Sabtu, 28 Jun 2014

#HELPTuisyenYPM: Produk Baru #PemudaUMNO Msia, Bantu Tingkat Akademik Pelajar

Datuk Seri Shafie,  Khairy dan Azwan bergambar bersama pelajar yang diterima menyertai program HELP Tuisyen YPM. 
Program HELP Tuisyen Yayasan Pelajaran MARA (YPM) anjuran bersama YPM, Biro Hal Ehwal Bandar Dan Perumahan Pemuda UMNO Malaysia dan Yayasan Al-Hussin merupakan kesinambungan kejayaan Program Kelas Bimbingan YPM yang memfokuskan pelajar-pelajar sekolah harian di kawasan-kawasan bandar.

Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah, Datuk Seri Haji Shafie Afdal berkata, program ini meletakkan sasaran untuk membantu para pelajar yang menjadi peserta program ini untuk meningkatkan prestasi akademik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2014.

“Pelajar-pelajar akan dibantu guru-guru terbaik, cemerlang bagi menghasilkan pelajar-pelajar berkeyakinan tinggi, berpotensi serta bermotivasi tinggi seterusnya mendetikkan transformasi dalam diri pelajar bagi mencapai kejayaan dan impian.

“Program ini akan bermula Ogos ini dan sebanyak 41 pusat telah dikenal pasti dengan penglibatan kira-kira 4,100 pelajar dari kawasan bandar di seluruh negara,” katanya ketika merasmikan Program HELP Tuisyen di di sini hari ini.

Tambahnya, penggunaan guru-guru pakar dan cemerlang ini diharapkan dapat memberi nilai tambah kepada pembelajaran pelajar sekaligus melengkapkan mereka dalam menghadapi situasi peperiksaan yang sebenar.

“Dengan moto MARA “Memperkasakan Pendidikan Melayu Dan Bumiputera”, Pemuda UMNO harus menggunakan peluang ini untuk memperbanyakkan dan memperluaskan program sebegini bagi membantu dan membimbing lebih ramai lagi pelajar-pelajar Melayu Bumiputera untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam bidang akademik,” ujarnya lagi yang juga Naib Presiden UMNO.

Sementara itu, Pengerusi Biro Hal Ehwal Bandar dan Perumahan, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, Program HELP Tuisyen ini adalah satu lagi produk baharu UMNO dalam usaha menaik taraf hidup masyarakat terutama golongan muda memandangkan pendidikan merupakan aset utama seseorang insan.

“Ini juga membuktikan UMNO sentiasa mengambil kira kesusahan golongan yang memerlukan bantuan dan bukan setakat mendapatkan pendidikan sempurna, malahan sehinggalah mereka melangkah ke alam pekerjaan,” katanya yang juga EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. 

MediaUMNO

#PemilihanPKR: JPP Nafi #BLACKOUT Berniat Jatuhkan @Khalid_Ibrahim

Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR [VIDEO], menafikan wujud unsur sabotaj ketika pengiraan undi bagi Cabang Kuala Selangor yang didakwa untuk menjatuhkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. 

Baca ~ MB Selangor Gagal Pertahan Jawatan di SINI.

Menurut Pengerusinya, Datuk Johari Abdul berkata, insiden 'blackout' yang berlaku semasa pengiraan berlangsung berpunca daripada kerosakan lintar pintas di seluruh blok Tropicana dan bukan hanya berlaku di pejabat PKR (tempat pengiraan undi dijalankan).

"Tolak spekulasi ada permainan yang dimainkan oleh JPP kerana ia berlaku di seluruh blok di sini.

"Kalau ada pihak yang katakan ada unsur sabotaj, rujuk saya. Saya akan beri penerangan mengenai insiden tersebut," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR, hari ini.

Terdahulu, isu ini timbul selepas sebuah portal melaporkan terdapat dakwaan yang mengatakan Pejabat Menteri Besar Selangor mempersoalkan insiden ‘blackout’ itu.

Ketika mengulas dakwaan itu, Johari berkata, sejurus selepas berlakunya insiden itu, telah mengarahkan petugas, pengawas, kerani serta wakil calon untuk meninggalkan pusat pengiraan dengan segera.

Katanya, beberapa langkah keselamatan telah diambil termasuk mengambil gambar dan tidak mengusik kertas undi.

Kejadian 'blackout' yang berlaku pada jam 12 tengah malam itu segera dimaklumkan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) supaya segera menyambung bekalan elektrik yang terputus.

Beliau menambah, bekalan elektrik disambung semula jam 2 pagi dan pihaknya menyambung semula proses pengiraan.

Dalam perkembangan lain, Johari berkata, pemilihan PKR yang sepatutnya selesai sebelum Ramadan ini terpaksa dilanjutkan.

Johari berkata, terdapat lima pemilihan semula PKR di mana tiga akan diadakan pemilihan semula pada Ogos ini.

"Atas permintaan, maka kita setuju adakan pemilihan semula ‎tiga cabang iaitu Sungai Besar, Subang dan Sepang pada 28 dan 10 Ogos pula di Puchong dan Kelana Jaya," katanya.

~YPS gelak membaca penafian Johari ni... Serius lawak. Isu blackout ini mula dimainkan oleh pimpinan pembangkang dengan menuduh UMNO akan mem‘blackout’ atau memutuskan bekalan elektrik ketika proses Pilihanraya Umum/Kecil sedang berjalan.

Hari ini, tuduhan tersebut digunapakai oleh mereka terhadap pemilihan parti mereka sendiri. Lawakkan??? 

Apapun, YPS melihat ini semua sebagai balasan Allah SWT terhadap segala fitnah mereka kepada UMNO/BN.

Belum lagi isu baling kerusi meja dan segala unsur keganasan dalam mesyuarat parti mereka... Hahaha.


Jumaat, 27 Jun 2014

1 Ramadhan 1435H Jatuh Pada Hari Ahad 29 Jun ||| Selamat Berpuasa!!!

“Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dengan ini saya mengisytiharkan tarikh mula puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari Ahad, 29 Jun 2014.

Demikian pengumuman Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja YBhg Dato' Seri Syed Danial Syed Ahmad sebentar tadi. Penetapan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan rukyah dan hisab.

YPS mengambil kesempatan ini, untuk mengucapkan Selamat Berpuasa Bagi Seluruh Umat Islam seluruh dunia.

Semoga Allah menerima segala amal ibadat semua sepanjang bulan yang penuh barakah ini. Salam Ramadhan.

#AktaHarmoni: #PemudaUMNO Akan Hantar Memorandum Kpd Kerajaan @NajibRazak @KhairyKJ @Azwanbro

Khairy dan Azwan dalam sidang akhbar Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia selepas mesyuarat Exco Bil 4 di PWTC, Kuala Lumpur, Selasa lalu.
Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pada Selasa lalu memutuskan akan menghantar memorandum kepada kerajaan bagi memperhalusi serta melindungi beberapa perkara di dalam Akta Hasutan 1948 sebelum digantikan dengan Akta Harmoni Nasional.

