Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menggesa Parti Tindakan Demokratik (DAP) agar mengambil tindakan tegas terhadap ahli parlimen Sibu, Oscar Ling yang telah mengeluarkan kenyataan yang disifatkan beliau sebagai langsung tidak menghormati sensitiviti umat Islam di negara ini.
Naib Ketuanya,Khairul Azwan Harun berkata, kenyataan Oscar itu jelas memperlihatkan bahawa ahli parlimen daripada DAP ini langsung tidak sensitif terhadap sensitiviti bangsa Melayu dan umat Islam di negara ini.
“Beliau menyebut hal ini untuk tujuan apa? Saya lihat kenyataan beliau ini adalah semata-mata untuk membangkitkan api kemarahan orang Melayu dan umat Islam di negara ini. Saya telah ingatkan sebelum ini agar pemimpin politik, khususnya dari DAP agar tidak menyentuh isu-isu sensitif yang melibatkan bangsa dan agama.
“Sekiranya mereka berdegil dan terus membuat kenyataan seumpama ini, maka sudah tentu bangsa Melayu, khususnya UMNO yang mewakili suara orang Melayu dan umat Islam di negara ini akan membuat kenyataan balas,” tegasnya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur di sini, semalam.
Azwan yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Malaysia turut mempersoalkan dimanakah ketegasan kepimpinan DAP terhadap ahli parlimen mereka yang membuat kenyataan secara terang-terangan menghina institusi pendidikan umat Islam dan seolah-olah tidak ada rasa hormat kepada perlembagaan negara.
“Sepatutnya DAP mengambil tindakan disiplin terhadap ahli mereka yang membuat kenyataan yang menyentuh sensitiviti bangsa dan agama. Ini untuk membuktikan bahawa Dap parti yang mewakili rakyat Malaysia pelbagai kaum yang berteraskan asas demokrasi yang kuat.
“Nama DAP pun Parti Tindakan Demokratik tetapi apa yang nyata sikap dan kenyataan kepimpinan parti itu langsung tidak demokratik. Perlembagaan negara dibuat berasaskan prinsip demokrasi dan sepatutnya sebagai sebuah parti politik di Malaysia, DAP haruslah memelihara prinsip asas demokrasi,” ujarnya.
Tambahnya lagi, apa yang berlaku ini jelas membuktikan bahawa DAP mempraktikan sikap pilih bulu di mana jika ada ahli-ahli daripada parti lain khususnya UMNO membuat kenyataan sebegitu, merekalah yang bersuara paling lantang bersuara meminta agar tindakan diambil kepada individu tersebut.
“Tetapi dimanakah pendirian DAP tatkala ahli mereka sendiri membuat kenyataan seumpama itu. Jadi saya rasa DAP kena buktikan kepada rakyat Malaysia bahawa mereka sebuah parti yang memegang kepada prinsip asas demokrasi di negara ini dengan mengambil tindakan disiplin terhadap ahli parlimen Sibu itu.
“Ini jelas bagi saya, tiada asas demokrasi yang dipraktikan di dalam DAP. Nama saja demokratik tetapi kepimpinan DAP langsung tidak demokratik. Rakyat di negara ini sudah matang dan dapat melihat sikap kepimpinan DAP yang selama ini mendakwa mereka itu juara demokrasi, namun hakikatnya mereka sendiri tidak berpegang pada prinsip itu,” tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Pihak admin yop-pasirsalak.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.
Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen di sini.
Semua pelawat dianggap setuju dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kami dan kami tidak akan bertanggung jawab terhadap sebarang komen yang diutarakan.