Memaparkan catatan dengan label Berita Perak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Berita Perak. Papar semua catatan

Sabtu, 6 Ogos 2016

@Azwanbro Tidak Kecil Hati Ditohmah, Tetap Komited Pertahan PM @NajibRazak | @Zahid_Hamidi @KhairykJ @PPUMonline


"Bahawa saya tidak berasa terguris atau berkecil hati keatas segala macam tohmahan dan gelaran yang dilontarkan kepada saya.

Demikian ujar Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairul Azwan Harun yang dikecam berikutan tindakan beliau membuat laporan polis terhadap tiga individu bergelar Tan Sri yang didakwa berkonspirasi untuk mengguling Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Najib Razak pada 26hb Julai lalu.

Bagaimanapun, setelah dirakam keterangannya, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar membuat kenyataan rasmi untuk tidak meneruskan siasatan atas alasan laporan yang dikemukakan oleh Azwan bersandarkan kepada andaian.

Biarpun akur dengan keputusan yang dibuat oleh pihak polis, Azwan tetap mempertahankan bahawa laporan polis tersebut berdasarkan asas yang kukuh dan kebimbangan beliau terhadap perkara yang buruk menimpa kepimpinan negara.

"Saya yakin dan percaya bahawa tindakan (laporan polis) saya itu berdasarkan asas yang kukuh dan sebab-sebab yang kuat.

Ketua UMNO Bahagian Tapah, YB Dato' Shamsuddin Abu Hassan (kanan) & Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Sdr Safri Mohamad Salih disidang media Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairul Azwan Harun selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Tapah malam tadi. 
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia berjanji akan terus komited mempertahankan Presiden biarpun digelar dengan pelbagai nama oleh rakyat.

"Saya bersetuju dengan kenyataan Yang Berhormat Ketua Pemuda UMNO Malaysia Saudara Khairy Jamaluddin sewaktu perasmian Mesyuarat Perwakilan Sayap-sayap Putrajaya.

"Bahawa kita tidak kira walau apa gelaran dilontarkan, dalam kita mempertahankan kepimpinan Datuk Seri Najib, Pemuda pasti terus komited walaupun kita digelar dengan macam-macam nama," - Khairy Jamaluddin (Putrajaya).

"Tiada istilah kecewa, tiada istilah merajuk, tiada istilah berundur. Pantang berundur anak muda dalam mempertahankan kepimpinan dan kerajaan kita," tegas Azwan lagi.

Terdahulu, Azwan merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tapah.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Tapah, YB Dato' Shamsuddin Abu Hasan.



Ahad, 22 Jun 2014

Titah Sultan di Mesyuarat Dewan Negara Perak ke-59

Sultan Perak ke 35, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah
BERIKUT titah penuh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada mesyuarat Dewan Negara Perak ke-159, semalam.

Bismillahi Rahmani Rahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Segala puji milik ALLAH Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga beroleh ihsan sehingga ke hari kebangkitan.

2.    Mesyuarat Dewan Negara ke 159, merafakkan sembah ucap takziah kepada Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Tuanku Bainun, di atas kemangkatan Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah pada hari Rabu, 28 Rejab 1435 Hijrah, bersamaan 28 Mei 2014.

3.    Kesultanan Melayu Perak diasaskan oleh Sultan Muzaffar Shah I pada tahun 1528.  Kini telah tiga puluh lima Sultan diangkat untuk bersemayam di takhta pemerintahan.

Dalam tempoh empat ratus lapan puluh enam (486) tahun sejarah Kesultanan Melayu Perak,  Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah, Sultan, Yang Di-Pertuan dan Raja Pemerintah Negeri Perak Darul Ridzuan yang ketiga puluh empat (34), ditentukan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala bersemayam di-takhta pemerintahan selama 30 tahun, 3 bulan, 25 hari, mencatatkan tempoh bersemayam di takhta pemerintahan, kedua paling lama selepas Sultan Perak kesebelas, Sultan Mahmud Iskandar Shah yang bersemayam di takhta Kerajaan selama 67 tahun, di antara tahun 1653 sehingga 1720. 

Mesyuarat Dewan Negara ke 150 bertarikh 6 Mac 2012, adalah mesyuarat terakhir yang dipengerusikan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah. 


Dalam titah yang dizahirkan,  Almarhum memperingatkan bahawa Institusi Raja akan kekal relevan jika ia terus mendapat penghormatan rakyat.

4.    Almarhum telah memenuhi peranan sebagai seorang Raja Pemerintah yang berpegang teguh kepada konsep Raja Berperlembagaan.  Pengalaman berkhidmat sebagai seorang hakim, telah mencanai minda serta membentuk pemikiran Almarhum. 

Ketika menimbangkan sesuatu perkara, Almarhum senantiasa memeriksa semua fakta dan menghalusi setiap data sebelum merumuskan sebaik-baik keputusan untuk kepentingan negeri dan kesejahteraan rakyat. 

5.    Almarhum dikenali dan diiktiraf sebagai seorang Raja Pemerintah yang amat berpegang kepada prinsip meluhurkan Perlembagaan serta mendaulatkan undang-undang negara.

Almarhum telah meninggalkan legasi pemerintahan yang wajib dijadikan rujukan. Almarhum telah melakarkan imej Raja Pemerintah yang disegani dan menyuntik kedaulatan takhta yang dihormati. 

Semoga roh Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, demikian juga roh-roh tiga puluh tiga Sultan terdahulu, yang setiap seorang dari Marhum itu telah menyempurnakan amanah sebagai Amirulmukminin, dilimpahkan segala ihsan daripada ALLAH Subhanahu Wata’ala, ditempatkan bersama roh para Solihin. 

Sama-samalah kita membaca surah Al-Fatihah, memohon rahmat daripada ALLAH Subhanahu Wata’ala, semoga apa jua ganjaran daripada bacaan tersebut disampaikan kepada roh Almarhum-almarhum yang telah berada di alam barzakh.  Al-Fatihah.

6.    Beta bersyukur ke hadrat ALLAH Subhanahu Wata’ala, kerana dengan petunjuk dan hidayat dari Nya juga, ahli-ahli Dewan Negara Perak yang bersidang pada 28 Rejab 1435 Hijrah bersamaan 28 Mei 2014 Masihi telah mencapai kata sepakat mengamanahkan ke atas diri Beta untuk diserahkan tanggung jawab mewarisi takhta pemerintahan.

