RM200 juta. Saya akan berbincang dengan Datuk Rahman supaya pelaksanaannya tidak menghampakan seperti Skim Rumah Pertamaku. Carilah mereka yang betul-betul layak menerima geran ini. Bantulah mereka membeli rumah yang pertama. Pada masa yang sama perbaiki juga Skim Rumah Pertamaku yang sedia ada. Jangan lagi ada halangan yang besar untuk orang muda memiliki rumah pertama mereka.

Para perwakilan sekalian,

75. Ucapan Dasar Ketua Pemuda UMNO pada hari ini tidak lengkap jika saya memilih pendirian untuk tidak menyentuh dan mengupas isu paling pokok yang sedang dihadapi oleh UMNO ketika ini. Pemuda akan disifatkan berada dalam budaya penafian jika tidak berani menghadapi ombak ketika berumah di tepi pantai. Pemuda UMNO tidak boleh membutakan mata, menulikan telinga dan mengelukan lidah, seolah-olah tidak ada perkara besar yang sedang berlaku di dalam parti, lalu memilih untuk membiarkan tertimbun habuk dan sarap di bawah tikar.

76. Sepertimana yang saya petik dalam surah al-Kahfi, Islam menuntut untuk menyatakan yang benar, sementara adat Melayu pula memperingatkan ketika menarik rambut di dalam tepung, dipastikan rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak. Pemuda UMNO dalam menghadapi situasi diluah mati emak, ditelan mati bapa, wajib memiliki hikmah untuk mengimbangkan pelbagai faktor, merangkumi pemimpin, parti, penerimaan rakyat dan perjuangan agama, bangsa dan tanah air. Bagaimana kesetiaan wajib disemak dengan keadilan dan kebenaran. Bagaimana hasrat menyuarakan kebenaran tidak ditafsirkan sebagai penderhakaan. Namun Pemuda juga amat sedar akan realiti pemikiran dan perasaan yang sedang bergelora baik di dalam parti mahupun di kalangan orang Melayu dan masyarakat Malaysia keseluruhannya; terutama di kalangan generasi muda.

77. Tidak dapat dinafikan bahawa suasana Perhimpunan Agung kali ini sangat berbeza. Kita tidak boleh menyalahkan rasa gelisah sebahagian daripada perwakilan, begitu juga di kalangan sebahagian pimpinan dan ahli-ahli parti. Kita sewajibnya berasa bimbang jika rasa gelisah ini mula menghidupkan puntung-puntung penentangan yang mampu menyalakan api kemarahan lebih besar yang boleh membakar hangus seluruh rumah, sehingga pada akhirnya nanti, yang menang menjadi arang – yang kalah menjadi abu. Senario tersebut amat wajib dijauhkan.

78. Parti ketika ini amat memerlukan hikmah para pemimpin untuk berfikiran rasional, berupaya memperlihatkan kebijaksanaan mengurus perbezaan, mengamalkan budaya inklusif hingga membuktikan UMNO ini benar-benar sebuah parti yang matang lagi demokratik, parti yang kekal bersatu teguh meskipun terdapat pelbagai pandangan dan perbezaan pendapat.

79. Di samping itu, isu-isu yang kini menjadi cabaran besar kepada parti dan semakin mengakibatkan berlakunya defisit keyakinan di kalangan rakyat perlu terus dijernihkan tanpa kompromi. Presiden parti sendiri tersangat sedar betapa isu-isu seperti 1MDB dan derma politik telah mencalarkan imej pemerintahan, baik di dalam negara begitu juga di peringkat antarabangsa. Presiden parti telah meminta diberikan beliau masa untuk menyelesaikan isu-isu yang dihadapi. Pemuda mengakui kesungguhan Presiden dalam usahanya untuk merungkai segala permasalahan yang berlingkar pada masa ini. Hutang 1MDB telah diusaha untuk dikurangkan. Siasatan terhadap derma politik sedang dijalankan dan Presiden parti sendiri disoal siasat selama dua jam lebih oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

80. Jelas, sudah ada perkembangan positif dalam meleraikan kemelut. Namun Pemuda berharap agar usaha-usaha ini tidak terhenti, sebaliknya diteruskan sehingga mencapai noktah penyelesaian yang hakiki. Isu 1MDB bukan hanya menuntut pengurangan hutang yang ditanggung tetapi sama penting adalah meyakinkan rakyat bahawa tiada penyelewengan yang berlaku. Defisit keyakinan di kalangan rakyat perlu ditangani.

