Ahad, 13 Oktober 2013

#PemilihanUMNO2013: BEBERAPA NAMA BERPENGARUH TEWAS MEREBUT JAWATAN KETUA WANITA BAHAGIAN


Pemilihan peringkat bahagian bagi jawatan Ketua Wanita UMNO semalam menyaksikan kejutan dengan tewasnya beberapa nama berpengaruh.

Perak:
Ketua Penerangan Wanita UMNO yang juga bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) kanan, Datuk Hamidah Osman, gagal mempertahankan jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Gopeng.

Hamidah tewas kepada bekas Ketua Puteri bahagian, Juliliyana Mohd Junid dalam persaingan tiga penjuru itu.

Hamidah mendapat 143 undi berbanding Juliliyana yang meraih 163 undi daripada 328 perwakilan yang mengundi. Seorang pesaing lagi, Wan Razita Wan Razak, mendapat 20 undi.

Hamidah yang juga Pengerusi TEKUN Nasional, pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat selama dua penggal sebelum tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

Datuk Abidah @ Abaidah Zainuddin juga gagal mempertahankan jawatan Ketua Wanita UMNO Bagan Datoh yang disandang sejak 30 tahun lalu.

Beliau hanya mendapat 39 undi, manakala lawannya, Aminah Abdul Manaf memperoleh 239 undi.


Percubaan Timbalan Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Nor Rizan Subehi, selaku pemangku Ketua Wanita UMNO gagal dalam pertembungan empat penjuru yang dimenangi bekas Penolong Setiausaha Wanita bahagian, Aishah Halid.

Kerusi berkenaan disandang Datuk Kamilia Ibrahim sebelum beliau dipecat daripada parti kerana bertanding calon Bebas pada PRU-13 yang lalu

Negeri Sembilan:
Bekas EXCO, Datuk Zainab Nasir, 65, juga gagal mempertahankan jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Tampin yang disandang sejak tiga penggal lalu selepas tewas kepada Ketua Wanita UMNO Cawangan Sri Repah, Zuredah Muhamad, 51.

Zuredah, Penyelia Kanan KEMAS Tampin, memperoleh 188 undi daripada 316 perwakilan mengatasi Siti Aisyah Seman, 40, yang mendapat 90 undi dan Zainab, 38 undi.

Sabah:
Bekas Ketua Penerangan Wanita UMNO Bahagian Beaufort, Fatimah Asiah Ibrahim, kalah tipis kepada Minah Aching bagi jawatan Ketua Wanita UMNO bahagian.

Awalnya, Fatimah menyangka memenangi kerusi yang sebelum ini disandang Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Dun, sebaik selesai kiraan peti undi pertama tanpa menyedari ada satu peti belum dikira jawatan kuasa pemilihan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


Pihak admin yop-pasirsalak.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen di sini.

Semua pelawat dianggap setuju dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami dan kami tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen yang diutarakan.

Label

Bacaan Quran

Jom Dengar Quran

..::cWm::..