7.    Mesyuarat Dewan Negara ke 159, pada pagi Jumaat yang dipohon agar dilimpahi berkat dan rahmat ILAHI, adalah mesyuarat pertama yang Beta mempengerusikannya atas nama Sultan, Yang Dipertuan dan Raja Pemerintah Negeri Perak Darul Ridzuan. 

Beta bersyukur ke hadrat ALLAH Subhanahu Wata’ala atas anugerah ini.  Beta menzahirkan penghargaan atas ketetapan sebulat suara ahli-ahli yang hadir dalam Mesyuarat Dewan Negara Perak kali ke 158, memberikan kepercayaan dan menyerahkan amanah kepada Beta, dilantik sebagai Sultan, Yang Dipertuan dan Raja Pemerintah Negeri Perak Darul Ridzuan yang ketiga puluh lima. 

8.    Akan Beta jadikan pedoman kata-kata yang terkandung dalam Ucapan Wakil Siswazah Kehormat yang dizahirkan oleh Paduka Ayahanda Beta, ketika masih seorang Hakim, dikenali sebagai Yang Amat Mulia Raja Tan Sri Azlan Shah semasa dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah oleh Universiti Sains Malaysia pada 28 Jun 1980.  Yang Amat Mulia Raja Tan Sri Azlan Shah antara lain memberikan peringatan;

Petikan:

“...sejarah telah menunjukkan bahawa takhta yang dialihkan dari istana ke muzium sejarah adalah hasil dari salah nasihat yang diberi oleh penasihat-penasihat istana yang tidak bertanggung jawab kepada rakyat. 

Sebenarnya, penasihat-penasihat istana ini adalah terdiri dari mereka yang mencari keuntungan jangka pendek bagi kepentingan diri mereka sendiri tanpa memikirkan kepentingan rakyat dan negara. 

Apabila keadaan ini berlaku, maka lambat laun rakyat akan memberontak dan takhta akan tergugat.  Walau seberapa banyak sekalipun askar, polis rahsia atau pegawai istana digaji untuk melindungi dan menjaga takhta, namun tidak satu pun akan dapat mengatasi kehendak dan aspirasi rakyat jelata. 

Jika kehendak rakyat jelata itu dimakbulkan Allah, maka berpindahlah takhta dari istana ke muzium seni dan budaya.”

9.    Beta amat insaf akan kata-kata yang terkandung dalam sumpah jawatan yang Beta telah zahirkan; ia adalah ikrar perjanjian Beta dengan ALLAH Subhanahu Wata’ala. 

Ia adalah amanah dan tanggung jawab amat berat; meletakkan Beta dengan akauntabiliti baik di dunia, lebih-lebih lagi ketika berhadapan dengan Tuhan Rabbuljalil pada hari kebangkitan di Mahsyar nanti. 

Beta mohon mendapat sebaik-baik nasihat dan panduan daripada ahli-ahli Dewan Negara untuk membolehkan Beta menyempurnakan amanah dan tanggung jawab ini sebaik mungkin. 

Sembah maklumkan kepada Beta perkara yang benar, betapa pahit sekalipun, dan betapa berat untuk lidah mengucapkannya. Setiap kebenaran wajib disembahkan dan jangan sama sekali dirahsiakan daripada pengetahuan Beta. 

Jauhkan Beta daripada cerita-cerita penglipur lara hingga mendorong Beta untuk berkhayalan, lena dengan mimpi indah; sedangkan realiti yang berlaku di kalangan rakyat dan di dalam negeri sangat berlainan dengan apa yang diceritakan. 

Semoga ahli-ahli Dewan Negara akan membantu Beta dengan segala keikhlasan dan kejujuran agar Beta dapat menyempurnakan amanah dan tanggung jawab dengan adil lagi saksama.

10.    Beta amat insaf bahawa daulat seseorang Raja Pemerintah itu akan ditentukan oleh kebijaksanaan dan kearifan serta keadilan dan kesaksamaan pemerintahan Baginda. 

Pemerintah yang bijak dan arif, adil dan saksama, akan dilimpahkan rahmat ILAHI, negerinya makmur dengan pelbagai rezeki, dan Raja berupaya memberi payung naungan membolehkan rakyat hidup dalam rukun, damai, harmoni lagi sejahtera. Akan Beta jadikan pedoman kata peringatan orang tua-tua:

“ Bapa kepada Raja adalah syariat ajaran Rasul
  Ibu kepada Raja adalah adat dan undang-undang
  Saudara kepada Raja adalah segala Menteri Besar dan Kecil
  Anak kepada Raja adalah segala rakyat jelata
  Bahawa Raja itu bagaikan tiada bapa, ibu dan anak
  Tidak diutamakan oleh Raja kepentingan lain melainkan rakyat jelata
  Malah ungka siamang di hutan jua adalah di bawah jagaan Raja
  Menjalankan pemerintahan dengan adil
  Memelihara agama – Menjamin keamanan
  Menunaikan kewajipan dengan penuh iltizam
  Jika Raja gagal menjunjung kebenaran ini
  Maka hancur musnahlah negara”

11.    Yang lebih utama adalah doa yang Beta pohonkan untuk senantiasa dikurniakan panduan daripada ILAHI. 

Maha suci ALLAH yang di tangan Nya segala Kerajaan ;  hamba-Mu yang daif lagi lemah ini, memohon segala petunjuk dan bimbingan, pimpinlah hamba-Mu ini ke jalan yang lurus; (iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.

 Amin Ya Rabul Alamin.

Rabu, 4 Jun 2014

@Azwanbro Ucap Tahniah Kpd #TheBossGaurus Perolehi Ibu Segala Emas #SUKMAPerlis @ZambryAbdKadir @ZainolFadzi @pafanews #PAFA

Menteri Besar Perak meraikan kemenangan Boss Gaurus malam tadi di Stadium Tuanku Syed Putra. Foto - fb YB Zainol Fadzi 
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Perak (PAFA) Khairul Azwan Harun sebentar tadi memuatnaik status twitter mengucapkan tahniah atas kejayaan pasukan 'The Boss Gaurus' memperolehi Emas, ibu segala pingat Sukan Malaysia (SUKMA) ke 17 dengan menundukkan Johor 3 - 1 pada perlawanan akhir bola sepak di Stadium Tuanku Syed Putra malam tadi.


Perak memperolehi gol pertama seawal minit ketujuh menerusi Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi sebelum Khairul Asyraf Sahizah menambah jaringan pada minit ke-17, hasil kesilapan penjaga gol Johor Sirajuddin Esayang gagal menangkap bola dengan kemas. 