Keputusan tersebut dicapai berikutan kebimbangan kepimpinan sayap tersebut berkaitan persoalan apakah Akta Harmoni Nasional mampu membendung tindak tanduk pihak yang cetus isu-isu sensitif bila ia mengantikan Akta Hasutan 1948 kelak.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan sebelum Akta Harmoni Nasional diluluskan bagi mengelakkan isu-isu sensitif terutama berkaitan kedudukan agama dan bangsa dibangkitkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.


Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia turut sama berpendirian bahawa akta baru itu harus menjadi perisai yang perlindungan yang sama kepada semua rakyat Malaysia.

"Maksudnya Akta Hasutan (1948) selama ini menjadi perisai kepada perkara-perkara yang asas dan sensitif dan saya harap dalam akta baharu, turut diberi perlindungan yang sama kepada semua rakyat Malaysia.

"Bukan hanya kita harap ada perlindungan kepada kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, tetapi apa sahaja kenyataan atau tindakan yang menghina mana-mana agama mestilah menjadi satu kesalahan di bawah akta baharu ini," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco sayap pergerakan tersebut di Kuala Lumpur, Selasa.


Naib Ketua Pergerakan tersebut, Khairul Azwan Harun dalam beberapa muatnaik status twitter miliknya turut menyuarakan kebimbangan senada dengan pendirian ketua beliau.

“Pengenalan Akta Harmoni perlu dibuat banyak dialog terbuka dan menyeluruh dengan pelbagai pihak,” katanya dalam twit beliau sehari sebelum mesyuarat exco diadakan.

Azwan mencadangkan agar penggubalan akta yang dicadangkan itu perlu mengambil kira pandangan semua pihak dengan mengadakan dialog secara terbuka dan menyeluruh.

Draf undang-undang baharu ini juga perlu diperluaskan kepada semua pihak untuk perbincangan agar segala perkara berbangkit dapat diperhalusi dengan sebaik mungkin sebelum ianya digubal.

“Akta Harmoni seharusnya berperanan besar mencegah dan bersifat anti-fitnah bagi mempromosikan keharmonian sosial bukan memberi kuasa baru kepada pihak tidak bertanggungjawab membantah dan menimbulkan konflik,” katanya dalam muatnaik status twitter beliau semalam.

Perkara ini menjadi tajuk utama perbincangan serta perdebatan di laman media sosial selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri mengumumkan tiga draf rang undang-undang iaitu Rang Undang-undang (RUU) Harmoni Nasional, RUU Perpaduan Nasional dan RUU Suruhanjaya Perpaduan dan Integrasi Nasional pada sidang Dewan Negara 30 Mei lepas.

#KPDNKK Senarai 18 Barangan Harga Terkawal Sempena #Aidilfitri

Sebanyak 18 jenis barangan dikenal pasti untuk dijadikan barangan kawalan di bawah Skim Kawalan Harga Sempena Aidilfitri.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, D‎atuk Seri Hasan Malek berkata, skim ini akan mengambil tempoh selama 17 hari dan akan bermula dari 20 Julai sehingga 5 Ogos depan.

"Seperti tahun-tahun sebelum ini, menjadi kelaziman kementerian untuk menentukan harga maksimum bagi barang keperluan terpilih.

"Ia dimulakan lebih awal sebagai langkah untuk menyekat kenaikan harga semasa Ramadan dan menjelang Hari Raya Puasa," katanya.

Antara barangan berkenaan adalah ayam hidup, ayam standard, ayam super, daging lembu tempatan, daging lembu import (harga maksimum di Sarawak sahaja), daging kerbau import, telur ayam gred A, B, C, cili merah dan tomato.

Barangan lain adalah kelapa biji, kelapa parut, bawang merah kecil (India), bawang besar import, bawang putih (China), ubi kentang import (China) dan ikan kembung termasuk ikan mabung (berat antara tujuh hingga 10 ekor sekilogram).

Hasan sebelum ini berkata, ‎sebanyak 1,800 pegawai penguat kuasa dan 800 pegawai pemantau harga akan turun padang bagi memastikan kelancaran penguatkuasaannya di seluruh negara.

Khamis, 26 Jun 2014

Rombakan Kabinet: Pertubuhan Cina Sedikit Kecewa @NajibRazak #MCA @partiGerakan



Beberapa pemimpin pertubuhan yang mewakili masyarakat Cina menyuarakan rasa kecewa apabila MCA dan Gerakan tidak diberikan jawatan penting dalam Kabinet.

Kekecewaan mereka diluahkan setelah MCA 'kehilangan' jawatan Timbalan Menteri Pendidikan yang secara tradisinya dipegang parti itu.

Terdapat pula suara yang berpendapat MCA seharusnya mendapat sekurang-kurangnya tiga menteri masing-masing di Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Mereka juga mengharapkan Datuk Mah Siew Keong dan Datuk Wee Ka Siong yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri akan diberi tanggungjawab sewajarnya.

Presiden Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia, Tan Sri Pheng Yin Huah berkata, pihaknya mengalu-alukan rombakan Kabinet tetapi sedikit kecewa dengan barisan baharu itu.

"Keadaan ini berlaku kerana tiada perwakilan kaum Cina dalam Kementerian Pendidikan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

"Kementerian-kementerian ini mengendalikan isu-isu yang dekat dengan kaum Cina," katanya.

Beliau bagaimanapun berpuas hati apabila wakil MCA dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

"Sebelum ini kita pernah mencadangkan wakil kaum Cina dilantik sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II.

"Sekarang dapat timbalan menteri, ia masih merupakan satu keadaan yang boleh diterima," katanya.

Tambahnya lagi, jawatan dan tanggungjawab Ka Siong dan Siew Keong sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri perlu diperjelaskan.

"Pada ketika isu Islam dan bukan Islam terus berlaku kebelakangan ini, adalah baik jika terdapat bahagian khas yang mengendalikan isu berkaitan di Jabatan Perdana Menteri," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Gabungan Dewan-Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia, Datuk Lim Kok Cheong berpendapat, wakil MCA dalam Kabinet perlu berani bersuara menyampaikan pandangan dan suara hati masyarakat Cina.

Beliau berpendapat pelantikan dua menteri daripada MCA adalah boleh diterima walaupun mengharapkan tiga menteri sebelum ini.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia, Ong Chiaw Chuan pula berkata, pihaknya sedikit sebanyak kecewa apabila wakil MCA tiada dalam Kementerian Pendidikan.

Namun beliau juga percaya dua menteri MCA masih berupaya membangkitkan isu berkaitan untuk dibincangkan dalam Jemaah Menteri.

"Sebelum ini ada wakil MCA dalam Kementerian Pendidikan, ia lebih mudah untuk bangkitkan isu pendidikan Cina," katanya.