81. Maka, Pemuda akan terus bersuara untuk rakyat. Pemuda tetap menghormati tataetika parti dan tidak melampaui batas dalam menyampaikan pandangan dan teguran, namun tiada siapa yang boleh menutup mulut Pemuda dan menidakkan tanggungjawab kita untuk terus menyuarakan rasa hati rakyat. Yang hitam akan tetap hitam, yang putih akan tetap putih. Kebenaran akan sentiasa menjadi paksi. Itulah peranan Pemuda – menzahirkan nurani dan suara hati rakyat dari dalam parti.

82. Tegur dan bertanya bukan menderhaka; kerana cara ini lebih mulia daripada pendekatan yang lain – sama ada telunjuk mencucuk, menjadi api dalam sekam yang akhirnya memusnahkan parti, mahupun yang menyokong membuta tuli sehingga membawa rebahnya institusi.

83. Justeru atas semangat kebersamaan dalam perjuangan, Pemuda akan terus berganding bahu dengan barisan kepimpinan parti untuk mendukung kebenaran dan memperbetulkan apa jua salah tanggapan yang membelenggu parti kita ini. Baik lagi suara ini datang daripada Pemuda yang menghormati parti, bukannya asakan keras dari pihak-pihak yang tak ubah seperti kelik-kelik dalam baju, musuh dalam selimut, sebelah kakinya mungkin masih di dalam parti tetapi hatinya seolah mahu meruntuhkan institusi, untuk kepentingan diri.

84. Dalam sejarah penubuhannya selama 69 tahun, UMNO telah dilanda pelbagai ujian. UMNO terus kukuh dan utuh, berjaya mengatasi setiap ujian yang melanda kerana kebijaksanaan pimpinan menangani masalah yang dihadapi. Kini sekali lagi bahtera UMNO dilanda badai. Namun sebagaimana sejarah telah membuktikan, tiada lambungan gelora yang tidak dapat kita redahi dan tiada lautan api yang terlalu marak untuk kita tempuhi. Dan berbekalkan kebijaksanaan dan kematangan yang telah dikurniakan kepada kita setelah 69 tahun berada di muka bumi ini, saya percaya kita akan sekali lagi dapat mendepani ranjau duri ujian ini. Kita mungkin tercalar, kita mungkin terluka, tetapi apa yang lebih penting adalah kita akan melangkah keluar dengan lebih matang, gagah dan dewasa.

85. Para Pemuda bakal mewarisi parti ini pada satu masa nanti. Wariskanlah kepada kami, sebuah parti yang kuat, teguh, bersatu lagi dihormati seperti mana pemimpin terdahulu telah mewariskannya kepada pemimpin pada hari ini.

86. Dalam sebuah kesempatan, Amirul Mukminin Saidina Umar bin Khattab berkata: “jika aku sedang menghadapi masalah besar, maka yang kupanggil adalah para pemuda.” Yakinlah bahawa berdirinya kami barisan Pemuda hari ini adalah untuk bersama Presiden, juga barisan kepimpinan di peringkat Pusat, Negeri, Bahagian, Cawangan dan juga setiap ahli parti untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO.

87. Marilah bersama saya dalam mendukung idealisme perjuangan kita ini. Bersama kita pastikan agar parti ini dapat kembali berpijak di bumi nyata. Agar akarnya kembali berlegar subur mendekati, mendampingi rakyat. Agar pohonnya tumbuh subur merendang, untuk terus memberikan naungan kepada negara bangsa. Agar UMNO akan terus menjadi nadi dan semangat orang Melayu untuk dulu, kini dan selamanya.