Perak terus menguasai permainan pada separuh masa kedua dengan beberapa percubaan gol di gawang pasukan Harimau Selatan itu. 

Johor yang dianugerahkan sepakan penalti atas kekasaran pemain Perak di kawasan penalti, berjaya memperolehi gol tunggal melalui tendangan Shafiq Shaharuddin pada minit ke-72 perlawanan.

Muhammad Shahrel berjaya menambah jaringan gol buat skuad 'Boss Gaurus' dengan gol ketiga pada minit ke-88. 

Kali terakhir Perak menjadi juara bola sepak adalah pada tahun 2002 di SUKMA Sabah dengan menewaskan Pulau Pinang 3-1. 

Turut hadir di Stadium Tuanku Syed Putra menyaksikan perlawanan akhir tersebut adalah Menteri Besar Perak YAB Datuk Seri DiRaja Dr Zambry Abd Kadir diiringi oleh Presiden PAFA merangkap Naib Presiden FAM YB Dato' Haji Zainol Fadzi Paharuddin serta Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak yang lain.

Khamis, 15 Mei 2014

Polis Yakin Proses #PRKTelukIntan Berjalan Lancar - Datuk Acryl Sani @ZambryAbdKadir @azwanbro @PDRMsia


Proses PRK Parlimen Teluk Intan yang akan berlangsung pada 31 Mei ini diyakini berjalan lancar.

Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya akan memastikan pilihan raya kali ini berlangsung aman tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Menurutnya, beliau yakin anggota ditugaskan sepanjang PRK Parlimen Teluk Intan mampu mengawal keselamatan pada hari penamaan calon, ceramah dan hari pembuangan undi.

“Kita akan berusaha supaya PRK kali ini berlangsung dalam suasana aman dan tenteram,” katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, semalam.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Serah Terima Tugas antara Pemangku Ketua Jabatan Pengurusan, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif dan Datuk Azman Yusof yang dilantik sebagai Ketua Jabatan Pengurusan baharu di IPK Perak.

Sebelum ini, Azman telah memegang jawatan sebagai Komander Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara ke-22 sejak 2 November 2006.

Acryl berkata, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang turut dipertanggungjawabkan untuk memastikan kelancaran PRK selain membantu media dalam memberikan maklumat terkini berhubung pilihan raya tersebut.

Ahad, 11 Mei 2014

Jentera #PemudaBN Perak Sedia Hadapi #PRKTeluk Intan - @Azwanbro @MuhyiddinYassin @KhairyKJ #BN4TelukIntan

Jentera Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) negeri Perak telah bersedia sepenuhnya menghadapi Pilihanraya Kecil Teluk Intan.

Dalam usaha mempersiapkan jentera parti itu, satu mesyuarat penyelarasan pertama pemuda BN bagi PRK Teluk Intan telah diadakan hari ini dan dipengerusikan sendiri oleh Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun.

"Saya gembira kerana jentera pemuda UMNO serta komponen BN Teluk Intan nampak bersemangat dan kelihatan benar-benar bersedia.

"Kita akan menggerakkan penyelarasan yang bersistematik dan terperinci terutama yang melibatkan parti-parti komponen BN.

“Mengikut statistik, Parlimen Teluk Intan mempunyai seramai 41% pengundi Cina daripada keseluruhan jumlah pengundi.

“Manakala pengundi Melayu sebanyak 38%, pengundi India 19% dan lain-lain 2%. 

Menurut Azwan lagi, demografi pengundi mengikut kaum di Parlimen Teluk Intan ini adalah lebih kurang sama pecahannya terutama dikalangan pengundi Melayu dan Cina.

Daripada jumlah itu, terdapat lebih 20 ribu pengundi muda yang berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Justeru itu, Pemuda akan menggerakkan jentera penerangan untuk turun ke komuniti dan juga kawasan-kawasan perumahan untuk bertemu dan mendekati pengundi muda berumur bawah 40 tahun.

"Kita penuh yakin, pada PRK Teluk Intan kali ini, BN mempunyai peluang yang lebih baik untuk memenanginya," katanya pada sidang media di Majlis Perasmian Pelancaran Jentera Pemuda BN untuk PRK Teluk Intan, di sini, petang tadi.

Ini kerana katanya, sokongan daripada pengundi Melayu, India dan sebahagian pengundi Cina telah menunjukkan trend positif terhadap BN.

"Kita akan mula turun memperjelaskan kepada mereka dasar-dasar berkaitan program-program kerajaan, selain isu-isu semasa melibatkan kelemahan dasar kerajaan Pakatan Rakyat di negeri di mana mereka memerintah termasuk juga kelemahan yang ada di kawasan diwakili parti pembangkang terutama di negeri Perak.

Di Teluk Intan sendiri, mendiang Seah Leong Peng dari DAP gagal membawa pembaharuan serta pembangunan selain dari yang dibawa oleh wakil rakyat ADUN BN.

Sehubungan itu, Azwan menambah, adalah lebih baik sekiranya parlimen Teluk Intan dikembalikan kepada BN agar kawasan ini dapat menikmati limpahan pembangunan yang sama seperti di kawasan lain. 

"Ini kerana Teluk Intan memerlukan kesinambungan pemerintahan kerajaan.

"Sebagaimana kawasan BN lain mendapat bantuan pelbagai peruntukan pembangunan dari kerajaan pusat maka Teluk Intan juga dapat limpahan nikmat yang sama.

"Saya telah mengarahkan jentera UMNO dan BN yang lain untuk memperkemaskan lagi gerakan jentera dan saya sendiri akan mengetuai jentera.

Ketua Pemuda UMNO Malaysia, YB Khairy Jamaluddin telah mengarahkan agar Jentera Pemuda BN memfokuskan gerak kerja kepada fungsi-fungsi tertentu supaya ia tidak berlaku pertindihan.

Isnin, 5 Mei 2014

Selepas SLAA, YBU Holdings Bakal Perkenal Skim Latihan Baru - @azwanbro @ZambryAbdKadir #PemudaUMNO #YBUHoldings

Azwan menyampaikan cenderahati kepada En. Mohd Madani Sahari, CEO Malaysia Automotif Institute MAI selepas Majlis MOU diantara YBU Education Services dan MAI di Ipoh.
Selepas kejayaan Skim Latihan Automotif Amanjaya (SLAA), YBU Holdings Sdn Bhd akan memperkenalkan satu lagi skim latihan baharu tetapi kali ini untuk kontraktor kelas F.