Perghhhhh!!! Punya besar permintaan pertubuhan yang mewakili masyarakat Cina ni. Deme sedar atau tidak, bahawa mereka tidak layak untuk diberikan walaupun satu jawatan kecil didalam kabinet selepas mereka GAGAL memenangi hati pengundi Cina pada PRU ke 13 yang lalu.

Dengan pelantikan seramai 6 orang pemimpin Cina dalam kabinet kerajaan semalam, hari ini mereka boleh menyuarakan ketidakpuasan hati mereka dengan portfolio yang diberikan kepada 5 pemimpin MCA dan seorang dari parti Gerakan.

Najib yang mengumumkan rombakan kabinet itu, mendapat kritikan dari pelbagai pihak yang menyatakan kekecewaan dengan pertambahan portfolio selain tiada menteri yang digugurkan biarpun ada antara yang dikekalkan gagal menepati KPI yang ditetapkan.

Wakil-wakil pertubuhan Cina patut bersyukur kerana masih diberi peluang biarpun mereka kalah pada PRU ke 13 yang lalu. Yang menang pun, kerana bertanding di kawasan majoriti Melayu.

Dan perlu diingat, pelantikan 6 orang pemimpin mewakili masyarakat Cina itu oleh YAB Perdana Menteri pasti dengan harapan agar mereka bekerja kuat menarik balik sokongan kaum Cina terhadap Barisan Nasional.

YPS berpendapat, pelantikan tersebut adalah ihsan UMNO yang menang majoriti sehingga melayakkan Barisan Nasional kekal memerintah negara ini.

Secara peribadi, YPS yakin kita tetap tidak boleh mengharapkan undi kaum Cina pada PRU ke 14 nanti...

#BeriBetisNakPaha

MB Selangor @Khalid_Ibrahim Gagal Pertahan Jawatan Ketua Cabang #PKR Kuala Selangor


Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tewas kepada bekas Ahli Parlimen Kapar, S. Manickavasagam sekali gus gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang PKR Kuala Selangor dalam pemilihan semula parti itu Sabtu lalu.

Manickavasagam memperoleh majoriti undi sebanyak 186 selepas mendapat 701 undi berbanding Abdul Khalid dengan 515 undi.

Abdul Khalid bagaimanapun berjaya mendapat jumlah undi yang banyak bagi jawatan Timbalan Presiden berbanding penyandangnya, Mohamed Azmin Ali.

Anggota PKR Cabang Kuala Selangor memberikan Abdul Khalid 517 undi, manakala Azmin dan Datuk Saifuddin Nasution masing-masing menerima 440 dan 50 undi.

Isnin, 23 Jun 2014

#KalimahALLAH: Gereja Katholik Tidak Dibenarkan Rayu Keputusan Mahkamah Rayuan - Mahkamah Persekutuan

Syukur Alhamdulillah. Itu ucapan dan luahan hati seluruh umat Islam yang tidak mahu nama Allah digunakan oleh Gereja Katholik bagi apa juga tujuan. 

Rasa syukur itu diluahkan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan pada hari ini memutuskan bahawa Gereja Katholik tidak dibenarkan merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang melarang penerbitan mingguan 'The Herald' daripada menggunakan kalimah 'Allah', dalam versi bahasa Melayu terbitannya.

Keputusan itu dibuat oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria yang mempengerusikan panel tujuh hakim, di dalam mahkamah yang penuh sesak pagi ini.

Beliau berkata itu adalah keputusan majoriti yang dipersetujui oleh empat hakim termasuk dirinya.

Ini bermakna, keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang melarang penggunaan kalimah Allah dalam The Herald, terpakai dan gereja itu tidak boleh lagi mengemukakan rayuan.

Pada 5 Mac lepas, Arifin, mendengar penghujahan daripada peguam yang mewakili gereja itu, enam majlis agama Islam negeri dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) di samping penghujahan daripada peguam kanan persekutuan mewakili Menteri Dalam Negeri.

Enam negeri itu ialah Terengganu, Kedah, Johor, Melaka, Wilayah Persekutuan dan Selangor.

Turut bersidang dalam panel itu bersama Arifin ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan tiga Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Datuk Zainun Ali serta Datuk Jeffrey Tan Kok Wha.

Keputusan ini dibuat ekoran gereja itu memohon kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk meneruskan rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 15 Okt 2013, yang melarang penggunaan kalimah Allah dalam versi bahasa Melayu terbitannya.

Majalah mingguan itu, yang diterbitkan dalam empat bahasa, menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada Tuhan dalam versi bahasa Malaysia, terutama bagi memenuhi keperluan penganut Katolik di Sabah dan Sarawak.

Mengikut Akta Mahkamah Kehakiman 1964, seseorang pemohon dalam kes sivil perlu terlebih dahulu mendapatkan kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk membawa rayuan mereka ke Mahkamah Persekutuan.

Apabila Mahkamah Persekutuan berpuas hati bahawa persoalan undang-undang yang dikemukakan pemohon memenuhi keperluan perundangan, Mahkamah Persekutuan kemudiannya akan memberi kebenaran merayu.

Sdr Jamal Kay (pejuang yang sentiasa hadir pada setiap perbicaraan kalimah Allah) bersama barisan hakim yang memutuskan gereja Katholik tidak dibenarkan merayu keputusan Mahkamah Rayuan.

Kronologi Isu Kalimah Allah
31 Dis 2009;
Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan The Herald menggunakan kalimah Allah selepas Mahkamah Tinggi mengisytiharkan bahawa keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang penerbitan itu daripada menggunakan kalimah Allah adalah menyalahi undang-undang, terbatal dan tidak sah.

Pada 2009;
Gereja Roman Katolik diketuai Paderi Besar Murphy Pakiam memfailkan permohonan semakan kehakiman yang menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden, antara lain memohon perisytiharan bahawa keputusan kementerian melarang penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan The Herald adalah tidak sah.

14 Oktober 2013;
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali sebulat suara membenarkan rayuan kerajaan untuk melarang The Herald daripada menggunakan kalimah Allah.

11 November 2013;
Gereja memfailkan permohonan bagi kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan dengan mengemukakan 26 soalan mengenai undang-undang pentadbiran dan kuasa mahkamah untuk membenarkan Menteri Dalam Negeri melarang penggunaan perkataan teologi (Tuhan).

Ahad, 22 Jun 2014

Titah Sultan di Mesyuarat Dewan Negara Perak ke-59

Sultan Perak ke 35, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah
BERIKUT titah penuh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada mesyuarat Dewan Negara Perak ke-159, semalam.

Bismillahi Rahmani Rahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Segala puji milik ALLAH Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga beroleh ihsan sehingga ke hari kebangkitan.

2.    Mesyuarat Dewan Negara ke 159, merafakkan sembah ucap takziah kepada Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Tuanku Bainun, di atas kemangkatan Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah pada hari Rabu, 28 Rejab 1435 Hijrah, bersamaan 28 Mei 2014.

3.    Kesultanan Melayu Perak diasaskan oleh Sultan Muzaffar Shah I pada tahun 1528.  Kini telah tiga puluh lima Sultan diangkat untuk bersemayam di takhta pemerintahan.