88. Hidup UMNO! Hidup UMNO! Hidup UMNO!

89. Dan dengan itu, serta lafaz Bismillahirahmanirrahim, saya merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

27 SAFAR 1437 / 9 DISEMBER 2015
8.30 PAGI, DEWAN TUN DR ISMAIL, PWTC

#PAU2015: PM DS @NajibRazak Lancar #UnitDanaBumiputera #PemudaUMNO - @KhairyKJ @Azwanbro


Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Unit Dana Bumiputera Pemuda UMNO bagi membantu usahawan baharu mendapatkan bantuan kewangan untuk memulakan perniagaan.

Perdana Menteri melancarkan unit dana itu pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO yang berlangsung di Dewan Tun Dr Ismail Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Unit ini diketuai oleh Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun dan akan mula beroperasi sepenuhnya pada Januari tahun depan.

Turut hadir pada pelancaran itu ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin.

Selasa, 8 Disember 2015

[VIDEO] #PAU2015: #PemudaUMNO dijangka Lancar #UnitDanaBumiputera, Beroperasi Januari 2016 - @Azwanbro @KhairyKJ @NajibRazak @Zahid_Hamidi




Hasil dari Konvensyen Dana Bumiputera yang telah berlangsung pada 28 November lalu, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mengambil inisiatif menubuhkan sebuah unit khas dipanggil Unit Dana Bumiputera yang bakal dilancarkan pada Perhimpunan Agung UMNO 2015 ini.


Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkata, keputusan menubuhkan unit khas tersebut berdasarkan resolusi yang telah diputuskan pada Konvensyen Dana Bumiputera yang berlangsung di ibu negara penghujung bulan lalu.

Azwan yang akan mengetuai unit tersebut turut menjelaskan bahawa penubuhan itu bertujuan membantu mengumpul pangkalan data pemohon yang membuat pinjaman dari pelbagai agensi kerajaan.

Ibu pejabat Pemuda UMNO Malaysia di Menara Dato' Onn akan menjadi pusat operasi unit tersebut.

"Kita akan jadikan ia tempat untuk kumpul pangkalan data pemohon dan memastikan permohonan tersebut berjalan lancar dengan agensi berkaitan.

"Di samping itu, kita juga beri khidmat nasihat kepada permohonan yang dibuat.

Menurutnya, mengikut belanjawan 2016, Pemuda UMNO mengenal pasti lebih 10 kementerian dan lebih 18 agensi di bawah kementerian tersebut yang menyediakan dana berkenaan.

"Unit Dana Bumiputera dijangka akan mula beroperasi sepenuhnya pada Januari 2016.

"Ia akan menjadi satu portal informasi, dan juga untuk pemohon mengisi maklumat mengenai permohonana mereka secara atas talian dan kita akan ada pautan pada agensi-agensi yang kita telah kenal pasti dengan itu, kita boleh lihat kesesuaian permohonan mereka.

"Ini boleh menyelesaikan secara tidak langsung masalah 'tidak sempadanan antara pemohon dan agensi, iaitu isu yang dibangkitkan sebelum ini oleh peserta," katanya.

Usaha serta inisiatif Pemuda UMNO ini pastinya melegakan golongan usahawan bumiputera khususnya mereka yang sering gagal mendapatkan pinjaman bagi memula atau mengembangkan perniagaan.

Sama-sama kita nantikan pengumuman pelancaran unit ini pada Perhimpunan Agung UMNO yang akan bermula esok.

Rabu, 18 November 2015

#PemudaUMNO Kesal Penyampaian Dana Bumiputera Lemah, Bakal Anjur #KonvensyenDanaBumiputera 28 Nov ini @azwanbro


Pemuda UMNO kesal dengan dana khusus untuk Bumiputera oleh kerajaan yang dilihat gagal mencapai golongan sasaran.


Naib Ketuanya, Khairul Azwan Harun mendedahkan, kerajaan memperuntukkan berbilion-bilion ringgit setiap tahun dalam bentuk dana khususnya untuk usahawan muda Bumiputera namun dana tersebut tidak sampai kepada pihak yang berwajib.

“Kami melihat ia sebagai isu yang serius memandangkan saban tahun pelbagai bentuk geran, dana serta inisiatif mesra rakyat yang diumumkan kerajaan melalui pembentangan bajet tetapi tidak dapat dirasai oleh pihak yang sepatutnya khususnya golongan usahawan Bumiputera yang baru hendak menapak.

