NAIB Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Khairul Azwan Harun mencadangkan agar had umur Ketua Pemuda UMNO ditetapkan setakat usia 40 tahun demi merealisasikan impian meremajakan parti dan melahirkan pemimpin pelapis.
Azwan menambah, sayap UMNO memerlukan suntikan baru bagi menarik generasi muda menyertai parti dan yakin ia dapat dicapai apabila pemimpinnya dari kalangan generasi muda berusia 40 tahun kebawah.
"Ketua Pemuda UMNO bertaraf Naib Presiden tetapi had usia jawatan yang akan mewakili suara anak muda itu tidak dihadkan kepada 40 tahun sebagaimana parti menghadkan penyertaan ahlinya setakat usia 40 tahun baik di semua peringkat bahagian dan juga cawangan,” katanya.
Khairul Azwan yang juga Ahli Majlis Kerja (MKT) UMNO berkata demikian ketika berucap merasmikan dua Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Tambun dan Ipoh Barat yang diadakan berasingan di Ipoh, semalam.
Negara luar seperti Australia, Singapura, Turki dan beberapa negara lain telah lama menghadkan usia pimpinan muda mereka, malah had usia yang ditetapkan adalah setakat 30 tahun.
Perasmian Mesyuarat Pemuda UMNO Bahagian Tambun di Dewan Komuniti Taman Perpaduan, Ipoh. |
"Apa yang mengejutkan saya adalah Ketua Sayap Pemuda AK Parti baru berusia 28 tahun, jauh lebih muda dari saya tetapi mereka telah diterima dan diiktiraf dalam barisan kepimpinan parti tersebut," ujarnya.
Beliau percaya, langkah menghadkan usia Ketua Pemuda akan menarik minat dan mendorong lebih ramai anak muda khususnya golongan profesional menyertai parti.
"Hari ini, Pakatan Rakyat mewar-warkan bahawa ramai golongan profesional terutama golongan muda telah menyertai mereka dengan niat menimbulkan persepsi buruk bahawa UMNO ditolak oleh golongan tersebut," tegasnya lagi.
"Saya yakin, jika kita senarai panjangkan golongan muda yang menyertai UMNO, kita akan dapati sebenarnya UMNO memiliki jauh lebih ramai profesional muda.
Malah, mereka ini ada yang cuba bertanding merebut jawatan tetapi tewas kepada pemimpin kanan UMNO yang telah sedia dikenali serta mempunyai kemampuan kewangan.
"Apabila umur pemuda Ketua Pemuda UMNO dihadkan kepada 40 tahun, ia membuka ruang kepada pertandingan yang lebih telus tanpa ada sebarang kelebihan memegang jawatan di peringkat kerajaan mahupun parti,” katanya.
Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ipoh Barat di Bangunan UMNO, Ipoh. |
"Saya sedar saranan ini jika dilaksanakan akan menidakkan peluang saya sendiri untuk menduduki kerusi Ketua Pemuda UMNO Malaysia pada pemilihan parti akan datang, kerana saya kini hampir 39 tahun, tetapi bagi saya apa yang lebih penting adalah survival parti yang kita sayangi" katanya.
Dalam ucapannya juga, Azwan turut menyokong saranan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar agar lebih ramai golongan muda diberikan peluang menjadi calon wakil rakyat pada PRU akan datang.
"Hari ini lebih dari 50 peratus pengundi yang berdaftar terdiri dari golongan muda dan dengan mengambil kira bilangan anak muda yang bakal tamat persekolahan seterusnya layak mendaftar sebagai pengundi, negara kita sebenarnya sentiasa muda," ujarnya.
Di Perak, pada Pilihanraya Umum (PRU) ke 13 yang lalu kita berjaya meyakinkan pucuk pimpinan untuk memberi peluang kepada calon wakil rakyat muda dari sayap parti dan beberapa calon yang kita letakkan berjaya mendapat kepercayaan rakyat.
"Pemuda UMNO telah menggariskan beberapa kriteria calon muda wakil rakyat untuk diketengahkan antaranya calon tersebut perlu memiliki kredibiliti, bebas daripada anasir-anasir seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa, selain mempunyai latar belakang akademik yang tinggi termasuk daripada golongan profesional,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Pihak admin yop-pasirsalak.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.
Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen di sini.
Semua pelawat dianggap setuju dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami dan kami tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen yang diutarakan.