Pengerusi YBU Holdings Sdn Bhd, Khairul Azwan Harun berkata, skim baru ini akan dilancarkan tidak lama lagi.

Menurut beliau, pihaknya akan bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan persatuan kontraktor negeri Perak.

"Melalui senarai yang diberikan oleh Persatuan Kontraktor Negeri Perak dan CIDB, kita akan berikan kursus-kursus jangka pendek, terutama dalam membangunkan soft skill kepada kontraktor-kontraktor ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Menandatangani MoU antara YBU Education Services Sdn Bhd (YES) dan Malaysia Automotive Institute (MAI) di Ipoh pada Isnin.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bina Upaya (YBU), Datuk Ismail Saffian, Ketua Pegawai Eksekutif MAI, Mohd Madani Sahari dan Ketua Pegawai Eksekutif YBU Holdings, Hamzarul Hamdan.

Azwan memberitahu, antara kursus jangka pendek yang akan diberikan adalah pengurusan aliran tunai, pengurusan projek dan pentadbiran syarikat.

"Masalah kontraktor kecil, terutama kelas F, apabila dapat projek tetapi pengurusan kewangan tidak begitu mantap, kurang efektif, menyebabkan selepas selesai satu projek, tiada simpanan lebihan untuk meneruskan projek yang lain," ujar beliau.

Menurut beliau, skim latihan ini terbuka untuk semua kontraktor kelas F, termasuk bukan Bumiputera dan akan diuruskan oleh YES.

Peserta Tamat Kursus Skim Latihan Automotif Amanjaya Bakal Terima Sijil SKM Tahap 2 - @Azwanbro @ZambryAbdKadir @YBUDR #YES #MAI #SLAA

Azwan menyaksikan majlis menandatangani MOU diantara En Madani mewakili MAI & (En Hamzarul mewakili YES di Hotel Kinta Riverfront, IPOH.
Pagi ini berlangsung Majlis Menandatangani Perjanjian (MOU) Diantara YBU Education Services Sdn Bhd (YES) dan Malaysia Automotive Institute (MAI) yang diadakan di Pusing Hall, Hotel Kinta Riverfront, Ipoh Perak.

Majlis ini dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) merangkap Pengerusi YBU Holdings Sdn Bhd, Yang Berbahagia Khairul Azwan Harun.

Berucap di majlis tersebut, Azwan berkata, antara objektif perjanjian ini adalah mengadakan kerjasama berkaitan program pembangunan modal insan melalui kaedah Sistem Latihan Dua Insan (SLDN) dan Program Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT).

“Program ini merupakan program transformasi bengkel yang juga dikenali Bumiputera Workshop Development and Transformation (BWDT) berdasarkan kesaksamaan bersama.

Bidang kerjasama yang dipersetujui ialah pihak MAI akan menyediakan dan memudahkan proses latihan teori dan YES akan menyediakan peserta-peserta yang berminat untuk menyertai dan meningkatkan diri dalam bidang automatif.

Menurut Azwan lagi, kerajaan negeri melalui YES telah berjaya melahirkan seramai 60 tenaga mahir di bidang automotif melalui dua program Skim Latihan Automatif Amanjaya (SLAA) sebelum ini.

Tahun ini, dengan terjalinnya kerjasama bersama MAI, peserta-peserta yang berjaya menamatkan kursus latihan SLAA ini akan dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2.

Apa yang membezakan kursus bagi sesi kali ini adalah peserta dianugerahkan Sijil SKM Tahap 2 tersebut selain tempoh kursus dilanjutkan sehingga 10 bulan berbanding 6 bulan pada sesi yang lalu.

“Pada sesi akan datang juga, YES bercadang untuk menambah bilangan peserta dari 30 orang kepada 60 orang bagi setiap sesi memandangkan kursus SLAA ini menerima permohonan yang amat menggalakan daripada golongan muda,” kata Azwan pada ucapan perasmian majlis tersebut.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif YBUDR Dato’ Ismail B. Saffian, En Hamzarul Hazmir B. Hamdan Ketua Pegawai Eksekutif YBU Holdings Sdn Bhd, En Hairul Anwar B. Mohammad Noor Ketua Pegawai Operasi YBUDR serta En Mohd Madani Sahari Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Automotif Institute.

Khamis, 24 April 2014

Pengeluaran Kilang Perak Agro Mills Meningkat - DS @ZambryAbdKadir @ZainolFadzi @Azwanbro #PPPNP

Hasil perubahan dalam struktur operasi dan pengurusan sumber manusia, kilang memproses buah kelapa sawit milik penuh Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP), Perak Agro Mills Sdn Bhd berjaya meningkatkan kadar pengeluaran daripada 30 tan metrik per jam kepada 60 tan metrik per jam.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan kilang tersebut di Kampung Gajah pagi tadi, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata sebelum ini kadar pengeluaran kilang itu berada di bawah kapasiti sebenar.

“Tetapi selepas beberapa perubahan dilakukan oleh PPPNP, kapasiti pengeluaran kilang ini meningkat daripada 30 tan metrik per jam kepada 60 tan metrik per jam.

“Penggunaan peralatan canggih dikenali sebagai ’tilting sterilizer’ membolehkan kadar pengeluaran kilang ini meningkat sekali ganda,” katanya lagi.

Kilang yang terletak di Mukim Pulau Tiga itu dijangka memperoleh keuntungan kasar sebanyak RM10 juta setahun berbanding hanya RM4 juta sebelum ini.


YB Dato' Zainol Fadzi Paharuddin turut hadir ke majlis perasmian kilang Perak Agro Mills di Pulau Tiga. Gambar oleh Azarin Jamain.
Kilang yang dahulunya dikenali sebagai Dinding Oil Palm Industries itu mendapat sumber bekalan buah tandan segar sawit (BTS) daripada ladang-ladang PPPNP, ladang mini berhampiran dan juga peniaga BTS sekitar daerah Perak Tengah.

Selain itu, PPPNP katanya, melabur sebanyak RM24 juta untuk membeli peralatan yang diperlukan bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran kilang tersebut yang beroperasi sejak 2001 lagi.

“Perak merupakan negeri keempat di Malaysia yang menggunakan ’tilting sterilizer’ untuk memproses buah kelapa sawit selain Sime Darby.