Dalam tempoh empat ratus lapan puluh enam (486) tahun sejarah Kesultanan Melayu Perak,  Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah, Sultan, Yang Di-Pertuan dan Raja Pemerintah Negeri Perak Darul Ridzuan yang ketiga puluh empat (34), ditentukan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala bersemayam di-takhta pemerintahan selama 30 tahun, 3 bulan, 25 hari, mencatatkan tempoh bersemayam di takhta pemerintahan, kedua paling lama selepas Sultan Perak kesebelas, Sultan Mahmud Iskandar Shah yang bersemayam di takhta Kerajaan selama 67 tahun, di antara tahun 1653 sehingga 1720. 

Mesyuarat Dewan Negara ke 150 bertarikh 6 Mac 2012, adalah mesyuarat terakhir yang dipengerusikan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah. 


Dalam titah yang dizahirkan,  Almarhum memperingatkan bahawa Institusi Raja akan kekal relevan jika ia terus mendapat penghormatan rakyat.

4.    Almarhum telah memenuhi peranan sebagai seorang Raja Pemerintah yang berpegang teguh kepada konsep Raja Berperlembagaan.  Pengalaman berkhidmat sebagai seorang hakim, telah mencanai minda serta membentuk pemikiran Almarhum. 

Ketika menimbangkan sesuatu perkara, Almarhum senantiasa memeriksa semua fakta dan menghalusi setiap data sebelum merumuskan sebaik-baik keputusan untuk kepentingan negeri dan kesejahteraan rakyat. 

5.    Almarhum dikenali dan diiktiraf sebagai seorang Raja Pemerintah yang amat berpegang kepada prinsip meluhurkan Perlembagaan serta mendaulatkan undang-undang negara.

Almarhum telah meninggalkan legasi pemerintahan yang wajib dijadikan rujukan. Almarhum telah melakarkan imej Raja Pemerintah yang disegani dan menyuntik kedaulatan takhta yang dihormati. 

Semoga roh Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, demikian juga roh-roh tiga puluh tiga Sultan terdahulu, yang setiap seorang dari Marhum itu telah menyempurnakan amanah sebagai Amirulmukminin, dilimpahkan segala ihsan daripada ALLAH Subhanahu Wata’ala, ditempatkan bersama roh para Solihin. 

Sama-samalah kita membaca surah Al-Fatihah, memohon rahmat daripada ALLAH Subhanahu Wata’ala, semoga apa jua ganjaran daripada bacaan tersebut disampaikan kepada roh Almarhum-almarhum yang telah berada di alam barzakh.  Al-Fatihah.

6.    Beta bersyukur ke hadrat ALLAH Subhanahu Wata’ala, kerana dengan petunjuk dan hidayat dari Nya juga, ahli-ahli Dewan Negara Perak yang bersidang pada 28 Rejab 1435 Hijrah bersamaan 28 Mei 2014 Masihi telah mencapai kata sepakat mengamanahkan ke atas diri Beta untuk diserahkan tanggung jawab mewarisi takhta pemerintahan.

7.    Mesyuarat Dewan Negara ke 159, pada pagi Jumaat yang dipohon agar dilimpahi berkat dan rahmat ILAHI, adalah mesyuarat pertama yang Beta mempengerusikannya atas nama Sultan, Yang Dipertuan dan Raja Pemerintah Negeri Perak Darul Ridzuan. 

Beta bersyukur ke hadrat ALLAH Subhanahu Wata’ala atas anugerah ini.  Beta menzahirkan penghargaan atas ketetapan sebulat suara ahli-ahli yang hadir dalam Mesyuarat Dewan Negara Perak kali ke 158, memberikan kepercayaan dan menyerahkan amanah kepada Beta, dilantik sebagai Sultan, Yang Dipertuan dan Raja Pemerintah Negeri Perak Darul Ridzuan yang ketiga puluh lima. 

8.    Akan Beta jadikan pedoman kata-kata yang terkandung dalam Ucapan Wakil Siswazah Kehormat yang dizahirkan oleh Paduka Ayahanda Beta, ketika masih seorang Hakim, dikenali sebagai Yang Amat Mulia Raja Tan Sri Azlan Shah semasa dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah oleh Universiti Sains Malaysia pada 28 Jun 1980.  Yang Amat Mulia Raja Tan Sri Azlan Shah antara lain memberikan peringatan;

Petikan:

“...sejarah telah menunjukkan bahawa takhta yang dialihkan dari istana ke muzium sejarah adalah hasil dari salah nasihat yang diberi oleh penasihat-penasihat istana yang tidak bertanggung jawab kepada rakyat. 

Sebenarnya, penasihat-penasihat istana ini adalah terdiri dari mereka yang mencari keuntungan jangka pendek bagi kepentingan diri mereka sendiri tanpa memikirkan kepentingan rakyat dan negara. 

Apabila keadaan ini berlaku, maka lambat laun rakyat akan memberontak dan takhta akan tergugat.  Walau seberapa banyak sekalipun askar, polis rahsia atau pegawai istana digaji untuk melindungi dan menjaga takhta, namun tidak satu pun akan dapat mengatasi kehendak dan aspirasi rakyat jelata. 

Jika kehendak rakyat jelata itu dimakbulkan Allah, maka berpindahlah takhta dari istana ke muzium seni dan budaya.”

9.    Beta amat insaf akan kata-kata yang terkandung dalam sumpah jawatan yang Beta telah zahirkan; ia adalah ikrar perjanjian Beta dengan ALLAH Subhanahu Wata’ala. 

Ia adalah amanah dan tanggung jawab amat berat; meletakkan Beta dengan akauntabiliti baik di dunia, lebih-lebih lagi ketika berhadapan dengan Tuhan Rabbuljalil pada hari kebangkitan di Mahsyar nanti. 

Beta mohon mendapat sebaik-baik nasihat dan panduan daripada ahli-ahli Dewan Negara untuk membolehkan Beta menyempurnakan amanah dan tanggung jawab ini sebaik mungkin. 

Sembah maklumkan kepada Beta perkara yang benar, betapa pahit sekalipun, dan betapa berat untuk lidah mengucapkannya. Setiap kebenaran wajib disembahkan dan jangan sama sekali dirahsiakan daripada pengetahuan Beta. 

Jauhkan Beta daripada cerita-cerita penglipur lara hingga mendorong Beta untuk berkhayalan, lena dengan mimpi indah; sedangkan realiti yang berlaku di kalangan rakyat dan di dalam negeri sangat berlainan dengan apa yang diceritakan. 

Semoga ahli-ahli Dewan Negara akan membantu Beta dengan segala keikhlasan dan kejujuran agar Beta dapat menyempurnakan amanah dan tanggung jawab dengan adil lagi saksama.

10.    Beta amat insaf bahawa daulat seseorang Raja Pemerintah itu akan ditentukan oleh kebijaksanaan dan kearifan serta keadilan dan kesaksamaan pemerintahan Baginda. 