Tambah beliau  punca utama berlakunya perkara ini ialah budaya dan mentaliti ‘silo’ atau pengasingan di mana terdapat kesukaran dalam memadankan program dan dana kepada kumpulan sasar.

“Kekangan birokrasi dan kekurangan maklumat menyumbang kepada kelemahan perlaksanaan sehingga ada dana yang tidak sampai kepada golongan sasar dan ada pula yang tidak dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya dalam satu sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra, semalam (Selasa).

Sehubungan itu, Pemuda UMNO akan menganjurkan Konvensyen Dana Bumiputera pada 28 November ini bagi mencapai satu resolusi yang akan memberikan penyelesaian jangka masa panjang.

Azwan turut menyarankan agar kerajaan memandang serius kelemahan ini dan segera bangkit memperbetulkan keadaan ini.

“Sudah tiba masanya untuk kerajaan lebih serius melihat perkara ini.

“Kita tidak boleh malu mengakui kelemahan, ini masalah kita dan kita perlu bangkit memperbetulkan keadaan,” katanya.

Selasa, 1 September 2015

#PemudaUMNO Kecam Tindakan Biadap & Melampau Peserta #Bersih4 - @Azwanbro @KhairyKJ @NajibRazak @PPUMonline


Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (PPUM) kecewa dengan kegagalan penganjur Bersih 4.0 untuk memastikan para peserta perhimpunan haram itu menjaga disiplin dengan baik, sehingga sesetengah daripada mereka tanpa segan silu telah menimbulkan provokasi melampau.

Tindakan segelintir mereka yang melaungkan kata-kata kesat serta memijak-mijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang seolah-olah memberi mesej bahawa para peserta tersebut secara total telah menolak kepimpinan dua parti politik Melayu terbesar di negara ini.

Jelas sekali, budaya asing yang tanpa segan-silu mengkritik individu atau pemimpin secara terbuka di tempat awam telah diangkat sebagai pesta memaki-hamun pimpinan negara dalam perhimpunan haram di ibu kota hujung minggu lalu.

Dalam PPUM memuji kecekapan dan ketenangan pihak berkuasa menghadapi perhimpunan itu tanpa sebarang tangkapan atau semburan gas pemedih mata, sayap kami tetap kecewa kerana para pelaku tindakap biadap memijak potret dua tokoh pemimpin Melayu itu sehingga kini masih bebas.

Oleh itu, kami menggesa Timbalan Perdana Menteri, selaku Menteri Dalam Negeri supaya mengambil tindakan sewajarnya ke atas para pencetus provokasi seperti insiden memijak gambar berkenaan agar mereka dikenakan tindakan undang-undang yang berpatutan.

Gunakan segala teknologi seperti rakaman video, gambar dan sebagainya untuk membawa mereka yang berkenaan ke muka pengadilan. Sudah tiba masanya untuk bertindak ke atas segelintir mereka yang cuba menyemai unsur kebencian dalam kalangan rakyat. Sememangnya insiden memijak gambar pemimpin dan mengeluarkan kata-kata kesat bukan satu amalan demokrasi yang matang.

PPUM khuatir rakyat akan terus gelisah dengan perkembangan tidak sihat ini dan mendapat gambaran yang salah tentang hubungan kaum di Malaysia, jika golongan ini dibiarkan sahaja tanpa sebarang tindakan undang-undang.

Khairul Azwan Harun
Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia
1 September 2015

Jumaat, 28 Ogos 2015

@Azwanbro Selar Kenyataan Pemuda MCA Benarkan Ahli Sertai #Bersih4 @KhairyKJ @NajibRazak


Timbalan Pengerusi Pemuda Barisan Nasional Malaysia, Khairul Azwan Harun menyelar kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pemuda MCA, YB Senator Chong Sin Woon yang secara terbuka membenarkan ahlinya menyertai perhimpunan Bersih 4.0.

"Saya merujuk kepada kenyataan Saudara Chong Sin Woon dalam akhbar The Star yang secara terbuka membenarkan ahli pemuda MCA untuk menyertai Bersih 4.0," ujar Azwan.

