PAS nafi 13 ADUN PAS sokong Azizah sebagai MB Selangor, serah kepada DYMM Sultan Selangor pilih calun baru. |
"Tidak, perkara itu tidak berbangkit," kata Mustafa pada sidang media di ibu pejabat PAS selepas ditanya mengenai SD tersebut.
Mengenai jawatan menteri besar, Mustafa berkata pihak partinya menyerahkan kepada Sultan Selangor untuk menggunakan kebijaksanaannya bagi memilih calon yang baru.
"PAS bersetuju untuk serahkan kepada perkenan Tuanku Sultan Selangor untuk menentukan siapa pengganti bagi jawatan MB Selangor," katanya.
Pengesahan Mustafa tersebut mengesahkan hanya dua Adun PAS sahaja menandatangani SD menyokong Dr Wan Azizah, iaitu Adun Hulu Klang Saari Sungib dan Adun Morib Hasnul Baharuddin.
Malah, kedua-dua Adun tersebut juga masih berdepan dengan tindakan disiplin kerana membuat tindakan awal yang membelakangi keputusan parti Islam tersebut.
Ahli jawatankuasa PAS Pusat pada 17 Ogos memutuskan untuk mencalonkan nama Dr Wan Azizah dan Azmin untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Keputusan tersebut menyebabkan wujudnya pertikaian di kalangan parti dalam Pakatan memandangkan PKR bertegas untuk kekal dengan Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal MB.
Mesyuarat majlis pimpinan PR yang bermesyuarat kemudian petang itu memutuskan untuk menghantar hanya nama Dr Wan Azizah untuk dipertimbangkan istana.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari mengesahkan Pakatan sudah menghantar nama isterinya, Dr Wan Azizah kepada pihak Istana untuk diputuskan Sultan Selangor sebagai MB baru.
Anwar berkata tidak timbul isu dua nama dihantar ke istana.
"Jadi hanya satu calon dan surat itu ditandatangani pemimpin PR, Guan Eng, Mat Sabu dan saya sendiri, dan itu mencukupi," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur.
ESOK, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengesahkan bahawa beliau akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, bagi memberi penjelasan tentang krisis yang berlaku di negeri itu.
Abdul Khalid dipercayai akan menghadap Sultan Sharafuddin pada pukul 2 petang Selasa. Beliau akan mengadakan sidang media pada pukul 4 petang bagi memaklumkan perkembangan pertemuan dengan Sultan kepada umum.
Sama-sama kita nantikan, apa kesudahannya krisis yang melanda Selangor yang bermula sejak sebulan yang lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Pihak admin yop-pasirsalak.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.
Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen di sini.
Semua pelawat dianggap setuju dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami dan kami tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen yang diutarakan.