Pemerintah yang bijak dan arif, adil dan saksama, akan dilimpahkan rahmat ILAHI, negerinya makmur dengan pelbagai rezeki, dan Raja berupaya memberi payung naungan membolehkan rakyat hidup dalam rukun, damai, harmoni lagi sejahtera. Akan Beta jadikan pedoman kata peringatan orang tua-tua:

Bapa kepada Raja adalah syariat ajaran Rasul
  Ibu kepada Raja adalah adat dan undang-undang
  Saudara kepada Raja adalah segala Menteri Besar dan Kecil
  Anak kepada Raja adalah segala rakyat jelata
  Bahawa Raja itu bagaikan tiada bapa, ibu dan anak
  Tidak diutamakan oleh Raja kepentingan lain melainkan rakyat jelata
  Malah ungka siamang di hutan jua adalah di bawah jagaan Raja
  Menjalankan pemerintahan dengan adil
  Memelihara agama – Menjamin keamanan
  Menunaikan kewajipan dengan penuh iltizam
  Jika Raja gagal menjunjung kebenaran ini
  Maka hancur musnahlah negara

11.    Yang lebih utama adalah doa yang Beta pohonkan untuk senantiasa dikurniakan panduan daripada ILAHI. 

Maha suci ALLAH yang di tangan Nya segala Kerajaan ;  hamba-Mu yang daif lagi lemah ini, memohon segala petunjuk dan bimbingan, pimpinlah hamba-Mu ini ke jalan yang lurus; (iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.

 Amin Ya Rabul Alamin.

Sabtu, 21 Jun 2014

Kunjungan Hormat @Azwanbro Ke Kedutaan Msia di Washington DC @NajibRazak @KhairyKJ @PPUMonline @akmalzharif @promelayu #pemudaUMNO #USA

Azwan dan Datuk Dr Awang Adek Hussin di Pejabat Kedutaan Malaysia, Washington DC, Amerika Syarikat.
Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang berada di Amerika Syarikat mengadakan kunjungan hormat ke Kedutaan Malaysia yang terletak di 3516 International Ct NW, Washington, DC 20008, Amerika Syarikat, semalam.

Delegasi yang diketuai oleh Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia Khairul Azwan Harun disambut mesra oleh Duta Besar Malaysia Datuk Dr Awang Adek Hussin serta seluruh warga Malaysia yang bertugas di kedutaan tersebut selain para pelajar Malaysia yang menuntut di universiti berdekatan.

Delegasi Pemuda UMNO bersama Datuk Dr Awang Adek, Duta Besar Malaysia ke Amerika.
Dalam pertemuan tersebut, Pemuda UMNO dan Datuk Dr Awang Adek bertukar pandangan berkaitan isu-isu semasa yang berlaku selain beberapa isu yang melibatkan survival serta masa depan golongan muda baik di Malaysia mahupun di Amerika Syarikat.

Delegasi Pemuda UMNO berkesempatan menunaikan solat Jumaat dan makan tengahari bersama Datuk Dr Awang Adek serta warga Malaysia di pejabat Kedutaan Malaysia Washington DC.

Datuk Dr Awang Adek menerima cenderamata dari Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Azwan berada di Amerika Syarikat sejak 3 minggu yang lalu bagi menghadiri ‘Leadership Course’ di Kennedy School of Government, Harvard University.

Sepanjang berada di Amerika Syarikat, Azwan serta delegasi Pemuda UMNO turut mengadakan beberapa pertemuan bersama golongan muda terutamanya pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut dan bekerja di Amerika Syarikat.

Bersama Kelab UMNO Luar Negara (KULN) New York & Philadelphia, Amerika Syarikat.
Dalam setiap pertemuan tersebut, Pemuda UMNO mengambil peluang memberikan penerangan, bertukar idea selain menjawab setiap persoalan yang dikemukakan oleh mereka berkaitan isu-isu semasa yang berlaku di dalam negara.

Pendekatan baru Pemuda UMNO Malaysia dibawah kepimpinan YB Khairy Jamaluddin dan Azwan selaku Naib Ketua untuk bertemu secara santai dan tanpa protokol dilihat mampu merapatkan jurang antara golongan muda dengan pemimpin UMNO samada mereka yang berada di dalam mahupun di luar negara.

Azwan merasmikan Kelab UMNO Luar Negara (KULN) Philadelphia, baca di SINI.



Rabu, 18 Jun 2014

@Azwanbro Rasmi Kelab UMNO Luar Negara Philadelphia @NajibRazak @shaberyc @KhairyKJ @armandpju @ibdil @inibobla #KULN


Azwan menyerahkan Surat Penubuhan Kelab UMNO Luar Negara Philadelphia, Saudara Bob di Amerika Syarikat.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Malaysia Khairul Azwan Harun hari ini merasmikan penubuhan Kelab UMNO Luar Negara (KULN) Philadelphia di Amerika Syarikat.

Azwan yang berada di Amerika syarikat bagi menghadiri ‘Leadership Course’ di Kennedy School of Government, Harvard University mewakili Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Khas Pelajar Luar Negara (JHEKPLN) Dato' Seri Shabery Cheek menyerahkan surat penubuhan kelab tersebut kepada ketua penajanya dalam satu majlis ramah mesra di Philadelphia.

Tujuan penubuhan KULN ini adalah untuk menyatukan masyarakat Melayu dan para pelajar yang bermastautin di pelbagai negara seluruh dunia.


Azwan bertemu dan beramah mesra bersama ahli-ahli Kelab UMNO Luar Negara New York di Amerika Syarikat. KULN New York dipercayai kelab UMNO pertama ditubuhkan pada tahun 1956.
Berdasarkan sejarah disimpan di Arkib UMNO, KULN pertama dipercayai ditubuhkan di New York, Amerika Syarikat pada tahun 1956.

Bagaimanapun sejarah penubuhan Kelab UMNO yang terawal didokumentasikan dengan terperinci dikenalpasti mula bergerak aktif secara sistematik di United Kingdom pada tahun 1968. 

Bermula dari tahun tersebut, Kelab-Kelab UMNO Luar Negara mula bertambah dan berkembang pula ke negara-negara lain dengan matlamat dan tujuan sebagai pusat tumpuan pelajar serta masyarakat Melayu.

Berikutan pertambahan KULN, UMNO telah memberikan tanggungjawab seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi untuk memantaunya di bawah Jawatankuasa Hal Ehwal Khas Pelajar Luar Negara.

Pada mulanya Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayob. 

Selepas itu, jawatan tersebut disandang oleh Dato’ Seri Mohd Shafie Haji Apdal, dan kini Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek.

Kelab UMNO kini mencapai jumlah melebihi 70 kelab yang meliputi 18 negara di seluruh dunia mewakili lebih dari 15,000 ahli UMNO berdaftar.