Chong yang memegang jawatan Naib Pengerusi Pemuda BN tidak sepatutnya menyokong gerakan pihak yang mempunyai matlamat menjatuhkan kerajaan.

"Ingin saya ingatkan Saudara Chong bahawa beliau memegang jawatan sebagai Naib Pengerusi di dalam Pergerakan Pemuda BN dan tidak sepatutnya untuk ahli kita menyertai atau menyokong pergerakan yang mempunyai matlamat untuk menjatuhkan parti dan kerajaan kita. 

Tambah Azwan, kenyataan seperti ini boleh diibaratkan seperti satu tikaman dari belakang dari rakan komponen. 

Azwan yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia turut mengingatkan Chong bahawa beliau serta Saudara Khairy (Ketua Pemuda UMNO Malaysia) pernah dilabel dengan pelbagai nama oleh kumpulan tertentu berikutan tindakan mereka mempertahankan kerajaan dan rakan-rakan komponen BN.

"Selaku pemimpin kami faham nilai persahabatan dan ikatan antara kita dan kami meletakkan kepentingan Barisan Nasional lebih dari kenyataan dan pendirian populis jangka masa pendek.

"Sekiranya beliau tidak mampu mempertahankan kerajaan mungkin beliau perlu memikirkan semula tentang kedudukan beliau di dalam kerajaan," ujar Azwan lagi dalam satu kenyataan yang dimuatnaik di laman media facebook miliknya, hari ini.

"Kami meminta untuk Pemuda MCA memperbetulkan kenyataan dan pendirian mereka dalam isu ini demi kebaikan dan kepentingan Barisan Nasional," katanya.

Dalam rombakan kabinet bulan lalu, Chong Sin Woon telah dilantik sebagai senator Dewan Rakyat bagi membolehkan beliau memegang jawatan Timbalan Menteri Pendidikan.

Rabu, 26 Ogos 2015

#PemudaUMNO Msia Anjur Majlis Bacaan Yassin, Tahlil & Doa Selamat Sambut Ulangtahun Ke-66 @KhairyKJ @Azwanbro @NajibRazak


Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pada hari ini meraikan ulangtahun ke 66 penubuhannya dengan menganjurkan bacaan Yassin, tahlil dan doa selamat di Surau Ar-Rahman Putra World Trade Centre (PWTC), Kuala Lumpur.
Naib Ketuanya, Khairul Azwan Harun berkata sambutan ringkas itu bertujuan memperingati tokoh serta kepimpinan Pemuda terdahulu selain mendoakan kesejahteraan kepada parti, pimpinan serta negara dalam menempuh cabaran semasa hari ini.
“66 tahun bukan jangka masa yang pendek. Kalau ikut usia manusia dah warga emas. Hari ini Pemuda perlu relevan dengan kehendak semasa... dunia semakin dinamik. Jadi harap kepimpinan Pemuda seluruh negara mempunyai sikap serta sifat dinamik untuk kita menyesuaikan diri terutama dalam keperluan kita memiliki ilmu pengetahuan dan memahami kehendak generasi muda hari ini.

“Jadi peringatan buat diri saya serta kepimpinan Pemuda seluruh negara kita mesti ambil iktibar pengalaman yang lepas dan lihat kembali apa yang kita perlukan di masa depan iaitu mesti menjadi sebuah kuasa yang boleh generasi muda dan rakyat terima sebagai kepimpinan yang mampu memperjuangkan isu rakyat dalam konteks untuk membawa negara ini ke tahap yang lebih baik. Dan itulah yang sedang kami usahakan… In Sha Allah,” katanya dalam satu sidang media selepas selesai upacara memotong pulut kuning sebagai gimik sambutan ulangtahun sayap pergerakan parti UMNO tersebut.