“Kilang memproses kelapa sawit di Beruas juga akan menggunakan peralatan canggih ini untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran sedia ada,” kata Zambry lagi.


Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bayaran bonus antara tiga hingga empat bulan kepada setiap pekerja Perak Agro Mills Sdn Bhd bagi tahun kewangan berakhir 2013.

“Peningkatan kapasiti kilang daripada 30 tan metrik per jam kepada 60 tan metrik merupakan satu kejayaan yang membanggakan bagi PPPNP, sekaligus berjaya meningkatkan hasil pendapatan kerajaan negeri,” jelasnya lagi.

Terdahulu dalam ucapannya, Zambry berkata, terdapat dua faktor yang menentukan kejayaan dalam sesebuah pengurusan kilang iaitu manusia dan alatan yang digunapakai.

Beliau turut menekankan aspek amanah dalam setiap kerja yang dilaksanakan bermula dari peringkat pekerja kilang hingga pihak pengurusan tertinggi. PT

Selasa, 22 April 2014

IPOH: Salah Satu Dari 9 Bandar Terbaik Dunia - Kathleen Peddicord @ZambryAbdKadir @Azwanbro


Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, penjagaan kelestarian Bandaraya Ipoh amat penting dalam meletakkannya sebagai salah satu daripada 9 bandar terbaik serta berkemampuan dunia untuk didiami golongan pesara.

Katanya, selain itu dasar yang kerajaan negeri laksanakan terutama dari aspek alam sekitar dalam membangunkan keadaan perbandaran turut meletakkan Ipoh sebagai salah satu destinasi menarik di dunia.

''Ipoh dianggap antara 9 bandar terbaik di seluruh dunia untuk golongan pesara warga emas barangkali disebabkan oleh bagaimana dasar yang kita laksanakan dan juga segi alam sekitar Ipoh '' katanya.

Beliau diminta mengulas penilaian yang dibuat oleh seorang penulis blogger terkenal Amerika Syarikat, Kathleen Peddicord yang meletakkan Ipoh sebagai satu daripada 9 bandar terkenal di dunia yang paling sesuai untuk pesaraan warga emas.

Menurut Dr Zambry, beliau mengharapkan pengekalan kepada kriteria yang diberikan oleh penulis berkenaan akan dapat kerajaan pertahankan meskipun dari segi pertumbuhan tidak dapat dielakkan kerana pertumbuhan perlu diteruskan.

Dari segi penjagaan kelestarian bandaraya adalah sangat penting kerana beliau percaya kriteria Ipoh sebagai salah satu bandar terbaik di dunia itu tidak dibuat hanya pada satu penilaian tetapi menyeluruh termasuk tentang gaya dan kualiti hidup, kehijauannya dan lain-lain lagi.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan melihat secara serius perkara ini bersandarkan kepada maklum balas kunjungan kumpulan-kumpulan luar termasuk pelancong yang datang ke Ipoh untuk membuat penilaian mereka sendiri tentang Ipoh.

Beliau yakin menerusi penilaian ini juga kerajaan negeri akan dapat mengambil langkah perlu untuk menjadikan Ipoh sebagai destinasi menarik dikunjungi.

Kathleen dalam penulisannya meletakkan Ipoh sebagai tempat paling sesuai bagi golongan pesara warga emas kerana mempunyai perkhidmatan kesihatan pertama di dunia , udara yang segar dan infrastruktur moden selain kedudukan bandarnya yang tidak terlalu padat.

Ipoh kini menjadi bandar terkenal dan pilihan sebagai bandar untuk golongan pesara dikalangan rakyat Malaysia kerana memiliki udara yang bersih, air yang jernih dan gaya hidup yang sihat.

Menurut Kathleen, bajet bulanan USD$897 (RM2,906) hanya diperlukan untuk menetap lebih selesa di Ipoh.

Selain Ipoh, beliau turut menyenaraikan bandar Nha Trang, Vietnam, Chiang Rai, Thailand, Dumaguete, Philippines, The Americas Cayo, Belize, Loja, Ecuador, Granada, Nicaragua, Tralee, Ireland, Carcassonne, France sebagai destinasi menarik untuk dilawati.

Ahad, 20 April 2014

Perak Capai Pertumbuhan Tertinggi Di Malaysia: DS @ZambryAbdKadir

Kerajaan negeri akan memastikan bahawa amanah yang dberikan akan dilaksanakan mengikut prinsip-prinsip perlembagaan, ketelusan, keadilan dan mengutamakan kepentingan rakyat, demikian menurut Menteri Besar Perak, YAB Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

“Tanggungjawab terhadap golongan keterbawahan yang dilanda masalah kemiskinan, kesulitan dan bencana turut diberi keutamaan.

“Pelbagai program pengupayaan golongan miskin tegar melalui Yayasan Bina Upaya (YBUDR) dan juga program-program tanggungjawab sosial (CSR) membabitkan pelbagai agensi negeri dan persekutuan serta syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga bakal dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena istiadat ulangtahun Keputeraan Sultan Azlan Shah yang Ke-86 di Istana Iskandariah Kuala Kangsar, semalam.

“Pada tahun 2014 sahaja, kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan sebanyak RM63.99 juta iaitu pertambahan sebanyak 60 peratus.


Berdasarkan maklumat daripada Jabatan Perangkaan Malaysia dan Unit Perancang Ekonomi (EPU), kadar pertumbuhan pendapatan isirumah purata di Negeri Perak katanya, telah meningkat daripada RM2,809 pada tahun 2009 kepada RM3,548 pada tahun 2012 iaitu mengalami pertambahan sebanyak RM739.

“Pertambahan ini merupakan 26.3 peratus dalam tempoh tiga tahun atau purata 8.7 peratus setahun dan ianya boleh diterjemahkan sebagai satu manifestasi peningkatan taraf hidup rakyat di negeri ini,” jelasnya.

Statistik rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia mengumumkan Perak merupakan antara negeri yang mencapai pertumbuhan tertinggi selain Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka iaitu pada kadar 7.1 peratus.

“Negeri Perak terus berupaya menarik minat pelabur dan pada tahun 2013, nilai pelaburan yang diluluskan berjumlah RM2.4 billion,” jelasnya.

Tambahnya lagi, terdapat beberapa projek baru yang bakal dibangunkan membabitkan penyertaan pihak swasta antaranya Animation Theme Park di Meru Raya, Kinta Lake District dan Perak Educity yang mengetengahkan bandar ilmu di Seri Iskandar.

