Khamis, 9 Oktober 2014

416 Calon #PT3 Dari 4 Buah Sekolah Terima Sumbangan Set Alat Tulis #YTPS @zainolfadzi @zambryabdkadir @Azwanbro

Guru dan pelajar Tingkatan 3 SMK Sungai Ranggam bergambar bersama Ramelle dan ahli jawatankuasa YTPS selepas penyampaian sumbangan.

Atas komitmen ingin melihat pelajar yang bakal menduduki Peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) berjaya, Yayasan Transformasi Pasir Salak (YTPS) pada hari ini telah berkunjung ke 4 buah sekolah di DUN Kampung Gajah bagi menyampaikan motivasi dan sumbangan set alat tulis kepada calon-calon PT3 yang akan mengambil peperiksaan tersebut pada 13 Oktober depan.

Timbalan Pengerusi YTPS Ramelle Ashram Tan Sri Ramli mengetuai delegasi YTPS seawal 9 pagi bermula di SMA Ehyak Diniah Islamiah, Kampung Gajah bagi bertemu dan menyampaikan sumbangan alat tulis kepada calon-calon PT3 sekolah berkenaan.

Selain SMA Ehyak Diniah Islamiah, tiga buah sekolah yang terpilih dan dikunjungi oleh YTPS adalah SMK Changkat Lada, SMK Sungai Ranggam dan SMK Sultan Abdul Jalil Shah.

Seramai 416 orang calon PT3 dari 4 buah sekolah tersebut, 53 orang di SMA Ehyak Diniah Islamiah, 78 orang dari SMK Changkat Lada, 110 orang dari SMK Sungai Ranggam dan 175 orang di SMK Sultan Abdul Jalil Shah telah menerima sumbangan set lengkap alatan menulis sebagai persediaan mereka menghadapi peperiksaan PT3 nanti. 



Ramelle dalam ucapannya memberikan suntikan semangat dan perangsang agar calon-calon yang ditemui berusaha bersungguh-sungguh menjawab soalan demi mencapai kejayaan yang cemerlang.

"Yang paling utama dalam hidup kita adalah Allah, kasih sayang kita terhadap Allah dan agamaNya.

Menurutnya, sebagai tanda kita bersyukur kepada Allah, kita wajib berusaha dan berjaya didalam kehidupan kita.

"Seterusnya, matlamat hidup kita adalah mencapai kejayaan. Jika kita berjaya, kita mampu mencapai apa juga impian kita.

"Jadikan PT3 ini sebagai permulaan untuk kita berjaya. Dan pesan saya, selepas anda semua berjaya, tolong menyumbang kepada masyarakat kita," ujarnya sebelum menyampaikan set alat tulis kepada para pelajar.

Pada 14 Jun lepas, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan peperiksaan PT3 bagi menggantikan PMR bermula 1 Julai lepas dan ia dimulakan dengan Instrumen Kajian Kes berbentuk kerja kursus bagi mata pelajaran Sejarah dan Geografi pada 1 hingga 18 Julai.

Ujian lisan (mendengar dan bertutur) bagi mata pelajaran Bahasa Melayu serta Bahasa Inggeris pula telah dilakukan didalam tempoh 6 hingga 29 Ogos yang lalu.

Bermula 12 hingga 17 Oktober ini, pelajar Tingkatan 3 akan menjalani ujian bertulis bagi 11 mata pelajaran lain pula.

Rabu, 8 Oktober 2014

#PemudaUMNO Harap #Bajet2015 Beri Impak Kepada Golongan Muda - #NKPUM @azwanbro @NajibRazak


Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia Khairul Azwan Harun berharap Bajet 2015 yang akan dibentangkan 10 Oktober depan akan memperkenalkan program dan bantuan yang benar-benar dapat memberi impak dalam menangani kenaikan kos sara hidup rakyat, terutama kepada generasi muda yang baharu memulakan kerjaya atau keluarga.

"Kita berharap agar insentif-insentif baharu dapat diperkenalkan dalam Bajet 2015, terutama untuk membantu rakyat menangani kenaikan kos sara hidup.

"Sekiranya mempunyai kesan daripada pengurangan subsidi minyak, ia dapat diterjemahkan bukan saja dalam bentuk BR1M tapi insentif-insentif lain yang dapat juga membantu golongan muda yang bekerja, samada sepenuh masa ataupun separuh masa bagi menangani isu kos sara hidup mereka," katanya.

Menurut Azwan lagi, selain kenaikan kos sara hidup, antara isu utama yang dihadapi oleh generasi muda masa kini adalah isu perumahan.

Justeru, Pemuda UMNO juga mengharapkan agar kerajaan memperkenalkan insentif dan skim perumahan untuk membantu golongan generasi muda, terutama yang berada di dalam kawasan bandar.

