Selasa, 29 Oktober 2013

TUNTUTAN #COMANGO: AGENDA TERANCANG GUGAT KEDUDUKAN ISLAM @AzwanBro

Pemuda UMNO menyifatkan tindakan Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango) mengemukakan tuntutan yang menyentuh sensitiviti umat Islam kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai mencabar Perlembagaan.
Naib Ketuanya, Khairul Azwan Harun berkata, tindakan Comango itu yang secara terang-terangan mempertikai undang-undang negara dilihat tidak menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
Menurut beliau, tindakan tersebut jelas menunjukkan Comango tidak menghormati prinsip kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan yang merupakan tunjang Rukun Negara.
“Tindakan ini dilihat sebagai sebahagian agenda terancang bertujuan melemahkan atau mencabar kedudukan agama Islam di Malaysia yang dijamin dan termaktub dalam Perlembagaan bertopengkan hak asasi manusia dan mempromosi anti diskriminasi.
“Melihat kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendukung Comango ini, kami musykil dengan kenyataan kononnya tujuan mereka ikhlas, sebaliknya berkemungkinan mempunyai agenda politik tidak sihat,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online di sini.
Sebelum ini, beberapa negara memberi tekanan kepada Malaysia supaya menandatangani Perjanjian Antarabangsa Tentang Hak-Hak Awam dan Politik (ICCPR) berkaitan hak kebebasan beragama yang perlu dibaca dengan Artikel 18 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UHDR) iaitu mentakrifkan seseorang individu bebas meninggalkan agamanya.
Meneliti lagi isi kandungan laporan COMANGO ini jelas beliau lagi, Pemuda UMNO semakin yakin bahawa memang ada agenda politik di sebalik tuntutan COMANGO.
Justeru tegasnya lagi Pemuda UMNO ingin menasihatkan pihak-pihak yang bertanggungjawab tentang perkara ini supaya tidak menyalahgunakan proses UN untuk memburukkan imej Negara, dan menyebarkan fakta-fakta yang tidak tepat dan tidak benar yang sengaja diolah untuk kepentingan pihak-pihak tertentu,”
Sementara itu, Khairul Azwan mengucapkan syabas kepada semua pihak yang berusaha menjelaskan perkara sebenar kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB khususnya Gabungan Pertubuhan-pertubuhan Islam Dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (MuslimPro) berhubung tuntutan Comango tersebut.
Dalam masa sama, beliau menasihatkan semua pihak mengelak mengambil pendekatan yang boleh menimbulkan ketegangan antara kaum.
“Walaupun Pemuda UMNO menerima keperluan perbincangan di peringkat antarabangsa bagi tujuan pendedahan dan pembukaan minda, namun yang demikian perlu ditekankan bahawa tidak kira apa yang telah diusulkan atau dicadangkan di gelanggang antarabangsa, Pemuda UMNO tidak akan sekali-kali berganjak daripada perjuangan tradisi UMNO iaitu mempertahankan dan memperjuangkan Artikel 3(1) Perlembagaan Persekutuan, Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan dan perkara-perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Akhir-akhir ini terdapat banyak pihak yang menyeru supaya setiap rakyat mengelak dari melakukan perkara-perkara yang menimbulkan ketegangan. Pemuda UMNO bersetuju dengan pendekatan ini dan menganggap bahawa laporan dan tuduhan COMANGO yang boleh dibaca dalam laporan mereka merupakan satu bentuk provokasi yang hebat yang berpotensi menimbulkan ketegangan dan kekeliruan kepada masyarakat,” ujarnya lagi. -MediaUMNO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


Pihak admin yop-pasirsalak.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen di sini.

Semua pelawat dianggap setuju dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami dan kami tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen yang diutarakan.

Label

Bacaan Quran

Jom Dengar Quran

..::cWm::..