Ia ungkapan yang jelas mendedahkan sikap sebenar Presiden parti dan sepatutnya, tiada lagi mana-mana pihak, lebih-lebih lagi ahli dan pemimpin UMNO berasa sangsi dengan pendirian atau sikap yang ditonjolkan oleh beliau.
Apa yang dilontarkan menggambarkan kewibawaannya sebagai seorang Presiden dan Perdana Menteri yang bersikap rendah diri, tapi berani dan tegas menyatakan pendirian.
Teguran dan nasihat itu menggambarkan hasrat besar presiden untuk mengajak seluruh ahli dan kepimpinan parti supaya kembali bersatu sebagai satu pasukan dalam khemah keramat.
Apa yang diucapkan oleh beliau harus diterima semua perwakilan dan kepimpinan parti. Khemah besar tidak harus dihancur leburkan sehingga menjejaskan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera.
Pemimpin dan ahli yang masih tidak sebulu dengan presiden mungkin lebih baik berundur kerana Presiden sudah menyatakan komitmen untuk menyelesaikan segala isu berbangkit, sama ada dalam parti atau kerajaan ketika ini supaya persepsi rakyat dapat diperbetulkan.
Beliau lebih arif dan bertanggungjawab menanganinya, jadi janganlah menggangu atau menebuk bahtera UMNO. Masa dan peluang sudah diberikan kepada Presiden, maka janganlah ada diantara ahli dan pemimpin parti merosakkannya pula.
Paling penting, semua pihak perlu bersabar dan menguatkan parti untuk memenangi hati pengundi, selain mempersiapkan jentera menjelang pilihan raya umum (PRU) tidak lama lagi.
Jika ada hubungan renggang ketika ini, khasnya diantara Presiden dan timbalan serta naib Presiden, ia harus ditamatkan kerana sekarang bukan masanya untuk pemimpin bertelagah sesama sendiri.
"Pemuda dan Puteri umpama anak-anak yang tidak mahu melihat ibu bapa bertengkar. Jika emak dan ayah bertengkar, anak akan serba salah. Oleh itu, pemimpin dan ahli perlu bergerak seiring agar UMNO dan Barisan Nasional (BN) menang pada PRU akan datang serta diterima rakyat.
Sejujurnya, ahli dan pemimpin UMNO tidak harus terpedaya atau terikut-ikut rentak dimainkan oleh pengamal media sosial yang mengambil peluang disebalik isu untuk melaga-lagakan ahli parti.
Orang UMNO perlu tahu, pembangkang sentiasa menggandakan usaha untuk memecah belahkan parti menerusi media sosial. Ini yang perlu diatasi ahli parti yang sesetengahnya turut terpengaruh dengan dakyah pembangkang.
Ketika pakatan pembangkang bukan lagi retak menanti belah, tetapi sudah hancur, peluang ini harus dimanfaatkan UMNO dan BN untuk memenangi hati rakyat, bukan lagi bertelagah sesama sendiri.
Jangan juga jadikan keputusan Majlis Tertinggi (MT) yang memutuskan hanya Presiden menggulung perbahasan pada perhimpunan agung kali ini sebagai isu untuk dipolemikkan.
Paling penting untuk dihayati dan direnungi UMNO adalah pandangan, idea dan teguran yang disampaikan oleh jurucakap dan pembahas pada persidangan ini.
Seperti disiarkan di akhbar Utusan Malaysia hari ini. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Pihak admin yop-pasirsalak.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.
Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen di sini.
Semua pelawat dianggap setuju dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami dan kami tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen yang diutarakan.