Pada majlis berkenaan juga, Pemuda UMNO turut meraikan dan menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim dan golongan asnaf dari Pertubuhan Kebajikan D'Murni Kasih, Ulu Kelang.
Turut hadir, Penolong Setiausaha Pemuda UMNO, Datuk Sahfri Abd Aziz dan barisan kepimpinan Pemuda UMNO yang lain.
"Saya juga ingin menyarankan agar pimpinan Pemuda UMNO di peringkat bahagian seluruh negara turut sama mengadakan majlis doa selamat dan tahlil arwah berkenaan bagi mengenang jasa tokoh terdahulu selain mendoakan agar parti dan kepimpinannya serta negara sentiasa dalam rahmat dan dilindungi Allah S.W.T," ujarnya.


Jumaat, 31 Julai 2015

#NahasMH17: Pemuda UMNO Kecewa Keputusan Russia, Gesa Kementerian Luar Hantar Bantahan @Azwanbro #PemudaUMNO


Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia melahirkan rasa kecewa dengan tindakan Russia menggunakan kuasa VETO menolak penubuhan tribunal antarabangsa nahas MH17 bagi mencari keadilan buat mangsa.

Kekecewaan tersebut dinyatakan oleh Naib Ketuanya, Khairul Azwan Harun melalui muatnaik halaman facebooknya, hari ini.


Menurut beliau, Pemuda UMNO sentiasa konsisten dengan  pendirian bahawa keluarga mangsa khususnya dan rakyat Malaysia umumnya berhak untuk mendapatkan keadilan dan kebenaran dengan membawa pihak yang bertanggungjawab atas nahas tersebut kemuka pengadilan.


Malah kata beliau, hasrat tersebut telah dinyatakan lebih setahun lalu melalui satu memorandum yang telah disampaikan ke kedutaan Russia dan Ukraine.


Timbalan Pengerusi Pemuda BN Malaysia, Azwan mengetuai lebih 2000 belia pelbagai NGO menyerahkan memorandum ke kedutaan Russia, Ukraine dan PBB mendesak satu penubuhan badan siasatan menyiasat punca nahas MH17 - 22 Julai 2014

Tambah Azwan lagi, Malaysia mempunyai hubungan erat dan merupakan rakan baik kepada Russia di rantau ASEAN.

"Adalah amat mengecewakan sekiranya pihak kerajaan Russia tidak mengambil kira hubungan ini dan saya mendesak supaya Menteri Luar kita menghantar bantahan serta makluman kekecewaan kita kepada rakan sejawat beliau.

"Sekiranya Russia berpendapat bahawa ini bukan jalan yang terbaik bagi menyelesaikan masaalah ini maka wajiblah mereka mencadangkan alternatif yang dapat menyelesaikan kemelut ini," ujarnya.

"Bagi pihak keluarga mangsa dan rakyat Malaysia kami teguh dengan pendirian bahawa keadilan dan kebenaran mesti diperjuangkan," tegas beliau lagi.


Khamis, 30 Julai 2015

#NKPUM @Azwanbro Fail Saman Terhadap @RafiziRamli #PemudaUMNO #MARA


Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairul Azwan Harun hari ini bertindak memfailkan tindakan undang-undang di mahkamah terhadap YB Mohd Rafizi Ramli yang telah memfitnahnya isu pembelian hartanah yang dilakukan oleh MARA di Melbourne, Australia.

Azwan telah mengarahkan peguamnya memulakan tindakan undang-undang setelah tempoh yang diberikan untuk Naib Presiden PKR itu menarik balik kenyataan memfitnah yang pernah dikeluarkan itu tamat.

"Tindakan ini diambil setelah tempoh yang saya berikan kepada beliau untuk memohon maaf dan menarik balik kenyataan telah tamat.


Azwan menunjukkan salinan laporan Polis yang dibuat keatas Rafizi pada 8 Julai lalu.
"Ingin saya tegaskan di sini bahawa dakwaan beliau itu adalah tidak betul dan berniat jahat terhadap saya serta Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, " ujarnya.

Tegas beliau lagi, keputusan itu juga dibuat bagi menegakkan kebenaran selain mempertahankan maruah Pemuda UMNO Malaysia.

"Saya membuat keputusan ini atas dasar menegakkan kebenaran dan mempertahankan maruah insititusi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia serta jawatan yang telah diamanahkan kepada saya," tegas Azwan lagi dalam satu kenyataan yang dimuatnaik ke facebook beliau.