Ketua Pemuda yang juga Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin pada 26 Ogos lalu mencadangkan agar kerajaan membina bandar belia di kawasan pinggiran bandar melalui Bajet 2015.

Menyokong cadangan ketuanya, Azwan turut mencadangkan agar kerajaan mengadakan kerjasama dengan pihak swasta untuk membangunkan bandar belia yang terletak tidak jauh daripada pusat bandar.

Sambil melahirkan keyakinan bahawa pihak Kementerian Kewangan mempunyai statistik dan perancangan yang teliti, Azwan berharap bajet tahun hadapan benar-benar mempunyai kesan dan impak positif kepada generasi muda.

Pemuda UMNO Kutuk Tindakan Anwar Tagih Simpati Luar.

Mengulas tindakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat cuba menagih simpati pihak asing berhubung pendakwaan terhadapnya, Azwan berkata tindakan tersebut akan memberi musibah kepada negara.

"Pemuda UMNO memandang serius tindakan Ketua Pembangkang itu kerana berdasarkan pengalaman lalu, Anwar akan mencari pelbagai alasan untuk menagih simpati pihak luar. 

"Pemuda UMNO mendesak kerajaan segera mengambil tindakan untuk menjelaskan kedudukan sebenar kepada pihak asing," ujarnya.


Terdahulu, Azwan menyampaikan bungkusan daging korban kepada para penerima di Majlis Korban Perdana Masjid Al-Azhar yang diadakan di Kampung Balun Bidai, Kampung Gajah, pada Isnin lalu.

Hadir sama, EXCO Kerajaan Negeri Perak YB Dato' Haji Zainol Fadzi Paharuddjn yang turut mengedarkan bungkusan daging korban.

Ibadah korban tersebut dianjurkan oleh Azwan dengan kerjasama Yayasan Transformasi Pasir Salak (YTPS) sempena menyambut Hari Raya Aidil Adha.

Selasa, 7 Oktober 2014

Majlis Korban Perdana Masjid Al-Azhar Balun Bidai #NKPUM @azwanbro & #YTPS @zainolfadzi @drnovandri #PemudaUMNO


Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia Khairul Azwan Harun telah berjaya menganjurkan Majlis Korban Perdana Masjid Al-Azhar dengan kerjasama Yayasan Transformasi Pasir Salak (YTPS) yang diadakan di Kampung Balun Bidai, disini, semalam.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh EXCO Kerajaan Negeri Perak Yang Berhormat Dato' Haji Zainol Fadzi Paharuddin yang juga merupakan Penaung YTPS.

Majlis yang menyaksikan lebih dari 500 orang yang hadir itu diadakan di perkarangan Masjid Al-Azhar, masjid baharu Kampung Balun Bidai. Baca di SINI.


"Saya dapat lihat lebih dari 500 orang yang hadir, bergotong royong, bertungkus lumus memotong, melapah dan membungkus daging untuk diedarkan," kata Azwan yang juga Ketua UMNO Cawangan tersebut.

"Program ini sebenarnya merupakan program tahunan saya dan Dato' Zainol ketika kami memimpin Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Salak. In Shaa Allah, tradisi ini akan saya teruskan.


"Cuma, majlis korban perdana ini adalah program pertama yang dianjurkan sebesar ini melibatkan 13 ekor lembu untuk diagih-agihkan kepada penerima yang terdiri dari penduduk Kampung Balun Bidai, Kampung Changkat Rambai, Kampung Sungai Galah, Kampung Batu 31 Seri Hijrah dan penerima yang dibawa dari DUN Kampung Gajah," kata Azwan kepada pemberita selepas menyampaikan bungkusan daging korban kepada penerima.

"Apa yang lebih penting, hari ini kita dapat melihat semangat perpaduan dan kerjasama erat dalam kalangan masyarakat jelas tergambar sepanjang ibadah korban ini dijalankan. 

Azwan turut membantu memotong daging sebelum dibungkus.
"Kita berjaya mengedarkan 600 bungkusan daging korban dan saya berharap kerja-kerja amal seperti ini mendapat keredhaan daripada Allah SWT," katanya.

Program ini turut dimeriahkan dengan kehadiran CEO Yayasan Bina Upaya (YBU) Holding Sdn Bhd Hamzarul Hazmir Hamdan, bekas CEO Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) Yang Berbahagia Dato' Ir Haji Harun Ahmad Saruji dan Yang Berbahagia Dato' Mohd Hamdan Hazizi.

Ahad, 5 Oktober 2014

Perutusan #AidilAdha Naib Ketua #PemudaUMNO Msia @Azwanbro


Salam Aidil Adha 1435H.

Alhamdulillah, diketemukan kita dengan Aidil Adha sekali lagi pada tahun ini.

Renung kembali perjalanan semenjak Aidil Adha yang lepas dan kita muhasabah diri dengan nilai pengorbanan yang dilakukan.