Beliau turut menasihati rakyat supaya menghargai setiap  nikmat yang sama-sama dikecapi sekarang ini kerana ianya tidak mudah untuk diperolehi.

“Ia adalah hasil perjuangan orang terdahulu yang telah meletakkan pembelaan nasib rakyat dan negara di atas landasan yang betul serta kukuh,” jelasnya lagi.

Katanya lagi, tonggak dan mercu kepada perjuangan itu adalah berpandukan sistem raja berperlembagaan yang diamalkan di negara ini iaitu sebuah sistem manifestasi hubungan simbiotik yang erat di antara raja dan rakyat.

Institusi Raja Termaktub Dalam Perlembagaan Negara - Raja Dr Nazrin Shah


Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah bertitah institusi raja bukan cermin lama untuk melihat wajah yang tua sebaliknya sudah termaktub secara perundangan dalam Perlembagaan Negara.

“Sepuluh peratus iaitu 19 dari 183 Perkara di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah perkara-perkara berkaitan Raja, bermakna Malaysia yang mengamalkan sistem kerajaan berkonsepkan Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen telah memperuntukkan secara perundangan peranan dan tanggung jawab tertentu kepada Raja Pemerintah.

“Oleh itu, takhta perlu bertenaga agar berupaya memenuhi tuntutan.

“Takhta juga perlu bersifat dinamik untuk bersedia menghadapi cabaran,” titahnya sempena Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-86 Sultan Perak Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah Kuala Kangsar, semalam.

“Raja yang bersemayam di takhta kerajaan memerintah dan bukan mentadbir.

Raja Pemerintah titah Nazrin, merupakan payung kedaulatan negara dan wajib memberi naungan saksama kepada setiap warga, tanpa mengira kaum dan agama.

“Takhta pemerintahan berperanan sebagai tonggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan, payung penyatuan dan instrumen kesatuan dalam kepelbagaian.

“Semestinya takhta pada setiap ketika tidak bersifat partisan, malah wajib mencuar tinggi di atas segala polemik politik kepartian demi memastikan peranan takhta diterima baik dan ketika takhta diperlukan berperanan sebagai penimbang tara untuk mendamaikan sebarang persengketaan di dalam negara,” titah baginda lagi.

Bagi menyelami minda agar dapat lebih memahami tuntutan semasa dan cabaran masa hadapan, terutama untuk menghadapi generasi muda, baginda titahnya, sentiasa mengimbas ingatan akan semangat permuafakatan yang telah terukir di antara Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun.

“Ia satu kontrak sosial menyentuh hubungan Raja dengan rakyat dan hubungan rakyat dengan Raja bahawa rakyat akan kasih dan setia kepada Raja yang adil berlandaskan semangat “Raja adil – Raja disembah”.

“Beta juga amat insaf bahawa daulat dan darjat seseorang Raja “tidakkan pipis datang melayang – tidakkan bulat datang menggolek.”

“Justeru itu, keluhuran institusi Raja perlu dipelihara daripada sebarang penodaan dan dikawal dari sebarang pencemaran untuk memastikan warga kekal menabur bunga setia,” titah Nazrin lagi.

Sabtu, 19 April 2014

803 Terima Darjah Dan Pingat Kebesaran Perak


Pengerusi Affin Holdings Berhad Jen (B) Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin mendahului senarai 803 penerima darjah dan pingat kebesaran negeri Perak sempena ulang tahun ke-86 Hari Keputeraan Sultan Perak Sultan Azlan Shah, di sini, hari ini.

Mohd Zahidi yang juga Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Perak dianugerah darjah Seri Paduka Sultan Azlan Shah (SPSA) yang membawa gelaran Datuk Seri Diraja.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dianugerah darjah Seri Paduka Cura Si Manja Kini (SPCM) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Baginda turut berkenan menganugerahkan darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri kepada empat penerima iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Abdul Puhat Mat Nayan, Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Orang Kaya Besar Maharaja Diraja Datuk Abd Rahman Zainuddin dan Orang Kaya-kaya Seri Adika Raja Shahbandar Muda Datuk Ir Mohamad Othman Zainal Azim.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar penerima tunggal darjah Seri Panglima Taming Sari (SPTS) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Tiga penerima dianugerah darjah Datuk Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Datuk iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Perak Mohd Nizar Zakaria; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pelancongan dan Kebudayaan Perak Nolee Ashilin Mohamed Radzi dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Perak Dr Muhammad Amin Zakaria.

Seramai 24 orang menerima darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang juga membawa gelaran Datuk.

Penerima DPMP berkenaan ialah Perunding Anestesiologis, Institut Jantung Negara (IJN) Dr Sharil Azlan Ariffin, Timbalan Ketua Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Rapi IJN Dr A.N Thiru Kumar, Pengerusi Eksekutif Mahir Holding Sdn Bhd Ahmad Redza Ahmad Khairuddin, Penasihat Undang-undang Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang Abu Bakar As-Sidek Mohd Sidek.

Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad Datuk Abdul Jalil Abdul Hamid, anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Changkat Jong Mohd Azhar Jamaluddin, Adun Trong Dr Zabri Abdul Wahid, Adun Pasir Panjang Rashidi Ibrahim, Penasihat Undang-Undang Barisan Nasional Perak Badrul Hishah Abd Wahap.

Naib Pengerusi MCA Perak Chang Chun Cheun, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak Ahmad Rizal Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif MB Incorporated Aminuddin Zaki Hashim, Pengurus Besar Yayasan Perak Dr Zulkapli Mohamed, Pengarah Hospital Raja Permaisuri Bainun Dr Raja Lope Ahmad Raja Ariffin.

Pengurus Besar Kanan Boustead Estates Agency Sdn Bhd Shoib Abdullah, Pengarah Institut Respiratori Hospital Kuala Lumpur Datuk Dr Abdul Razak Abdul Muttalif, Penasihat kepada Menteri Besar Perak V.

Elango, Timbalan Ketua Eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Steven Wong Cheng Ming, Ketua Jabatan Pembedahan Hospital Selayang Dr Fitjerald Henry, C.K Gnasegarah, K.T Rajan, Ir Khairudin Sidek, Albert Chang Si Fock dan Shyamala Devi Alagendra.

Tiga penerima darjah Datuk Pahlawan Taming Sari (DPTS) membawa gelaran Datuk ialah Panglima Bantuan Perkhidmatan Markas Bantuan Perkhidmatan Tentera Laut Diraja Malaysia Lumut Laksamana Pertama Khairuddin Mohd Arif, Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak Pemangku SAC Burhanuddin Ijab dan Pakar Bedah Am di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan Brig Jen Dr Shabbar Husain Fazle Abbas.