Beliau turut mengingatkan bahawa Pemuda UMNO menyokong serta menggalakkan sebarang perdebatan, perbezaan pendapat serta percambahan idea secara sihat tanpa membudayakan pembohongan yang boleh merosakkan suasana politik di negara ini.

"Sekali lagi ingin saya ingatkan kepada semua bahawa Pemuda UMNO dan saya sendiri menyokong serta menggalakkan perdebatan sihat, perbezaan pendapat serta percambahan idea namun kita tidak boleh biarkan budaya pembohongan serta penipuan berleluasa kerana ini akan merosakkan suasana berpolitik di negara kita ini," tambah beliau lagi.

Isnin, 27 Julai 2015

@Azwanbro Bidas Tindakan Sayap #DAP Pertikai Larangan 'Couple-Seat' #LFS #PemudaUMNO #DAPSY


Malaysia cukup dikenali sebagai sebuah negara majmuk bercirikan pelbagai rumpun bangsa yang berbeza pegangan agama dan budaya.

Sehubungan itu, bukan hanya rakyat tetapi ahli politik juga perlu bertanggungjawab menghormati perbezaan ini demi mengekalkan keamanan negara ini.

Demikian kenyataan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairul Azwan Harun ketika diminta mengulas bantahan pimpinan sayap pemuda DAP berkaitan larangan 'couple-seat terhadap pasangan belum berkahwin yang ingin memasuki pawagam di Seri Iskandar, Perak.

"Kita Pemuda UMNO menegaskan jangan ada mana-mana ahli politik cuba terlibat dalam urusan ini dan ini adalah di bawah bidang kuasa agama negeri masing-masing.

"Pemimpin politik perlu ada perasaan sensitif pada agama lain-lain. Sebagai pemimpin kita sewajarnya membuktikan bahawa kita memahami keadaan dan keperluan yang sepatutnya kita hormati," ujar beliau.

Beliau juga turut melontarkan amaran supaya pembangkang tidak mengambil kesempatan dan cuba mengeruhkan keadaan.

"Saya beri amaran jangan cuba politik dan terlibat apa jua keputusan yang dibuat oleh pihak agama negeri.

" Sekiranya ada cubaan untuk terlibat ia akan mengundang masalah," kata Azwan ketika ditemui pada majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri anjuran Yayasan Transformasi Pasir Salak (YTPS) di Kampung Gajah, semalam.

Isu 'couple seat' telah dijadikan bahan oleh DAP di Perak dalam meraih laba politik.

Ia menunjukkan sikap tidak matang parti itu dalam meraih perhatian rakyat sehingga sanggup menggugat kestabilan dan keharmonian.

Malah sikap melampau DAP telah mencabar umat Islam di negeri ini yang mana DAP dengan sengaja dilihat 'mencuit ' hukum Islam.

"Perlu ada sikap hormat menghormati di antara satu sama lain di kalangan perbedaan agama dan kaum, hormat pendirian agama masing-masing," tegas Azwan lagi.

Dalam kenyataan yang disiarkan di laman web DAP Roketkini pada hari Rabu, Setiausaha DAPSY Perak, Howard Lee juga mendesak supaya larangan itu ditarik balik walaupun tidak mengemukakan sebarang cadangan alternatif kepada tindakan larangan tersebut.

Kenyataan ini adalah satu lagi respon bantahan DAP terhadap penguatkuasaan moral dan akhlak di tempat-tempat awam.

Pada 22 Julai lalu, Majlis Daerah Perak Tengah dalam satu kenyataan media memaklumkan bahawa pasangan yang ingin menggunakan kerusi berkembar atau couple seat bagi menonton wayang di pawagam Lotus Five Star Cinemas (LFS) di Seri Iskandar, Perak perlu menunjukkan sijil nikah sebagai bukti mereka adalah pasangan suami isteri yang sah.
Menurut Ahli Majlis Daerah Seri Iskandar, Khairul Shahril Mohamed, syarat tersebut ditetapkan pihak Majlis Daerah sekitar pertengahan tahun 2014 selepas permohonan dibuat pihak pengurusan pawagam berkenaan, empat tahun lalu.
Tambahnya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Parit, pihak pengurusan pawagam itu akan dikenakan tindakan tegas sekiranya gagal mematuhi syarat yang dipersetujui bersama Majlis Daerah.
“Denda akan dikenakan kepada pihak pawagam dan kemungkinan lesen perniagaan juga akan digantung sekiranya pasangan bukan muhrim ditangkap menggunakan couple seat. Pasangan yang didapati bersalah melanggar peraturan pula akan diberikan khidmat kaunseling,” ujarnya.
Jelasnya lagi, serbuan secara mengejut juga akan dilakukan oleh pihak Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) di pawagam itu namun sehingga kini tiada sebarang laporan dan tangkapan dibuat membabitkan pasangan bukan muhrim yang melanggar peraturan.

