Sabtu, 23 Ogos 2014

#MalaysiaBerkabung: 11 Jenazah Tragedi #MH17 Selamat Disemadikan

Krew kabin MH17 Allahyarhamah Hamfazlin Sham Mohd Arifin (gambar) berasal dari Kg Teluk Sareh, Mukim Pulau Tiga, Perak selamat dikebumikan di Gombak.






























Jenazah 11 daripada 20 warga Malaysia mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17, yang dibawa pulang ke tanah air dari Amsterdam semalam, telah selamat disemadikan setakat jam 7 malam tadi.
    
Mereka ialah enam anak kapal MH17 iaitu Mastura Mustafa, Ahmad Hakimi Hanapi, Hamfazlin Sham Mohamed Arifin, Nur Shazana Mohamed Salleh, Dora Shahila Kassim dan Azrina Yakob.



Lima penumpang pesawat malang itu, yang juga selamat disemadikan ialah Ariza Ghazalee, Muhammad Afif Tambi, Mohd Ali Md Salim, Hasni Hardi Parlan dan Noor Rahimmah Mohd Noor.


    Video ini memperlihatkan Allahyarhamah Hamfazlin sedang menutup ruangan bagasi di dalam pesawat.

Jenazah Mastura dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Paroi manakala Ahmad Hakimi dan Nur Shazana di Tanah Perkuburan Islam Presint 20 di Putrajaya.     

Tanah Perkuburan Islam Batu Muda di Gombak menjadi tempat persemadian Allahyarham Hamfazlin Sham; Allahyarham Dora Shahila di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara manakala Allahyarham Azrina di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Hidayah di Taiping.
    
Jenazah Ariza dan anak lelakinya, Muhammad Afif pula dikebumi dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Semariang, Petrajaya, Kuching manakala Mohd Ali dan Hasni Hardi masing-masing di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja, Muar serta Tanah Perkuburan Batu 8, Segamat di Johor.
    
Jenazah Noor Rahimmah pula dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Masjid Lama, Tambun.
    
Dalam perkembangan berkaitan, upacara pembakaran mayat dua penumpang bukan Islam iaitu Foo Ming Lee dan Ng Qing Zheng akan berlangsung di Taman Peringatan Nirvana, Shah Alam pada Ahad.
    
Abu mayat anak kapal MH17 Lee Hui Pin pula dibawa ke kediaman keluarganya di Subang Jaya bagi membolehkan sanak saudara dan sahabat handai mendiang memberi penghormatan terakhir sebelum upacara pengebumian di Taman Peringatan Nilai pada Ahad.
    
Jenazah seorang lagi anak kapal MH17, Chong Yee Pheng, akan disemadi di Taman Peringatan Paradise, Tanjung Rambutan, Perak, juga pada Ahad ini.
    
Esok, abu mayat Karamjit Singh Karnail Singh akan ditabur di kawasan laut di Pelabuhan Klang.
    
Sementara itu, abu mayat Elisabeth Ng Lyeti akan disimpan di Pusat Xiao En Bereavement di Cheras sementara menunggu dua lagi jenazah anggota keluarganya yang turut terbunuh dibawa pulang ke tanah air.
    
Mereka ialah kakak mendiang, Ng Shi Ing, seorang pensyarah di Universiti Malaysia Sabah dan anak saudara lelakinya, yang berusia setahun.
    
Dalam pada itu, Pusat Peringatan Nirvana di Sungai Besi menjadi tempat persinggahan jenazah Paul Rajasingam Sivagnanam dan isterinya, Mabel Anthony Samy, sebelum dibawa ke rumah mereka di Bangsar, Sabtu.
    
Manakala pengurusan abu mayat pramugari Angeline Premila Rajandaran dirahsiakan keluarganya.

Dalam perkembangan lain, dua lagi jenazah mangsa nahas MH17 warga Malaysia - satu beragama Islam dan satu lagi Buddha - dijangka tiba di tanah air esok.

Kedua-dua jenazah akan dibawa oleh pesawat khas Malaysia Airlines (MAS) pada 12 tengah hari Sabtu dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi Ahad.

Difahamkan kedua-dua jenazah, yang identitinya belum boleh diumum itu, sudah diletak di dalam keranda dan bekas abu mayat serta dipindah ke Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Schipol.

Pihak Kedutaan Malaysia di sini mengesahkan maklumat itu namun enggan mengulas lanjut.
    
Penerbangan MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lepas ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal yang berada dalam pesawat Boeing 777-200 milik syarikat penerbangan Malaysia itu.

Al Fatihah buat saudara seagama YPS yang terlibat dalam tragedi menyayat hati ini. Semoga Allah SWT melimpahkan rahmat keampunanNya serta menempatkan mereka di kalangan mujahidin dan hambaNya yang beriman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan


Pihak admin yop-pasirsalak.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.

Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen di sini.

Semua pelawat dianggap setuju dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami dan kami tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen yang diutarakan.

Label

Bacaan Quran

Jom Dengar Quran

..::cWm::..