Jangan lah kita bermegah mahupun berkira atas segala pengorbanan yang kita telah lakukan sebaliknya tanamkan rasa rendah diri & berserah pada Allah s.w.t.

Jadikan Aidil Adha kali ini sebagai penanda arasan untuk kita lakukan yang lebih baik untuk masa mendatang dan hargainya dengan berada di samping yang tersayang.

Memandu lah dengan sabar & cermat ke destinasi yang dituju.

Selamat Hari Raya Aidil Adha 1435H dari saya & keluarga.

Khairul Azwan Dato' Harun
Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia merangkap Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Malaysia

Majlis Penyerahan Kunci Masjid Al Azhar Balun Bidai @azwanbro @hairul_own @YBUDR #YTPS


[KEMASKINI] Bagi penduduk Kampung Balun Bidai, sambutan perayaan Hari Raya Adil Adha 1435H tahun ini amat bermakna buat mereka apabila masjid baharu siap dibina dan boleh digunakan untuk solat sunat hari raya pagi nanti.

Masjid yang diberi nama Masjid Al Azhar dibina diatas tapak seluas hampir 3 ekar dengan menelan belanja RM900 ribu ringgit bagi kos pembinaannya dan mampu menempatkan 500 jemaah pada satu-satu masa.

Kos pembinaan masjid tersebut diperolehi hasil sumbangan Dato' Ir Haji Harun Ahmad Saruji (Bapa Khairul Azwan) sebanyak RM400 ribu, peruntukan khas Timbalan Perdana Menteri sebanyak RM400 ribu dan selebihnya dari sumbangan orangramai serta beberapa badan bukan kerajaan.

Berucap pada Majlis Penyerahan Kunci yang diadakan selepas solat maghrib semalam, Ketua UMNO Cawangan Balun Bidai Khairul Azwan Harun melahirkan rasa syukur kerana segala urusan pembinaan masjid tersebut berjalan lancar.

"Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana segala urusan pembinaan masjid baharu kita berjalan dengan baik biarpun kita menjangkakan masjid ini dapat digunakan pada Hari Raya Aidilfitri yang lalu namun terdapat sedikit kelewatan. Tetapi dengan izin Allah SWT juga kita dapat menggunakan untuk solat sunat Aidil Adha pagi esok.

Azwan yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia berkata, segala perancangan pembinaan masjid ini bermula sejak dari tahun 2011 bagi menggantikan Masjid Al Aqram yang telah berusia lebih dari seratus tahun.


Timbalan Mufti Negeri Perak, Tuan Haji Zamri Hashim hadir menyerahkan surat kebenaran pada Jumaat lalu
"Pembinaan masjid ini baru disiapkan di fasa pertama, masih ada lagi 2 fasa melibatkan pembinaan pagar dan menghias kawasan masjid.

Beliau dan jawatankuasa masjid sedang mempertimbangkan hiasan dalaman yang sesuai dan mimbar baharu yang ditempah khas dari Indonesia dijangka sampai pada bulan hadapan.

"Saya juga sedang menyediakan pelan pembangunan sekitar kawasan masjid ini termasuk membina pusat maahad tahfiz yang mampu menempatkan 40 orang pelajar serta membina gerai untuk kita sewakan kepada penduduk kampung yang ingin berniaga," ujarnya.

Sebelum mengakhiri ucapannya, Azwan mengingatkan ahli kariah Kampung Balun Bidai agar sentiasa menjaga perpaduan dan meneruskan tradisi berjemaah di masjid pada setiap waktu solat memandangkan masjid baharu ini berada dekat dengan kawasan rumah penduduk kampung.

"Jadikanlah Masjid Al Azhar ini sebagai pusat penyatuan ummah dalam mengeratkan lagi hubungan sesama penduduk kampung dan dalam masa yang sama memperkukuhkan kekuatan Islam yang perlu dipelihara kesuciannya," katanya.

Azwan turut menyaksikan penyerahan kunci masjid yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Operasi YBUDR Encik Hairul Anwar Mohamad Noor dan diterima oleh Imam Masjid Al Azhar.

YBUDR melalui anak syarikatnya YBU Holdings Bhd telah dilantik sebagai pengurus projek bagi pembinaan Masjid Al Azhar yang bermula penghujung 2013.

Masjid Al Azhar ini juga dilengkapi dengan ruang solat utama, 3 ruang solat terbuka dan ruang solat wanita. Antara kemudahan lainnya, bilik mandi, tandas, ruangan wuduk, rumah masak serta kemudahan parkir kenderaan.

Hadir sama, Naib Pengerusi Yayasan Transformasi Pasir Salak (YTPS) Zulkipli Zakaria dan Pengerusi Sekretariat Pembangunan Modal Insan YTPS, Rashid Bidin.

Label

Bacaan Quran

Jom Dengar Quran

..::cWm::..