Ahad, 26 Julai 2015

Majlis Jamuan #Aidilfitri #YTPS Meriah, Lebih 2000 Warga #PasirSalak Hadir @ZainolFadzi @Azwanbro #EidMubarak


Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri anjuran Yayasan Transformasi Pasir Salak (YTPS) yang diadakan bermula jam 11.00 pagi hingga jam 1 petang hari ini meriah dengan kehadiran 2000 warga Parlimen Pasir Salak.

Majlis sempena meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri itu diadakan di Rumah Dato' Sagor (rumah kutai) milik mantan Menteri Besar Perak ke 7, Yang Berbahagia Tan Sri Haji Ramli B. Ngah Talib terletak bersebelahan Kompleks Sejarah Pasir Salak.


Pengerusi YTPS, Tuan Haji Khairul Azwan Harun dan Timbalannya Saudara Ramelle Ashram Tan Sri Ramli serta ahli jawatankuasa lengkap berbaju melayu dan bersampin menyambut kehadiran para tetamu yang hadir.

Antara barisan EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Salak yang hadir.

Majlis diserikan lagi dengan kehadiran Ahli EXCO Kerajaan Negeri Perak merangkap ADUN Kawasan Sg Manik yang juga merupakan Penaung YTPS YB Dato' Haji Zainol Fadzi Haji Paharuddin, Ketua Pemuda UMNO Negeri Perak, Hairul Anwar Mohamed Noor, Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri Saudara Khairul Shahril Mohamed, pegawai-pegawai kerajaan pelbagai jabatan, ketua-ketua kampung serta Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pasir Salak serta Exco Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian.

Pelbagai aneka juadah raya disediakan, seperti lemang dan rendang selain 2 ekor kambing panggang untuk para tetamu menjamu selera.

Pada jam 1.00 petang, kepimpinan YTPS berkenan untuk menyumbang duit raya kepada hampir 400 kanak-kanak bawah 12 tahun yang menyertai keluarga masing-masing hadir ke majlis tersebut.

Kepimpinan YTPS serta ahli jawatankuasanya mengucapkan jutaan terima kasih kepada para tetamu yang meluangkan masa hadir dan memeriahkan Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri YTPS.

Kehadiran ramai ke Majlis Jamuan Hari Raya pada hari ini membuktikan bahawa peranan YTPS diterima baik oleh warga Pasir Salak sebagai sebuah NGO (pertubuhan bukan kerajaan) yang turut sama menyumbang dan menjadi pelengkap kepada wakil-wakil rakyat di Parlimen Pasir Salak.

Sepanjang penubuhannya bermula tahun lepas, YTPS telah berjaya menganjurkan beberapa program memfokuskan kejayaan dan kecemerlangan pelajar sekolah seluruh Parlimen Pasir Salak melalui Biro Pembangunan Modal Insannya.

Ketika sebahagian besar kawasan Kampung Gajah dilanda banjir penghujung tahun 2014 lalu, YTPS turut sama turun padang membantu mangsa-mangsa banjir yang membuat keputusan untuk kekal di kediaman masing-masing dan menolak tawaran ditempatkan di pusat-pusat pemindahan yang disediakan oleh kerajaan.

Kepimpinan YTPS akan menjadikan majlis rumah terbuka ini sebagai acara tahunan setiap kali umat Islam menyambut perayaan Aidilfitri.


Label

Bacaan Quran

Jom Dengar Quran

..::cWm::..