Sultan Azlan Shah turut berkenan menganugerahkan darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM) kepada sembilan penerima, Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP) kepada 34 penerima, Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM) kepada 12 penerima, Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP) kepada 171 penerima.


Sebanyak 311 orang dianugerah Pingat Pekerti Terpilih (PPT), 215 orang menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dan 14 penerima Pingat Lama Perkhidmatan (PLP).

Pengamal media di Perak iaitu Ketua Biro Bernama Perak Muna Khalid dan Ketua Pemberita China Press Leong Oi Yin masing-masing dianugerah AMP manakala wartawan New Straits Times Sylvia Looi, jurufoto Sin Chew Daily Ting Choo Hing, Penolong Ketua Biro Sinar Harian Normawati Ah Adnan dan P. Sandrasegar masing-masing menerima PPT.

Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran dijadual diadakan di Balairong Seri, Istana Iskandariah di sini hari ini, seterusnya disambung pada 6 Mei, 17 Mei dan 31 Mei.

Catuan Bekalan Air Di Taiping. & Kamunting Berakhir Esok - @ZainolFadzi @ZambryAbdKadir @azwanbro #LAP

Lembaga Air Perak (LAP) menamatkan sepenuhnya catuan bekalan air di sekitar kawasan Taiping dan Kamunting berkuatkuasa esok. (Ahad)

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Dato' Zainol Fadzi Paharuddin, berkata keputusan itu dibuat berikutan hujan yang berterusan di kawasan tadahan air sejak kebelakangan ini yang menyumbang kepada peningkatan bekalan air mentah ke Loji Rawatan Air Taiping Headworks dan Empangan Air Kuning.

"Empangan Air Kuning sudah menunjukkan aliran peningkatan dan sudah melebihi aras selamat 38 meter.

"Menerusi penamatan ini, tiada lagi catuan air berjadual di kawasan Taiping dan Kamunting," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) membenarkan catuan air secara berperingkat mengikut zon bermula 3 hingga 16 April dan boleh disambung jika keadaan memerlukan di kawasan Taiping dan sebahagian Kamunting berikutan paras air di Loji Rawatan Air Taiping Headworks yang merosot.

Dalam tempoh pemulihan beberapa hari ini, kemungkinan akan terdapat kawasan yang mengalami tekanan rendah terutama waktu puncak.

Beliau juga berkata, pengguna air di negeri ini khususnya di Taiping dan Kamunting dinasihatkan supaya berhemat dalam penggunaan air dan mengelakkan pembaziran.

Katanya, langkah berjimat cermat dalam penggunaan air terawat akan membantu mengurangkan pengambilan air mentah dan boleh memanjangkan penggunaan air simpanan dalam empangan.

Beliau berkata, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara itu boleh menghubungi bilik gerakan/operasi serta pusat aduan pengguna LAP di talian bebas tol 24 jam 1-800-88-7788 atau Pusat Operasi Taiping 05-8911437 atau laman web rasmi www.lap.com.my atau emel ke aduanadmin@lap.com.my.

Info:- Catuan air di Kamunting & Taiping berpunca dari kurang taburan hujan.

Ahad, 13 April 2014

#beritaPerak: Majlis Pecah Tanah Pembangunan Universiti #UCSI & #MMTC di Seri Iskandar #Educity @ZambryAbdKadir @Azwanbro @nizarzakariaMP

Majlis Pecah Tanah Projek Educity disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Perak. Hadir sama YB Drs Nizar Zakaria (kiri).
PERAK terus berkembang sebagai sebuah negeri yang berteraskan ilmu pengetahuan apabila pelbagai universiti swasta menunjukkan minat untuk membuka kampus mereka di negeri tersebut.

Menurut Menteri Besar, YAB Datuk Seri DiRaja Dr Zambry Abd Kadir, projek Educity iaitu pembinaan kampus universiti UCSI dan MMTC di Seri Iskandar merupakan salah satu bukti yang menunjukkan perkembangan pesat sektor pendidikan di Perak.

“Pembinaan satu lagi universiti swasta di bandar Seri Iskandar terlaksana selepas perbincangan dan lawatan diadakan oleh pihak kerajaan negeri dan UCSI sebelum ini.

“Kewujudan universiti tersebut merupakan satu lagi mercu tanda pendidikan di Perak terutama sekali bagi kawasan Seri Iskandar,” katanya selepas menyempurnakan majlis pecah projek tersebut di Seri Iskandar.

Jelasnya lagi, pembinaan pusat pendidikan sebegini pasti berupaya untuk memberi impak positif kepada kawasan berhampirannya.

Katanya lagi, kawasan Seri Iskandar sudah sedia membangun apabila wujudnya dua universiti lain di kawasan berkenaan iaitu Universiti Teknologi Mara (UITM) dan Universiti Teknologi PETRONAS.

Seri Iskandar dilihat semakin pesat membangun sebagai pusat pembangunan pendidikan di Perak.

Ujarnya lagi, pelbagai pembangunan pendidikan lain bakal dirancang untuk dibangunkan di kawasan sekitar Seri Iskandar kelak.

Beliau turut memuji semangat yang ditonjolkan oleh pihak UCSI yang mengembangkan bidang pendidikan di Perak di atas tanah milik persendirian sepenuhnya.

Pembinaan Universiti UCSI dijangka bermula penghujung 2014 dan siap sepenuhnya menjelang tahun 2016 itu bakal menyediakan peluang pendidikan kepada lebih 10,000 pelajar kelak.

Universiti swasta itu akan menawarkan program pendidikan dalam bidang;
● Pelancongan dan Hospitaliti, Sains Sosial dan Seni Kreatif, 
● Perniagaan dan Informasi Sains, 
dari peringkat diploma hingga ijazah doktor falsafah (PhD).

Rabu, 2 April 2014

Taburan Hujan Yang Kurang Punca Catuan Air - Dato' @ZainolFadzi @ZambryAbdKadir #LembagaAirPerak



Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, YB Dato' Zainol Fadzi Paharuddin menafikan kenyataan bahawa catuan air yang bakal dihadapi pengguna di kawasan Kamunting dan Taiping disebabkan oleh pengurusan air yang kurang cekap.
Catuan air yang dilaksanakan oleh Lembaga Air Perak (LAP) bermula esok disebabkan oleh jumlah taburan hujan yang kurang di kedua-dua kawasan berkenaan.
“Catuan air ini bukanlah disebabkan kelemahan menguruskan aset air dan ia adalah satu tuduhan yang tidak berasas” katanya.