Malahan banyak lagi Kelab UMNO telah membuat permohonan penubuhan khususnya di Eropah seperti di Jerman, Perancis, Switzerland dan di mana sahaja adanya ramai pelajar Melayu sejak kebelakangan ini

Ia jelas satu perkembangan mantap keyakinan umat Melayu terhadap UMNO bukan sahaja dalam negara tetapi juga mereka yang berada di luar negera.

Malah, pada hari ini KULN mempunyai Sekretariatnya sendiri untuk menguruskan kegiatan Kelab-Kelab UMNO di seluruh dunia yang berpejabat di Suite 3.2, Aras 5 Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur.

Ia juga kini telah dibentuk dengan lebih sistematik mengikut zon-zonnya tersendiri bagi memudahkan pengawasan dan penyaluran maklumat yang berkesan serta bersepadu.


Azwan beramah mesra bersama pelajar-pelajar Malaysia di Amerika Syarikat. Hadir sama mengiringi beliau EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia  Saudara Armand dan Saudara Ibdil.
Baca lagi di blog Pengerusi Biro Kesatria Muda Pemuda UMNO Malaysia Saudara Armand Azha Hj Abu Hanifah di SINI.

Malaysia Bukan Negara Sekular - @DSJamilKhir @NajibRazak @MuhyiddinYassin


Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam jawapan bertulis kepada soalan Oscar Ling Chai Yew (DAP-Sibu) menjelaskan bahawa Malaysia bukan merupakan sebuah negara sekular.


  • Ianya jelas berdasarkan fakta sejarah penubuhan negara ini yang berasaskan kepada Kerajaan Islam Kesultanan Melayu dan Raja-Raja Melayu yang merupakan Ketua Agama Islam bagi negeri masing-masing.
  • Diperkukuhkan melalui Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang jelas mengatakan agama Islam adalah agama Persekutuan, tetapi agama lain boleh diamalkan di mana-mana bahagian Persekutuan.
  • Kedudukan ini juga dizahirkan dengan adanya peruntukan lain seperti dalam Fasal (4) Perkara 11 berkenaan dengan penyekatan pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama lain dalam kalangan penganut agama Islam oleh undang-undang Negeri dan Persekutuan.
  • Dalam Fasal (2) Perkara 12 tentang hak berkenaan dengan pendidikan, di mana sah bagi Persekutuan atau sesuatu negeri menubuhkan, menyenggarakan, membantu dalam menubuhkan atau menyenggarakan institusi Islam atau membantu untuk mengadakan ajaran dalam agama Islam serta melakukan apa-apa perbelanjaan yang perlu.
  • “Dalam Fasal (1A) perkara 121 juga menyebut bahawa Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.
  • “Malah, dalam butiran 1 senarai negeri jadual kesembilan Perlembagaan Persekutuan antaranya termasuk hukum syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut agama Islam dan mengawal pengembangan doktrin dan kepercayaan dalam kalangan orang yang menganut agama Islam serta ikrar Yang di-Pertuan Agong dalam jadual keempat untuk memelihara agama Islam pada setiap masa.

Dalam sidang Dewan Rakyat semalam, Ahli Parlimen Sibu tersebut bertanyakan apakah Malaysia sebuah negara sekular ataupun negara Islam.

Pembangkang di Malaysia memang jenis bebal. Takkan lah mereka tidak mengetahui apa yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.



Sedangkan Rukun Negara dengan jelas menyatakan bahawa setiap rakyat wajib memelihara dan menjunjung tinggi 5 prinsip termasuk keluhuran Perlembagaan.

Jika berdasarkan apa yang telah mereka lakukan kebelakangan ini, mereka nampaknya memang tidak memahami sedikitpun apa yang terkandung dalam Rukun Negara.

Mereka lebih kepada ingin mewujudkan suasana kacau bilau di dalam negara. 

*Zaman YPS bersekolah di Sekolah Kebangsaan dahulu, wajib bagi kami melafazkan ikrar Rukun Negara setiap minggu. Tak tahu la pulak sekarang ni, ada ke tidak lagi. Dan tak tahu samada ikrar ni dibaca di sekolah vernakular. 

Selasa, 17 Jun 2014

ADUN Kajang Memalukan, Kesemua Soalan @DrWanAzizah Ditolak Speaker DUN

Pegawai kepada ADUN Kajang menyalahkan pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor kerana tidak memaklumkan prosedur mengemukakan soalan yang betul hingga menyebabkan kesemua 10 soalan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, ditolak Speaker DUN, Hannah Yeoh.

Mohamad Rashidi Hassan berkata soalan yang dikemukakan Azizah terlampau panjang walhal prosedur menetapkan setiap satu soalan tidak boleh melebih 40 patah perkataan.

“Sepatutnya pejabat DUN memberitahu ADUN baru seperti Wan Azizah tentang perkara ini. Oleh kerana tidak diberitahu, berlakulah perkara ini,” kata Rashidi kepada sebuah portal.

Difahamkan, soalan daripada Azizah merupakan yang terbanyak di kalangan ADUN Selangor, pada sidang DUN kali ini.

Tindakan speaker menolak semua soalan Wan Azizah menimbulkan kekecohan di kalangan Adun dan petugas media memandangkan beliau adalah presiden PKR dan berpengalaman sebagai ahli Dewan Rakyat sebelum ini.

Insiden itu tidak pernah berlaku kepada ADUN lain sebelum ini.
Sementara itu, speaker turut menolak lima daripada sembilan soalan yang dikemukakan oleh ADUN Rawang, Gan Pei Nei.

Wan Azizah mengangkat sumpah sebagai Adun Kajang pada 7 April lalu di depan speaker selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang.

Apa yang berlaku jelas membuktikan bahawa rakyat DUN Kajang memilih seorang wakil rakyat tanpa menilai kredebiliti dan keupayaan calon PKR tersebut pada PRK Kajang yang lalu.

Lebih memalukan, Wan Azizah adalah Presiden PKR dan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh sebelum beliau meletakkan jawatan bagi memberi laluan untuk suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

SATE!!! SATE!!! Hahaha

Rabu, 11 Jun 2014

#UtusanMalaysia: Mendepani Survival Perjuangan Bangsa - @Azwanbro @Khairykj #PemudaUMNO


SAYA berasa terpanggil bagi membincangkan perjuangan bangsa secara terbuka setelah menyedari akan keperluan mendesak ke atas usaha mempersiapkan anak bangsa menghadapi cabaran semasa dan akan datang.

Saya juga berasa bertanggungjawab selaku pemimpin Pemuda bagi menyediakan barisan pelapis kepimpinan parti untuk terus menakhoda zaman dan mendepani survival perjuangan bangsa. Namun begitu, cabaran abad ke-21 amatlah berbeza berbanding cabaran dihadapi oleh pejuang bangsa terdahulu.

Justeru, saya berpendapat bahawa sudah sampai masanya kita membuka lembaran ataupun lebih tepat lagi sebuah wadah baru dalam membicarakan tentang perjuangan bangsa ini. Hari ini, kita tidak boleh berpuas hati hanya dengan survival bangsa tetapi kita perlu menjadi sebuah bangsa yang bermartabat dan dipandang tinggi kerana ilmu dan perilakunya.

