Sambil menegaskan bahawa keutamaan beliau ialah kepada rakyat dan negara, Najib menjawab segenap aspek persoalan dan kritikan terhadap pentadbiran beliau, meliputi isu pengurusan 1MDB, pelaksanaan GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan), BRIM (Bantuan Rakyat 1Malaysia), kes pembunuhan Altantuya, Akta Hasutan, POTA (Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan) dan prospek ekonomi negara.
Beliau mengupas segala isu itu ketika diwawancara Hamdan Ahmir dalam program Soal Jawab TV3 Edisi Khas.
Berikut adalah transkrip penuh wawancara itu:
MUKADIMAH
HAMDAN: Sejak kebelakangan ini, ada beberapa pihak yang mengkritik Yang Amat Berhormat Perdana Menteri berkaitan beberapa isu pengurusan kewangan dan pentadbiran. Malah ada pihak yang meminta supaya Perdana Menteri melepaskan jawatan kerana mereka berpendapat UMNO dan Barisan Nasional akan tewas dalam pilihan raya umum akan datang sekiranya Yang Amat Berhormat terus memimpin. Untuk menjawab persoalan-persoalan ini, saya alu-alukan kedatangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
SOALAN: Saya ingin mulakan sesi kita dengan menyampaikan rasa simpati kami kepada Datuk Seri dan juga warga kerja Pejabat Perdana Menteri atas kehilangan sahabat Datuk Seri yang cukup rapat, Tan Sri Jamaluddin Jarjis, dan juga dua pegawai kanan yang paling rapat dengan Datuk Seri, Datuk Azlin Alias dan Datuk Mohd Poad (Jelani). Bagaimana Datuk Seri menangani kesukaran dalam saat-saat yang berdukacita ini?
NAJIB: Tentu sekali kehilangan mereka bertiga merupakan tragedi bagi Pejabat Perdana Menteri, lebih-lebih lagi bagi diri saya sendiri, tentu sekali bagi keluarga mereka, sahabat handai. Dalam konteks pentadbiran negara, Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis telah memberi sumbangan yang besar dalam pelbagai kapasiti di dalam dan luar negara.
Allahyarham Datuk Azlin dalam pentadbiran pejabat saya telah menjalankan tugasnya dengan efisien, dengan amanah. Begitu juga dengan Datuk Poad sebagai setiausaha sulit saya, telah jalankan tugasnya dengan baik.
Namun, walaupun saya tetap dalam kesedihan tetapi kehilangan mereka itu menguatkan iltizam saya untuk menjalankan tugas-tugas saya memimpin negara dengan sebaik mungkin untuk mencapai segala impian, segala cita-cita dan wawasan negara.
SOALAN: Kita dapati Datuk Seri, kerajaan membuat penilaian semula dari segi perkembangan ekonomi negara akibat tekanan-tekanan yang kita hadapi secara global. Dari segi ekonomi, bagaimana Datuk Seri melihat usaha-usaha yang dijalankan setakat ini dalam memantapkan ekonomi negara ke tahap yang lebih tinggi?
NAJIB: Memang penilaian semula itu sangat kena pada masa berikutan kejatuhan harga minyak yang agak begitu drastik, merudum jatuh hingga ke paras separuh daripada masa-masa sebelum ini. Sudah tentu mana-mana negara pengeluar minyak terpaksa membuat penyesuaian/adjustment kepada kedudukan fiskal negara, supaya langkah-langkah yang lebih proaktif kita dapat menjamin bahawa fundamental ekonomi negara kita masih kukuh.
Ini yang nak saya tekankan. Meskipun harga minyak jatuh tetapi fundamental ekonomi negara kita tetap utuh dan kita masih boleh mencapai kadar pertumbuhan yang sederhana tinggi.
Kita masih boleh menarik pelaburan, kita masih boleh melaksanakan pembaharuan transformasi negara dan kita boleh terus memastikan rakyat Malaysia terbela.
SOALAN: Kita dapati banyak pihak yang menyambut baik usaha-usaha yang dibuat kerajaan dari segi memantapkan ekonomi negara. Dalam pada itu, Datuk Seri, ada pihak-pihak tertentu yang nampaknya tidak berpuas hati dengan cara pentadbiran Datuk Seri sendiri sebagai Perdana Menteri.
Saya ingin khususkan kepada kritikan-kritikan yang dibuat sejak akhir-akhir ini oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kepimpinan Datuk Seri sendiri. Bagaimana Datuk Seri melihat kritikan yang datang ini?
Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut menonton rancangan soal jawab yang disiarkan secara langsung di TV3. |
Saya harap kritikan itu dibuat dengan penuh berhemah dan cara bertanggungjawab. Saya meneliti, saya menimbang kewajaran setiap kritikan itu. Tetapi saya perlu tegaskan pada kesudahannya, saya perlu membuat keputusan sebagai Perdana Menteri dan sebagai Presiden UMNO, dan saya bertanggungjawab kepada rakyat Malaysia dan kepada parti. Itu saya nak tegaskan.
Apapun pendapat individu, pada kesudahannya, saya akan bertanggungjawab kepada rakyat dan kepada parti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Pihak admin yop-pasirsalak.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.
Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen di sini.
Semua pelawat dianggap setuju dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami dan kami tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen yang diutarakan.