Selasa, 23 September 2014

KrisisMBSelangor Selesai, Istana Perjelas Sebab @AzminAli Dipilih

Kemelut berhubung krisis Menteri Besar Selangor dianggap selesai dengan perlantikan ADUN Bukit Antarabangsa Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor ke 15.

Perlantikan Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR itu disempurnakan oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam Istiadat Angkat Sumpah dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan yang berlangsung di Istana Alam Shah, Klang, jam 10.40 sebentar tadi.

Seperti yang dijanjikan, pihak Istana Selangor dalam satu kenyataan menjelaskan punca kelewatan perlantikan menteri besar Selangor adalah disebabkan pergolakan dalaman PKR dan ketidaksefahaman parti dalam Pakatan Rakyat dalam pencalonan menteri besar.

Menurut Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Munir Bani berkata, keengganan DAP dan PKR mematuhi arahan Istana pada 27 Ogos untuk mencalonkan lebih dua nama, menyulitkan lagi tindakan Sultan sehingga terpaksa meneliti calon lain dalam parti itu yang tidak dicalonkan.

Tambahnya, Azmin dipilih kerana Sultan mempertimbangkan konsensus Pakatan Rakyat mengenai kerusi menteri besar di Selangor dan percaya beliau pilihan terbaik untuk mendapat sokongan semua parti.

"Baginda mengambil maklum bahawa kerajaan negeri Selangor dibentuk melalui kesepakatan tiga komponen parti PAS, PKR dan DAP.

"Baginda juga mengambil maklum kesefahaman di antara tiga parti tersebut bahawa menteri besar Selangor perlu dilantik di kalangan ADUN PKR untuk mendapatkan kepercayaan majoriti dan sokongan dari parti-parti Pakatan Rakyat di Dewan Negeri Selangor," katanya.

Kenyataan tersebut juga menyatakan Azmin, yang dilahirkan di Singapura telah bermastautin dan dibesarkan di Hulu Kelang, Gombak sejak tahun 1968.

Azmin mendapat surat lantikan dari Istana semalam untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, menyelesaikan tanda tanya siapa bakal menerajui negeri terkaya di Malaysia ini.

PKR dan DAP semalam turut sebulat suara menyokong Azmin memberikan sokongan majoriti kepada beliau.

Kedua parti itu sebelum ini hanya menghantar satu nama iaitu presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sehingga ditegur oleh Istana yang mahukan lebih dari dua nama dari setiap parti.
PAS pula telah menyatakan akan mengikut pilihan dari Sultan Selangor.

Bagaimanapun Munir tidak memberikan sebab mengapa Wan Azizah ditolak.

Beliau dalam kenyataan sama turut menyanggah kenyataan yang mendakwa Sultan Sharafuddin Idris Syah telah mencampuri pentadbiran kerajaan negeri termasuk pelantikan menteri besar Selangor.

"Untuk makluman umum, ingin dijelaskan sekali lagi bahawa Sultan Selangor tidak pernah mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri selain dari menasihati Datuk Menteri Besar Selangor.

"Di dalam urusan pelantikan menteri besar, Sultan Selangor hanya bertindak menurut budi bicara baginda sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959," kata beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


Pihak admin yop-pasirsalak.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen di sini.

Semua pelawat dianggap setuju dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami dan kami tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen yang diutarakan.

Label

Bacaan Quran

Jom Dengar Quran

..::cWm::..