Naib Ketua Pemuda UMNO Khairul Azwan Harun berkata pihaknya memandang serius perkara itu kerana ia bukan sahaja membabitkan keamanan negara tetapi memberi kesan terhadap ekonomi negara dan rakyat.
"Sebab itu Pergerakan Pemuda UMNO dan Barisan Nasional (BN) memandang serius akan hal ini, dan sekiranya ada bukti pihak berkuasa jangan tunggu, segera ambil tindakan kerana ini akan menggugat kestabilan politik dan keamanan negara.
"Jangan berdolak-dalik, ini bukan soal Datuk Seri Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) atau soal mana-mana individu. Ini kestabilan politik negara dan juga keamanan negara. Pihak berkuasa jangan berdolak-dalik, ada bukti segera buat penahanan dan siasatan," katanya kepada pemberita pada Majlis Mesra Aidilfitri di Kinta Riverfront, Ipoh, semalam(Isnin).
Beliau mengulas dakwaan mengenai cubaan untuk menjatuhkan kerajaan dengan cara mewujudkan keadaan tidak stabil dalam negara dan menjejaskan keselamatan nasional.
Laporan menyebut bahawa pemimpin pembangkang telah mengadakan pertemuan dengan bekas eksekutif PetroSaudi International Ltd (PetroSaudi) Xavier Andre Justo untuk membeli maklumat daripadanya bagi memburuk-burukkan kerajaan Malaysia.
Azwan juga turut menggesa pihak berkuasa menahan individu di belakang The Sarawak Report serta memulakan siasatan, dan bukan hanya setakat menyekat laman sesawang berkenaan.
"Untuk itu saya secara peribadi sekiranya terbukti Sarawak Report menipu, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan untuk tahan atau siasat mereka, bukan semata-mata sekat portal tersebut," katanya.
Semalam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memutuskan untuk menyekat laman sesawang The Sarawak Report kerana ia didapati boleh mengganggu-gugat keselamatan negara.
SKMM dalam kenyataan berkata tindakan itu dibuat susulan maklumat dan aduan yang diterima daripada orang ramai bahawa laman sesawang itu telah memaparkan kandungan yang masih tidak dapat dipastikan kesahihannya dan sedang dalam siasatan.
-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Pihak admin yop-pasirsalak.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.
Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen di sini.
Semua pelawat dianggap setuju dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami dan kami tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen yang diutarakan.