Tegasnya lagi, permasalahan air tersebut adalah disebabkan oleh faktor cuaca dan taburan hujan yang ternyata di luar jangkaan semua.

“Saya lihat LAP mempunyai perancangan yang amat komprehensif bukan sahaja di Taiping malah di seluruh Perak,” katanya lagi.

Tambah Zainol lagi, setakat ini, Perak memiliki tujuh loji rawatan air yang menyumbangkan bekalan air di Taiping dan Kamunting, Gunung Semanggol, Taiping Headwork, Air Kuning, Trong, Ayer Kuning, Jelai dan Anak Terjun.


“Kali terakhir hujan lebat di Taiping dan Kamunting adalah pada 14 Januari dan ianya masih belum mampu menampung jumlah paras air yang normal,” katanya.
Paras dan sumber air Taiping Headwork telah mengalami penurunan hampir 26 peratus daripada paras yang biasa iaitu sebanyak 36 juta liter.
“Ketika ini, paras air di loji tersebut telah meningkat kepada 31 juta liter,” katanya lagi.

Catuan air tersebut hanya melibatkan 3 peratus akaun daripada keseluruhan pengguna LAP di Perak.

“Kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini menyatakan Perak tidak akan mempunyai masalah air selama empat bulan adalah berdasarkan lawatan saya ke Empangan Sultan Azlan Shah Ulu Kinta,” katanya lagi.

Catuan yang bermula esok akan melibatkan 23,719 akaun dan 10 peratus daripadanya melibatkan kawasan komersial.

Catuan air tersebut bakal dilaksanakan selama 2 minggu bergantung kepada taburan hujan.

Ianya dibahagikan kepada 2 zon yang meliputi 27 akaun pengguna air di Taiping.

"Catuan juga tertakluk pada pindaan yang bergantung kepada taburan hujan dan ianya hanya langkah awal jika hujan masih tidak turun sehingga 2 April depan," jelas Zainol lagi.

Zon 1 meliputi 4,433 pemilik akaun iaitu bagi kediaman dan rumah kedai antaranya seperti di kawasan Taman Sentosa, Taman Tasik Permai, Tampang, Taman Lembah Tupai, Jalan Lengkungan dan Jalan Tupai.

Zon 1B pula meliputi 986 pemilik akaun antaranya kawasan sekitar Taman Suria, Taman Suria Permai, Taman Temenggong, Jalan Ong Sik, Jalan Kelab Lama dan perumahan polis dan askar.

Untuk Zon 1C, antara kawasan yang akan mengalami catuan air seperti di Taman Bukit Emas, Lake View, Taman Dato Seri Razak, Taman Pengly dan Kampung Kelian Pauh.

Zon 1D membabitkan seluruh bandar Taiping, Kampung Jambu, Tupai Industri, Medan Taiping, Kampung Boyan, Taman Long Jaafar, Medan Bersatu dan Taman Sri Hijau.

Manakala bagi Zon 2, ia turut meliputi zon A dan B yakni zon A membabitkan kawasan seperti Jalan Air Kuning, Taman Kuning Sari dan Taman Aur Mesra.

Zon 2B pula membabitkan kawasan Taman Semarak, Taman Assam Maju, Taman Asam Mara, Kampung Potong Pinang, Taman Raja Idris Shah, Taman Sg. Emas dan Taman Sri Kota.

Bagi Zon 2C, ia meliputi kawasan Larut Tin, Kampung Benggali, Sentosa, Pengkalan, Taman Simpang Setia, Simpang Pulai, Simpang, Taman Kota Jaya, Sri Larut dan Taman Mawar.

Zon 2D pula antara kawasan yang terganggu ialah Aulong, Taman Perdana, Taman Kami A,B,C,D, Jalan Haiwan, Assam Kumbang, Taman Saujana Jaya, Taman Panglima dan Kampung Tekkah.

Taman Tema Animasi Pertama Asia Dibina Di Perak @ZambryAbdKadir #PerakAmanJaya #AJCC

Saudara Ramelle Ramli (kiri) mengiringi MB Perak, YAB Datuk Seri DiRaja Dr Zambry pada Majlis Pecah Tanah MAPS di Meru, Ipoh. 

Movie Animation Park Studios (MAPS), taman tema animasi pertama di Asia yang bernilai RM450,000 akan dibina di Meru Raya Ipoh dan dijangka siap pada Disember tahun depan.

Menteri Besar Perak, YAB Dato' Seri DiRaja Dr Zambry Abd Kadir hadir pada Majlis Perasmian Pecah Tanah projek itu di Aman Jaya Convention Centre Meru, Ipoh, 31 Mac lalu.

Zambry berkata, taman tema yang pertama di Asia itu, bakal melonjakkan Perak sebagai antara destinasi pelancongan menarik.

Beliau berkata MAPS terletak pada kedudukan strategik iaitu di Ipoh yang dilengkapi perkhidmatan keretapi elektrik (ETS) serta berhampiran laluan Lebuhraya Utara-Selatan bagi kemudahan para pengunjung.
    

MAPS yang dibangunkan di kawasan seluas kira-kira 10 hektar daripada 20.8 hektar di Meru Raya di sini, akan membuka hampir 3,000 peluang pekerjaan termasuk 700 pekerjaan utama, katanya.

Projek bertaraf antarabangsa itu, usahasama antara Perak Corp Berhad dan Sanderson Group, akan menyajikan pelbagai konsep zon animasi merangkumi Animation Square, Fantasy Forest, Live Action, Blast Off, DreamWorks dan Lakeside Zone.

MAPS mensasarkan sejuta pengunjung sebaik beroperasi dan mampu memenuhi sasaran 36 juta kedatangan pelancong ke Perak pada tahun 2020.


Hadir sama, Steve A. Sanderson Ketua Pegawai Eksekutif Sanderson Group, Ramelle Ramli Pengarah Sanderson Animation Theme Park yang juga Timbalan Pengerusi Yayasan Transformasi Pasir Salak (YTPS) dan Datuk Aminuddin Md Desa, Pengerusi Animation Theme Park (ATP) Sdn Bhd.

Label

Bacaan Quran

Jom Dengar Quran

..::cWm::..