Khamis, 7 Mac 2013

OPS DAULAT: KEJAYAAN PASUKAN KESELAMATAN #LahadDatu #OpsDaulat


[Op Daulat] 13 Mayat Pengganas Ditemui

LAHAD DATU — Tiga belas mayat pengganas bersenjata ditemui di Kampung Tanduo dalam operasi susulan dan penggeledahan hari ini selepas gerakan ofensif dilancar pasukan keselamatan negara terhadap kubu kumpulan penceroboh di kampung itu semalam.

Satu daripada mayat itu adalah pengganas yang ditembak mati dalam kejadian berbalas tembak dengan pasukan keselamatan pada pukul 6.45 pagi ini, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bercakap pada sidang akhbar bersama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada pukul 4 petang ini, Ahmad Zahid berkata sembilan daripada mayat itu ditemui dalam sebuah liang kubur yang ditutup dengan kepingan papan.

Beberapa keping gambar Op Daulat yang dirakam pasukan keselamatan diedar kepada media, antaranya mayat pengganas yang di dalam sebuah kubur.

[Op Daulat] 13 Mayat Pengganas Ditemui

Serentak itu, Ahmad Zahid membidas sikap media sosial yang memperlekehkan barisan hadapan pasukan keselamatan kononnya ia adalah sandiwara.

“Gambar-gambar ini menunjukkan pasukan keselamatan kita mempunyai kebolehan yang tinggi dalam menjalankan operasi ini. Ia bukan sandiwara,” katanya.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, berlaku dua pertempuran di sekitar kampung berkenaan ketika anggota tentera dan polis menjalankan operasi susulan dan penggeledahan.

“Pada 6.45 pagi tadi pasukan kita telah bertempur dengan pasukan penceroboh dan pasukan keselamatan kita menembak mati seorang anggota kumpulan penceroboh itu.

“Pada 1.45 tengah hari pasukan forensik kita diserang kumpulan penceroboh ketika menjalankan siasatan di kawasan kubur di mana mayat anggota mereka ditanam di kawasan kampung itu,” katanya yang mengesahkan tiada anggota pasukan keselamatan yang cedera.

Beliau berkata operasi bersama polis dan tentera itu turut menemui pelbagai senjata api milik kumpulan pengganas rakyat asing itu. ialah gambar anggota forensik diserang penceroboh ketika memeriksa sebuah kubur di kampung itu dan senjata yang dirampas pasukan keselamatan.

[Op Daulat] 13 Mayat Pengganas Ditemui


Semalam, pasukan keselamatan melancarkan serangan udara menggunakan jet pejuang F18 dan Hawk sebagai gerakan pertama ke arah menamatkan pencerobohan pengganas Sulu sejak 12 Feb lepas.


Sesudah itu, gerakan susulan dan penggeledahan dilakukan rumah ke rumah bertumpu di sekitar kawasan empat kilometer persegi di kampung itu bagi memburu kumpulan pengganas itu.

Sejak isu pencerobohan sekumpulan lelaki berpakaian ala tentera dan bersenjata di Lahad Datu 12 Feb lepas, lapan orang anggota polis terkorban dan 32 penceroboh terbunuh.

Dua anggota komando polis VAT 69 terkorban Jumaat lepas dalam serangan di Kampung Tanduo manakala enam lagi anggota polis terkorban dalam serang hendap di Kampung Simunul, Semporna pada Sabtu malam.

Hishammuddin berkata operasi susulan dan penggeledahan Op Daulat, yang masuk hari kedua hari ini, perlu dilakukan secara berhati-hati bagi memastikan keselamatan pasukan keselamatan dan berikutan faktor bentuk muka bumi di kawasan Kampung Tanduo, kira-kira 130 kilometer dari sini.

Hishammuddin dan Ahmad Zahid meminta semua pihak memberi ruang kepada pasukan keselamatan menjalankan tugas mereka bagi memastikan kedaulatan dan keamanan di pantai timur Sabah terjamin. — BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


Pihak admin yop-pasirsalak.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen di sini.

Semua pelawat dianggap setuju dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami dan kami tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen yang diutarakan.

Label

Bacaan Quran

Jom Dengar Quran

..::cWm::..