Jumaat, 16 Januari 2015

#Rencana: Kepura-puraan Yang Memualkan - @azwanbro @NajibRazak @KhairyKJ @UMOnline @PPUMonline

Khairul Azwan Harun
JULAI lalu, kita dikejutkan dengan satu lagi pembunuhan kejam rakyat Palestin oleh Israel. Dalam hanya 51 hari, lebih 2,300 orang rakyat Palestin dibunuh, termasuk kanak-kanak dan lebih 500 wanita. 

Sekolah dibinasakan, hospital dihujani peluru dan keluarga dipecahbelahkan. Itu belum kita berbicara tentang nasib lebih 10,000 orang lagi yang tercedera hasil kekejaman rejim zionis Israel tersebut.

Awal minggu ini, kita dibedik kemualan pula apabila Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu atau Bibi berada di barisan hadapan perarakan perpaduan di Paris ekoran serangan dan pembunuhan kejam di ibu pejabat Charlie Hebdo. 

Lebih memualkan, seorang pemimpin yang kononnya pencinta keamanan ini telah bertanggungjawab ke atas kematian hampir 17 wartawan tidak bersalah oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF). Nampak jelas kepura-puraan yang tiada tandingan.

Namun, seperti kebiasaan, semua sudut pemikiran berkaitan kekejaman di Charlie Hebdo tampaknya salah orang Islam. Memang benar pembunuhan dijalankan oleh tiga ekstremis Muslim, tetapi lupakah dunia seorang polis Muslim juga telah kehilangan nyawa mempertahankan kebebasan wartawan-wartawan Charlie Hebdo yang kerap kali menghina rasul umat Islam?

Bukan itu sahaja, dunia beranggapan bahawa pembunuhan ini menguntungkan umat Islam. Siapa sebenarnya yang paling untung hasil kekejaman ini? Adakah ia umat Islam yang kini dipandang hina ibarat semuanya pembunuh kejam dan ekstremis, walaupun hampir semua Muslim mengutuk keras pembunuhan yang dijalankan? 

Adakah pemenang sebenar 1.6 bilion umat Islam yang tak senang duduk di tempat awam, dipandang dengan kecurigaan oleh orang lain khususnya di negara-negara Barat?

Kekejaman kali ini menampakkan sekali lagi seolah-olah umat Islam yang bersalah. Bila kartun-kartun hasil karya wartawan Charlie Hebdo menghina Islam, dunia sentiasa mengungkit bagaimana ia dilakukan atas nama kebebasan bersuara. Umat Islam juga menanggung malu dan menahan sabar. 

Dan bila hanya tiga orang umat Islam bertindak keterlaluan, sekali lagi umat Islam menanggung herdikan dan generalisasi buruk yang dibina masyarakat dunia.

Adakah ini adil?

Apabila agama Islam dihina, semua dihalalkan dek kebebasan bersuara. Jika umat Islam marah, dikatakan jangan kerana kebebasan bersuara. 

Namun adakah dunia menghormati kebebasan bersuara umat Islam? Adakah dunia memperjuangkan kebebasan bersuara sepertimana yang mereka inginkan daripada umat Islam?

Apabila wanita Islam berpurdah dijatuhkan hukuman penjara selama sebulan dan didenda RM700 di Perancis, di mana pejuang kebebasan ekspresi? Jika benar kebebasan bersuara diperjuangkan, kenapa bila ada umat Islam mengutuk kekejaman Israel, ada yang dianggap rasis dan tidak objektif? Dunia tidak mempersoalkan pula 16 negara yang menghalang sesiapa menyangkal wujudnya ‘Holocaust’? 

Lebih menarik, hampir semuanya negara Eropah. Ke mana hilangnya kebebasan bersuara yang digembar-gemburkan untuk menghalalkan kutukan terhadap umat Islam?

KEPURA-PURAAN INI AMAT MEMUALKAN.



Hal ini sungguh jelas di Malaysia. Apabila ada orang Islam menghina agama lain, maka gegak-gempitalah sesetengah puak menjerit “tindakan perlu diambil!”. Tetapi puak yang sama ini juga mengutuk Akta Hasutan dan memperjuangkan kebebasan bersuara apabila Alvin Tan menghina Islam ketika bulan Ramadan.

Baru-baru ini pula kita dikejutkan dengan Eric Paulsen yang menuduh Jabatan Kemajuam Islam Malaysia (Jakim) sebagai penyebar elemen ekstremis semasa khutbah Jumaat setiap minggu. Namun ada yang mempertahankan Eric kononnya dia bebas dan berhak untuk memperkatakan apa sahaja.

Ada yang menganggap kononnya Islam ini mudah paranoid – kononnya kita sentiasa takut orang lain ada agenda ingin menjatuhkan Islam. Namun apabila ada segelintir umat Islam yang tidak membenarkan yang lain mengucapkan selamat hari natal kepada rakan Kristian, orang yang sama bangkit marah dengan sinisan dan kutukan – sampai ada yang mengaitkan kononnya ia agenda kerajaan untuk memajukan Islam – tanpa rasional.

Jika kita ingin terus hidup dalam keamanan, baik Muslim atau yang menganuti agama lain, kepura-puraan ini perlu dihentikan terutamanya dalam kalangan pejuang kebebasan bersuara. 

Jika benar dan ikhlas, perjuangkanlah kebebasan itu untuk semua, dengan batasan. Jangan hanya lantang bersuara dengan menggunakan alasan kebebasan bersuara untuk mengutuk dan menghina Islam.

Tak kan hanya kerana Islam agama majoriti di Malaysia, standard kebebasan bersuara yang digunapakai untuk orang Islam lebih rendah berbanding lain? Jika tidak, kebebasan bersuara dengan hadlah jawapannya sehingga bila-bila. 

Jika tindakan yang diambil kerajaan lebih konsisten, kebebasan terhad inilah perisai keharmonian negara – selagi kita kekal ‘double standard’ dalam memperjuangkan had kebebasan bersuara mutlak.

Jika kita mahu kerajaan membenarkan kebebasan bersuara tanpa had, kita ditagih untuk berlaku adil dalam memperjuangkan konsep tersebut.

Jika yang kutuk Islam sahaja dipertahankan tetapi orang Islam yang melakukan perkara sama dihina, dicaci dan hendak dihumban ke penjara – bukan hanya perpaduan yang dikejar tak dapat, keamanan yang dikendong juga lama-lama akan keciciran. 

Insiden di Perancis akibat keangkuhan Charlie Hebdo atas alasan kebebasan bersuara harus dijadikan pengajaran dan peringatan buat kita semua.

PENULIS ialah Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia.
Seperti yang disiarkan di Utusan Online.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


Pihak admin yop-pasirsalak.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen di sini.

Semua pelawat dianggap setuju dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami dan kami tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen yang diutarakan.

Label

Bacaan Quran

Jom Dengar Quran

..::cWm::..