Perjuangan bangsa bermula dari zaman penjajahan seawal sejarah Melaka dengan kebangkitan menentang Portugis dan Belanda. Ia kemudian diteruskan lagi apabila Tanah Melayu dijajah oleh British dengan kebangkitan bangsa Melayu dan tidak dilupai juga kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak terhadap kerajaan British.

Perjuangan bangsa terus menjadi pasak dan teras masyarakat Melayu setelah Jepun menakluki Tanah Melayu. Kemudian proses kemerdekaan bermula melalui rundingan meja bulat dan diplomasi terpimpin dengan pihak British apabila mereka kembali mentadbir Tanah Melayu setelah Perang Dunia Kedua tamat.

Walaubagaimanapun, perjuangan bangsa kemudian memasuki era lebih mencabar apabila pelbagai pihak cuba menjuarai kemerdekaan dan penubuhan sebuah negara bangsa untuk menegakkan agenda dan kepentingan kumpulan tersendiri sehingga menidakkan amalan demokrasi. Ini menzahirkan tompok hitam sejarah perjuangan dan dicemari dengan pertumpahan darah tanpa diduga.

Apa pun jua yang mewarnai perjalanan semangat kebangkitan itu sendiri, perjuangan bangsa dilihat oleh beberapa pengkaji sejarah sebagai selari dengan semangat nasionalisme yang lahir selepas Perang Dunia Kedua. Perjuangan bangsa ini ditakrifkan sebagai meliputi usaha-usaha yang bertujuan memelihara, memperbaiki dan memajukan kedudukan dan kepentingan orang Melayu dalam semua bidang termasuk politik, ekonomi dan kemasyarakatan.

Justeru, tidak saya nafikan bahawa semangat perjuangan bangsa Melayu perlu disemarakkan pada setiap masa kerana ia sentiasa mendasari proses pembentukan anak bangsa yang tidak cetek ilmu sejarah dan memiliki perasaan kecintaan mereka terhadap bangsa dan negara atau erti lain semangat patriotisme menebal.

Di sini, saya ingin meneruskan perbincangan dengan menumpukan pemikiran dan perdebatan ke arah pembentukan anak bangsa yang benar-benar mampu meneruskan semangat perjuangan bangsa dalam kelangsungan survival politik bangsa Melayu di bumi Malaysia ini.

Saya beranggapan bahawa kini kita berada di satu persimpangan dan tidak mahu tidak kita perlu terus bergerak ke hadapan seiring dengan perubahan zaman. Sebagai orang Melayu, saya rasa kita mampu untuk maju semahunya namun begitu antara perkara utama yang menjadi faktor kepada wujudnya rintangan dalam mencapai kemajuan adalah sikap negatif seperti hasad dengki, malas dan penting diri.


Sikap seperti ini menyebabkan kaum Melayu tanpa menyedari, lupa akan sejarah kebangkitan perjuangan bangsa. Saya tidak malu untuk menyatakan bahawa kita lupa antara faktor kejayaan pimpinan terdahulu terutama yang memerdekakan negara adalah ketinggian ilmu dan jati diri utuh sebagai bangsa Melayu. Selain itu, sikap kita sebenarnya menjadi menyumbang kepada kesukaran meneruskan perubahan dan penambahbaikan terhadap diri dan masyarakat.

Sikap juga menyebabkan kita gagal untuk mengiktiraf ilmu sebagai "critical success factor" atau faktor kritikal untuk berjaya selain sistem sokongan disediakan oleh wadah politik Melayu. Perlu diingat sistem sokongan ini boleh hilang sekelip mata tatkala kuasa politik bangsa lenyap dalam sistem demokrasi negara setiap lima tahun.

Apa yang dimaksudkan adalah sejauh mana kemampuan anak bangsa hari ini untuk meneruskan legasi dan tradisi perjuangan bangsa dalam konteks dunia moden yang semakin mencabar. Masyarakat kini memandang tinggi dan mempunyai pemikiran yang progresif dan analitikal terutamanya di kalangan generasi muda. Dua ciri ini membuka ruang kepada generasi muda hari ini untuk menjadi lebih kritikal dan jika tidak dilentur dengan diskusi dan disantun dengan bimbingan, saya khuatir mereka ini berubah menjadi radikal dan ekstremis.

Perlu kita bertanya sejauh mana kesedaran anak bangsa hari ini bahawa survival perjuangan bangsa pasti lenyap sekiranya kita hilang kuasa politik. Oleh sedemikian, perlu kita sedar sebagai umat Melayu bahawa dunia Melayu itu sendiri sudah berubah. Dunia terbentang di hadapan kita adalah dunia baru atau 'new order' bagi mereka yang punyai kemampuan minda dan jati diri untuk meneruskan survival perjuangan bangsa.

Selain itu, anak bangsa hari ini bukan sahaja perlu mendepani arus perubahan dengan menguasai ilmu duniawi namun perlu turut disulami dengan ilmu agama bagi menjadikan anak bangsa Melayu abad ke-21 sebagai individu yang terpuji akhlaknya dan disanjung akalnya.

Perjuangan bangsa pada abad ini akan terhakis nilainya apabila anak bangsa sibuk mengejar kejayaan dan kebanggaan di dunia sehingga lalai dan alpa tentang mengejar kejayaan di akhirat kelak, sedangkan kita semua tahu bahawa salah satu paksi utama perjuangan bangsa generasi terdahulu adalah agama Islam.

Namun, saya percaya kita mampu mendukung tanggungjawab meneruskan perjuangan ini, tetapi untuk menjadi lebih baik dan terus cemerlang, bangsa Melayu perlu mampu berdebat dan berhujah secara ilmiah dan berhemah.

Hari ini dan masa mendatang kita tidak boleh takut dengan perdebatan idea dan percanggahan pendapat. Ini kerana lahirnya pemimpin bangsa yang tajam akalnya adalah daripada persekitaran yang menggalakkan perdebatan pendapat, yang mengangkat penghujahan berhemah dan menghormati perbezaan pendapat.

Justeru, bersedialah anak bangsa dengan pelbagai cabaran dan dugaan menanti dalam usaha kita meniti perubahan. Jadilah kita dengan kekuatan jati diri dan tahap keilmuan yang tinggi seperti pemimpin terdahulu Dato' Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Ismail. Selamilah pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam 'The Malay Dilemma'. Jelmakanlah dalam diri kita sebuah perjuangan yang berlandaskan kepada kesederhanaan di mana perlu kita hindari daripada menjadi kumpulan ekstremis kanan ataupun kiri.

Selami dan rasailah juga perasaan, kehendak dan aspirasi generasi muda hari ini. Semoga dengan kesanggupan dan keikhlasan untuk berubah sikap, kita tidak akan hilang jati diri dan survival perjuangan bangsa yang tercinta buat selamanya.

* PENULIS ialah Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
★ Disiarkan di akhbar Utusan Malaysia

Ahad, 8 Jun 2014

@Azwanbro Berjaya Selaras Jentera #PemudaBN, Bantu Kemenangan BN #PRKTelukIntan – @KhairyKJ @NajibRazak @MuhyiddinYassin @partiGerakan

Khairy Jamaluddin, Pengerusi Pemuda BN Malaysia merangkap Menteri Belia dan Sukan.
“Walaupun berdepan calon lebih muda, kita (Barisan Nasional) mampu memberi saingan hebat di Teluk Intan.

Demikian menurut Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) Khairy Jamaluddin dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvokesyen Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) ke-10 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya.


Azwan dan Tan Keng Liang dalam satu program sehari sebelum hari pengundian.
Menurut Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan, pujian harus diberikan kepada jentera Pergerakan Pemuda BN yang diketuai oleh Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairul Azwan Harun dan dibantu oleh Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang kerana berjaya menyelaraskan gerak kerja kempen dengan baik.


Khairy dan Azwan melancarkan jentera pemuda BN pada hari penamaan calon di Teluk Intan.
“Azwan selaku Pengarah Jentera Pilihanraya Pemuda BN bagi Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan berjaya menyelaras gerak kerja dengan baik dan berkesan dalam  menambat hati pengundi di Teluk Intan untuk memilih BN biarpun, menerima tentangan sengit daripada calon lawan.

Kejayaan Barisan Nasional (BN) merampas semula kerusi Parlimen Teluk Intan menerusi Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong daripada DAP merupakan isyarat terbaik bagi parti komponen BN itu untuk bangkit kembali selepas mengalami kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.

Khairy turut berpendapat kemenangan Mah memberi peluang baik kepada parti Gerakan yang sebelum ini menghadapi saat-saat sukar untuk bangkit semula

"Menerusi peluang yang akan diberikan untuk menyertai Kabinet nanti, ini merupakan kesempatan terbaik untuk Siew Keong membuktikan kepimpinannya dan berkhidmat untuk masyarakat," .

Dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) itu, Mah Siew Keong berjaya menewaskan calon DAP, Dyana Sofya Mohd. Daud dengan memperoleh majoriti 238 undi dan sekali gus mengembalikan semula kerusi itu ke tangan BN selepas dua penggal dimenangi DAP.

Rabu, 4 Jun 2014

@Azwanbro Ucap Tahniah Kpd #TheBossGaurus Perolehi Ibu Segala Emas #SUKMAPerlis @ZambryAbdKadir @ZainolFadzi @pafanews #PAFA

Menteri Besar Perak meraikan kemenangan Boss Gaurus malam tadi di Stadium Tuanku Syed Putra. Foto - fb YB Zainol Fadzi 
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Perak (PAFA) Khairul Azwan Harun sebentar tadi memuatnaik status twitter mengucapkan tahniah atas kejayaan pasukan 'The Boss Gaurus' memperolehi Emas, ibu segala pingat Sukan Malaysia (SUKMA) ke 17 dengan menundukkan Johor 3 - 1 pada perlawanan akhir bola sepak di Stadium Tuanku Syed Putra malam tadi.


Perak memperolehi gol pertama seawal minit ketujuh menerusi Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi sebelum Khairul Asyraf Sahizah menambah jaringan pada minit ke-17, hasil kesilapan penjaga gol Johor Sirajuddin Esayang gagal menangkap bola dengan kemas. 

Perak terus menguasai permainan pada separuh masa kedua dengan beberapa percubaan gol di gawang pasukan Harimau Selatan itu. 

Johor yang dianugerahkan sepakan penalti atas kekasaran pemain Perak di kawasan penalti, berjaya memperolehi gol tunggal melalui tendangan Shafiq Shaharuddin pada minit ke-72 perlawanan.

Muhammad Shahrel berjaya menambah jaringan gol buat skuad 'Boss Gaurus' dengan gol ketiga pada minit ke-88. 

Kali terakhir Perak menjadi juara bola sepak adalah pada tahun 2002 di SUKMA Sabah dengan menewaskan Pulau Pinang 3-1. 

Turut hadir di Stadium Tuanku Syed Putra menyaksikan perlawanan akhir tersebut adalah Menteri Besar Perak YAB Datuk Seri DiRaja Dr Zambry Abd Kadir diiringi oleh Presiden PAFA merangkap Naib Presiden FAM YB Dato' Haji Zainol Fadzi Paharuddin serta Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak yang lain.

Selasa, 3 Jun 2014

#PRKTelukIntan: @Azwanbro Ucap Terima Kasih Kepada Pengundi, Jentera #BN & Anggota Keselamatan @PDRMsia @NajibRazak @MuhyiddinYassin @KhairyKJ @ZambryAbdKadir

Pengarah Jentera Pilihanraya Pemuda BN Malaysia, Khairul Azwan Harun yang lebih dikenali dengan panggilan @Azwanbro dikalangan pemuda.
Barisan Nasional (BN) berjaya tawan semula Parlimen Teluk Intan pada Pilihanraya Kecil (PRK) P076 Teluk Intan yang diadakan pada 31hb Mei lalu.

Itu berita gembira buat BN khususnya mereka yang terlibat secara langsung berkempen sejak dari hari penamaan calon sehinggalah saat akhir dibenarkan berkempen pada jam 11.59 pm 30hb Mei 2014.


Presiden Gerakan Dato' Mah Siew Keong menang dengan majoriti 238 apabila memperolehi 20,157 undi berbanding calon muda DAP yang mendapat 19,919 undi.

Bagi YPS, kemenangan ini amat bermakna buat Pengarah Jentera Pilihanraya Pemuda BN Malaysia Khairul Azwan Harun yang mengepalai jentera pemuda BN buat kali ketiga setelah PRK DUN Sungai Limau, Kedah dan PRK DUN Kajang, Selangor.

Memetik muatnaik status facebook beliau, Azwan yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia menzahirkan ucapan terima kasih kepada pengundi Teluk Intan kerana memberi kepercayaan kembali kepada Dato' Mah untuk menjadi Ahli Parlimen.

Azwan turut mengucapkan terima kasih buat seluruh jentera yang telah bekerja keras memastikan kemenangan BN.

Azwan dalam status yang sama tidak lupa untuk berterima kasih kepada semua anggota keselamatan yang telah membantu melancarkan perjalanan kempen sepanjang PRK kali ini.

Azwan turut menyatakan keyakinan beliau bahawa segala manifesto dan janji PRK Teluk Intan akan ditunaikan oleh Ahli Parlimen Teluk Intan yang baru dengan bantuan BN Negeri Perak dan pusat.

“In Shaa Allah, Dato' Mah akan menunaikan segala janji beliau, dengan bantuan BN negeri dan pusat. Terima Kasih,” kata Azwan mengakhiri statusnya yang dimuatnaik semalam.



TAHNIAH BOSS!!!

Label

Bacaan Quran

Jom Dengar Quran

..::cWm::..